Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, May 21, 2003

Doa adalah ibadat, senjata orang beriman

21/5/03
Doa adalah ibadat, senjata orang beriman
Oleh Karimah Abdullah


DOA ialah senjata orang beriman. Rasulullah saw melalui sunnah
Baginda mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa dalam setiap amalan
dan urusan yang dilakukan.

Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa berdoa kepada Allah.
Firman Allah, yang bermaksud : "Mintalah (berdoalah) kepadaku,
nescaya akan Kuperkenankan." (Surah Al-Mukminun, ayat 60).

Doa juga satu bentuk ibadat. Sebaik-baik doa ialah yang diamalkan
oleh Rasulullah (doa ma'thur). Rasulullah adalah teladan terbaik
kepada umat manusia yang sentiasa berdoa dalam melakukan setiap
urusan Baginda. Beginilah juga yang sepatutnya dilakukan oleh kita
selaku umatnya, supaya kehidupan seharian menjadi ibadat dan
mendapat keberkatan Allah.

Kenapa kita dituntut supaya berdoa? Dalam menjalani kehidupan
seharian, tentu kita akan berhadapan dengan pelbagai cubaan,
tekanan, masalah dan sebagainya, yang semuanya adalah ujian daripada
Allah.

Hati manusia sering lalai dan tertipu dengan godaan syaitan dan hawa
nafsunya. Sebab itu, Islam mengajar kita supaya sentiasa mendekatkan
diri kepada Allah dan berdoa kepada-Nya. Berdoa adalah salah satu
jalan untuk seseorang hamba itu terasa dekat dengan Penciptanya.

Jika kita meneliti kehidupan Rasulullah, Baginda memulakan setiap
hari dengan berdoa kepada Allah. Untuk masuk ke tandas, ada doa
Baginda, yang diajarkan kepada kita, yang bermaksud : "Ya Allah! Aku
berlindung dengan Mu daripada kejahatan (syaitan) dan ahli-ahlinya."

Pengajaran yang dapat diambil daripada perkara ini, walaupun
Rasulullah dijamin oleh Allah daripada kejahatan syaitan dan hawa
nafsu, namun Baginda masih mengharapkan perlindungan Allah daripada
godaan itu. Bagaimana pula kita yang tiada jaminan selamat daripada
gangguan itu?

Sebenarnya doa juga dapat menjauhkan seseorang itu daripada
melakukan perkara keji dan maksiat. Rasulullah mengajarkan kita doa
sebelum keluar rumah, yang bermaksud : "Dengan nama Allah, aku
bertawakal kepada Allah dan tiada daya dan kekuatan melainkan
(dengan sokongan) Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung." Jika
seseorang membaca doa ini dan menghayatinya, yang mana dalam doa ini
terkandung pengakuannya untuk bertawakal dan berserah diri kepada
Allah, tentu apabila keluar dari rumahnya, dia merasa dirinya dalam
pemerhatian dan kawalan Allah.

Ketika berada di luar rumah, dia tidak akan melakukan perkara keji
seperti melihat perkara haram. Jika dia ke tempat kerja misalnya,
dia tidak akan melakukan perbuatan mungkar seperti pecah amanah,
rasuah, mengumpat, memfitnah dan curi tulang.

Begitu juga, Rasulullah mengajar kita supaya berdoa ketika menaiki
kenderaan. Selain memohon supaya perjalanan selamat, doa itu,
apabila dibaca, memberikan kita perasaan dekat dengan Allah yang
mempermudahkan urusan kita dengan kenderaan itu. Oleh itu,
sepatutnya kita tidak memandu kenderaan itu ke tempat maksiat kerana
kita tahu kita sentiasa berada dalam pemantauan Allah, walau di mana
saja berada.

Selain itu, doa memberi pengaruh dalam hubungan kemasyarakatan. Kita
digalakkan supaya banyakkan berdoa untuk sahabat dan saudara mara
sempena sesuatu peristiwa. Contohnya, doa keberkatan untuk saudara
dan sahabat kita yang melangsungkan perkahwinan, baru berpindah
rumah, menyambut kelahiran bayi dan menziarahi mereka yang sakit.

Hikmahnya bukan sekadar dapat mencontohi sunnah, bahkan mengeratkan
ukhuwah sesama kita. Bagi yang mendoakan keberkatan itu, dia berjaya
menghidupkan sunnah Rasulullah dalam dirinya dan sahabat handainya.
Bagi pihak yang didoakan itu pula, dia akan merasakan dirinya
diambil berat oleh saudaranya itu, seterusnya menimbulkan rasa kasih
sayang berpanjangan terhadap orang yang mendoakannya.

Di samping itu, doa melambangkan kesatuan hati di kalangan orang
beriman. Setiap kali selepas menunaikan solat biasakanlah diri
berdoa: "Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua ibu
bapaku dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku
sewaktu kecil, dan ampunilah seluruh Muslimin dan Muslimat, Mukminin
dan Mukminat, yang masih hidup atau yang meninggal dunia di kalangan
mereka."

Oleh itu, dalam keadaan umat Islam menghadapi pelbagai kemelut
sekarang, marilah kita sama-sama menghulurkan doa untuk saudara yang
jauh di Iraq, Palestin, Afghanistan dan tempat lain di dunia ini.
Sesungguhnya doa yang menjadi penghubung hati di antara kita dan
mereka di sana.

Kepada ibu bapa, ajarkan anak membaca doa ketika melakukan setiap
urusan dan didiklah mereka supaya menghayati setiap doa yang
dibacakan. Ini supaya mereka dapat merasai hubungan dengan Allah.
Sebagaimana yang kita ketahui, doa anak salih adalah di antara
bekalan yang kekal untuk ibu bapa ketika menghadap Allah nanti.

Akhirnya, marilah kita menghayati doa ini dan jadikan ia sebagai
amalan harian pagi dan petang, supaya kehidupan sentiasa di atas
landasan benar di sepanjang kehidupan ini.

Daripada Ubai Bin Kaab Radhiallahu Anhu, katanya, Rasulullah
mengajar kami ketika berada pada waktu pagi supaya berdoa, yang
bermaksud : "Kami hayati (suasana) pagi ini atas landasan fitrah dan
perwatakan Islam. Berpegang kepada kalimah ikhlas (dan prinsip
keikhlasan). Berpegang kepada Din (agama) Nabi kami Muhammad agama
yang juga agama ayah kami Ibrahim dengan setulus hati. Dan Nabi
Ibrahim sama sekali bukan seorang musyrik."

Doa yang sama dibaca juga pada waktu petang.



l PENULIS adalah seorang pensyarah institut pengajian tinggi Islam
dan beliau boleh dihubungi melalui emel wadah_wjy2k@y...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home