Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, December 03, 2003

Ziarah ibadat pererat hubungan sesama manusia

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

SETIAP kali menjelang Aidilfitri, amalan ziarah -menziarahi diteruskan. Ramai penduduk kota kembali ke kampung halaman. Di samping bercuti, mereka mengukuhkan silaturahim. Ada yang mempamerkan kejayaan dan kemewahan yang diraih di kota, tetapi berapa ramaikah daripada kita yang melakukan ziarah sebagai satu ibadat? ‘Ziarah yang dikira ibadat ialah ziarah yang ‘diniatkan’ kerana Allah dan tidak melampaui batasan yang digariskan Allah dan Rasul. Ia dikaitkan dengan silaturahim dan sangat dianjurkan agama. Ini dapat dilihat daripada pengertian silaturahim. Kerap kali hubungan antara mereka yang berada di kota dengan di kampung menjadi renggang bahkan ada yang terputus disebabkan pelbagai faktor. Ziarah-menziarahi yang bermotifkan silaturahim akan mengeratkan hubungan, iaitu menyambung kembali hubungan yang selama ini terputus dan menghimpunkan yang terlerai. Itulah hakikat silaturahim iaitu menyambungkan yang putus. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak silaturahim (namanya) orang yang membalas kunjungan atau pemberian, tetapi (dinamakan silaturahim adalah) yang menyambung apa-apa yang putus”. (Hadis Riwayat Bukhari). Abul Laits As Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ayyub berkata: "Seorang badwi menghadang Rasulullah dan memegang kendali untanya lalu berkata: "Ya Rasulullah, beritahukan kepadaku apakah yang dapat mendekatkan aku ke syurga dan menjauhkan diriku dari api neraka? Jawab Baginda: "Menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan suatu apa pun dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan menghubungi kerabat”. Abul Laits juga meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Abi Aufa berkata: "Pada suatu waktu petang hari Arafah, kami bersama Rasulullah. Tiba-tiba Baginda bersabda: "Jangan duduk bersama kami siapa yang memutuskan hubungan kekeluargaan, bangunlah dari tengah-tengah kami. Maka seorang yang berada di belakang Baginda bangun dan pergi tetapi tidak lama kemudian, ia kembali di tempat duduknya, maka ditanya Rasulullah: “Mengapakah engkau? tidak ada orang yang bangun kecuali engkau? Jawabnya: "Ya Rasulullah, ketika saya mendengar sabdamu itu, saya terus pergi ke rumah mak saudara saya yang memutuskan hubungan dengan saya. Dia bertanya: “Mengapa kau datang, ganjil sekali kedatanganmu ini? Maka saya beritahukan kepadanya apa yang saya dengar daripadamu, maka dia membaca istighfar untukku dan aku juga membaca istighfar untuknya. Rasulullah bersabda: "Bagus engkau, duduklah sekarang sebab rahmat tidak akan turun pada suatu kaum jika ada di antara mereka seorang yang memutuskan hubungan kekeluargaan". Abul Laits menjelaskan bahawa hadis ini sebagai dalil bahawa memutuskan hubungan kekeluargaan adalah dosa besar dan menjadi sebab tertolaknya rahmat baginya serta bagi sahabat yang duduk bersamanya. Ini kerana kewajipan kita sebagai Muslim seharusnya bertaubat daripada memutuskan hubungan kekeluargaan dan hendaklah segera beristighfar serta segera menghubungi keluarga untuk mencari rahmat Allah dan menjauhkan diri dari api neraka. Itulah kemuncak silaturahim yang dapat diwujudkan oleh mereka yang menziarahi kaum kerabat, tidak kira di kota atau desa. Masing-masing berusaha ingat-mengingati, siapakah yang pernah terluka angkara perbuatannya atau selama ini jarang dikunjungi sebab terlalu sibuk. Justeru, ziarah dan kunjungan seperti ini dinamakan menyambung kembali yang putus dan menghangatkan bahkan mencairkan yang beku. Adalah baik jika ketika berkunjung, kita membawa sesuatu sebagai hadiah tanda ingatan kerana ia bukti paling kukuh kasih sayang dan pemberian. Tidak ada salahnya seorang yang berziarah menampakkan kejayaan yang diraih selama ini asalkan tidak mengandungi unsur riak, sengaja menunjuk-nunjuk, berbangga dan boros. Apalagi jika perbuatan itu menimbulkan cemburu masyarakat sekeliling. Menampakkan kejayaan adalah salah satu cara mensyukuri nikmat Allah, seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Allah suka melihat nikmatnya (ditampakkan) oleh hamba-Nya”. Allah berfirman bermaksud: ”Ada pun nikmat Tuhanmu maka ucapkan (sampaikanlah)”. (Surah Ad-Dhuha, ayat 11). Sebahagian ahli tafsir menjelaskan ayat itu sebagai perintah menyampaikan kepada orang lain dalam bentuk ucapan atau sikap betapa besar nikmat Allah. Menziarahi adalah hari gembira yang berganda kerana berhari raya dan bertemu kaum kerabat serta sahabat handai. Kesimpulannya, silaturahim mengandungi 10 kebaikan iaitu mendapat keredaan Allah. Al-Hasan berkata: "Rasulullah pernah bersabda: "Dua langkah manusia yang disukai Allah ialah langkah menuju sembahyang fardu dan langkah menuju silaturahim kepada kerabat yang mahram”. Kedua ialah menambah atau memanjangkan umur dan ketiga ialah menggembirakan mereka kerana ada hadis yang menyatakan bahawa amal yang paling utama ialah menyenangkan hati orang mukmin. Kebaikan lain ialah kegembiraan malaikat kerana malaikat sukakan silaturahim dan mendapat pujian (ucapan terima kasih bercampur doa) daripada kaum muslimin dan menjadikan berkat kepada rezekinya. Ibn Umar berkata: "Siapa yang bertakwa kepada Tuhan dan menghubungi keluarganya maka akan ditambah umurnya dan diperbanyak harta kekayaannya serta disayang oleh keluarganya". Kebaikan lain ialah mensejahterakan orang yang sudah mati kerana anak cucu mereka menyambung silaturahim di samping memupuk rasa cinta di kalangan keluarga sehingga suka membantu apabila diperlukan. Abul Laits berkata: "Jika seorang itu dekat dengan kerabatnya, maka hubungan kerabat itu berupa hidayah dan ziarah, jika tidak dapat membantu dengan harta, maka cukup dengan tenaga, jika jauh maka hubungi mereka dengan surat serta jika dapat mendatangi, maka itu lebih utama”. Kebaikan lain ialah bertambah pahala jika ia mati kerana selalu diingati orang dan sentiasa disebut kebaikannya dan mendoakannya. Anas berkata: "Tiga macam orang yang akan berada di bawah naungan Allah pada hari kiamat iaitu: Orang yang menyambung hubungan kekeluargaan diberkati umurnya dan dilapangkan kuburnya serta rezekinya. Wanita yang ditinggal mati oleh suaminya dan ditinggalkan anak yatim lalu dipeliharanya sehingga kaya mereka atau mati. Orang yang membuat makanan lalu mengundang anak-anak yatim dan orang-orang miskin”. Akhir sekali, berziarah menjengkelkan iblis. Semoga kita dapat mengambil hikmah dan pahala (selepas membetulkan niat) daripada silaturahim yang dilakukan sepanjang cuti hari raya yang lalu dan hari akan datang. – wanitajim0@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home