Manusia sombong lebih mudah disesatkan syaitan
17/3/04
Oleh Khadijah Ghazali
BANYAK peristiwa yang dialami, banyak jalanan yang dilalui, menjadikan manusia sering lupa diri, alpa dan tenggelam dalam kehidupan. Banyak nikmat yang dikecapi, banyak kejayaan yang dijulang, membuatkan manusia berasa diri hebat, berada di kemuncak, menyebabkan wujud rasa sombong dan angkuh dalam diri.
Imam Al-Ghazali mengemukakan panduan supaya kita tidak bersifat sombong dan angkuh. ·
Jika berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita. Ini kerana kanak-kanak belum banyak melakukan dosa daripada kita.
Mungkin susah bagi sesetengah orang untuk mengangkat darjat ke atas orang yang berada di bawah kedudukannya, apa tah lagi mereka adalah kanak-kanak. Tetapi kalau diamati saranan Imam Ghazali ini, kita dapat rasakan betapa Islam begitu suci dan tinggi nilai peradabannya. Begitu halus dan seninya erti rendah diri yang dianjurkan.
Andai kata kita dapat melaksanakan sikap ini, betapa kita menjadi orang yang tinggi pekerti di sisi Allah. Ini kerana kita meletakkan perbandingan dosa antara kita dengan kanak-kanak yang sudah pastilah amat ketara nisbahnya. Sikap inilah yang akan membentuk keinsafan serta membulatkan tekad untuk mengurangkan perlakuan dosa.
Apabila bertemu orang tua, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka sudah lama beribadat.
Kebiasaan kita memang menghormati yang lebih tua. Tetapi, berapa ramai yang sanggup menganggap golongan ini lebih mulia, melainkan ditanam dalam diri sikap yang dianjurkan oleh Imam Ghazali ini. Menghormati orang yang lebih tua dengan andaian bahawa mereka sudah lama beribadat, menjadikan kita lebih bermotivasi dalam meningkatkan amalan yang kononnya lebih muda ini dapat mengatasinya dari sudut kuantiti dan kualiti.
Jika berjumpa orang alim, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang mereka pelajari dan ketahui.
Menjadi lumrah kita menghormati orang alim. Bukan sekadar menghormati, malah dijadikan idola dan teladan untuk ikutan. Islam menganjurkan penghormatan ke atas orang alim bertepatan dengan kemuliaan ilmu serta amalan mereka. Wajarlah kita memuliakan mereka dengan menganggap bahawa memang benarlah mereka banyak mempelajari dan banyak mengetahui ilmu.
Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui.
Subhanallah. Agungnya agama Allah! Kanak-kanak dimuliakan kerana kurangnya dosa, yang tua dimuliakan kerana banyak amalan dan orang alim dimuliakan kerana banyaknya ilmu serta amalan, si jahil juga perlu dimuliakan. Ini dengan beranggapan bahawa perlakuan dosa mereka adalah dalam kejahilan, berbanding kita yang masih sering melakukan dosa walaupun jelas dan akui ia adalah perlakuan dosa.
Maha suci Allah! Sucinya nilai diri seseorang yang berjaya memuliakan orang jahil dengan menilaikan diri sendiri lebih berdosa kerana kelalaian dan kealpaan.
Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.
Orang jahil dimuliakan kerana masih dalam keadaan jahil, yakni tanpa sedar melakukan dosa, tanpa mengetahui ia berdosa, kini orang jahat juga perlu dianggap mulia. Bukan kerana kejahatannya, tetapi kerana kemungkinan pada masa akan datang mereka akan insaf.
Bagi mendidik diri agar tidak memuliakan diri sendiri berbanding kejahatan orang lain, inilah sikap yang dianjurkan oleh Islam. Kita mendoakan agar si jahat akan insaf dan akhirnya dipandang lebih mulia kerana tidak lagi berada dalam kejahatan. · Apabila bertemu orang kafir, katakan dalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan memeluk Islam. Maka, segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah.
Doa adalah cara untuk menghindarkan sifat tinggi diri dan sombong. Ini kerana dengan mendoakan orang kafir akan mendidik diri untuk menghormati semua golongan. Kalau kebiasaannya doa hanya dipanjatkan untuk sesama saudara seIslam, tetapi dengan mendoakan golongan kafir akan membentuk satu sifat rendah diri terhadap kekuasaan Allah dalam menentukan hidayah dan pengampunan ke atas semua makhluk-Nya.
Banyak sebab manusia memiliki sifat sombong, kadang kala tanpa sedar, tetapi selalunya dalam sedar. Manusia akan menjadi sombong dengan kelebihan diri, kononnya lebih cantik, hebat dan baik daripada orang lain. Manusia selalunya menjadi angkuh dengan kemampuan yang dimiliki. Tetapi jika difikir, direnung dan diamati sedalam-dalamnya, apa saja yang dibanggakan dan diagung-agungkan dalam diri, semuanya adalah pemberian Allah. Cantiknya kita siapa yang beri dan hebatnya kita dengan izin siapa, tiada satu pun milik mutlak. Hatta, diri manusia sendiri adalah kepunyaan Allah. Oleh itu, hayatilah panduan Imam Ghazali sebagai penggerak jati diri dalam membentuk sifat mulia sebagai manusia Muslim.
Hindari sifat terkutuk, sombong dan angkuh kerana sesungguhnya orang yang sombong itu adalah manusia yang bodoh terhadap diri sendiri. Ini kerana sikap ini akan menjauhkan mereka daripada Allah yang maha memiliki segala sesuatu yang dimiliki mereka. Sekali pandang, sekadar bacaan, mungkin nampak serba ringkas dan ringan, tetapi jika diamati hakikatnya, amat berat untuk kita pikul dan amalkan. Jika sekadar menghormati dan memuliakan daripada gambaran luaran, memang mampu dilakunkan. Kita mampu menghormati yang tua dan orang alim. Malah, kita juga mampu menganggap golongan kanak-kanak lebih baik daripada kita kerana mengetahui akan kurangnya dosa mereka. Tetapi, hakikatnya mampukah kita memuliakan orang yang ketara jahat dengan beranggapan bahawa dia akan insaf? Mampukah kita mengakui orang jahil itu mulia kerana melakukan dosa dalam kejahilan serta mampukah juga kita mendoakan orang kafir dengan harapan mereka akan diberi hidayah dan diampuni?
Semuanya berbalik kepada iman yang ditanam dalam diri. Jika iman kita kukuh dunia akhirat, maka dunia dan akhirat bakal milik kita. Tetapi, jika iman kita hanya iman di dunia, maka dunia sandaran kita. Sombong dan angkuh adalah sifat yang menyebabkan syaitan yang asalnya makhluk mulia tersingkir dari syurga Allah. Sifat ini juga satu daripada laluan syaitan untuk memasuki dan menakluki manusia agar jauh daripada syurga Allah. Kesombongan akan menjadikan manusia jauh daripada masyarakat. Islam mendidik agar sifat ini dihindari supaya manusia dapat hidup dalam harmoni, penuh nilai hidup suci dan bersih lahir batin. Semoga Islam berkembang dengan terdidiknya hati manusia yang sudi membetulkan diri ke arah pembentukan Muslim sejati.
PENULIS boleh dihubungi melalui khidmat e-mel wanitajim0@yahoo.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home