Amalan zikir, surah pendek pengisi masa paling berkesan
Oleh Prof Madya Maznah Daud
AKTIVIS pertubuhan Islam di Amerika Syarikat, Dr Hisham Yahya Al-Talib pernah menulis, “Apakah yang terpanjang, terpendek, terpantas dan sangat perlahan, kita semua tidak mengendahkannya, tetapi selepas itu, kita semua menyesalinya?
“Tiada apa pun yang dapat dilakukan tanpanya, ia menelan segala yang kecil dan membina segala yang besar?”Itulah masa.Masa adalah yang terpanjang kerana masa adalah ukuran keabadian dan juga yang terpendek. Hal ini kerana tiada seorang pun antara kita yang mempunyai masa yang cukup untuk menyiap atau menyempurnakan segala tugas dalam kehidupan. Bagi mereka yang gembira, masa berlalu terlalu cepat. Tetapi bagi mereka yang menderita, masa berlaku terlalu lambat. Tiada apa-apa pun yang dapat dilakukan tanpanya. Hal ini kerana masa adalah satu-satunya pentas kehidupan kita. Masa juga adalah unsur asas bagi pembentukan kehidupan. Masa menelan semua yang tidak berfaedah daripada generasi dalam bentuk kelalaian dan mengekalkan semua yang hebat dan berharga.Manusia terbahagi kepada dua kategori. Pertama, manusia malang iaitu kumpulan yang murung atau pasif yang selalu memulakan sesuatu pada keesokan hari atau dengan perkataan lain, suka bertangguh. Satu kategori lagi ialah kumpulan manusia yang hebat dan bersedia melakukan sesuatu berfaedah dengan segera. Bagi mereka tidak ada hari esok.Membuang masa bukan hanya satu jenayah biasa, sebaliknya satu pembunuhan kejam. Ramai percaya kepada ungkapan masa itu emas atau masa itu wang. Anehnya, kita tidak pernah terfikir untuk membiarkan sesiapa pun mencuri wang kita walaupun hakikatnya membiarkan manusia serta benda lain meragut masa kita.Setiap pagi apabila bangun daripada tidur, buku catatan sudah tersedia untuk dipenuhi dalam masa 24 jam.Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Pada setiap kali terbit fajar, ada dua malaikat menyeru: “Wahai anak Adam, aku adalah hari yang baru dan aku datang untuk menyaksikan semua amalan kamu. “Oleh itu manfaatkan aku sebaik-baiknya kerana aku tidak kembali lagi hingga Hari Kiamat.”Pada setiap hari, masa perlu diisi dengan perkara berfaedah dan mendatangkan kebaikan sama ada di dunia atau akhirat. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, kita boleh berfikir dan merancang pekerjaan yang mendatangkan keuntungan di dunia dan akhirat. Rasulullah mengajar kita pelbagai amalan yang boleh dilakukan pada minit terluang yang biasanya dibiarkan berlalu begitu saja. Apa-apa yang diajar kepada kita, sebenarnya sangat mudah. Tetapi, faedahnya cukup besar, terutama sebagai bekalan untuk menghadapi hari kemudian yang semakin hampir.Antaranyaialah membaca Surah al-Mulk. Surah yang mengandungi 30 ayat itu boleh dibaca dalam masa lima minit saja. Surah ini jika dibaca setiap hari dapat menyelamatkan kita daripada seksaan kubur. Dalam satu riwayat, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku bercita-cita supaya surah ini terpahat dalam hati setiap insan dari kalangan umatku.” Surah al-Waqi’ah yang mengandungi 96 ayat dan boleh dihabiskan dalam masa lapan minit juga elok dijadikan amalan. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membaca Surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan menjadi papa selama-lamanya.” Begitu juga dengan Surah Yasin yang mengandungi 83 ayat dan memakan masa 12 minit untuk dibaca. Kegunaannya seperti yang diakui oleh kebanyakan ulama bahawa tidak dibacakan surah ini ketika berada dalam kesulitan kecuali dimudahkan Allah kesulitan itu. Mungkin ada yang berasa sukar untuk membaca surah di atas jika tidak menghafaznya. Bagi mereka ada gantinya. Bacalah ‘Qul Huwallahu Ahad’ (Surah al-Ikhlash) sebanyak tiga kali yang mengambil masa 15 saat saja. Pahalanya menyamai dengan membaca sebuah al-Quran!Zikir tertentu sangat besar gunanya. Dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang berkata ‘Subhanallah wa biham dihi’ ditanamkan untuknya sebatang pokok kurma di syurga.” Dalam riwayat lain Baginda bersabda bermaksud: “Sesiapa yang berkata ‘Subhanallah wa biham dihi’ 100 kali dalam sehari, dihapuskan kesalahannya meskipun kesalahan itu sebanyak buih di lautan.” Pengulangan zikir itu sebanyak 100 kali hanya memerlukan masa hanya tiga minit.Sudah ada kebun kurma di syurga, pastinya kita memerlukan kediaman untuk beristirehat. Untuk mendapat sebuah rumah, Rasulullah mengajar umatnya supaya mengerjakan solat sunat rawatib 12 rakaat dalam satu hari, dua rakaat sebelum fardu Subuh, dua sebelum fardu Zuhur serta dua selepasnya, dua selepas fardu Maghrib dan dua selepas fardu Isyak. Setiap dua rakaat solat sunat rawatib itu memakan masa tiga minit, maka 12 rakaat hanya memerlukan 18 minit. Itu hanya contoh. Jika dikira sekalipun, jumlah amalan itu tidak sampai satu jam daripada 24 jam yang Allah berikan kepada kita. Namun begitu jika tidak dirancang, masa itu berlalu dengan sia-sia. Banyak lagi ayat dan zikir pada waktu pagi, petang atau malam yang boleh diamalkan, khususnya pada waktu terluang yang biasanya dibiarkan berlalu begitu saja. Ibnu Mas’ud berkata bahawa Rasulullah bersabda kepadanya: “Aku bertemu dengan Nabi Ibrahim pada malam aku diisrakkan. Baginda berkata kepadaku: “Wahai Muhammad! Sampaikan kepada umat kamu salam dariku.“Khabarkan kepada mereka, sesungguhnya syurga adalah tanah yang subur, airnya jernih lagi nyaman. Ia kosong dan lapang. Tanamannya ialah: Subhanallah, walhamdulillah, walailahaillallah, Allahu Akbar.” (Hadis riwayat at-Tirmizi). Perlu diingat bahawa apa-apa pun yang dilakukan harus berdasar kepada keimanan yang tulus suci dan keikhlasan yang murni. Tanpa keikhlasan amalan itu tidak bermakna dan hancur laksana debu berterbangan. Firman Allah bermaksud: “Dan Kami tujukan perbincangan kepada apa yang mereka kerjakan daripada jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan, ayat 23) Amalan baik yang dilakukan dengan perancangan betul, berlandaskan keimanan dan mengharap rahmat serta reda Ilahi pasti membuahkan kejayaan baik di dunia mahupun akhirat. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih, baik lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 97).l
PENULIS adalah pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor dan boleh dihubungi pada e-mel wanitajim0@yahoo.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home