Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, October 27, 2004

Sedekah makanan lebih afdal daripada banyak makan

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

“AINA, berbelanja sakan, banyaknya.” Jamilah menegur kawan sepejabat yang berbelanja untuk juadah berbuka puasa.
“Nak layan kerenah semua orang dalam rumah. Bapanya hendak makan mi rebus, Along nak makan nasi kerabu, Angah nak kueh seri muka dan koleh kacang.“Uda pula teringin nak makan mini martabak, si bongsu pula merengek hendak beli kebab kosyer Turki...,” balas Aina.Tidak cukup tangan nampaknya Aina menggenggam hasil beliannya. Kiri dan kanan sarat dengan beg plastik yang penuh dengan juadah pelbagai rasa.Jamilah tersenyum dan benaknya memikirkan sesuatu. Kalau dicongak-congak, Aina menghabiskan tidak kurang RM50 untuk belanja berbuka puasa saja petang itu. Bayangkan sebulan Ramadan, berapakah Aina sediakan untuk juadah berbuka puasa keluarganya? Beginilah saban tahun, kita dan beberapa kelompok di kalangan kita menjalankan ibadat puasa. Ramadan adalah bulan untuk mempelbagaikan juadah, bulan berpesta mengenyangkan perut setelah berpuasa sehari suntuk. Hingga ada antara kita menanti-nanti kedatangan Ramadan bukan kerana rahmat, maghfirah dan syurganya, tetapi disebabkan ‘menu Ramadan’ yang pelbagai dan juadah yang berlambak-lambak di pasar Ramadan.Tidak sedikit orang yang mempunyai sikap seperti Aina yang kurang memahami falsafah puasa, kurangkan juadah, banyakkan sedekah _ yang menganjurkan mengurangkan makan ketika berbuka dan membanyakkan sedekah menggandakan pahala. Ramai yang suka makan berlebih-lebihan dan berbelanja hingga ke tahap membazir. Nabi Muhammad saw pernah bersabda: “Shûmû tashihhû” (berpuasa agar kamu sihat).” Sihat di sini bermaksud sihat secara fizikal. Jadi, dengan berpuasa, kita mengurangkan makan, sekali gus mengatur makanan seimbang yang bertujuan agar kita sentiasa sihat secara fizikal.Kedua, sihat secara sosial. Maksudnya, kita mampu menjalin hubungan baik sesama manusia, saling menasihati, memberi pesan ke arah ketakwaan dan keimanan serta bersedekah dan menolong orang yang memerlukan.Alangkah baiknya jika Aina menjadi seorang ibu yang bijak mengurus selera ahli keluarganya. Menyediakan menu sederhana, tetapi berkhasiat. Wang dibelanjakan untuk juadah yang berlebihan itu dikurang atau disisihkan untuk disedekah dan dikongsikan dengan orang yang kurang bernasib baik seperti anak anak yatim. Begitu juga memberikan sumbangan untuk majlis iftar Ramadan (berbuka puasa) untuk umat Islam yang memerlukan.Apakah kesilapan kita? Pernahkah kita fikirkan orang yang lebih susah daripada kita? Apakah bantuan yang kita hulurkan untuk memberi sesuap makanan pada yang tidak mempunyai apa-apa? Pernahkah kita melihat orang yang mengemis sesuap nasi di kedai makan dihalau dan dihina? Adakah tergerak hati kita untuk menolongnya?Alangkah baiknya jika kita berusaha untuk selalu memberikan iftar (berbuka) bagi mereka yang berpuasa walaupun hanya seteguk air atau sebutir kurma. Perkara ini seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa yang memberi iftar (untuk berbuka) orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangi sedikit pun.” – (Hadis Bukhari Muslim). Anjuran untuk berlumba-lumba dalam bersedekah dan membiasakan diri untuk menderma semaksimum mungkin sesuai dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Abbas, ertinya: “Rasulullah orang yang paling dermawan, terutama ketika berjumpa dengan malaikat Jibril dan Jibril selalu menemuinya setiap malam pada Ramadan hingga akhir bulan itu.” – (Hadis riwayat Bukhari).Pada hadis lain disebutkan bahawa Rasulullah orang yang paling sempurna akhlaknya dan dermawan. Sifat mulia Baginda itu mencakup semua segi antaranya memberikan ilmu, harta dan jiwanya kepada Allah demi menegakkan agama.Rasulullah lebih mementingkan orang lain daripada diri sendiri, keluarga dan anak-anaknya. Baginda memberikan apa yang raja tidak mampu memberikannya. Rasulullah lebih suka hidup sederhana hingga tidak jarang dalam satu atau dua bulan dapurnya tidak mengepulkan asap. Kedermawaan Baginda semakin bertambah ketika Ramadan. Pada bulan inilah waktu keutamaan menjadi dermawan kerana menjadikan pahala berlipat ganda. Membantu orang berpuasa dan orang yang menjalankan ketaatan, berhak mendapatkan pahala seperti pahala orang yg melakukannya, tanpa mengurangi sedikit pun pahalanya. Allah Maha Dermawan terhadap hamba-Nya dengan rahmat dan maghfirah-Nya dalam bulan Ramadan ini. Maka, sepatutnya seorang hamba membalas kebaikan-Nya dengan mendermakan harta dan jiwa hingga berhak memperoleh rahmat Allah.Antara keutamaan sedekah adalah menghindar murka Allah dan terhindar daripada suu’ul khatimah, iaitu meninggal dalam keadaan sesat. Sedekah juga mempunyai pengaruh luar biasa untuk menolak bermacam cubaan dan malapetaka dan melebur kesalahan. Sedekah membuat hati menjadi senang dan dada terasa lapang. Maka kerana itu kita dilarang bakhil. Abdurrahman bin Auf setiap kali bertawaf di Makkah selalu berkata: “Ya Allah lindungilah aku daripada jiwa yang bakhil.”Ramadan juga memberi ruang kepada peniaga untuk mencari rezeki. Biasanya, peniaga akan menjual pelbagai jenis juadah berbuka puasa untuk pilihan pembeli. Namun begitu, adalah tidak mustahil bagi peniaga akan mengalami lebihan juadah yang tidak habis terjual kerana untung dan rugi adalah adat berniaga. Juadah seperti kuih-muih basah, biasanya tidak akan tahan lama dan pastinya akan basi. Peniaga perlu bersikap positif dalam berniaga, dengan menyedekahkan sebahagian kuih-muih yang tidak habis dijual kepada yang memerlukan. Tindakan itu tidak akan membawa kerugian. Ia adalah sedekah dan Allah pasti akan memperluaskan pintu rezeki-Nya kepada mereka yang melakukannya, insya-Allah. Perkara ini kerana setiap sedekah itu ada keberkatannya. Diakui atau tidak, dalam kehidupan kita sehari-hari masih selalu berat untuk menginfakkan (menyedekahkan) sebahagian harta kepada yang berhak. Kita sering tidak tersentuh melihat anak kecil berkaki ayam kelaparan memohon belas kasihan. Kita sering berfikir dua kali untuk memberi derma jika ada orang yang meminta. Begitu juga berat untuk membantu jiran yang kelaparan, pengemis terdesak lapar atau fakir miskin yang tidak sanggup lagi membiayai anaknya sekolah. Malah, untuk mengeluarkan zakat (yang sememangnya menjadi kewajiban). Kita selalu berusaha untuk menghindari dan mencari-cari alasan berbuat demikian.
· PENULIS boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com atau www.wanitajimceria.blogspot.comWANITA JIM sedang mempromosikan sumbangan iftar Ramadan untuk rakyat Palestin, Mindanao dan Pattani. Tarikh akhir kutipan adalah pada 31 Oktober 2004. Sila hubungi Wanita JIM di 03-41089669 (Rawiyah) atau 03-41073379 (Nur).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home