Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Thursday, September 25, 2003

Lapan pertimbangan atasi disiplin remaja

LAPAN PERTIMBANGAN ATASI DISIPLIN REMAJA

Sambungan dari salah pilih rakan , jurang generasi punca remaja liar, 24.9.2003

Pendidikan disiplin, khususnya dalam memberi hukuman secara fizikal, menimbulkan pelbagai pengaruh negatif kepada remaja. Pendidikan disiplin seperti itu menyebabkan remaja menjadi penakut, tidak ramah serta membenci orang yang memberi hukuman. Mereka juga kehilangan inisiatif dan akhirnya mencari alasan untuk melepaskan diri. Salah laku remaja boleh ditangani, tetapi perlu mengambil kira lapan aspek berikut:
· Keluarga
Keluarga adalah tempat pertama dan paling utama bagi anak dalam mendapatkan pendidikan. Kepuasan hubungan kekeluargaan anak dalam keluarga akan menentukan bagaimana dia akan bertindak balas terhadap lingkungan. Anak yang dibesarkan dalam keluarga tidak harmonis, sukar mengembangkan ketrampilan sosialnya. Ini dapat dilihat daripada kurang saling pengertian serta kurang mampu menyesuaikan diri dengan kehendak ibu bapa dan adik-beradik, kurang berkomunikasi secara sihat, kurang mengurus diri, kurang memberi dan menerima sesama adik-beradik serta dalam mengadakan kerjasama dan hubungan baik.
Sangat penting bagi ibu bapa menjaga hubungan sesama ahli keluarga agar selalu harmonis. Keharmonian tidak semestinya dikaitkan dengan keutuhan hubungan ibu bapa kerana dalam banyak kes, ibu bapa tunggal terbukti dapat berfungsi lebih baik dalam membantu perkembangan psikososial anak.
· Lingkungan atau kelompok
Anak harus diperkenalkan dengan lingkungan mereka sejak kecil. Ia merangkumi lingkungan fizikal (rumah dan perkarangan), sosial (tetangga), keluarga (keluarga primer dan sekunder), sekolah dan akhirnya masyarakat. Dengan pengenalan itu, anak mengetahui bahawa dia memiliki lingkungan sosial yang luas, tidak hanya ibu bapa tua, adik-beradik atau datuk dan nenek.
· Keperibadian
Penampilan lazimnya sering dikaitkan dengan manifestasi daripada keperibadian seseorang. Namun, dalam keadaan tertentu, apa yang lahiriah tidak selalu menggambarkan keperibadian sebenarnya.
Dalam hal ini, penting bagi remaja untuk tidak menilai seseorang berdasarkan penampilan semata-mata, sehingga orang yang memiliki penampilan tidak menarik, sering disisihkan. Di sini, penting bagi ibu bapa menanam dalam diri anak-anak mereka keutamaan menghargai bakat dan keunikan orang lain, tanpa menilai rupa diri, penampilan lahiriah dan keturunan.
· Rekreasi
Rekreasi adalah satu keperluan. Dengan rekreasi seseorang akan mendapat kesegaran fizikal atau spiritual, sehingga terlepas daripada rasa bosan untuk mendapat semangat baru.
· Pergaulan dengan rakan bukan sejenis
Bagi membolehkan anak berjaya menjalankan peranan sebagai ibu bapa selepas mereka dewasa, adalah penting sejak kecil mereka tidak dibatasi pergaulannya hanya dengan teman sejenis. Pergaulan dengan rakan bukan sejenis memudahkan mereka mengenalpasti tingkah laku serta peranan seks dalam persiapan berkeluarga. Namun, dalam bergaul dengan rakan bukan sejenis, mereka perlu diberi garis panduan agama dan sentiasa dipantau.
· Pendidikan
Pada dasarnya sekolah adalah institusi mengajar pelbagai ketrampilan kepada anak. Antaranya ketrampilan sosial yang dikaitkan dengan cara belajar cekap dan pelbagai teknik belajar yang sesuai dengan jenis pelajarannya. Dalam hal ini, peranan ibu bapa dalam menjaga agar ketrampilan itu tetap dimiliki anak dan dikembangkan terus-menerus sesuai tahap perkembangannya.
· Rakan sebaya
Ketika remaja, peranan dan pengaruh kelompok rakan sebaya bagi seseorang individu begitu besar. Lazimnya, remaja lebih kerap mementingkan urusan kelompok rakan sebaya berbanding urusan keluarganya.Ini adalah sesuatu yang normal selagi kegiatan itu bertujuan positif dan tidak merugikan orang lain.
Dalam hal ini orang tua perlu memberikan sokongan tetapi pada masa yang sama mereka perlu mengadakan pengawasan agar remaja dapat memiliki pergaulan yang luas dan bermanfaat bagi perkembangan psikososial.
· Kerjaya
Cepat atau lambat, setiap orang pasti akan menghadapi dunia kerjaya. Ketrampilan sosial untuk memilih lapangan kerja sebenarnya mesti disiapkan sejak anak masuk sekolah rendah. Melalui pelbagai pelajaran, mereka perlu mengenal pelbagai lapangan pekerjaan. Selepas masuk sekolah menengah, mereka perlu mendaapt bimbingan kerjaya untuk menentukan kerjaya masa depan.
Untuk membantu pertumbuhan kemampuan penyesuaian diri, anak sejak awak lagi perlu dibimbing untuk memahami dirinya sendiri. Begitu juga kesedaran kendiri (kelebihan dan kekurangannya) agar dia mampu mengendalikan dirinya hingga dapat
beraksi secara wajar dan normal.
Untuk memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan kelompok, tugas ibu bapa dan pendidik adalah membiasakan diri untuk menerima dirinya, menerima orang lain, tahu dan mahu mengakui kesalahannya.
Dengan cara ini, remaja tidak akan terkejut menerima kritikan atau maklum balas, mudah bercampur dalam kelompok dan memiliki kesedaran kendiri yang tinggi sehingga mudah diterima oleh orang lain.
Selain itu, anak harus dibimbing sejak kecil supaya dapat membantu menentukan keutamaan tugas yang harus segera diatasi, bukan menunda atau megalihkan perhatian pada tugas lain. Ini penting agar mereka dapat memilih yang mana penting atau kurang penting melalui pendidikan agama secara berdisiplin, tata tertib dan etika.


Oleh Noraini Shamsudin
Berita Harian, Wadah Wanita Islam, 25 September 2003.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home