Ibu bapa contoh disiplin bagi anak
21/4/04
Oleh Wan Nadiah Wan Abdullah
Sambungan minggu lalu
SESEORANG pendidik perlu ikhlas, bertakwa, berilmu, bertanggungjawab dan suka memaafkan sebagai prasyarat untuk menerapkan disiplin yang berkesan kepada pelajar. Hubungan baik dan keakraban adalah asas untuk disiplin yang berkesan. Sayangnya, perkara ini sering dilupa dan diabaikan. Pendidik hanya tahu mengeluarkan arahan tanpa cuba menjalin hubungan kerana mereka berasa anak mesti mematuhi ibu bapa atau murid mesti mematuhi guru.
Dari segi praktik, ibu bapa beruntung kerana anak mereka mengambil masa lebih kurang setahun untuk merangkak dan berjalan. Ini memberi masa kepada mereka untuk menjalin hubungan itu ketika anak masih bayi. Setiap kali anak itu menyusu, memeluk dan dimandikan, ibu bapa adalah orang yang paling besar dalam hidup anak serta amat disayanginya. Apabila kita mengajar mereka untuk berkelakuan baik, anak akan mengikut.
Justeru, penting sekali untuk ibu bapa meluangkan masa dengan anak, melakukan sesuatu bersama, sama ada bersiar-siar, bermain, menonton televisyen atau membantu di dapur, bergantung kepada umur anak dan keadaan. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abus-Syaikh bermaksud:
“Moga-moga Allah merahmati ayah yang membantu anaknya untuk mentaatinya”.
Contoh praktik yang boleh disingkap daripada kitab al Ishabah yang menceritakan bagaimana Rasulullah ketika bermain-main dengan cucu Baginda, merangkak atas kedua-dua tangan dan lututnya lalu mereka bergantung dari tepinya dan Baginda mengangkat kedua-duanya.
Perkara itu juga ditekankan oleh Dr Covey dalam bukunya yang bertajuk Tujuh Tabiat Keluarga yang Sangat Berkesan (Seven habits of Highly Effective Families). Dalam buku itu, antara empat fungsi penting untuk ibu bapa sebagai ketua keluarga ialah mengatur keluarga masing-masing supaya mencapai matlamat. Covey menyarankan perkara itu dapat diwujudkan dengan mengadakan masa untuk keluarga, makan bersama, berkelah, bercuti dan keluar. Tanpa penyusunan ini, ahli keluarga mungkin seperti kapal yang melintasi lautan pada malam hari, masing-masing dengan hal dan urusan sendiri. Cuba kita lihat bagaimana hubungan mempengaruhi pengajaran.
Bayangkan dua budak melakukan kesalahan yang sama dan bapa mereka membetulkannya dengan cara yang sama. Bapa Ahmad memberi masa, kasih sayang dan perhatian kepada anaknya hingga anaknya suka, percaya dan menghormatinya. Apakah kesan pembetulan itu? Ahmad rasa bersalah kerana melakukan apa yang membuatkan bapanya marah.
Sebaliknya bapa Ali jarang memberi masa untuk membina hubungan yang baik dengan anaknya. Masa yang diberi hanya untuk membetulkan kelakuan Ali. Justeru, pembetulan kali ini membuatkan Ali marah kerana setiap kali interaksi dengan bapanya berlaku, ia tidak menyenangkan. Ramai ibu bapa walaupun mengambil tanggungjawab mendidik anak tidak dapat mengajar melalui contoh. Ini menyebabkan anak membentuk diri mereka berdasarkan tindak balas mereka kepada kita, lebih banyak dia di samping kita lebih banyak dia mencontohi kita dan sebaliknya.
Satu kajian di Sweden pada 1973 yang dijalankan oleh ahli psikologi terkenal, Dr Bettelheim menunjukkan bahawa orang dewasa yang ingin menghidupkan nilai murni tidak perlu menyogok nilai berkenaan kepada anak mereka. Menurutnya, kerajaan Sweden pada awal 70-an berasa bimbang kerana penyalahgunaan dadah, alkohol, hooliganisme dan jenayah meningkat di kalangan anak muda mereka walaupun ada usaha menanganinya dijalankan oleh kerajaan.
Satu kajian dilakukan ke atas anak muda yang berdisiplin dan mereka yang bermasalah (delinquent). Kajian menunjukkan latar belakang kewangan atau sosial bukan faktor penting yang mempengaruhi kelakuan. Apa yang penting adalah keadaan rumah mereka. Ibu bapa yang berjaya membesarkan anak yang berdisiplin terdiri daripada mereka yang bertanggungjawab dan berdisiplin. Mereka menjadi contoh yang hidup kepada anak mereka. Kajian itu juga mendapati anak bermasalah tidak semestinya datang dari rumah yang kelihatan tidak berdisiplin, tetapi daripada ibu bapa yang biasanya tidak konsisten dan mereka tidak hidup mengikut nilai yang cuba mereka ajar. Justeru, dapat disimpulkan bahawa penerapan disiplin dalam diri anak adalah usaha yang berterusan dan memerlukan kasih sayang, komitmen dan contoh daripada ibu bapa.
PENULIS adalah pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home