Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, December 29, 2004

Golongan bijak hargai masa beruntung

29 Disember 2004

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

ABAD, tahun, bulan, minggu, hari, jam, minit dan saat adalah proses batasan masa yang kita lalui. Hidup di dunia hanya sementara, tidak kekal dan terikat dengan perjalanan detik itu. Penggantian masa daripada tingkat proses itu adalah petanda semakin berkurangnya kesempatan diberikan Allah untuk kita hidup di bumi-Nya.

Tahun 2004 berganti menjadi 2005 menunjukkan bahawa kita mendekati suatu masa yang menuntut agar lebih waspada dalam rangka melakukan terbaik pada masa akan datang.Di Malaysia, rakyat tidak ketinggalan merayakan akhir tahun dengan begitu meriah. Salahkah kita turut merayakan tahun baru? Pertanyaan ini muncul ketika melihat realiti perayaan menunggu detik-detik tahun baru yang dilakukan secara besar-besaran oleh setiap lapisan masyarakat seluruh negara.Akhir-akhir ini, perayaan tahun baru dirancang dengan pelbagai acara yang baik dan tidak kurang program berunsur hiburan melampau yang boleh menimbulkan kemudaratan (maksiat). Haru-biru, budaya glamor, seks bebas, minum arak dan mabuk-mabuk serta pengambilan najis dadah. Akhirnya, perayaan tahun baru tahun menjadi ‘wahana’ meningkatnya perbuatan maksiat kepada Allah.Masyarakat harus lebih menyedari dan berwaspada terhadap kegiatan negatif berpaksikan ‘hedonisme’, hiburan yang melampau batas. Bukakan minda dan hati untuk menunggu detik akhir tahun tanpa maksiat. Tumpukan untuk bermuhasabah terhadap apa yang dilakukan pada tahun ini, demi meningkatkan mutu ilmu dan moral pada masa akan datang.Inti patinya adalah akhir tahun tidak menjadi wahana melakukan maksiat. Maka, perayaan menunggu detik akhir tahun harus diformat menjadi suatu kegiatan yang lebih mengarah kepada kegiatan direda dan diberkati Allah.Akhir tahun ini, bermuhasabah diri dalam rangka menjadi insan kamil terbaik pada masa depan. Untuk itu, kita mesti memahami hakikat waktu. Penggantian tahun adalah proses dari waktu itu sendiri. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Ada dua nikmat di mana kebanyakan manusia sering tertipu dengannya, nikmat sihat dan masa lapang (senggang).” (Hadis riwayat Bukhari). Hadis ini menjelaskan bahawa orang baik, berjaya dan cemerlang dalam hidup ialah mereka yang menghargai kesihatannya dan nikmat waktu masa lapangnya. Penghargaan terhadap kedua-dua perkara itu dengan melakukan terbaik demi masa depannya.Ramai antara kita tidak menghargai dua perkara itu. Sewaktu sihat, tidak mempedulikan penjagaan diri dan lupa pada suatu hari nanti akan sakit. Demikian juga ketika mempunyai banyak masa lapang, lupa pentingnya masa itu, hingga membuang waktu untuk perkara tidak bermanfaat.Hidup dan mati adalah ujian daripada Allah. Dalamnya Allah melihat, siapa antara hamba-Nya yang paling baik amalnya (Surah al-Mulk, ayat 2). Di sinilah nilai betapa pentingnya masa dalam kehidupan seorang hamba. Hal ini kerana di atasnya kebaikan dan keburukan disemaikan. Prestasi dan kegagalan dikukuhkan. Semakin hari amal perbuatan kita semakin bertambah, bukan menjadi sebaliknya.Orang yang rugi ialah mereka yang tidak pandai menghargai masanya hingga terbuang secara sia-sia, tanpa memberi pada dirinya atau orang lain.Allah berfirman bermaksud: “Demi masa, sungguh manusia berada dalam keadaan kerugian, kecuali orang yang beriman, beramal salih, saling menasihati dalam kebenaran dan dalam kesabaran.” (Surah al-Ashr, ayat 1-4). Pernyataan Allah itu menunjukkan betapa pentingnya masa, terutama apabila dikaitkan dengan ‘kerugian’. Untuk tidak jatuh ke lembah kerugian, marilah memahami maksud ‘kerugian’ sebenar. Dalam hadisnya, Rasulullah saw meriwayatkan bahawa: “Seseorang akan tergolong dalam golongan orang yang ‘rugi’, apabila hari ini sama saja dengan hari semalam, tergolong dalam golongan ’celaka’, apabila hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan tergolong dalam golongan ‘beruntung’, apabila hari ini lebih baik daripada hari semalam."Adakah amalan kita sepanjang 2004 lebih baik daripada tahun sebelumnya?Islam memandang masa bukan sebagai sesuatu benda yang boleh ditaksir harganya. Masa adalah hidup kita sendiri. Kehilangan masa sama ertinya kehilangan umur. Seorang sufi terkemuka, Hasan al-Bashri berkata: “Wahai anak cucu Adam, engkau hanyalah kumpulan dari hari yang terhitung. Apabila berlalu satu hari, bererti hilanglah sebahagian daripadamu. Jika hilang sebahagian daripadamu, maka bertambah dekatlah saat kematianmu. Jika engkau sudah mengetahui hal itu, maka segeralah berbuat! (Beramal, bersiap dan berbekallah)."Malangnya, masih ada umat Islam yang mensia-siakan masanya, padahal Allah memberikan kesempatan kepadanya. Masa berlalu begitu saja, tanpa zikir, fikir dan bekerja yang bernilai positif.Masa terus berjalan, apabila tidak digunakan dengan bijak, maka ia yang akan menggilis kita. Mempermainkan masa sama dengan mempermainkan hidup. Hayati ungkapan ahli hikmah bermaksud: “Al-waqtu ka as-saif, in lam taqtha 'huqatha 'ka" (waktu bagaikan pedang, jika engkau tidak menggunakan fungsi memotongnya maka ia yang akan memotongmu).Akhir 2004 menuju 2005 kita jadikan sebagai langkah awal untuk lebih menghargai masa. Menunggu detik akhir tahun dengan perkara bermanfaat agar dapat menghampirkan diri kepada Allah (taqarrub ilallah). Bermuhasabah pada akhir tahun dapat membimbing kita melakukan yang lebih baik untuk masa depan. Kita songsong tahun baru 2005 untuk menjadikan bangsa beradab, bermoral, adil dalam kemakmuran dan makmur dalam keadilan.PENULIS boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com dan jawapan permasalahan boleh dilihat di www.wanitajimceria.blogspot.com.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home