Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, October 15, 2003

Prihatin perasaan bayi bendung sifat ganas

PRIHATIN PERASAAN BAYI BENDUNG SIFAT GANAS

Fitrahnya, anak yang dilahirkan hingga berusia dua tahun secara amnya tidak boleh bercakap. Kaedah komunikasi yang digunakan olehnya adalah menangis, senyum atau ketawa. Dengan menangis, bayi meluahkan perasaan jika lapar, mahu lampin ditukar atau ingin dibelai. Begitu juga jika gembira, bayi akan tersenyum atau mengekek. Selalunya bayi yang tersenyum dan gembira akan menerima pujian, sebaliknya bayi yang menangis akan mendapat tindak balas kurang positif.
Dari sini selalunya bayi akan menanam kefahaman yang memudaratkan emosinya hingga dewasa, iaitu dia hanya akan diterima dan disayangi apabila dalam keadaan gembira. Kefahaman ini akan meresap dalam jiwanya hingga sampai ke tahap sekolah rendah, terutama pada tahap satu. Pada masa ini, kanak-kanak dijangka tidak menangis lagi. Jika keadaan ini diabaikan, kanak-kanak itu tidak akan dapat meluahkan perasaannya melalui perkataan. Menangis sepatutnya diberikan perhatian positif supaya kanak-kanak berasa perasaannya, sama ada sedih atau gembira, diterima. Jika semua perasaannya tidak boleh diterima, malah menangis pun, kadangkala tidak dipeduli atau dihukum, dia menerima mesej kesedihan dan kemarahan tidak diterima.
Adalah satu perkara mustahil untuk kanak-kanak memahami bahawa luahan perasaannya mungkin diterima jika dia menggunakan perkataan atau kaedah komunikasi yang sesuai pada pandangan orang dewasa. Sebenarnya setiap kanak-kanak mencuba yang terbaik untuk memahami keadaan sekitarnya mengikut kemampuan masing-masing. Perasaan kanak-kanak yang tidak diluahkan pada peringkat awal, tidak akan hilang begitu saja. Tekanan demi tekanan akan terbina selama beberapa tahun hingga kanak-kanak tidak mampu menanggungnya lagi.
Apabila takungan tekanan perasaan ini tidak dapat dibendung lagi, ia akan meletus. Ibu bapa akan terkejut melihat tindakan ‘rebellious’ anak mereka, terutama apabila mereka remaja. Sebenarnya kekecewaan remaja itu, yang dipendam sejak daripada bayi, yang mengarahkan kepada tindakan ganas. Ibu bapa sepatutnya dibimbing untuk memahami betapa kecewanya seorang anak jika tangisannya dianggap tidak wujud. Apa yang paling membimbangkan selalunya remaja mula berasakan ada orang lain yang lebih bersedia untuk mendengar perasaan mereka walaupun orang itu baru dikenali. Mereka berasa lebih selesa untuk meluahkan perasaan kepada orang lain dalam bentuk perkataan atau tangisan.
Dengan kesibukan ibu bapa, remaja akan mula menggantikan tempat itu kepada orang lain sama ada teman sebaya sejenis atau berlainan jenis atau sesiapa saja, termasuk mereka yang mempunyai jarak umur yang besar. Tekanan perasaan ini tidak mengenal jantina, malah ada yang berpendapat kaum wanita lebih mudah tertekan. Jika dilihat penghuni rumah sakit jiwa, pesakit lelaki pun ramai.
Masyarakat juga sering menganggap anak lelaki yang menangis sebagai ‘pondan’, lelaki yang tidak tabah atau lelaki yang emosional. Jika perasaan ini tidak terkawal ia boleh menimbulkan kesan negatif terhadap hubungannya dengan masyarakat. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika beliau berumahtangga dan ditimpa musibah yang menekan perasaannya. Disebabkan keadaannya yang tidak pandai untuk meluahkan perasaannya Melalui perkataan, maka segala rasa marah, sedih, geram, kecewa dan pelbagai lagi akan dipendam.
Dalam keadaan begini, selalunya pasangannya akan mengambil kesempatan ‘membulinya’ dari segi mental dan fizikal. Lazimnya, kaum wanita yang menjadi mangsa walaupun ada juga lelaki yang diperlakukansedemikian oleh wanita. Proses untuk memahami tangisan seseorang individu, bermula daripada bayi hingga dewasa dan tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata. Belajar Melalui pengalaman hidup bersama dan mendalami perasaan mereka boleh membantu membuahkan hasil menguntungkan untuk masa depan anak-anak.
Persoalannya sekarang, adakah kita semua, sama ada sebagai ibu bapa atau pendidik, mampu berbuat demikian kerana ia memerlukan kesabaran tinggi dalam usaha menyelami lubuk hati anak-anak?
Antara cara mudah ialah mengingatkan diri kita bahawa anak-anak perlu didengari walaupun tangisan mereka kadang kala menguji keimanan kita. Apa yang selalu disarankan kepada tenaga pengajar supaya memberi pelukan atau mendukung anak yang menangis, kemudian berkata: “Tidak mengapa menangis, saya berada di sisi kamu.”
Semoga usaha kita yang nampak mudah ini dapat menyelamatkan jiwa anak-anak daripada teris tertekan dan apabila mereka dewasa nanti dapat pula menangani apa jua masalah.


Oleh: Hasmiza Mohd Amin
Berita Harian, Wadah Wanita Islam, 15 Oktober 2003.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home