Perubahan sikap cara tangani tekanan emosi
10/9/03
Perubahan sikap cara tangani tekanan emosi
Oleh Dr Suriya Osman
APABILA rasa takut, marah, tertekan dan berlaku perubahan emosi secara
tiba-tiba, badan kita mengeluarkan adrenalin. Secara fisiologi kita akan
menunjukkan reaksi dan bersedia untuk melawan atau cabut lari (fight or
flight).
Jantung berdebar kerana kadar kelajuan jantung bertambah, pengaliran
darah ke perut dan otak berkurangan. Pengaliran darah ke otot bertambah!
Jika ada perasaan takut, aliran darah ke kulit berkurangan, muka menjadi
pucat. Jika marah, tekanan darah bertambah, badan menjadi panas dan
pembakaran makanan yang menjana tenaga meningkat (insulin banyak
dikeluarkan untuk memproses gula dalam darah).
Reaksi badan sebegini berpunca daripada tindakan refleks yang wujud
dalam badan manusia sejak azali (ciptaan Allah). Ini adalah satu
mekanisme survival.
Cara manusia menghadapi musuh berbeza menurut zaman dan perkembangan
teknologi. Pada zaman silam manusia menghadapi musuh atau binatang buas
yang menyerang dengan tenaga fizikal.
Kita memerlukan tenaga yang banyak. Demikian juga aliran darah ke otot,
untuk bersedia kalau dilukai atau digigit binatang atau musuh lain.
Darah pada kulit perlu kurang supaya pendarahan tidak kencang dan mudah
berhenti.
Pada masa ini, musuh kita datang dalam pelbagai bentuk. Di antaranya
pengaruh dan kesan buruk komputer dalam kehidupan. Kerja pejabat yang
menimbun, tarikh tamat kerja yang tidak ada hentinya, berkejar-kejar
dengan mesyuarat dan berperang dengan kesesakan lalu lintas. Maka,
reaksi 'fight fright or flight' menjadi suatu liabiliti.
Ini lebih-lebih lagi, apabila keadaan tekanan (stress) berpanjangan dan
adrenalin serta insulin sentiasa dirembeskan. Akibat tindak balas ini
adalah 'penyakit'.
Organ yang sentiasa kekurangan darah akan menjadi lemah dan tidak
keruan. Organ yang mendapat lebih darah pun akan mengalami 'kesesakan'.
Contohnya, perut yang kurang mendapat aliran darah menjejaskan
penghadaman, penyerapan dan perkumuhan (pembuangan toksin).
Apabila keadaan gangguan emosi berterusan, sistem pengeluaran hormon
mula menunjukkan kesan bebanan emosi dan ini menjejaskan fungsi badan.
Tanda bebanan ini menimbulkan gejala seperti keadaan sentiasa letih dan
penat serta cepat marah, gangguan penghadaman, sembelit, terlalu kurus
atau gemuk dan gangguan tidur.
Keadaan ini apabila berlarutan bertahun-tahun lamanya tanpa reda akan
menimbulkan penyakit kronik.
Evolusi penyakit yang disebabkan perubahan emosi boleh difahami dengan
melihat kepada satu contoh penyakit seperti kencing manis.
Tekanan perasaan akan menyebabkan kadar hormon insulin sering meningkat,
sementara gula dalam darah sering rendah. Individu ini akan ketagihan
gula. Ini kerana kadar gula dalam darah kurang disebabkan pengeluaran
insulin berlebihan yang dicetuskan oleh tekanan emosi. Lama kelamaan
organ pengeluaran insulin akan 'kelelahan' (exhaustion) dan pengeluaran
insulin akan berkurangan sehingga tidak dapat menunaikan keperluan
badan. Dengan ini penyakit diabetes bermula.
Perlu dielak pengambilan gula yang mudah serap seperti glukosa dan
sukrosa. Kebanyakan penyakit kronik mempunyai rentetan yang bermula
dengan tekanan yang akhirnya menyebabkan degenerasi organ tertentu dan
seterusnya menghasilkan penyakit.
Soalan sekarang, jika demikian, apa yang boleh dilakukan untuk meredakan
tekanan emosi apabila sentiasa menghadapi keadaan dan keadaan yang
menimbulkan tekanan dalam kehidupan seharian?
Banyak kajian menunjukkan bahawa faktor yang menyebabkan tekanan bagi
seorang mungkin tidak menyebabkan tekanan kepada orang lain.
Jadi faktor yang menyebabkan tekanan, bukan semata-mata kerana keadaan
yang tegang atau sukar, tetapi sikap seseorang itu melihat atau
menanggapi sesuatu keadaan.
Contohnya, Suzana tidak cekap memandu dan tidak suka memandu. Jadi,
apabila tahu perlu bekerja luar, dia mula berasa tertekan. Malam sebelum
perjalanan, dia susah tidur, selera makannya kurang dan kaki tangannya
sejuk.
Lain pula dengan Jo. Jo minat memandu dan menganggap memandu kereta
jarak jauh sebagai sesuatu yang menggembirakan. Maka, apabila diberi
tugas luar, dia tidak mengalami sebarang tekanan. Kerja berat dan susah
bagi Suzana adalah kerja yang menggembirakan dan ringan pula bagi Jo.
Tekanan bukan disebabkan semata-mata keadaan luaran tetapi tindak balas
dari badan sendiri terhadap sesuatu rangsangan. Jadi kita harus meneliti
semula reaksi badan kita ini.
Sebenarnya ada jalan untuk mengubah tindak balas badan iaitu dengan
perubahan sikap yang hanya boleh timbul selepas mengenali diri, reaksi
badan dan mengenal pasti apa yang menyebabkan reaksi tekanan.
Reaksi badan terhadap rangsangan berlaku sejak dari bayi dan berbeza di
antara seorang individu dengan yang lain. Ia bergantung kepada
pengalaman yang dilalui dan tentunya berbeza walaupun dari keluarga yang
sama.
Faktor dalaman yang menjadi reaksi terhadap rangsangan bukan perkara
kecil dan kita boleh faham mengapa ada ayat al-Quran yang berbunyi
"Allah tidak akan mengubah nasib sebuah kaum kecuali mereka mengubah apa
yang ada dalam diri mereka."
Apabila reaksi terhadap rangsangan luaran tidak sesuai (seperti yang
berlaku pada Suzana), maka kita akan kurang berkesan dalam menangani
masalah dan asam garam hidup. Kita mula menyalahkan nasib malang dan
tidak melihat ini sebagai masalah diri yang perlu ditingkatkan. Maka,
rangsangan dan tindak balas yang dilakukan menjadi tidak sesuai.
Apakah strategi yang mudah kita lakukan untuk menangani tekanan.
- Memahami bahawa perubahan sikap adalah perlu.
- Bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan dan reda atas segala
dugaan serta sentiasa melihat kepada kelebihan, jangan memikirkan
kekurangan.
- Mengenali reaksi badan dan memahami ada masanya reaksi badan tidak
sesuai serta berusaha mengubah reaksi badan dengan melakukan teknik
pernafasan melalui latihan jasmani (breathing exercise) dan rohani
melalui tafakur.
- Ada masanya kita tertekan oleh perangai orang lain, dia tidak seperti
yang kita sangka, sebab perangai dan perbuatannya lain daripada hakikat.
Terimalah hakikat dan buangkan pengharapan kita. Terimalah semua manusia
seadanya. Terimalah perbezaan pendapat dengan cara yang baik dan bertata
susila.
- Faham bahawa kita boleh mengubah diri sendiri dan hanya dengan
perubahan diri yang kita dapat menangani emosi dan keadaan apa juga pun.
Kita tidak boleh mengubah diri orang lain.
- Dapatkan kekuatan dan ilham diri dari tafakur, solat dan doa. Belajar
cara yang paling berkesan untuk melakukan segala ibadat ini.
- Belajar untuk bersabar dengan kerenah manusia sebagaimana Rasulullah
bersabar dengan penduduk Taif yang melemparnya dengan batu. Namun,
Baginda berdoa :"Ya Allah, ampunkanlah mereka kerana mereka tidak
ketahui apa yang mereka lakukan."
Selepas mengetahui faktor emosi dalam evolusi penyakit, jelas bahawa
kesihatan kita bergantung kepada suatu perubahan dalam diri untuk
menjadi seorang beriman dan bertakwa serta penuh pergantungan kepada
Allah.
- PENULIS ialah doktor perubatan persendirian dan boleh dihubungi
melalui wanitajim0@yahoo.com
1 Comments:
sy ada hidap hemageoma.jd, ada mslh x utk sy hamil apabila berkahwin kelak
By ika, at 3:18 AM
Post a Comment
<< Home