Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, August 18, 2004

WANITA bersuami berhak tentukan perkara seksual

Oleh Dr Suriya Osman

SEORANG wanita yang mengandungkan anak kesembilan datang bersama suaminya ke klinik saya. Melihat mukanya yang cengkung dengan badan kurus kering, saya khuatir tahap kesihatannya, apa lagi tekanan darahnya tinggi. Rupa-rupanya, tekanan darah beliau meningkat sejak mengandungkan anak yang keenam lagi. Namun beliau tidak datang mendapatkan rawatan selepas bersalin kerana terlalu sibuk menguruskan anak yang ramai. Apabila saya bertanya mengapa tidak merancang keluarga, jawapannya ialah suami tidak mengizinkan beliau berbuat demikian.Saya memanggil suaminya yang berada di ruang menunggu. Saya menerangkan bahaya kesihatan isterinya kerana mengandung dalam keadaan diri tidak terjaga dan penat berikutan terpaksa menjaga anak yang begitu ramai, di samping menghidap tekanan darah tinggi.Dengan perasaan hiba, sedih dan geram, saya menyatakan bahawa dia sebagai suami mengabaikan tanggungjawabnya. Lelaki itu amat marah dengan kenyataan saya dan menunjukkan kemarahan ketika membayar bil rawatan dengan mencampakkan duit di atas kaunter. Sebulan kemudian, seorang pegawai polis datang ke klinik saya meminta rekod rawatan wanita itu. Apabila saya bertanya, pegawai itu memberitahu bahawa wanita itu mati dalam keadaan tiba-tiba di rumahnya dan pihak hospital sedang mengkaji sebab kematiannya serta memerlukan segala rekod perubatannya.Rupa-rupanya surat rujukan yang saya beri kepada wanita itu dibuang oleh suaminya dan akhirnya, isteri beliau meninggal dunia. Sebenarnya, wanita juga mempunyai hak ke atas badannya sendiri dan hak untuk menjamin kesihatan tubuhnya, di samping menunaikan tanggung jawab menjadi penyambung zuriat umat manusia.Mengapa kesihatan wanita perlu diselamatkan?Perkara sedemikian kerana kira-kira 350,000 wanita di seluruh dunia meninggal dunia setiap minit akibat kelalaian dan kejahilan mengenai perkara berkaitan dengan reproduksi. Sebanyak 200,000 kes kematian ibu disebabkan penyalahgunaan pil perancang. Sementara antara 120 hingga 150 juta wanita yang mahu merancang kehamilannya masih belum tahu cara merancang yang tepat dan berkesan. Kira-kira 75 juta daripada 175 juta kehamilan setiap tahun adalah yang tidak diinginkan dan ini menyumbang kepada 45 juta kes pengguguran bayi dan selebihnya 30 juta hidup.Seramai 70,000 wanita setiap tahun meninggal dunia akibat pengguguran haram. Ada yang selamat, namun tidak lama kemudian, mereka meninggal akibat kesan jangkitan kuman. Sebanyak sejuta orang pula meninggal kerana jangkitan berikutan kelalaian dan kejahilan mereka mengenai reproduksi, termasuk akibat penyakit jangkitan seksual bukan HIV/ Aids serta ada kira-kira 333 juta kes baru berlaku setiap tahun.Enam daripada 10 wanita di kebanyakan negara, menghidap penyakit jangkitan seksual. Keadaan itu menyebabkan kadar kesuburan mereka menurun. Mereka turut terdedah kepada kanser serta masalah kesihatan serius yang lainnya.Seramai 120 juta wanita, terutama di Afrika menderita akibat tradisi berkhatan alat kelamin sementara dua juta yang lainnya setiap tahun mengalami risiko daripada tradisi ini. Apabila tradisi berkhatan itu mendapat kecaman di peringkat antarabangsa, maka tradisi itu yang diamalkan di kalangan kanak-kanak perempuan mula berkurangan. Ketika ini, ia hanya dilakukan di 28 negara. Seramai dua juta kanak-kanak perempuan berusia antara lima dan 15 tahun dijual dan menjadi pekerja seks komersial setiap tahun.Data diatas memang cukup membimbangkan dan perlu diberi perhatian.Malangnya walaupun teknologi sudah maju, namun pengaruhnya kepada kesihatan reproduksi wanita tidak menonjol.Namun, perhatian yang semakin serius mula diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berikutan penubuhan Tabung Kependudukan PBB (United Nations Population Fund atau UNFPA). UNFPA ialah badan yang menangani isu mengenai kependudukan dan pembangunan. Persidangan antarabangsa di Kaherah pada 1994 merumuskan satu resolusi dan deklarasi mengenai isu kesihatan reproduksi hingga 2015. Antara hak reproduksi menurut UNFPA dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah:
· Hak ke atas kesihatan seksual dan reproduksi sebagai salah satu komponen kesihatan setiap orang secara keseluruhan.
· Hak individu dalam mengambil keputusan, terutama dalam hal berkaitan reproduksi dalam keluarga, pengasuhan anak dan hak ke atas maklumat mengenai makna pilihan berkenaan.
· Hak menentukan pilihan untuk bernikah dan berkeluarga, hak untuk mendapatkan alat pencegahan kehamilan bermutu, hak untuk berfikir secara bebas dan mendapat pendidikan.
· Hak ke atas keadilan dan kesamarataan wanita dan lelaki, memperkasa peluang dan kesempatan menentukan hala tuju kehidupan serta membebaskan diri daripada diskriminasi jantina.
· Hak untuk dilindungi dalam isu reproduksi dan seksual, termasuk bebas daripada perlakuan dan penderaan seksual. Apabila hak ini dilanggar, berjuta-juta manusia, terutama wanita di seluruh dunia menderita akibat penyakit dan terdedah kepada ketidakadilan dan kematian. Kita seharusnya prihatin dengan masalah dan memulakannya dengan diri kita sendiri.Perkara ini tidak bertentangan dengan apa yang disebutkan dalam al-Quran yang mewasiatkan manusia untuk berbuat baik kepada orang tua, terutama kepada ibu. Penekanannya ialah penghormatan kepada ibu kerana ibu ialah orang yang mengalami kesusahan mengandung dan melahirkan. Ini disebut dalam firman Allah bermaksud: “Kami wasiatkan kepada manusia (untuk berbuat baik) kepada kedua-dua orang tua, kerana ibunya mengandungkannya dengan penuh kesusahan di atas kesusahan dan menyusunya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kedua-dua orang tuamu, dan hanya kepada-Ku kamu akan kembali.” (Surah Lukman, ayat 412). – Bersambung PENULIS ialah ialah doktor persendirian dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com/-www.wanitajimceria.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home