Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, May 19, 2004

Wanita kena berilmu bukan harapkan kecantikan fizikal

19/5/04

Oleh Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
HORMAT Wanita yang dipilih sebagai tema Hari Sambutan Wanita Sedunia di Malaysia, baru-baru ini, memberikan penghormatan dan pengiktirafan terhadap peranan wanita sebagai ibu, isteri, anak, sahabat, teman seperjuangan dan ahli dalam sesebuah masyarakat. Sikap saling hormat menghormati adalah nilai murni yang perlu diterapkan pada setiap anggota masyarakat tanpa mengira usia, jantina dan status sosial.
Bagaimanapun, hormat wanita perlulah bermula dengan wanita menghormati diri mereka sendiri. Bak mutiara kata Inggeris yang berbunyi ‘Respect is earned’. Hormat terhadap seseorang tidak akan datang sendiri melainkan di atas sesuatu yang menyebabkan dia layak menerima penghormatan itu. Hormat pula bukanlah sesuatu yang boleh diminta-minta atau dipaksakan, tetapi lahir daripada hak dan tanggungjawab yang sudah dilaksanakan.
Wanita perlu mula belajar menghormati diri sendiri. Ia bermula dengan belajar mengenali diri sendiri dan menerima segala kelebihan dan kekurangan kurniaan Allah ke atas dirinya. Segala kelebihan diri dimanfaatkan untuk berbuat kebaikan yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Kekurangan diri pula cuba diperbaiki seboleh mungkin tanpa menyebabkan perasaan rendah diri. Wanita perlu menghargai dan menyayangi diri sendiri dan meletakkan nilai tinggi ke atas maruah dan harga diri mereka sebelum meminta orang lain berbuat demikian terhadap mereka. Islam mengiktiraf wanita sebagai individu yang berbeza daripada lelaki dari sudut penciptaannya.
Bagaimanapun, dari segi tanggungjawab dan pengabdiannya terhadap Allah adalah sama. Firman Allah bermaksud :
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang wanita serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Firman Allah lagi bermaksud: “Demi malam apabila menutupi, dan siang apabila terang benderang dan penciptaan lelaki dan perempuan, sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.” (Surah al-Lail, ayat 1-4)
“Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk, ayat 2)
Wanita Islam yang menghormati dirinya akan sedaya upaya menunaikan setiap suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dia juga perlu meyakini setiap hukum Allah mempunyai hikmah yang bertujuan memelihara kesucian dan kesejahteraan diri dan masyarakat umum walaupun nafsu mereka tidak menyenanginya.
Contohnya, sistem hijab dalam Islam untuk memelihara kesucian maruah diri dan keselamatan seseorang wanita. Dengan ini lelaki akan memandang wanita sebagai seorang yang mulia dan terhormat serta bukan semata-mata sebagai objek seks. Ini seperti firman Allah bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)
“Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” (Surah Yunus, ayat 44)
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut, ayat 64)
Seterusnya wanita mesti memperkasakan diri mereka dengan ilmu pengetahuan kerana dengan ilmulah seseorang manusia dihormati dan disanjungi. Wanita tidak boleh bersandarkan kepada kecantikan fizikal semata-mata kerana ia tidak berkekalan. Wanita perlu mengambil tindakan berdasarkan sesuatu fakta dan tidak hanya terikut-ikut dengan trend semasa. Contohnya, ramai wanita muda kini yang merokok! Perbuatan itu jelas melambangkan wanita tidak menghormati diri sendiri kerana berbuat sesuatu yang akan memudaratkan tubuh badan mereka.
Merokok boleh mengganggu pusingan haid dan menyebabkan penghasilan ovum yang kurang berkualiti. Merokok juga boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti kanser paru-paru dan kerongkong. Malah, wanita mengandung yang merokok akan mendatangkan mudarat kepada janin yang dikandungnya.
Kajian saintis mendapati beberapa komplikasi bagi ibu mengandung yang merokok seperti kelahiran pramatang, berat badan bayi yang terlalu rendah dan kematian janin dalam rahim.
Terlalu mempercayai lelaki tanpa syarat hingga menggadaikan maruah diri juga bukanlah tindakan bijak seorang wanita biar seagung mana pun cintanya! Wanita harus pandai memberi dan menilai cinta dan hanya menyerahkan dirinya dengan terhormat melalui ikatan ijab kabul.
Berleluasanya perbuatan maksiat dan zina dalam masyarakat turut berpunca daripada longgarnya ikatan kekeluargaan dan punahnya rasa percaya dan hormat terhadap ibu bapa. Gadis dan wanita yang tidak mendapat kasih sayang daripada lelaki dalam hidup mereka iaitu bapa masing-masing, mula mengemis kasih daripada lelaki hidung belang yang mengambil kesempatan daripada keperluan emosi seorang wanita.
Pengalaman dalam kehidupan adalah universiti terbaik bagi seseorang insan selagi mana dia belajar dengan mengutip permata kehidupan yang berharga di celah-celah kesilapan yang pernah dilakukannya atau oleh orang lain.
Panduan menghormati diri sendiri.
# Hargai dan sayangi diri sendiri dengan menerima segala kelebihan dan kelemahan diri. Berazam untuk memanfaatkan kelebihan diri untuk kehidupan yang lebih baik, di samping cuba memperbaiki kelemahan sendiri.
# Percaya kepada keupayaan diri sendiri dan mempunyai maruah diri yang tinggi.
# Tidak melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan kesihatan seperti merokok, mengambil dadah, minum arak dan pengguguran haram.
# Merasai kepuasan sekiranya beroleh kejayaan dan tidak berputus asa sekiranya gagal.
# Melakukan sesuatu kerana kemahuan diri sendiri dan bukan paksaan daripada orang lain. # Memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencuba semula dan bangun daripada kegagalan.
# Tidak rendah diri di atas kekurangan yang ada pada diri sebaliknya meyakini Allah menciptakan manusia dengan keupayaan yang tersendiri.
# Tidak terikut-ikut dengan tindak tanduk orang lain atau berbuat sesuatu semata-mata untuk menarik perhatian orang lain.
# Meyakini qada dan qadar yang ditetapkan oleh Allah serta meyakini usaha dan tawakal adalah selari dalam mencapai kejayaan.
# Tidak terlalu mengharapkan bantuan orang lain, sebaliknya berusaha dengan menggunakan kelebihan, kemahiran dan kepandaian yang ada pada diri sendiri.
# Membuat keputusan yang menguntungkan diri sendiri, keluarga dan masa hadapan serta menjauhi perbuatan yang merugikan.
(Penulis ialah pelajar sarjana bidang psikologi serta mengalu-alukan e-mel remaja dan wanita bermasalah. Sila hubungi raudhatus_sakinah@yahoo.com)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home