Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, June 23, 2004

Pendidikan agama akar tunjang kekuatan remaja

23/6/04
Oleh Rosmawati Ahmad
PERSOALAN mengenai remaja banyak dibincangkan. Malangnya, hampir setiap perbicaraan isu remaja hanya berkisar masalah keruntuhan akhlak dan moral. Isu lain yang lebih penting kurang diberi perhatian. Remaja lepak, bohsia, bohjan, vandalisme, dadah, jenayah dan pelbagai isu negatif lain kerap mendapat tempat dalam masyarakat. Semua isu ini mendominasi remaja hingga kita tidak nampak lagi kebaikan golongan itu. Umum mengetahui bahawa masyarakat Malaysia amat prihatin dengan golongan istimewa, berpenyakit atau ditimpa bencana alam. Simpati dan sumbangan mencurah-curah kepada golongan malang ini. Sebaliknya, masyarakat seakan-akan lupa untuk menyalurkan simpati dan keprihatinan dalam menangani masalah remaja. Kita lebih senang membiarkan masalah remaja ditangani oleh ibu bapa mereka sendiri. Keadaan ini berlaku kerana menganggap itu masalah peribadi sesebuah keluarga dan sepatutnya diselesaikan oleh keluarga terbabit. Sebenarnya, pembangunan remaja hari ini ialah agenda penting yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Wawasan negara akan terencat dan pincang jika tiada pihak yang bertanggungjawab terhadap hala tuju perjuangan mereka yang terdedah kepada pelbagai cabaran. Hampir semua isu keruntuhan moral bertitik-tolak kepada kepincangan didikan agama. Setiap saat kita terpaksa mengakui bahawa anasir yang melalaikan begitu banyak di sekeliling remaja. Kecanggihan perkembangan teknologi maklumat yang melampaui batasan, muzik yang melalaikan serta sosio seksual di luar kawalan adalah antara anasir yang dimaksudkan. Lebih malang, apabila remaja terpaksa berhadapan dengan kongkongan konservatif yang menghalang serta menegah mereka secara mutlak untuk terbabit dalam anasir tadi tanpa memahamkannya. Sebenarnya, kemelut yang melanda remaja berpunca daripada kepincangan didikan agama dan keruntuhan didikan moral. Masalah ini bukan saja melanda remaja, malah berlegar dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat. Kegagalan institusi keluarga memainkan peranan sebagai ‘role model’ dan qudwah hasanah (teladan) semakin menyeret remaja jauh daripada kebenaran dan kesedaran. Kegagalan masyarakat dalam menangani isu remaja juga menyumbang ke arah kecelaruan remaja. Jika remaja diminta menutup aurat, tetapi sebahagian besar masyarakat, terutama dewasa tidak berbuat demikian dan memandang ringan perkara ini, maka budaya menutup aurat di kalangan remaja tidak mungkin dapat dilaksanakan secara keseluruhan. Jika remaja dilarang merokok, tetapi pada masa sama keluarga dan masyarakat sekitar masih mengamalkan perbuatan itu, tidak mungkin wujud masyarakat remaja yang bebas rokok. Kepemimpinan melalui teladan iaitu teladan daripada keluarga dan masyarakat adalah antara cara untuk menyelamatkan anak daripada terjebak ke dalam masalah sosial. Firman Allah bermaksud : “Mengapakah kamu menyuruh orang lain membuat kebajikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri dalam mengerjakan kebajikan itu, pada hal kamu membaca kitab. Maka apakah kamu tidak berfikir?” (Surah al-Baqarah, ayat 44) Penyelesaian perlu ditumpukan pada peringkat awal iaitu bermula dengan pengukuhan sistem kekeluargaan yang menitikberatkan pengukuhan nilai murni ke arah melahirkan keluarga stabil. Pendidikan tidak formal oleh ibu bapa yang bermula dari rumah iaitu meliputi bimbingan, muhasabah dua hala dan pemantauan berterusan untuk meningkatkan etika dan peranan remaja perlu dilaksanakan oleh setiap keluarga. Pembangunan nilai berasaskan agama, persediaan memasuki alam remaja dan ketahanan diri menghadapi pergolakan sosial perlu ditanam dalam institusi keluarga. Perkara ini dilakukan melalui hubungan mesra dan semangat bertanggungjawab bagi membantu remaja melawan anasir sosial yang tidak sihat. Kehidupan dan pendidikan berasaskan agama mestilah diterapkan kepada remaja bagi menjamin kemantapan dan pemeliharaan akidah serta jati diri sempurna. Nilai baik dan etika hidup sihat perlu menjadi budaya kehidupan sesebuah institusi kekeluargaan. Andainya penjagaan dan pendidikan remaja dapat dilihat sebagai sebatang pokok, maka pendidikan agama adalah akar tunjang kepada kekuatan remaja. Sementara institusi kekeluargaan mantap dan mampu memainkan peranan yang disebutkan tadi akan menjadi batang kukuh dalam membangunkan jati diri remaja. Sekolah dan rakan sebaya juga berperanan dalam membina jati diri remaja. Kedua-dua unsur ini berfungsi sebagai dahan yang akan menjadi pelindung kepada pembentukan jati diri remaja. Sekolah patut memainkan peranan sebagai pusat sumber ilmu, tempat memupuk kemahiran dan institusi yang mengamalkan interaksi sosial terkawal. Rakan sebaya sempurna perlu dirapati dengan membentuk identiti kumpulan rakan sebaya yang ceria, berfikiran matang dan bertindak mengikut norma dibenarkan. Rasulullah pernah berpesan terhadap keperluan mencari teman yang baik umpama berkawan dengan penjual minyak wangi. Jika kita tidak dapat membeli minyak wanginya, pasti akan dapat mencium bau wangian jualannya. Tetapi, jika berkawan dengan si tukang besi, pasti akan terkena percikan kepanasan api yang digunakan ketika bertukang besi. Masyarakat dan media massa berperanan menjadi daun rimbun yang melindungi dan memayungi pohon jati diri remaja. Media perlu memaparkan nilai sejagat sebagai ilmu dan contoh untuk remaja. Kepentingan komersil perlu diketepikan kerana agenda pembinaan jati diri remaja yang sejati lebih utama untuk ditonjolkan. Iklan mencolok mata dan merangsang kepada keruntuhan akhlak perlu diketepikan. Begitu juga masyarakat, terutama yang lebih dewasa perlu lebih bertanggungjawab untuk melihat kecemerlangan remaja pada masa depan. Siapakah yang melanggan ‘bohsia’ dan yang menjadi ‘ibu dan bapa ayam’? Siapakah yang menjerat remaja dalam masalah dadah dan kongsi gelap ? Andainya masyarakat melihat remaja sebagai aset negara pada masa depan pasti mereka tidak akan mengheret mereka ke kancah kebinasaan. Mereka sepatutnya berusaha menghapuskan gejala sosial yang melanda masyarakat dan negara. · PENULIS adalah seorang guru dan boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home