Empat persediaan sambut kedatangan Ramadan
Oleh Prof Madya Maznah Daud
INSYA-ALLAH beberapa hari saja lagi kita dikunjungi tetamu agung yang tidak jemu-jemu bertandang tahun demi tahun. Setiap kali kehadirannya pasti membawa berjuta-juta kebaikan dan keberkatan untuk seluruh bani insan. Oleh kerana besarnya kelebihan Ramadan, Nabi Muhammad saw selalu memberi khabar gembira kedatangannya kepada sahabat dengan bersabda bermaksud: “Telah datang kepadamu Ramadan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa dalamnya; pada bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan diikat. Juga ada pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barang siapa tidak memperoleh kebaikannya, maka dia tidak memperoleh apa-apa.” (Hadis riwayat Ahmad dan An-Nasa'i) Dalam satu riwayat lain, Rasulullah bersabda: “Telah datang kepadamu Ramadan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa dan memakbulkan doa. Allah melihat kamu berlumba-lumba pada bulan ini dan membanggakanmu kepada malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal yang baik daripada dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah pada bulan ini.” (Hadis riwayat Ath-Thabrani)Dalam hadis lain, Baginda bersabda bermaksud: “Umatku pada Ramadan diberi lima keutamaan yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya iaitu; bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada aroma kasturi; malaikat memohonkan keampunan bagi mereka sampai mereka berbuka; Allah setiap hari menghiasi syurga-Nya lalu berfirman (kepada syurga),’Hampir tiba saatnya hamba-Ku yang soleh dibebaskan daripada beban dan derita serta mereka menuju kepadamu’; pada bulan ini jin yang jahat diikat hingga mereka tidak bebas bergerak seperti pada bulan lain serta diberikan kepada ummatku ampunan pada akhir malam.” Beliau ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah malam itu Lailatul Qadar?” Jawab Baginda: “Tidak. Namun orang yang beramal tentu diberi balasannya jika menyelesaikan amalnya.” (Hadis riwayat Ahmad)Bulan ini dipilih oleh Allah untuk menurunkan al-Quran dan kitab suci lain. Allah berfirman maksudnya: “Ramadan yang diturunkan dalamnya al-Quran, menjadi pembimbing bagi sekalian manusia, mengandungi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah...” (surah al-Baqarah, ayat 185)Daripada Wathilah bin al-Asqa’, sesungguhnya Rasulullah bersabda maksudnya: “Telah diturunkan Suhuf Ibrahim pada malam pertama Ramadan, diturunkan Taurat selepas berlalu enam hari Ramadan, diturunkan Injil selepas hari ke-13 Ramadan, dan diturunkan al-Quran selepas 24 hari Ramadan.” (Hadis riwayat Ahmad)Pada bulan ini juga ada Lailatul Qadar (malam mulia) iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan atau sama dengan 83 tahun empat bulan. Malam di mana pintu langit dibukakan, doa dikabulkan dan segala takdir yang berlaku pada tahun itu ditentukan. Sabda Nabi bermaksud: “Barang siapa mendirikan solat pada Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala daripada Allah nescaya diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis Muttafaq 'Alaih) Itu hanya sebahagian daripada nas yang menunjukkan betapa mulianya Ramadan.Apakah persediaan kita untuk menyambut kehadiran Ramadan?Sebagai mukmin pastinya kita amat merindui dan menantikan kedatangannya. Lantaran itu kita seharusnya membuat persediaan sebaik-baiknya sesuai dengan kemuliaan dan kehebatannya.Pertama, persediaan kerohanianDari aspek kerohanian atau ruhi, banyakkan istighfar memohon ampun daripada dosa. Bersihkan hati daripada segala kepercayaan, kefahaman dan anggapan yang berlawanan dengan akidah Islam yang berpaksikan tauhid. Selalu berdoa supaya termasuk dalam golongan hamba yang terpilih untuk menerima anugerah-Nya yang besar pada bulan ini. Tambahkan ayat hafazan serta doa pilihan sebagai bekalan. Kedua, persediaan mentalFahami, rasai dan hargai nilai Ramadan dengan sebenar-sebenarnya. Paculah seluruh kekuatan dan kemampuan yang ada untuk merebut dan meraih segala kebaikannya semaksimum mungkin. Lihatlah apa yang dilakukan oleh peserta Survivor atau Fear Factor. Mereka sanggup lakukan apa saja termasuk makan benda kotor dan busuk untuk mendapat hadiah yang ditawarkan yang mereka yakin sangat besar nilainya. Jadi, apabila kita benar-benar memahami betapa besarnya fadilat Ramadan, tentu kita tidak akan mensia-siakannya walaupun satu detik.Tentukan matlamat yang hendak dicapai dengan jelas, umpamanya khatam al-Quran dua kali, solat Subuh di masjid setiap hari dan sebagainya.Ketiga, persediaan fizikalUntuk menjalani ibadah yang dituntut seperti puasa pada siang hari, solat Tarawih, witir dan tahajud serta tilawah al-Quran pada malam hari tentu memerlukan badan yang sihat serta cergas. Mereka yang mempunyai masalah kesihatan, segera membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan. Minta pandangan dan berbincang dengan mereka yang berpengalaman mengenai cara untuk menjaga kesihatan dan mengekalkan tahap kecergasan dalam menunaikan kewajipan yang sangat penting dan besar ganjarannya ini.Keempat, persediaan emosiLahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana dipanjangkan usia dan diberikan kesempatan sekali lagi untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia. Nantikan kehadiran Ramadan dengan perasaan yang bercampur antara harap dan takut. Harap supaya Allah memberikan pertolongan, mempermudahkan kita melaksanakan ibadah, mengampunkan segala dosa, menghadiahkan syurga dan menyelamatkan kita daripada seksa api neraka.Sesungguhnya Rasulullah menyatakan dalam sabdanya: “Barang siapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis Muttafaq 'Alaih). Di samping itu, kita berasa takut amalan yang dilakukan tidak sempurna, tuntutan puasa yang sebenarnya tidak dapat kita penuhi. Sesungguhnya puasa yang hakiki bukan sekadar meninggalkan makan dan minum pada siang hari, malah meninggalkan segala yang haram dan dilarang oleh agama, baik perbuatan atau perkataan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak berhajat dengan puasanya meninggalkan makan dan minum.” (Hadis riwayat Al-Bukhari) Dengan persiapan itu diharapkan Ramadan tahun ini lebih bermakna dan kita akan termasuk dalam golongan hamba yang berjaya, insya-Allah. Diriwayatkan bahawa Nabi bersabda : “Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya, dan satu kebaikan dibalas 10 kali ganda bahkan sampai 700 kali ganda. Allah berfirman, ‘Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang membalasnya. Ia telah meninggalkan syahwat, makan dan minumnya kerana-Ku. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada aroma kasturi.” (Hadis Muttafaq 'Alaih).(PENULIS ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com. Jawapan terhadap permasalahan boleh di baca di www.wanitajimceria.blogspot.com)
0 Comments:
Post a Comment
<< Home