Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Tuesday, November 25, 2003

Hari raya adalah hadiah untuk orang yang lulus ujian kem latihan Ramadhan

25.11.2003
HARIRAYA ADALAH HADIAH UNTUK ORANG YANG LULUS UJIAN KEM LATIHAN RAMADHAN
Oleh : Dr.Harlina Halizah Hj Siraj

Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan, ramai yang menarik nafas lega dan gembira menyambut kehadiran satu Syawal. Ramai yang merasa tidak sabar-sabar untuk kembali kepada rutin harian di rumah atau di tempat kerja – tidak lagi perlu bangun awal untuk bersahur, merasa lapar dan dahaga, keletihan dan mengantuk di tempat kerja, bergegas pulang untuk berbuka dan terperangkap dalam kesesakan jalanraya serta menghabiskan sebahagian besar malam di surau untuk solat terawih berjemaah. Tibalah pula waktu untuk bersukaria dan bergembira menyambut kehadiran Syawal yang sering dikaitkan dengan keseronokan `balik kampung’, berkumpul semua adik beradik dan sanak saudara, menjamu selera dengan hidangan juadah istimewa dan berziarah ke rumah jiran tetangga dan sahabat handai.
Semangat menimbulkan serta menzahirkan suasana kegembiraan di Aidilfitri ini sememangnya disarankan oleh Rasullullah SAW. Namun tidak ramai diantara kita yang menghayati apakah sebenarnya asas dan dasar kepada kegembiraaan dan keceriaan tersebut. Pada hakikatnya, hari raya Aidilfitri dirayakan kerana meraikan kejayaan orang yang telah lulus dalam ujian bulan Ramadhan serta mereka yang telah berjaya kembali kepada fitrahnya selepas berjuang mengekang hawa nafsunya. Bulan Ramadhan boleh diibaratkan sebagai satu medan latihan pembangunan insaniah yang melatih manusia melalui latihan-latihan ibadah yang sekiranya dilakukan penuh disiplin, akan mampu mengembalikan manusia kepada fitrah murni sepertimana sewaktu kelahirannya ke dunia. Melalui amalan berpuasa, mujahadatunnafsi (mujahadah membersihkan diri dengan melawan kehendak nafsu dan syaitan), bertadarus Al-Quran, bersolat terawih berjemaah dan bersedekah dan berzakat, manusia dapat mengikis sifat-sifat buruk (mazmumah) untuk digantikan dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah) yang sesuai dengan fitrah insaniah yang murni. Selain daripada itu, bulan Ramadhan boleh diibaratkan sebagai satu madrasah atau kem yang menggilap tiga kekuatan manusia iaitu kekuatan akal, jiwa dan fizikal. Akal ditajamkan melalui tadabbur Al-Quran, di mana kita menghayati setiap ayat yang dibaca serta berusaha beramal dengannya. Jiwa pula dibangunkan dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat serta menahan diri dari menuruti runtunan nafsu dan syahwat. Secara saintifik pula, puasa telah dibuktikan mampu membantu meningkatkan kesihatan fizikal manusia sepertimana yang dikatakan oleh Dr Adolf Meyer dari German, ` “Fasting is the most efficient means of correcting any disease" ( Berpuasa adalah cara paling efektif untuk memperbetulkan sebarang penyakit).
Dengan kejayaan tersebut, orang yang telah `lulus’ dalam ujian Ramadhan ini layak beroleh anugerah dari Allah SWT. Walaupun hadiah dan ganjarannya itu tidak berupa penyampaian segolong sijil atau ijazah dalam satu majlis konvokesyen yang gemilang di pagi Aidilfitri, namun anugerah tersebut tetap tersimpan untuk diserahkan di pentas Hari Akhirat kelak. Di antara janji-janji ganjaran istimewa yang diperuntukkan oleh para `graduan’ yang lulus cemerlang dari madrasah Ramadhan ini dapat disimpulkan dari dua mafhum hadith Rasullullah SAW yang dinyatakan di bawah ini :
`Usahakanlah pada hari raya untuk dapat berzikir dan melakukan amal- amal kebajikan seperti bersolat, memberikan zakat, bertasbih dan bertahlil. Kerana sesungguhnya hari raya ialah hari di mana Allah SWT mengampuni dosa-dosa kamu sekelian dan memperkenankan doamu serta memandang kamu sekelian dengan pandangan rahmat.’
`Apabila tiba saat hari raya, Allah SWT akan mengirimkan para malaikat. Maka turunlah mereka ke bumi pada setiap negara, sambil berseru : `Hai umat Muhammad, keluarlah kamu sekelian menuju Tuhan yang Maha Pemurah.’ Maka apabila mereka keluar menuju tempat sembahyang masing-masing, Allah berfirman :` Saksikanlah, wahai para malaikat-Ku, bahawa sesungguhnya Aku memberikan pahala bagi puasa mereka iaitu keredhaan-Ku dan keampunan-Ku.’
Dapatlah disimpulkan bahawa orang yang berjaya menghadapi ujian dan menjalani latihan di bulan Ramadhan akan dianugerahkan empat ganjaran besar iaitu keampunan terhadap dosa-dosa mereka, doa yang dimakbulkan, mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT. Persoalannya, dapatkah seseorang itu mengetahui dan meneka siapakah di kalangan kita yang telah berjaya dan siapakah pula mereka yang gagal? Hanya Allah SWT sahajalah yang mempunyai sepenuh pengetahuan mengenai urusan tersebut. Walaubagaimanapun, kita boleh melihat tanda-tanda lahiriah bagi orang-orang yang layak menerima anugerah Syawal lantaran kejayaan mereka menempuhi Ramadhan dengan sempurna. Antara tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut :
· Fikiran telah dibersihkan serta dimantapkan oleh Al-Quran dari sebarang khurafat, kepercayaan tahyul, ideologi atau isme-isme bikinan manusia. Fahaman kebendaaan atau materialistik dan sikap mementingkan diri sendiri juga turut terhapus.
· Nafsu syahwat dapat dikawalselia dan dididik agar mudah dan ringan melaksanakan segala perintah Allah dan Rasul-Nya.
· Interaksi sesama manusia dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah seperti sabar, berkasih-sayang, bersopan santun dan pemurah serta pemaaf.
· Daya tahan meningkat dalam menghadapi ujian-ujian getir yang menimpa selepas bulan Ramadhan.
Tanda-tanda ini dapatlah dijadikan kayu ukur serta timbangan untuk kita menilai serta menyuluh ke dalam diri sendiri, sama ada kita berhak bergelar graduan Ramadhan atau sebaliknya gagal sama sekali mendidik jiwa dan menyemai keimanan dalam dada sepanjang tempoh sebulan berpuasa. Bagi sesiapa yang berjaya, dialah yang paling layak untuk merayakan Aidilfitri ini dalam suasana penuh kesyukuran dan keceriaan. Amalan bermaaf-maafan,mengunjungi ibu bapa dan sanak saudara, membuat jamuan serta rumah terbuka bagi meraikan sahabat handai adalah antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran tersebut serta berkongsi kegembiraan. Bagi sesiapa yang gagal pula, sepatutnya mereka merasa malu untuk bergembira di hari raya dan seharusnya lebih banyak menganalisa diri serta berazam untuk cuba memperbaiki diri mereka.
Apa yang membimbangkan hari ini, kekaburan serta kejahilan umat Islam dalam menghayati pengertian sebenar kemenangan yang dirayakan pada satu Syawal itu mengakibatkan ramai diantara kita yang banyak melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya atau tidak bersesuaian dengan prinsip perayaan tersebut. Laungan takbir yang bergema di masjid-masjid di pagi Aidifitri haruslah dihayati penuh kesyukuran dengan semangat yang tinggi , memuji dan memuja Allah yang Maha Agung dan Maha Besar. Sebaliknya, ramai antara kita yang bersedih dan menganggap laungan takbir yang mendayu-dayu itu sebagai nada yang mengingatkan kita dengan orang-orang yang kita kasihi yang telah tiada bersama-sama kita. Tidak salah menangis hiba merindui ibu bapa, suami atau isteri yang telah meninggalkan kita terlebih dahulu di pagi Aidilfitri,namun janganlah sampai perkara itu menjadi agenda utama dalam kita menyambut hari kemenangan tersebut. Pancarkanlah kesyukuran dan kegembiraan serta doa untuk satu sama lain apabila kita bertemu dengan kaum keluarga dan sahabat handai sepanjang perayaan Aidilfitri kali ini. Seperkara lagi yang harus ditekankan adalah mengenai amalan bersukaria dan berpesta yang seringkali diadakan, terutamanya oleh mereka yang sebenarnya menunjukkan ciri-ciri kegagalan dalam ujian berhadapan dengan Ramadhan. Bagi mereka yang masih terus menerus melakukan maksiat dan kemungkaran terhadap Allah SWT dalam bulan Ramadhan , harus diperingatkan agar tidak mencemarkan pula perayaan Syawal yang dikhususkan untuk mereka yang telah bertungkus-lumus mengharungi pahit getir ujian di bulan Ramadhan. Ingatlah mafhum hadith Rasulullah SAW ini :
` Sesungguhnya Iblis akan memekik melolong pada setiap hari raya. Lalu berkumpullah anak-anak buah Iblis mengeruminya dan mereka bertanya; `Wahai tuan kami, apakah yang menyebabkan kemarahanmu ini?’ Iblis menjawab ,` Sesungguhnya Allah SWT benar-benar mengampuni umat Muhammad pada hari ini. Maka wajiblah diatas kamu menyibukkan mereka dengan segala macam kelazatan dan kesenangan nafsu.’
Semoga kita semua beroleh kejayaan dan kemenangan dalam mengharungi ujian di kem latihan Ramadhan yang baru berlalu. Jiwa mukmin akan merintih dan sedih melihat Ramadhan berlalu pergi, sekalipun gembira menyambut kedatangan Syawal yang mulia. Semoga kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang, dalam keadaan penuh bersedia untuk menjalani siri latihan pembangunan insan yang direkacipta oleh Pencipta semesta alam untuk kita semua. Amin wanitajim0@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home