Umat Islam sedunia perlu pertahan hak rakyat Iraq
16/4/03
Wadah Wanita Islam: Umat Islam sedunia perlu pertahan hak rakyat Iraq
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir
KITA melihat perarakan dan kempen antiperang mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia. Beratus ribu orang menyertai kempen itu. Sebagai warga Islam prihatin, kita juga perlu menyokongnya.
Kita pernah ternampak kempen pulaukan barangan Amerika Syarikat. Mungkin ada yang berfikir, apalah sangat kesan yang akan dirasai oleh Amerika, jika rakyat Malaysia memboikot barangan mereka?
Terdapat seorang pemikir membuat kesimpulan, Amerika tidak akan terasa apa-apa kesan daripada pemboikotan barangannya oleh orang Malaysia. Dalam kata lain, tidak ada ertinya kita melakukan usaha yang tidak memberikan kesan.
Namun, bagi seorang Muslim yang sedar dan insaf, kesan itu tidak penting. Ini kerana dia percaya setiap amalan atau tindakannya, walau sebesar zarah, akan mendapat ganjaran Allah! Dia akan melihat bahawa tindakan ini tidak sia-sia.
Di akhirat kelak, Allah tidak akan bertanya hasil perjuangan kita. Allah mungkin bertanya, ‘apakah yang kamu lakukan untuk agama kamu?’ Allah tidak akan bertanya ‘apakah pemboikotan kita berjaya menjejaskan ekonomi Amerika?’ Tetapi yang akan ditanya Allah kelak ialah, ‘apakah yang sudah kita buat untuk menamatkan kekejaman ini?’
Perkara ini mengingatkan kita kepada satu kisah pada zaman Nabi Ibrahim ketika baginda dibakar oleh kaumnya. Ketika itu, terdapat seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiramnya ke atas api yang sedang marak membakar.
Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk lain, lalu bertanya kepada burung itu: “Buat apa kau memenatkan dirimu, mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim takkan terpadam dengan air yang kau siramkan itu. Sia-sia saja usahamu itu.”
Burung itu lalu menjawab: “Memang ia tidak akan memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah? Allah tidak akan bertanyaku sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau tidak, tetapi apakah yang aku sudah lakukan untuk memadamkan api itu?”
Subhanallah, burung kecil ini pun faham kepentingan melakukan sesuatu untuk agama.
Dalam konteks pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq, bagaimana pula keadaannya selepas kota Baghdad tumbang?
Di beberapa bandar di selatan Baghdad, rakyat Iraq menunjukkan penentangan yang hebat sehingga pasukan askar penceroboh, yang diketuai oleh Amerika, mengambil masa sehingga tiga minggu untuk menawannya. Masyarakat seluruh dunia begitu kagum dengan kekuatan semangat dan kepahlawanan rakyat Iraq itu.
Tiba-tiba, seluruh dunia terkejut apabila Baghdad jatuh ke tangan askar penceroboh dalam masa yang begitu singkat, hanya kira-kira lebih dua jam, selepas selesai pertempuran.
Kota Baghdad jatuh dengan mudah. Umat Islam di seluruh dunia terpinga-pinga. Hati kita pedih bagai dihiris sembilu dengan jatuhnya Baghdad dalam keadaan yang menyayat hati serta memalukan.
Senario kejatuhan memang sudah dijangka. Tentera penceroboh mempunyai segala kelengkapan perang yang moden dan canggih berbanding dengan kelengkapan persenjataan dan logistik peperangan tentera Iraq Selain itu, mereka turut mendapat sokongan puak pembangkang dan pemberontak Kurdish dan Syiah. Puak Kurdish dan Syiah ini beralih untuk memihak kepada penceroboh setelah mereka melihat rejim Saddam Hussein tidak lagi berkuasa.
Mampukah rakyat Iraq, yang sekian lama hidup di bawah regim kuku besi Saddam dan menghadapi kekurangan makanan akibat sekatan ekonomi, melawan penceroboh? Bolehkah rakyat yang tidak diperkasakan selama puluhan tahun, melawan dengan gagah berani? Banyak lagi faktor penuh misteri yang menyebabkan tragedi demikian.
Perkara yang jelas adalah rakyat Iraq menanggung segala musibah dan kemusnahan perang yang mengerikan. Selama puluhan tahun, mereka dinafikan hak asasi demokrasi, selama itu jugalah sumber kekayaan mereka dieksploitasi. Kini mereka dalam bahaya penjajahan Amerika.
Seramai 24 juta penduduk Iraq terdedah kepada ‘pasaran’ besar untuk dieksploitasi oleh syarikat multinasional Amerika. Cara hidup dan masa depan Iraq akan ditentukan oleh penceroboh dan sekutunya.
Dalam perkara ini, kita tidak boleh menganggap isu ini sebagai isu Iraq atau Arab semata-mata. Isu ini adalah isu umat Islam. Mereka adalah saudara kita seagama. Justeru, kita perlu menentukan pendirian.
Kita perlu suarakan hak asasi mereka untuk memerintah negara sendiri. Kita perlu menjunjung kemerdekaan sesuatu bangsa itu, keadilan, patriotisme, nilai keamanan dan kemanusiaan.
Kita perlu membantu rakyat Iraq menumpukan kepada mengumpul kekuatan dengan sokongan umat Islam lain untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman penjajahan. Kita perlu membantu mereka berjuang mempertahankan maruah agama dan tanah air.
Kita perlu sedar bahawa umat yang lemah dalam pelbagai sudut, akan menjadi habuan kepada bangsa yang tamak, gagah dan berteknologi tinggi. Kita perlu menyiapkan diri dengan membina jati diri, ilmu, teknologi dan peka keadaan sekeliling. Kita hendaklah celik terhadap sebarang kepalsuan, pembohongan, ketidakadilan serta pupuk kesedaran beragama di samping meningkatkan ketakwaan.
Kita perlu memerdekakan pemikiran kita. Kita perlu mencukupkan infrastruktur fizikal dan kerohanian, barulah kita memohon pertolongan Allah.
Allah berfirman, yang bermaksud: “Diwajibkan kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal dia amat baik bagimu dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Firman-Nya lagi, yang bermaksud: “Kerana sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kesenangan, selepas kesulitan itu ada kesenangan.” (Surah Alam Nasyrah, ayat 5-6)
Al-Quran memberi beberapa panduan mengenai kejatuhan sesuatu negara dan kebangkitan sesuatu bangsa.
“Yang demikian (seksaan) itu adalah sesunguhnya Allah sesekali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan sesnunguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfaal, ayat 53).
0 Comments:
Post a Comment
<< Home