Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, July 16, 2003

Fungsi wanita bukan sekadar seorang isteri, ibu

16/7/03
Fungsi wanita bukan sekadar seorang isteri, ibu
Oleh Sumilah Marto

WANITA kerap dikaitkan dengan pelbagai peranan penting dalam menjamin keharmonian rumah tangga, masyarakat dan negara. Namun, hakikatnya, sama ada kita sedar atau tidak, peranan yang dikhususkan kepada wanita itu diselewengkan sehingga menimbulkan pelbagai kesan buruk.

Ini terbukti dengan bertambahnya jumlah wanita yang rosak akhlak, kadar kes perceraian, serta berleluasanya perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anak muda akibat daripada salah asuhan atau pengaruh persekitaran. Fenomena ini sewajarnya dipandang serius kerana keutuhan masyarakat pada masa akan datang banyak bergantung kepada sejauh mana wanita menangani permasalahan ini secara bijaksana.

Peranan utama wanita

Firman Allah bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Adz-Dzaariyat, ayat 56).

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa peranan atau tanggungjawab utama wanita adalah sama dengan lelaki iaitu mengabdikan diri kepada Allah. Adalah menjadi kewajipan wanita Muslim untuk berusaha sebaik mungkin agar dapat menjadi seorang insan yang tunduk dan patuh kepada-Nya, semata-mata dengan melaksanakan segala perintah Allah dan rasul-Nya. Mereka juga hendaklah menjauhi segala perkara yang ditegah.

Kekuatan iman yang jitu adalah aset terpenting bagi seorang wanita agar menjadi benteng bagi mengharungi sebarang bentuk cabaran.

Wanita dan keluarga/rumah tangga

Peranan wanita dalam keluarga atau rumah tangga adalah amanah yang diperintahkan oleh Allah, sebagaimana firman-Nya, yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 58)

Dalam sesebuah rumah tangga, dua peranan utama yang sewajarnya dimainkan oleh seseorang wanita iaitu sebagai isteri dan ibu. Seorang isteri sentiasa mendampingi suaminya sama ada dalam keadaan susah atau senang. Ibu pula terbabit secara langsung dalam memberi pendidikan kepada anak-anak serta menjaga hal ehwal rumah tangga dengan bantuan suami.

Wanita dan kerjaya

Islam membenarkan wanita keluar bekerja berdasarkan kepada keperluan seperti ketika ketiadaan suami, ketidakupayaan suami atau bekerja dalam jawatan yang memerlukan khidmat wanita seperti doktor, tenaga pengajar kepada kaum wanita serta bidang lain yang bersesuaian.

Bagaimanapun menurut Islam, keharusan wanita untuk keluar bekerja mestilah mengikut batas syarak iaitu:

Kerja itu mesti bersesuaian dengan sifat kewanitaan.

Kerja itu tidak menjejaskan peranannya sebagai isteri dan ibu

Bertujuan murni sama ada untuk membantu keluarga atau menyampaikan kesedaran Islam kepada wanita lain

Sentiasa memelihara kehendak syarak seperti menutup aurat.

Sentiasa menjaga tata susila dan terhindar daripada berlakunya pergaulan bebas dengan lelaki.

Mendapat restu daripada penjaga, bapa atau suami.

Mengelak daripada melakukan perkara yang boleh membawa fitnah sama ada dari segi tindakan, cara berpakaian atau mengenakan perhiasan.

Apa yang pasti dengan keluarnya wanita bekerja tidak akan mengubah atau mengabaikan tanggungjawabnya utama sebagai serikandi dan bidadari dalam rumah tangga.

Wanita dan tanggungjawab sosial

Apabila memperkatakan peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara, sejarah membuktikan bahawa sejak zaman Rasulullah, wanita secara aktif memainkan peranan mengikut batas ditetapkan. Misalnya, wanita bersama-sama lelaki mempelajari ilmu dan petunjuk Islam. Ada di antara mereka meriwayatkan hadis, bahkan Saidatina Aishah menunjukkan ketokohannya sebagai seorang yang mencapai kedudukan ilmu tinggi, sehingga sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Osman bertanya kepadanya mengenai ilmu faraid.

Wanita juga berperanan sama dengan lelaki dalam usaha membendung keburukan yang berlaku dalam masyarakat kerana ini adalah tanggungjawab setiap Islam.

Firman Allah bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 110).

Kepincangan dan kebejatan, terutama di kalangan muda-mudi hari ini sewajarnya menarik perhatian wanita untuk sama-sama berganding bahu mencari penawar paling mujarab.

Tugas ini berat dan memerlukan kesabaran, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak.

Menangani peranan wanita secara bijaksana

Keadaan semasa secara tidak langsung memaksa wanita memainkan peranan seimbang di antara alam rumah tangga dan dunia masyarakat luar. Hal ini sebenarnya cabaran besar kepada wanita dan meletakkan wanita di persimpangan.

Persoalannya ialah sejauh mana seseorang wanita itu mampu melaksanakan semua tanggungjawab di atas serentak atau wajarkah mereka mengabaikan salah satu daripadanya? Jawapannya, pasti terletak di tangan wanita.

Sesungguhnya wanita sentiasa memerlukan bantuan dan sokongan daripada semua pihak agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Perkara berikut adalah di antara panduan yang boleh digunakan oleh wanita untuk membantu mereka menjalankan tanggungjawab itu:

Sentiasa memantapkan keimanan kepada Allah dan meyakini akan pertolongan-Nya. Keimanan mendalam akan dapat melahirkan wanita yang yakin pada dirinya sendiri dan mampu meneroka segala potensi anugerah Allah.

Melengkapkan diri dengan tiga ciri utama.

Ilmiah iaitu mengetahui sebanyak mungkin ilmu agama dan ilmu lain, termasuk hak sebagai wanita menurut perspektif Islam.

Siasah iaitu cuba memahami perkembangan politik tempatan dan antarabangsa untuk meluaskan fikiran dan pandangan sebagai seorang wanita yang peka kepada isu semasa.

Amaliyyah iaitu mengamalkan apa yang dipelajari dan difahami secara ilmiah.

Mendapatkan sokongan dan pengiktirafan dari orang yang paling hampir sama ada suami, ibu bapa atau keluarga. Sokongan dan kebersamaan mereka ini menjadi penggerak utama kepada tugas seorang wanita.

Mempelajari secara bersungguh-sungguh bagaimana untuk menguruskan masa dengan lebih sistematik.

Perlu ada perancangan kerja dan melaksanakan kerja mengikut susunan keutamaan.

Sentiasa menjalin hubungan yang baik dengan keluarga mentua seperti menjaga hubungan baik dengan keluarganya sendiri.

Sentiasa menilai perlakuan diri sendiri atau memuhasabah untuk mengukur sejauh mana baik buruknya sesuatu tindakan atau perkara yang dilakukan.

Sentiasa beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah di atas kesilapan yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.

Berlapang dada di atas teguran-teguran membina yang diberi oleh sesiapa saja untuk memperbaiki diri.

Melakukan kerja kebajikan umum secara amal supaya pelaksanaannya menjadi lebih mudah dan tersusun.

Berbahagialah wanita yang dapat menjalankan tugas di atas dan memainkan peranannya sebagai seorang wanita cemerlang mengikut kaca mata Islam. Yakinlah dengan janji Allah sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97).

PENULIS adalah pensyarah maktab perguruan dan boleh dihubungi melalui e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home