Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, December 15, 2004

Lelaki abai tugas lindungi wanita tanda akhir zaman

Oleh Hamidah Mat
DALAM hadis riwayat Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda: “Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan berleluasa, wanita semakin ramai dan lelaki semakin kurang sehingga 50 wanita hanya dilindungi seorang lelaki.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Ia adalah satu topik yang menarik dan selalu dibincangkan dalam pelbagai forum kebapaan iaitu seolah-olah kini ‘kelelakian’ semakin pupus. Mengapakah fenomena ini terjadi dan bagaimanakah cara untuk mengembalikan semangat lelaki?Hipotesis yang cuba dilontarkan dalam menganalisis permasalahan ini ialah mungkin disebabkan ramainya lelaki yang tidak lagi berperanan sebagai lelaki dan hilang semangat kelelakiannya. Hilang semangat kelelakian? Mungkin ramai yang akan menduga ia membawa maksud bertambahnya ‘lelaki lembut’ seperti yang pernah dibincangkan di akhbar tempatan suatu waktu dulu atau semakin kurang bilangan lelaki. Namun, sebenarnya ia bukan yang demikian. Bilangan lelaki ramai jika tidak lebih atau sama dengan jumlah wanita pun sekurang-kurangnya tidaklah terlalu jauh nisbahnya. Yang dimaksudkan di sini ialah kurangnya lelaki yang menjalankan peranan mereka sebagai lelaki seperti yang diperintahkan Allah dalam al-Quran iaitu lelaki sebagai ‘qawwamun’ (pelindung) kepada wanita. Hipotesis itu ada kebenarannya malah tidak keterlaluan jika dikatakan bertepatan dengan hadis di atas. Hadis itu menyebut bahawa antara tanda akhir zaman ialah lelaki semakin kurang daripada wanita dan yang lebih parah lagi, 50 wanita hanya dijaga oleh seorang lelaki. Menariknya dalam hadis itu ialah Rasulullah saw menggunakan perkataan ‘qawwam’ yang bermaksud pelindung untuk 50 wanita dan tidak menggunakan perkataan ‘rijal’ yang membawa makna lelaki. Maksudnya orang lelaki yang menjaga wanita itu semakin sedikit bilangannya. Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita sama ada dengan tidak bertanggungjawab menjaga keluarga, tidak berperanan sebagai ketua keluarga atau memperlakukan wanita dengan tindakan yang langsung tidak menjaga mereka, malah memudaratkan seperti mengeksploitasi, merogol dan menjadikan wanita alat pelepas nafsu. Lihatlah apa yang selalu dipaparkan di media cetak dan elektronik di mana masyarakat semakin hari semakin tenat moralnya. Berita rogol semakin kerap disiarkan di televisyen atau akhbar. Sumbang mahram, bunuh, samun, ragut, dera isteri, anak dan pembantu rumah jelas menunjukkan hilangnya kelelakian ramai lelaki di negara ini. Bukannya hilangnya sifat kelelakian kerana mereka bertukar jantina tetapi disebabkan tidak menjalankan tugas sebagai lelaki yang sebenarnya iaitu sebagai pelindung kepada wanita.Rasional teori ialah jika seorang lelaki mempunyai sifat kelelakian dan menjadi pelindung kepada wanita, maka dia akan melihat mereka sebagai kumpulan yang memerlukan perlindungan, dihormati, dijaga maruah mereka, tidak dikasari, tidak dieksploitasi apatah lagi diperlakukan sesuka hati seumpama barang. Mereka tidak akan berzina dengan wanita yang haram baginya atau merogol mereka kerana dia menyedari wajib bagi mereka melindungi maruah wanita itu daripada dikasari dan dizalimi. Apatah lagi terhadap anak, cucu dan kerabat sendiri. Mereka juga tidak sekali-kali akan menyamun, mencuri, meragut dan membunuh wanita kerana mereka sepatutnya menjaga mereka daripada sebarang mudarat dan musibah. Pendek kata jika masyarakat mempunyai ramai lelaki pelindung, kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial.Dalam kehidupan berkeluarga, masyarakat amat memerlukan lelaki pelindung. Mereka tidak akan malas di rumah dan membiarkan isteri dan anak saja membanting tulang serta tidak akan memukul atau mendera sama ada isteri mahupun anak, tidak akan menengking, mengherdik, memaki, mencaci dan mencarut kepada wanita dan ahli keluarganya. Lelaki pelindung juga tidak akan menggadaikan maruah anak dan isterinya walau sesulit mana pun masalah yang dihadapi. Sayangnya lelaki pelindung semakin pupus di dalam masyarakat Melayu di Malaysia hari ini.Ironinya dalam sesetengah keadaan, wanita turut menyumbang kepada pelupusan sifat pelindung lelaki berikutan lantangnya suara sumbang golongan aktivis wanita yang ingin menyamaratakan taraf wanita dan lelaki tanpa menyedari risikonya. Mereka juga galak menyeru kepada usaha dominasi wanita terhadap tugas yang selama ini dipegang oleh lelaki. Pada masa sama, semakin ramai wanita yang rela diri mereka dieksploitasi oleh lelaki yang mementingkan nafsu dan keuntungan material semata-mata daripada etika dan maruah hingga kewujudan Pelayan Pelanggan (GRO) atau pelacur dianggap bukan masalah lagi. Akhbar, majalah dan televisyen berlumba-lumba menggunakan wanita untuk melariskan produk mereka. Apakah kaitannya wanita yang menjilat aiskrim dengan ghairah sambil berbaju seksi untuk produk mereka atau apa logiknya wanita berpakaian ketat dan seksi berbaring di atas kereta di dalam iklan kenderaan? Perkara seumpama ini tidak akan berlaku jika lelaki mempunyai sifat pelindung dan wanita pula menyedari bahawa mereka wajib dilindungi, bukan dieksploitasi atau dipergunakan.Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menyedarkan lelaki mengenai tugas mereka sebagai pelindung dan proses apakah yang perlu digunakan terhadap semua lelaki di negara ini supaya sedar bahawa mereka adalah lelaki dan perlu melindungi wanita? Dalam hal ini, lelaki Muslim perlu menyedari kedudukan mereka di hadapan Allah swt dan perlunya mereka kembali kepada Islam yang mengangkat martabat wanita serta menjadikan lelaki sebagai pelindung martabat mereka. Jika seseorang Muslim sedar bahawa dia adalah hamba Allah, maka dia wajib mengikuti perintah Allah. Jika ingin mengikut perintah Allah, dia wajib mengikuti ajaran al-Quran yang menyuruh lelaki menjadi pelindung kepada wanita dan mengikut contoh model pelindung terbaik iaitu Rasulullah. Rasulullah saw tidak pernah menyakiti apatah lagi menganiayai dan menzalimi wanita. Baginda mengajar kita melindungi wanita yang menjadi sebahagian daripada unsur utama masyarakat Islam. Dengan mengikuti sunnah Baginda, seseorang lelaki itu akan sentiasa menjadi pelindung wanita. l Penulis ialah Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau boleh dihubungi di e-mel, wanitajim0@yahoo.com dan sebarang jawapan terhadap kemusykilan boleh dilayari di www.wanitajimceria.blogspot.com.

1 Comments:

Post a Comment

<< Home