Bapa wajar dirai sama seperti ibu
16/6/04
Oleh Roha Hassan
TARIKH 20 Jun adalah tarikh untuk sambutan Hari Bapa, namun berbanding Hari Ibu, ia kurang meriah dirai dan diingati. Ramai remaja lebih berasa terhutang budi kepada ibu berbanding ayah. Firman Allah dalam surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua ibu bapanya, ibu mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kedua ibu bapa kamu, hanya kepada-Ku kembalinya kamu.” Makna menyapih ialah memberhentikan anak daripada menyusu. Kebanyakan daripada kita lebih mudah berbincang mengenai faktor yang menyebabkan seorang anak patut mengasihi ibunya. Terlalu banyak karya seni yang diilhamkan untuk menggambarkan kualiti seorang ibu. Contohnya, lagu bertemakan ibu sudah mewarnai industri muzik sejak dulu hingga kini, seperti oleh Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Sharifah Aini, Salamiah Hassan dengan lagu Ibu Engkaulah Ratu Hatiku, M Nasir (Bonda) dan paling terbaru Siti Nurhaliza (Air Mata Ibu). Bersempena Hari Bapa yang bakal menjelang 20 Jun ini, sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita menilik kembali kewajaran status dan tanggungjawab seorang ayah. Memang benar bahawa ‘syurga itu di bawah tapak kaki ibu’ tetapi di manakah letaknya syurga seorang ibu? Bukankah di bawah tapak kaki seorang suami (yang sudah tentu bergelar ayah). Haruskah Hari Ibu diasingkan daripada Hari Bapa. Hari Ibu atau Bapa sebenarnya tidak dapat dipisahkan kerana mustahil seorang wanita boleh menjadi ibu tanpa kehadiran bapa dan begitulah sebaliknya. Bapa atau ayah memainkan fungsi yang penting dalam kehidupan kita. Antara bapa contoh yang sentiasa menjadi sebutan umat Islam sejak dulu ialah Rasulullah sendiri. Kasih sayang Baginda terhadap puterinya terutama Fatimah adalah kisah contoh seorang anak perempuan yang begitu menyayangi dan menghormati ayahnya. Selain itu, kisah dan nasihat Baginda terhadap anaknya adalah contoh ayah yang memainkan peranan penting dalam pendidikan anaknya. Bagi meningkatkan kasih sayang remaja terhadap seorang lelaki yang penting dalam hidup kita iaitu ayah, disenaraikan beberapa sebab kenapa kita terutama remaja mesti menyayangi ayah masing-masing. Pertama, ayah adalah orang yang bertanggungjawab membawa kelahiran kita ke dunia ini di samping ibu yang melahirkan kita. Sudah menjadi hukum alam, setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini membabitkan proses biologi dua makhluk, lelaki dan wanita. Wanita yang kita panggil ibu dan lelaki adalah ayah. Kedua, ayah adalah insan pertama yang mengajar kita kewujudan Allah dan Rasulullah ketika dilahirkan dengan melaungkan azan di telinga kita. Dari situ, bermulanya kita ‘diperkenalkan’ dengan beberapa sifat Allah, antaranya “Allah Maha Besar”. Ketiga, ayah bertanggungjawab mencari rezeki untuk menanggung kehidupan kita sekeluarga. Selaku ketua keluarga, ayah sanggup berlapar dan dahaga serta berpanas hujan mencari sesuap rezeki untuk dirinya, isteri dan anak-anaknya. Sama ada ayah kita seorang buruh binaan, penoreh getah, guru atau hartawan, usaha mereka mencari rezeki untuk kita sekeluarga haruslah diiktiraf dan dikenang sehingga akhir hayat. Keempat, kasih ayah adalah pelengkap kepada kasih sayang yang diberikan ibu. Menurut satu kajian yang dijalankan mengenai latar belakang dua remaja di salah sebuah Sekolah Tunas Bakti menunjukkan betapa ketiadaan bimbingan bapa (terutamanya) menjadi penyebab remaja bertingkah laku devian (Hairunnaja Najmuddin, 2003). Kelima, ayah sanggup berkorban nya-wa demi membahagiakan anak-anak. Sebagai ketua keluarga, dia berfungsi untuk melindungi setiap ahli keluarganya. Tidak kira harta atau nyawa, ayah sanggup melakukan yang terbaik bagi memastikan anak menikmati kebahagiaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail adalah salah satu contoh pengorbanan yang amat tinggi di antara ayah dan anak demi mencapai kebahagiaan dan kasih Ilahi. Keenam, sentuhan dan belaian ayah menstabilkan emosi anak terutama remaja. Anak yang menerima kasih sayang sewajarnya daripada ayah akan lebih berani bercakap di khalayak ramai. Mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam menghadapi kehidupan, mesra dalam pergaulan di samping keseimbangan dari sudut tingkah laku dan pemikiran. Ketujuh, ayah adalah contoh terdekat untuk anak remaja lelaki. Apabila manusia melangkah ke alam remaja, mereka akan mengalami beberapa perubahan dari sudut biologi. Zaman remaja adalah tempoh masa di mana anak menjadi lelaki muda. Perubahan bukan saja berlaku dari sudut fizikal tetapi sudut perubahan seks dan psikologi. Bimbingan insan yang dipanggil ayah amat penting untuk membantu mereka menguruskan setiap perubahan yang berlaku itu sebaik mungkin. Kelapan, ayah yang bijaksana adalah kamus dunia lelaki. Daripada ayah, anak perempuan dapat mempelajari dunia lelaki. Ayah yang bersikap terbuka dan mementingkan masa depan anak remaja mereka adalah tempat rujukan anak perempuan belajar mengenai dunia lelaki. Dengan ilmu yang berfaedah, anak perempuan dapat dibantu oleh ayah supaya tidak mudah diperdayakan oleh pihak lelaki yang suka mengambil kesempatan. Kesembilan, ayah yang penyayang dapat memantapkan akidah anak remaja. Pelbagai nasihat yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya dalam surah Luqman mengandungi pengajaran bagaimana seorang ayah yang penyayang dapat memainkan fungsinya dalam memantap aqidah dan akhlak anak. Antara nasihat Luqman yang baik untuk direnungkan oleh ayah dan anak-anak remaja ialah yang bermaksud: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah sebenar-benar kezaliman yang besar.” – (Surah Luqman, ayat 13). Nasihat lain ialah yang bermaksud: “Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal yang diwajibkan (oleh Allah). Dan janganlah kamu memalingkan muka kamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” – (surah Luqman, ayat 17 dan 18). Marilah kita mengucapkan salam sayang, rindu dan rasa terima kasih di atas segala budi yang dicurahkan oleh bapa di seluruh negara. · Penulis seorang pegawai latihan sumber manusia dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home