Asma pembakar semangat juang anak -Hari ibu
12/5/04
Oleh Dr Hafidzah Mustaqim
AHAD lalu, telefon bimbit saya tidak berhenti-henti menerima pesanan ringkas ucapan ‘Selamat Hari Ibu.’ Semuanya menarik termasuk yang berbunyi “Motherhood is a tough 24 hour job: no pay, no day off, most often unappreciated and yet resignation is impossible!” (Keibuan adalah satu kerjaya 24 jam yang berat, tiada cuti, tiada gaji, kebanyakannya memang tidak dihargai tetapi meletak jawatan adalah mustahil!). Jika ada yang hendak mempertikaikannya, silakan! Sejak dari pagi, anak saya sibuk bergilir-gilir memberikan pelukan istimewa ‘Selamat Hari Ibu, Umi.’ Malam esoknya kumpulan usrah pula akan mengadakan pertemuan mingguan di tempat yang istimewa untuk kami meraikan Hari Ibu. Bak kata seorang teman, “Let’s treat ourself in style.” Kalau hendak tunggu suami kita mengaturkan semuanya, mungkin kita akan dianggap ‘meminta terlalu banyak’ pula. Jadi, lebih baik kita aturkan sendiri pertemuan itu dan menghantar bil saja kepada mereka. Apabila masuk bab hari istimewa, ada yang mempersoalkannya. Kita tidak perlu hari istimewa kerana dalam Islam setiap hari kita seharusnya menghargai dan mendoakan untuk ibu kita. Memang betul tetapi berapa ramai pula di kalangan kita yang menyatakan penghargaan mereka kepada ibu saban hari tanpa ketinggalan. Oleh itu ambillah peluang pada Mei ini untuk menyatakan penghargaan kita yang tidak terhingga kepada ibu terutama bagi mereka yang masih mempunyai ibu di sisi. (Bagi yang sudah tiada, janganlah lupa kirimkan doa kepada mereka daripada seorang anak yang soleh setiap hari). Saya teringat dengan satu tazkirah oleh seorang ustaz pada satu perhimpunan keluarga warga Jamaah Islah Malaysia (JIM) baru baru ini, mengenai nasihat Luqman kepada anaknya dalam surah Luqman dalam al-Quran. Nasihat kedua Luqman selepas perintah untuk tidak menyekutukan Allah adalah untuk berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam konteks ini, Luqman mengingatkan anaknya mengenai keadaan susah payah ibu yang mengandungkannya dalam keadaan lemah selama lebih sembilan bulan dan penat lelah menyusukannya sepanjang tempoh dua tahun. Masya-Allah, dapat kita bayangkan kalau semua bapa di dunia ini menyatakan penghargaan dan penghormatan kepada isterinya, sekali gus menjadikan ia contoh dan menjadikannya satu pengajaran di depan semua anak mereka, beruntunglah sekalian ibu di dunia ini. Tidak akan ada ibu Islam yang menderita kerana dipinggirkan suami dan anak mereka. Sejarah Islam sarat dengan kisah ibu yang menjadi pendorong kepada anak mereka. Antara cerita yang paling saya sukai dan kagumi adalah kisah Asma binti Abu Bakar ketika mententeramkan anaknya. Memang Asma seorang yang hebat sejak dari zaman gadisi kerana menjadi watak penting dalam sejarah penghijrahan Rasulullah. Hingga ke akhir hayat, Asma yang buta lagi lanjut usia menjadi pendorong dan pembakar semangat anaknya Abdullah bin Zubair yang menentang kezaliman panglima yang menyeleweng iaitu Al Hajjaj Yusuf Ath-Thaqafi. Beliau bersama anaknya, Abdullah mempertahankan kota Makkah ketika Hajjaj mengepung mereka dan menghujani Kaabah dengan peluru meriam menjanik. Ketika Abdullah berasa dia akan tewas pada hari itu dan melafazkan kekhuatiran beliau pada ibunya: “Wahai ibu, aku khuatir kalau musuh berhasil membunuh aku mereka akan menyalib mayat aku.” Asma lantas menjawab: “Wahai Abdullah, sesungguhnya kambing yang sudah disembelih itu sedikitpun tidak akan berasa sakit ketika dilapah.” Dengan berbekalkan kata keramat daripada seorang ibu, Abdullah mara dan akhirnya menjadi syahid. Asma yang buta itu mengetahui kematian anaknya dengan meraba tubuh puteranya yang tidak bernyawa di tiang salib. Kurang seminggu dari tempoh syahid Abdullah, Asma meninggal dunia pada usia genap 100 tahun dan ketika itu giginya masih asli dan ingatannya masih kukuh. Allahu Akbar. Inilah yang paling saya takuti. Bersediakah kita menjadi seperti Asma, idola dan pendorong serta pembakar semangat anaknya hingga ke hujung usia. Tentu ibu ini mempunyai hubungan yang kuat dengan anaknya dan menunjukkan contoh teladan ikutan anaknya di jalan dakwah. Marilah sama-sama kita fikirkan hubungan kita dengan setiap anak. Adakah kita berasa yakin bahawa setiap mereka akan mewarisi dan mengamalkan Islam yang syumul. Kalau tidak, masih belum terlewat untuk kita lakukan sesuatu. Marilah kita bersama-sama menjadi seorang ibu yang menghargai dan dihargai. · Penulis adalah doktor perubatan persendirian dan boleh di hubungi di e-mel wanitajim0@yahoo
0 Comments:
Post a Comment
<< Home