Salah pilih rakan, jurang generasi punca remaja liar
24.9.2003
Salah pilih rakan, jurang generasi punca remaja liar
Oleh Norani Shamsudin
IBU bapa dan pendidik semakin buntu memikirkan kenakalan remaja yang
menjadi-jadi hari ini. Mengapa saban hari begitu ramai remaja
terbabit dengan dadah dan seks bebas? Tidak mungkinkah mereka
menurut saja budaya datuk nenek yang menjadi warisan adab dan akhlak
Melayu?
Semakin hari semakin semarak budaya Barat yang diikuti; terkinja-
kinja dengan gaya hip-hop (ranggi) dan sebagainya. Semakin hari,
remaja semakin `jauh’ daripada ibu bapa.
Kenakalan ini biasanya dilakukan oleh remaja yang gagal dalam
menjalani proses perkembangan jiwanya, baik pada saat remaja atau
zaman kanak-kanak.
Julat masa kanak-kanak dan remaja berlangsung begitu singkat
berbanding perkembangan fizikal, psikologi dan emosi yang begitu
cepat.
Secara psikologi, kenakalan remaja wujud daripada konflik yang tidak
diselesaikan dengan baik pada zaman kanak-kanak atau remaja.
Sering kali berlaku pengalaman traumatik pada masa lampaunya seperti
dikasari. Begitu juga, mereka terdedah dengan lingkungan atau trauma
yang tidak menyenangkan seperti kedudukan ekonomi yang membuatnya
berasa rendah diri.
Mengatasi kenakalan remaja bererti menatang kembali emosi remaja
yang terkoyak itu.
Trauma dalam hidupnya harus diselesaikan, konflik psikologi yang
tergantung harus dileraikan. Mereka harus diberi lingkungan yang
berbeza daripada sebelumnya.
Memahami perkembangan anak banyak membantu mengurangkan kenakalan
remaja.
Masa remaja adalah usia seseorang mula berintegrasi dengan orang
dewasa atau usia di mana anak tidak lagi berasa dirinya berada pada
tingkat lebih rendah daripada orang lebih tua, kecuali berada pada
tingkatan sama, yang sekurang-kurangnya dalam masalah hak.
Integrasi dalam masyarakat (dewasa) mempunyai banyak aspek
berhubungan dengan masa baligh. Ini termasuk juga perubahan
intelektual yang menonjol.
Remaja harus mengikuti kemahuan budaya muda apabila mahu diterima
kelompok sebayanya. Mereka juga harus mempelajari perilaku dan nilai
yang harus diubah sebelum diterima oleh budaya dewasa.
Setiap tahap usia remaja mempunyai tugas perkembangan yang harus
dilalui. Apabila seseorang gagal melaksanakan tugas perkembangan
pada usia sebenarnya, perkembangan pada tahap berikutnya akan
terbantut, lalu mencetuskan masalah pada diri remaja.
Pada usia ini, remaja cuba mencari penyesuaian diri dengan kelompok
sebayanya. Dia mula memerhati pendapat orang lain, selain
menginginkan kebebasan dan keyakinan diri.
Keperluan mencari identiti diri inilah membuatkan remaja bercelaru
lalu mereka mencuba perkara baru supaya diterima dan dihargai
kelompok sebayanya. Keadaan ini berlaku walaupun kadangkala ia
memberikan kesan negatif terhadap dirinya.
Dengan timbulnya pelbagai gaya hidup masa kini seperti hip hop,
rappers dan punk, ada remaja salah memilih gaya hidup yang mereka
inginkan. Mereka akan mengikuti aliran yang berlaku pada saat itu,
walaupun ia tidak sesuai dengan kata hati. Mereka mengikuti
kecenderungan itu semata-mata dapat diterima rakan sebayanya.
Akibat gaya hidup salah itu, berlaku banyak salah laku negatif
seperti penagihan dadah, pergaulan bebas, seks rambang dan
sebagainya yang banyak menyebabkan kehamilan luar nikah serta
jangkitan HIV/Aids.
Kenakalan remaja juga membabitkan aksi kekerasan. Aksi kekerasan ini
berlaku di mana saja seperti di rumah, jalan, sekolah, bahkan di
kompleks beli-belah. Aksi agresif membabitkan perlakuan secara lisan
seperti memaki hamun ataupun kekerasan fizikal seperti memukul dan
mencederakan. Oleh kerana aksi keganasan itu sering disaksikan
remaja, kebanyakannya menganggap ia perkara biasa.
Remaja yang terpengaruh dengan aksi kekerasan akan mengalami fikiran
kejam seperti perasaan mahu menyerang ketika marah, menumbuk,
menghancurkan atau melempar sesuatu dan ia menjadi tidak terkawal
serta agresif sebagai tindak balas terhadap marah.
Kekecewaan, kesakitan fizikal, ejekan, penghinaan atau ancaman
sering memancing marah dan akhirnya mengarah tindakan agresif.
Anak sering kali mengejek ketika bermain, begitu juga dengan remaja.
Biasanya mereka mula saling mengejek dengan ringan sebagai bahan
bahan tawa. Kemudian yang diejek ikut membalas ejekan. Lama kelamaan
ejekan semakin panjang dan terus-menerus dengan ketegangan yang kian
tinggi, bahkan sering disertai kata-kata kotor dan cabul.
Ejekan ini semakin hangat apabila rakan yang menjadi penonton, turut
memanaskan situasi. Akhirnya, apabila salah seorang tidak dapat
menahan marahnya, dia mula menyerang lawannya.
Ada beberapa faktor biologi yang mempengaruhi peri laku agresif.
l Faktor genetik berpengaruh dalam pembentukan sistem neural otak
yang mengatur perilaku agresif. Daripada penelitian terhadap haiwan,
faktor keturunan menyebabkan haiwan jantan lebih mudah marah
berbanding betina.
l Sistem otak yang tidak terdedah dalam perlakuan agresif, ternyata
dapat menguat atau menghambat sirkit neural yang boleh mengendalikan
serta mengawal perlakuan agresif sehingga muncul hubungan timbal
balik antara kenikmatan dan kekejaman.
Prescott (Davidoff, 1991) menyatakan orang yang berorientasikan
kenikmatan kurang melakukan agresif sedangkan orang yang tidak
pernah mengalami kesenangan, kegembiraan atau santai, cenderung
untuk melakukan kekejaman.
Keinginan kuat untuk `menghancurkan’ kerana mereka dinafikan untuk
menikmati sesuatu rangsangan `kenikmatan’ ketika bayi, menyebabkan
berlaku `kecederaan otak’.
l Kimia darah
Kimia dalam badan yang ditentukan oleh faktor keturunan juga dapat
mempengaruhi perilaku agresif. Dalam eksperimen suntikan hormon
testosteron terhadap tikus dan beberapa haiwan lain (testosteron
ialah hormon androgen utama yang memberikan ciri kelamin jantan),
didapati tikus itu lebih kuat dan sering berkelahi. Ketika
testosteron dikurangkan, haiwan itu menjadi lebih lembut.
Selain itu, faktor luaran turut mempengaruhi perilaku seseorang.
l Jurang generasi
Adanya perbezaan atau jurang pemisah antara anak dengan ibu bapa
dapat dilihat dalam bentuk hubungan komunikasi yang semakin minimum
dan sering kali tidak berhubungan. Kegagalan komunikasi keibubapaan
terbukti menjadi salah satu penyebab anak mempunyai perilaku agresif.
l Kemiskinan
Kemiskinan yang menghimpit menyebabkan ada kalanya anak meniru `cara
agresif’ ayah seperti memukul isteri, anak dan sebagainya.
l Anonimiti
Kehidupan di kota mencetuskan sikap atau budaya jaga tepi kain
sendiri. Keadaan ini menyebabkan individu lebih berani melakukan
sikap agresif kerana tiada sesiapa berhak menegurnya.
l Model kekerasan
Perilaku anak juga banyak dipengaruhi aksi ganas di televisyen dan
permainan video. Model pahlawan yang dipaparkan dalam filem sering
ditiru atau menjadi imbalan anak selepas watak itu bertindak keras.
Bahan mainan di pusat membeli-belah juga menjadi ikutan anak
bersikap agresif. Ibu bapa lazimnya tidak begitu peduli jenis mainan
yang diminta anak. Kepada ibu bapa, apa yang lebih penting anak
gembira dan tidak menangis lagi. Mereka tidak menyedari permainan
sangat berkesan dalam memperkuat peri laku agresif anak pada masa
akan datang.
Bersambung
PENULIS adalah perunding pendidikan dan motivasi serta boleh
dihubungi melalui wanitajim0-@y...
0 Comments:
Post a Comment
<< Home