Kewarasan elak remaja terjebak pergaulan liar
8/10/03:
Kewarasan elak remaja terjebak pergaulan liar
Oleh Roha Hassan
Kes 1 Azirah, 15 tahun, berasal daripada keluarga berpecah belah. Untuk
mengubat kerunsingan hatinya, beliau kerap menghabiskan masa melepak di
kompleks membeli belah bersama rakan-rakannya. Disebabkan pergaulan yang
tiada batasan, ditambah dengan sikap keluarga yang tidak prihatin, beliau
terlanjur dan kini hamil tujuh bulan. Semuanya akibat kurang kasih sayang
dan longgarnya iman.
Kes 2 Khairi baru berusia 18 tahun ketika diperkenalkan oleh abang
angkatnya kepada seorang usahawan wanita berjaya, Puan M. Disebabkan
desakan hidup di ibu kota, penuntut tahun pertama di sebuah universiti itu
sanggup menjadi lelaki simpananatau gigolokepada Puan M. Hasilnya beliau
disalut kemewahan oleh wanita yang sering ditinggalkan suaminya, ahli
perniagaan terkenal.
Kes 3 Lina, seorang gadis pendiam sedang menuntut di tingkatan tiga. Selama
tiga tahun beliau memendam perasaan daripada semua orang terhadap perbuatan
jirannya yang telah beberapa kali memperkosa beliau. Perbuatan itu akhirnya
didedahkan adik jirannya itu yang bersimpati dengan Lina.
Kes di atas adalah antara banyak gejala yang berlaku dalam masyarakat yang
sering kita dengar setiap hari membabitkan remaja. Semua ini merunsingkan
ibu bapa serta masyarakat.
Menyalahkan remaja terhadap kejadian yang berlaku, tidak wajar kerana masih
ramai remaja berfikiran positif, berdikari, berdaya maju dan berwawasan
untuk cemerlang pada masa depan.
Kita perlu memahami situasi remaja hari ini yang berdepan pelbagai ujian
dan godaan dalam era sains teknologi di mana pengaliran maklumat diperoleh
secara meluas, tanpa batasan.
Gaya hidup hari ini juga dipenuhi pelbagai bentuk hiburan yang melalaikan,
bahan tidak bermoral, pil khayal dan dadah boleh diperoleh dengan mudah.
Oleh kerana adanya dugaan dan godaan sebegini, remaja memerlukan ketahanan
serta bimbingan supaya tidak tergelincir atau terjebak dalam perlakuan yang
akan memusnahkan diri mereka.
Antara tips yang boleh dijadikan panduan remaja dalam menghadapi cabaran
hidup dunia hari ini ialah:
Diri Remaja Itu Sendiri
Remaja perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan agama secukupnya bagi
membina ketahanan diri dan iman. Hanya iman yang mantap dapat menolak
sebarang godaan ke jalan yang merosakkan dan memusnahkan diri. Amati
pesanan yang dipetik daripada buku Memahami dan Membimbing Remaja Nakal,
tulisan Hairunnaja Najmuddin: Seorang remaja jika dapat melalui cabaran di
zamannya dengan baik, tenang dan penuh kebaikan, mampu menolak kehendak
nafsu, maka percayalah, dia adalah manusia yang paling berjaya selama
hidupnya. Sekiranya seorang pemuda gagal menggunakan zaman remajanya untuk
mencari kebaikan, rugilah dia dan celakalah hidupnya, esok dan akan datang.
Berfikir secara tenang dan waras
Remaja harus menenangkan jiwanya yang sentiasa memberontak dengan berfikir
secara tenang dan waras. Kajilah baik buruk setiap perbuatan atau tingkah
laku anda. Analisa kebaikan dan keburukan yang akan menimpa diri, keluarga
dan masyarakat di atas setiap perbuatan kita.
Mengelakkan diri daripada pergaulan bebas
Pergaulan bebas adalah bibit-bibit maksiat. Maksiat yang paling buruk kesan
daripada pergaulan bebas ialah zina. Selain dosa besar, zina membawa kepada
pelbagai kemusnahan dan kerosakan seperti lahirnya anak luar nikah dan
pembunuhan bayi yang tidak berdosa. Pergaulan bebas turut mengundang ke
arah seks bebas yang sememangnya tersedia di dalamnya pelbagai keburukan
antaranya merosakkan maruah dan nilai diri remaja terutamanya gadis,
mengundang pelbagai penyakit dari sudut fizikal, minda dan mental dan
meruntuhkan tamadun umat.
Mempunyai identiti sendiri
Setiap remaja harus mampu memiliki identiti diri. Sikap mudah terikut-ikut
atau meniru rentak dan gaya orang lain memudahkan remaja tergelincir dari
landasan agama dan norma murni kehidupan. Dengan memiliki identiti remaja
tidak akan mudah dimamah ujian dan godaan. Setiap manusia dikurniakan Allah
dengan kelebihan dan keistimewaan yang berbeza. Remaja harus mencari dan
memahami kelebihan dan keistimewaan dirinya sendiri seterusnya membina
identitinya sendiri.
Memahami undang-undang dan akta perlindungan untuk remaja
Sekiranya remaja diajak, disuruh, digoda atau diugut untuk melakukan
perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan agama, remaja mestilah
memaklumkan perihal itu kepada ibu bapa, guru ataupun mereka yang boleh
dipercayai. Undang-undang adalah amaran kepada remaja supaya tidak terbabit
dengan perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang.
Beberapa akta perlindungan yang berfaedah untuk membantu diri dan rakan
yang menghadapi masalah:
1. Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 untuk melindungi kanak-kanak di bawah
16 tahun dari segi penderaan, penganiayaan dan pengabaian. Penderaan
termasuk dari segi fizikal, seksual, mental dan emosi. Penganiayaan ialah
membebankan remaja dengan tugas yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka.
2. Akta Perlindungan Wanita Dan Gadis 1973 bagi kes yang terdedah kepada
bahaya pelacuran dan melacur sama ada secara paksa atau sukarela. Jika
didapati bersalah selepas perbicaraan di mahkamah, yang berkenaan akan
dihantar ke Taman Seri Puteri selama 3 tahun.
3. Akta Mahkamah Juvana 1947 untuk kes remaja tidak terkawal. Permohonan
dari dua sumber iaitu; surat permohonan ibu bapa dan kes tangkapan polis.
Terbahagi kepada dua: Mahkamah Tertutup (remaja 10 tahun hingga 18 tahun)
dan Mahkamah Terbuka (remaja 18 tahun hingga 21 tahun)
4. Akta kawalan Tembakau 1993 melarang sama sekali remaja membeli dan
menghisap rokok. Memberikan kesedaran kepada ibu bapa agar tidak menyuruh
remaja membeli rokok untuk mereka. Denda RM5,000 jika didapati bersalah
merokok di tempat yang dilarang merokok.
Tips lain yang diperlukan remaja untuk menolak godaan ialah meningkatkan
kualiti diri melalui peningkatan akademik dan pelbagai ilmu pembinaan diri,
membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti sihat, bijak memilih rakan
sebaya, memahami tugas sebagai pemimpin masyarakat apabila dewasa kelas,
berpendirian teguh, menjadikan ibu bapa, guru dan orang-orang yang lebih
tua dan berpengalaman sebagai sumber rujukan.
Penulis adalah pengerusi kelab remaja dan penolong pengurus latihan dan
sumber manusia dan boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@y...
0 Comments:
Post a Comment
<< Home