Kemahiran bapa mendidik anak elak gejala sosial
28 Julai 2004
Oleh Dr Hafidzah Mustakim
CABARAN dalaman paling mendesak dihadapi Amerika Syarikat pada akhir abad ke-20 adalah penciptaan semula institusi kebapaan sebagai peranan penting kaum lelaki dalam masyarakat.
Itulah yang diungkapkan David Blackenhorn yang dicatatkan dalam buku ‘Fatherless America: Confronting Our Most Severe Social Problem’. Pendapat ini disokong oleh 72 peratus rakyat Amerika dalam satu pungutan suara yang menamakan ketiadaan bapa dalam rumah sebagai masalah sosial atau keluarga paling serius yang dihadapi oleh negara itu.Dianggarkan, 24.7 juta kanak-kanak hidup tanpa ketiadaan bapa kandung di sisi mereka. Sememangnya peranan bapa dalam pembinaan keluarga dan pembesaran anak-anak adalah kritikal, terutama pada zaman serba mencabar ini. Jika dulu, kebolehan bapa memimpin dan mengurus keluarga adalah sesuatu yang bersifat ‘instinct’ atau semula jadi, namun dalam dunia serba berubah ini, kita merasakan perkara ini adalah suatu kemahiran yang perlu dipelajar, dikuasa dan dikongsi bersama dengan seramai mungkin golongan bapa.Hari ini, kita dapati semakin ramai anak-anak membesar tanpa bapa di sisi mereka. Bilangan keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal terus bertambah. Pada 2000 saja, lebih 620,000 ibu tunggal terpaksa membesarkan anak-anak tanpa suami. Untuk sebahagian besar keluarga lain, walaupun bapa ada, namun hakikatnya seolah-olah bapa itu tidak wujud. Hal ini kerana bapa-bapa ini tidak berfungsi dan memainkan peranannya yang sebenar dalam keluarga. Ada banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Selain faktor bapa yang tidak berkemahiran dan tidak bertanggungjawab, wujudnya fenomena ‘overfunctioning mum’ (ibu bekerja yang tidak terlalu bergantung kepada orang lain, serba boleh dan mengambil alih semua tugas bapa) lebih merumitkan keadaan. Keadaan ini memberikan kesan jangka panjang yang bukan sedikit. Sebahagian besar anak-anak yang lahir daripada keluarga tanpa bapa ini mudah terbabit oleh gejala sosial yang semakin hari semakin parah. Mari kita lihat statistik berikut:
Kanak-kanak yang membesar tanpa bapa mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda untuk menghadapi masalah emosi dan perilaku. Mereka juga berisiko tinggi untuk terbabit dalam penagihan dadah dan alkohol.
Kanak-kanak yang membesar tanpa bapa mempunyai risiko tiga hingga empat kali ganda untuk merokok berbanding remaja yang mempunyai bapa di sisi mereka.
Dalam satu kajian membabitkan 25,000 kanak-kanak, kanak-kanak tanpa bapa memperoleh purata gred yang rendah. Mereka juga mempunyai aspirasi kolej yang rendah, rekod kehadiran persekolahan yang merosot dan kadar keciciran sekolah yang tinggi berbanding mereka yang tinggal dengan kedua-dua ibu bapa.
Sebanyak 71 peratus remaja yang mengandung luar nikah adalah remaja yang membesar tanpa bapa. Semua fakta yang menggerunkan ini sebenarnya cukup untuk membangkitkan semangat kita, terutama golongan bapa untuk memainkan peranan yang aktif dalam pembinaan keluarga dan pendidikan anak-anak. Tidak seperti aspek keibuan, kebapaan jarang mendapat huraian dan perhatian sewajarnya. Namun, kemuliaan status kebapaan dalam Islam itu dirakamkan melalui hadis daripada Abdullah Ibn Amr, katanya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah terletak kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah juga terletak kepada kemurkaan bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).Kebapaan sering dibincangkan dalam konteks ketegasan, tanggungjawab kepemimpinan dan saraan hidup, juga pelaksanaan disiplin di kalangan anak-anak. Dalam masyarakat kita, perbincangan mengenai kebapaan tidak sering diwarnai oleh aspek kasih sayang, komunikasi berhikmah dan kemesraan sepontan. Dalam al-Quran, ada banyak saranan yang ditujukan kepada golongan bapa. Ayat ini bukan saja menyentuh perintah agar bapa menjaga dan memelihara keluarga seperti ayat mengenai ‘Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.’ Ia juga merangkumi ayat yang menganjurkan bapa agar melengkapi diri dengan kemahiran tertentu dalam mendidik dan membangunkan anak-anak. Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya seperti yang dicatatkan dalam ayat 13 hingga 19, surah Luqman adalah contoh jelas bagaimana seorang bapa harus berkemahiran dalam menyusun strategi dalam mendidik anak-anaknya. Antara kemahiran yang diperlukan oleh seorang bapa boleh diringkaskan seperti berikut :
Kemahiran menjadi suami yang disayangi, dihormati dan disanjungi oleh pasangan masing-masing. Perkara ini merangkumi kemahiran memahami perasaan isteri, menghormati perbezaan pandangan yang mungkin berlaku dan seterusnya kebolehan menyusun strategi bersama pasangan dalam mendidik dan membangunkan keluarga. Pepatah ada mengatakan bahawa ‘hadiah terbaik daripada seorang bapa kepada anak-anaknya adalah menyayangi ibu mereka’.
Kemahiran menjadi ayah yang disayangi, dihormati dan diteladani oleh anak-anak. Antaranya, meliputi aspek kemahiran berkomunikasi, kemahiran memahami perbezaan tingkah laku anak lelaki dan perempuan; keseimbangan penggunaan teknik pemberian hadiah dan hukuman serta terbabit secara langsung dalam urusan harian anak-anak.Pelbagai strategi lain yang harus digunakan dalam membesarkan anak-anak dalam dunia yang begitu mencabar ini. Anak-anak akan membesar dengan cepat dan terdedah dengan pelbagai rangsangan positif dan negatif melalui persekitaran mereka. Benarlah sabda Rasulullah yang memberikan kefahaman bahawa anak itu dilahirkan dengan fitrah yang bersih. Ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka sama ada menjadi Majusi, Nasrani atau Muslim yang patuh.
PENULIS adalah Jawatankuasa JIM Pusat. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di laman web www.wanitajimceria.blogspot.com atau e-mel wanitajim0@yahoo.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home