Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, May 26, 2004

Perkara sunat tidak boleh dianggap amalan sukarela

26/5/04

Oleh Prof Madya Maznah Daud
PERKARA sunat sering ditakrifkan sebagai sesuatu yang jika dilakukan mendapat pahala, jika ditinggalkan tidak berdosa. Ungkapan ‘tidak berdosa’ seolah-olah memberi gambaran bahawa ia suatu perkara sukarela – terserah kepada diri masing-masing sama ada hendak melakukannya atau sebaliknya. Lantaran itu ada umat Islam tidak begitu mengambil berat dalam mengerjakan amalan sunat, khususnya yang berkaitan ibadat seperti solat, puasa, sedekah dan zikir.
Anehnya, dalam urusan harian atau perkara tidak termasuk dalam kategori ibadat khusus, kita tidak berpada dengan yang wajib saja, malah begitu menitikberatkan perkara remeh temeh yang tidak sampai ke martabat sunat pun. Contohnya, pakaian yang diwajibkan adalah memakai pakaian yang menutup aurat dengan kriteria tertentu seperti tidak ketat dan jarang. Namun dalam menyempurnakan yang wajib ini kita berlebih-lebih pula mementingkan perkara sampingan seperti fesyen, warna dan aksesori sampingannya.
Allah menciptakan manusia dan diberinya pelbagai kelebihan. Disediakan untuk mereka pelbagai kemudahan untuk menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini. Segala kelebihan dan kemudahan seperti bumi terbentang sebagai hamparan, langit sebagai bumbung tidak bertiang, udara bertiup segar, cahaya membekalkan tenaga dan kepanasan serta air yang sesuai untuk diminum dan bercucuk tanam, semuanya diberikan dengan percuma. Firman Allah bermaksud:
“Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). “Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar untuk kepentingan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. “Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim, ayat 32 hingga 34)
Sesungguhnya terlalu besar nikmat Allah yang kita terima. Jika kita cuba hendak menghitungnya, pasti sepanjang hayat tidak akan selesai. Begitu juga jika kita ingin berterima kasih kepada-Nya, sepanjang hayat tidak mampu berbuat demikian yang sepadan dengan nikmat itu. Rasulullah cuba melahirkan rasa syukurnya terhadap nikmat Allah dengan bersembahyang pada waktu malam hingga bengkak kakinya. Isterinya, Aisyah bertanya:
“Kenapa Rasulullah lakukan semua ini (berdiri lama ketika solat malam hingga bengkak kaki), pada hal Allah telah mengampun segala dosa Rasulullah baik yang dulu atau kemudian.” Dengan tenang baginda menjelaskan: “Tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini mengajar kita bahawa solat sunat adalah antara cara seorang hamba menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Allah. Waktu paling baik untuk melakukan solat sunat ialah tengah malam atau sepertiga terakhir daripada malam. Waktu seluruh alam dibungkus kegelapan. Lebih indah lagi, jika amalan ini dikongsikan bersama ahli keluarga.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam, lalu bersembahyang. Kemudian dia mengejutkan isterinya. Jika isterinya enggan bangun, direnjisnya air ke mukanya. “Begitu juga Allah merahmati seorang perempuan yang bangun pada waktu malam lalu bersembahyang. Kemudian dia mengejutkan suaminya. Dan jika suaminya enggan bangun, direnjiskan air ke mukanya.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Selain menyatakan rasa syukur kepada Allah, amalan sunat, khususnya solat dapat menyelamatkan kita daripada seksa di akhirat kelak. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya amalan seseorang manusia yang mula-mula dihisab pada hari kiamat nanti ialah solatnya. Jika baik solatnya, maka dia selamat dan berjaya. Jika rosak solatnya, maka dia rugi dan kecewa. “Jika ada sedikit kekurangan pada solat fardunya, Allah memerintahkan: “Lihatlah! Apakah ada tercatat hamba-Ku melakukan solat sunat? Jika ada, tampungilah apa yang kurang daripada solat fardunya.” “Kemudian, begitulah caranya akan diperhitungkan semua amalan-amalannya.” (Hadis riwayat at-Tarmizi).
Bayangkanlah nasib yang bakal menimpa seorang hamba yang lemah pada hari kiamat nanti jika tiada langsung bekalan yang dibawa daripada amalan sunat. Mengharapkan amalan yang fardu atau wajib saja, adakah terjamin semuanya sempurna? Di samping itu, banyak melakukan amalan sunat menjadikan seseorang hamba itu dikasihi oleh Tuhannya.
Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah berfirman: “Sesiapa yang memusuhi kekasih-Ku, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang dengannya. Tidak ada perkara yang paling Aku sukai dilakukan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain daripada dia melakukan apa yang Aku fardukan ke atasnya. “Dan sentiasalah hamba-Ku itu menghampirkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan amalan yang sunat hingga Aku kasihkannya. Maka apabila Aku telah kasihkannya, maka Akulah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, tangan yang dia menghulur dengannya dan kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia meminta dari-Ku, akan Ku berikan apa yang dipintanya. Dan jika dia memohon perlindungan, pasti akan Ku lindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Daripada hadis di atas, jelas bahawa sunat tidak boleh dianggap sebagai suatu amalan sukarela. Siapa yang suka dia buat. Kalau tidak suka, tidak payah buat. Sebaliknya sunat adalah amalan yang sangat diperlukan oleh Muslim beriman. Ia sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada Tuhan Yang Amat Pemurah, sebagai penyelamat daripada seksa api neraka pada akhirat nanti dan sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah agar menjadi seorang hamba yang dikasihi-Nya.
# PENULIS adalah pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home