Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, July 21, 2004

Pendidikan mesra pererat hubungan suci bapa, anak

Oleh Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
BAPA adalah orang penting dalam keluarga bagi membentuk sahsiah dan identiti seorang anak. Anak pula adalah penyejuk mata manusia dan buah hati bapa dalam hidup ini.
Justeru, anak yang menggembirakan umur dan menghiburkan hidup bapa. Disebabkan anak-anak, hidup bapa menjadi ceria dan seronok. Kerana anak-anak juga, bapa bekerja keras menampung keperluan seharian demi membesarkan mereka menjadi manusia berjaya. Oleh itu, wajarlah bapa tidak cuai dalam membentuk pendidikan dan sentuhan kasih sayang kepada anak-anak. Ia supaya anak-anak membesar dalam suasana penuh penghormatan, didikan tertib dan kasih sayang melimpah ruah. Rahmat kasih sayang sejati dan akhlak Islam dalam kehidupan Rasulullah diungkapkan oleh Anas seperti mana kata-katanya: “Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih merahmati keluarganya daripada Rasulullah.” Kata Anas lagi: “Adalah Ibrahim (putera Rasulullah dari Mariatul Qibtiah) disusukan bagi Rasulullah di utara Madinah, maka Rasulullah pergi ke sana bersama kami lalu memasuki rumah itu dengan mengambil Ibrahim lalu diciumnya, selepas itu baru Baginda kembali.” (Hadis riwayat Muslim). Abu Hurairah meriwayatkan, katanya, bahawa Rasulullah mencium Hussin bin Ali, lalu berkata Al-Aqra’ Ibn Habas: “Sesungguhnya bagiku ada sepuluh anak, tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka.” Lalu Baginda bersabda : “Sesiapa yang tidak merahmati, dia tidak dirahmati.” Pendidikan dalam bentuk bermesra dan bergurau senda ketika melayani anak amat digalakkan dalam Islam seperti yang ditunjukkan Rasulullah. Malah, Baginda juga pernah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai anak kecil, hendaklah menjadi anak kecil terhadapnya.” (Hadis riwayat Ibn Asakir). Rasulullah juga tidak membeza-bezakan layanan terhadap anak lelaki atau perempuan. Ummul Mukminin Aisyah pernah berkata: “Sesungguhnya, apabila Fatimah masuk menemui Rasulullah, Baginda bangun menyambut kedatangan puteri Baginda dan mengalu-alukan kedatangannya, menciumnya dan mempersilakan dia duduk dalam majlis Baginda. “Begitu juga, apabila Rasulullah masuk menemuinya (Fatimah), dia bangun menyambut Rasulullah dan mencium baginda dan mempersilakan Rasulullah duduk dalam majlisnya. Dan sesungguhnya, Fatimah sudah masuk untuk berjumpa Rasulullah pada masa Baginda sedang sakit menjelang kewafatan Baginda, lalu Baginda mengalu-alukan dia dan menciumnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Perkembangan semasa menyaksikan penularan gejala keruntuhan akhlak dalam masyarakat, rapuhnya ikatan kekeluargaan dan sesama insan. Ia turut menular dalam keluarga termasuk keretakan hubungan suami isteri dan anak dengan ibu bapa. Kajian yang dijalankan menunjukkan, apabila fungsi bapa gagal dijalankan, maka ia akan membentuk sikap sama pada anak lelaki dan perempuan. Selepas berumah tangga, anak-anak itu akan melakukan perkara sama kepada anak mereka. Dalam buku What A Difference A Daddy Makes oleh Dr Kevin Leman menggariskan sebab kehadiran seorang bapa penting dalam kehidupan anak. Antaranya: Membentuk keyakinan diri seorang anak. Mencorakkan maruah diri seorang anak. Meningkatkan kecerdasan emosi dan kepintaran akalnya. Membentuk tanggapan anak perempuan terhadap lelaki yang mendampinginya. Anak-anak sangat memerlukan sentuhan, perhatian, belaian, kasih mesra, gurau senda dan ketegasan daripada seorang bapa. Bagi anak, bapa yang selalu tidak berada di rumah akan menjadikannya seolah-olah seperti seorang anak yatim. Justeru, kepulangan bapa tidak pernah disambut. Baginya, kehadiran bapa di rumah seperti ketiadaannya. Ini berlaku disebabkan tidak ada sentuhan sama ada dalam bentuk fizikal, perbuatan atau perkataan. Lama kelamaan, anak hanya menjadikan bapa sebagai tempat meminta wang, bukannya sebagai tempat mengadu, bermain atau meluahkan masalah. Anak berasakan mereka tidak ‘diterima’ oleh bapa sendiri. Ia menyebabkan anak-anak akan mengalihkan perhatian kepada kawan yang menerima mereka seadanya. Bapa yang terlalu garang, kerap mengkritik anak, tidak pernah mendengar luahan perasaan dan pendapat anak serta sering membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak anak (kerana merasakan keputusan mereka lebih baik) juga menyebabkan anak merasa tersisih dalam rumah sendiri. Perceraian dan poligami juga kadang-kadang menyebabkan bapa mula mengabaikan tanggungjawab memberi perhatian kepada anak yang sedang membesar. Keadaan lebih buruk selepas anak meningkat remaja. Mereka akan lebih percayakan kawan dan lebih senang menghabiskan masa dengan kawan daripada keluarga sendiri. Anak jenis ini akan mudah menerima huluran persahabatan daripada orang luar yang tidak dikenali. Mereka juga akan lebih mudah bersama remaja lain yang juga mempunyai bapa jenis itu. Penerimaan orang lain terhadap seseorang adalah sesuatu yang diinginkan oleh setiap insan. Begitu juga, anak mahukan bapa menerima kehadirannya dengan sepenuh hati. Anak juga mahukan bapa menghargai dan menyokong kebaikan anaknya, merangsang dan menggalakkan minatnya serta menegur dengan baik kesilapan dilakukannya. Jika tugas ini gagal dijalankan oleh bapa, anak akan mengemis ‘penerimaan’ orang luar yang mungkin mengambil kesempatan daripada anak yang dahagakan kasih sayang. Perhatian yang diberikan bapa kepada anak perempuan didapati mempengaruhi hubungan anak itu dengan lelaki lain. Anak perempuan yang mendapat perhatian mencukupi daripada bapa akan meletakkan piawaian tinggi terhadap lelaki yang mendampinginya. Dia tidak mudah terpengaruh dengan sifat luaran, tetapi mutu yang ada pada lelaki itu. Kajian mendapati, anak perempuan yang tidak mendapat perhatian bapa kerap bertemu dan berkahwin dengan lelaki yang juga kurang mengambil berat terhadap perasaan isteri, rumah tangga dan anak-anak. Allah memuliakan kedudukan bapa dan memerintahkan anak-anak taat kepada bapa seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Dan kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua orang ibu bapanya” (Surah al-Ankabuut, ayat 8). Justeru, wajarlah bapa menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul dengan menunaikan hak kepada anak-anak dengan sebaik mungkin. Hubungan bapa dan anak ibarat tali bersimpul mati. Hubungan bapa dengan anak tidak mungkin boleh dirungkai walaupun bapa sudah bercerai. Hubungan ini tetap akan dituntut di akhirat kelak iaitu sejauh mana tanggungjawab yang ditunaikan dan hak yang diberikan. Hubungan suci ini juga tidak akan berakhir walaupun anak itu sudah berkahwin dan berkeluarga. Malah, dalam satu hadis, Rasulullah menjelaskan keutamaan bapa yang berbuat baik terhadap anak yang sudah janda disebabkan kematian suami atau bercerai. Rasulullah bersabda kepada Suraqah Ibn Ju’syum maksudnya: “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sebesar-besar sedekah atau daripada sebesar sedekah? Suraqah berkata: “Hebahkan wahai Rasulullah.” Lalu Baginda bersabda: “Puterimu yang sudah menjadi janda (kerana perceraian atau kematian suami) pulang kembali kepadamu, yang tidak mempunyai tempat bergantung selain daripadamu.” (Hadis riwayat Ahmad, An-Nasai dan Ibn Majah). Sesungguhnya, anak-anak kita mungkin mempunyai ramai teman dan rakan serta boleh bertukar-tukar pasangan hidup, tetapi mereka hanya mempunyai seorang bapa saja di dunia ini. PENULIS adalah pelajar Sarjana Psikologi Klinikal yang boleh dihubungi melalui e-mel raudhatus_sakinah@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home