Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, January 05, 2005

Iman harus meningkat selaras pertambahan usia

5 Januari 2005

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

KITA baru berada dalam tahun 2005. Oleh itu, elok kita muhasabah diri untuk melihat kembali senarai resolusi awal tahun lalu. Sejauh mana kejayaan pelaksanaan. Jika berjaya dicapai, perlu difikirkan lagi bagaimana untuk meningkatkan prestasi.

Apabila disemak, banyak juga resolusi tidak tercapai dan gagal mencapai sasaran. Kegagalan perlu diselidik. Di manakah kekurangan dan kelemahan diri sendiri? Jika hendak berjaya, perlu berani menyalahkan diri sendiri di atas apa yang berlaku ke atas diri. Jika asyik menyalahkan orang lain, sentiasa mencari alasan, pasti akhirnya tidak akan menjadi golongan cemerlang. Hal itu mengingatkan kita kepada lagu ’Bangau Oh Bangau’, satu lagu kesukaan pada zaman kanak kanak. Mesej yang menonjol daripada lagu itu adalah tabiat suka mencari alasan dan menyalahkan orang lain. Apabila masalah timbul kita akan mencari alasan dan mencari kambing hitam untuk menyalahkan orang lain. Bangau menyalahkan ikan. Ikan menyalahkan rumput. Rumput menyalahkan kerbau dan begitu seterusnya. Sikap cepat menyalahkan orang lain, tanpa usul periksa adalah budaya keji. Fenomena ’Bangau Oh Bangau’ menjadi budaya kita. Apabila umat Islam ditimpa tragedi, kita salahkan orang lain. Walhal kita juga sebahagian daripada masalah dan tragedi itu. Kita perlu mencari kesalahan sendiri, kemudian perbaiki kesilapan itu.Sekarang mari kita muhasabah diri untuk memperbaiki kesilapan. Dengan itu, semoga insya-Allah meningkatkan ilmu, takwa dan amal. Beralih ke tahun baru, kita pun berkira kira ingin mencipta resolusi baru lagi. Tidak ada salahnya mengarang resolusi demi resolusi. Hal ini kerana resolusi melambangkan keghairahan cita-cita dan wawasan masa depan yang lebih baik. Namun, resolusi perlulah realistik dan berpijak di bumi nyata. Ia perlu praktikal dan boleh dilaksanakan. Wawasan yang realistik penting. Firman Allah bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286) Ayat ini menunjukkan untuk mencapai kejayaan, matlamat dan cita-cita, seseorang itu perlu menyesuaikannya dengan kemampuan dan kekuatan yang dimiliki, iaitu ia hendaklah realistik. Adalah tidak munasabah jika seorang sasterawan ingin membuka klinik perubatan untuk merawat orang sakit. Demikian juga, tidak realistik jika seseorang bercita-cita untuk melaksanakan ibadah seumur hidupnya tanpa tidur. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, pada zaman Rasulullah saw ada beberapa sahabat yang berazam untuk melakukan perkara luar biasa untuk mendekatkan diri kepada Allah. Antara mereka berazam untuk terus menerus berpuasa. Seorang lain, berazam untuk melaksanakan ibadah tanpa tidur dan ada yang berazam tidak berkahwin agar ibadahnya tidak terganggu. Apabila Nabi diberitahu mengenai perkara itu, Baginda tidak bersetuju dengan tindakan mereka. Hal itu kerana ia bercanggah dengan sifat semula jadi manusia. Rasulullah bersabda bermaksud: “Demi Allah, akulah manusia yang paling takutkan Allah dan paling bertakwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur dan aku juga berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut sunnahku ini, dia tidak termasuk dalam golonganku.” Resolusi dan cita-cita yang akan menjadi kenyataan adalah yang realistik disusuli dengan amal berterusan.Sebaik melangkah tahun baru, bertambah usia, kita semakin tua. Seharusnya, kita semakin hebat berperanan. Bertambah kesungguhan dan komitmen terhadap melakukan kebaikan untuk masyarakat. Ada antara kita apabila mencapai umur tua, ‘pencen’ dalam segala hal. Mereka bukan saja pencen di sudut kerjaya, malah membuat amal kebajikan, dakwah, mengeluarkan idea serta pemikiran untuk kemajuan dan kebaikan masyarakat.Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Semakin tua, seharusnya semakin menjadi dalam hal kebaikan. Semakin berumur, semakin gigih menegakkan kebenaran. Semakin berumur, semakin komited dengan kebajikan dan makruf. Mari kita mengenang kembali sirah kehidupan Nabi Muhammad. Baginda diutus menjadi rasul ketika berumur 40 tahun. Berjuang di Makkah selama 13 tahun sebelum berhijrah ke Madinah. Umur baginda ketika berhijrah adalah 53 tahun. Lebih kurang umur pekerja di Malaysia yang akan pencen. Namun, Baginda tidak pencen. Semakin tua semakin menjadi.Sewaktu, penghijrahan itu, tidak ada kereta Chevrolet, Honda, Toyota atau Kancil, yang ada cuma unta. Bayangkan penghijrahan itu yang memerlukan pengorbanan tinggi. Ia dipenuhi penderitaan. Contoh lain, yang tidak kurang menarik adalah pengorbanan panglima Islam terkenal, Musa bin Nusair. Apabila sebut nama ini, kita teringat pada sebuah negara yang satu ketika dulu ditakluk oleh beliau. Negara itu bernama Sepanyol, yang dahulunya dikenali sebagai bumi Andalus. Musa bin Nusair adalah penakluk gagah berani dan handal hingga majoriti rakyat Sepanyol menerima Islam dan negara itu mencapai kegemilangan di tangan umat Islam. Umur Musa bin Nusair ketika berangkat ke Sepanyol lebih kurang 70 tahun. Umur 70 tahun ini kita boleh panggil beliau dengan gelaran tok wan atau datuk. Namun, semakin tua, semakin menjadi perjuangan dan kebaikannya.Oleh itu, janganlah jadikan umur tua sebagai alasan untuk melembapkan diri. Ambillah iktibar daripada Rasulullah dan panglima Islam Musa bin Nusair yang membuka Sepanyol untuk menerima kehebatan Islam. Semua ini merangsang kita ke arah sentiasa komited dengan usaha baik walaupun tua. Jadi, itulah yang dimaksudkan dengan semakin tua, semakin menjadi, bukan dalam bentuk negatif, tetapi dalam bentuk positif. Jadikan setiap penggantian tahun sebagai hari peningkatan (Az-Ziyadah) ilmu dan amal sebagai tanda syukur. Hal ini supaya kita tidak termasuk golongan orang yang terkena azab pedih Allah. Mungkin antara resolusi ingin dicontohi adalah seekor lebah yang hinggap pada bunga untuk membantu dan tidak merosak. Menjadikan setiap tempat adalah ladang amal, setiap orang adalah objek untuk meraih keredaan Allah tanpa mengoyak-ngoyak perasaan dengan perbezaan pendapat.Ya Rabbi! Tanamkan ladangku dengan keinsafan Nabi Adam, ketahanan Nuh, kecerdasan Ibrahim, ketulusan Ismail, kesederhanaan Ayub, kesabaran Yunus, kelapangan Yusuf, kesungguhan Musa, kefasihan Harun, kesucian Isa dan kematangan Muhammad. Bukan hanya ungkapan “Selamat Tahun Baru” diucapkan, tetapi “Selamat Merenungi Nikmat Allah, Selagi Roh Masih Bersatu Dalam Jiwa.”l PENULIS boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan permasalahan boleh dilihat di www.wanitajimceria.blogspot.com.

1 Comments:

Post a Comment

<< Home