Jaga alam sekitar satu amanah
Oleh Noor Zaitun Yahaya
CUTI persekolahan adalah waktu paling sesuai untuk seisi keluarga menghabiskan masa bersama. Pada masa ini, ibu bapa dapat menghabiskan banyak masa dengan anak untuk melancong dalam negara atau pulang ke kampung halaman.
Suasana tenang dan damai kampung serta tempat yang penuh dengan alam semula jadi tidak tercemar menjadi idaman. Hakikatnya, manusia perlu kepada alam yang diciptakan Allah sebagai suatu alat untuk penyempurnaan fizikal, emosi dan roh atau jiwa manusia.Kesedaran manusia terhadap alam sekitar tidak hanya dirasakan oleh kebanyakan orang awam. Ia turut hangat dibincangkan pada peringkat nasional dan menjadi agenda utama kebanyakan persidangan antarabangsa Hal ini adalah rentetan daripada pelbagai kerosakan yang melanda darat, pencemaran udara dan lautan. Ia adalah hasil daripada sikap dan tindak tanduk manusia yang cuai, pentingkan diri sendiri, rakus, tidak bertanggungjawab serta tidak bertimbang rasa terhadap alam sekitar.Kecuaian seperti ini amat bertentang dengan kehendak apa juga agama, apatah lagi Islam.Islam sebagai cara hidup, menerangkan hakikat bahawa tiada pengasingan antara manusia, alam sekitar dan Allah. Perkara ini diterangkan Allah melalui firman-Nya bermaksud: “Kepunyaan Allah swt jualah apa-apa yang di langit dan di bumi, dan pengetahuan Allah maha meliputi segala sesuatu”. (Surah an-Nisa, ayat 126)Rasulullah saw bersabda bermaksud : “Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat Muslim)Dalil di atas jelas menunjukkan konsep yang harus dimiliki oleh umat Islam terhadap alam sekitar. Antaranya adalah peranan manusia sebagai khalifah atau wakil Allah di bumi. Ia adalah prinsip asas ajaran Islam. Manusia tidak sebebasnya memiliki semua khazanah di muka ini. Alam sekitar sekadar amanah Allah kepada manusia dan kita berkewajiban mengurusnya dengan baik. Melakukan kerosakan dan kebinasaan kepada alam ini adalah tanda pengkhianatan terhadap amanah itu.Kesedaran terhadap alam sekitar, peranan dan tanggungjawab kita terhadapnya wajar dimulakan seawal mungkin. Jika kesedaran dan pendidikan ini dapat dimulakan sejak kecil, ia secara tidak langsung akan melahirkan generasi yang bertanggungjawab terhadap amanah yang Allah berikan kepada kita. Malang sekali jika kita melihat apa sebenarnya berlaku pada hari ini. Jelasnya, kebanyakan mereka yang mempelopori bidang ini adalah bukan Islam. Bahan rujukan dalam bidang ini sama ada dalam bentuk buku, majalah dalam dan luar negara serta laman web kebanyakan dikumpul dan ditulis oleh bukan Islam. Mereka sanggup membelanjakan modal besar untuk mengadakan pelbagai program mengenai kegiatan dan kempen kesedaran serta pendidikan untuk kanak-kanak mengenai ‘kecintaan’ dan prihatin terhadap alam sekitar. Usaha mereka terbukti berjaya dan wajar dijadikan cabaran kepada kita bagi memulakan langkah ke arah usaha itu. Kata orang, walaupun lambat, tetapi lebih baik daripada tidak melakukannya langsung. Di Malaysia, memang ada usaha dijalankan pihak berwajib untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar. Kajian oleh Unit Perancang Ekonomi mendapati 90 peratus penduduk mengetahui dan sedar terhadap kepentingan dan isu alam sekitar. Daripada jumlah itu cuma 25 peratus yang terbabit dengan program pemuliharaan. Mungkinkah kita telah hanyut dalam kehidupan dan sibuk mencari rezeki hingga lalai daripada mempedulikan prinsip asas yang telah Allah amanahkan kepada kita? Oleh itu, setiap kita ada peranan terhadap alam sekitar, antaranya adalah:
· Ibu bapa sewajarnya menanamkan asas cintakan alam sekitar kepada anak-anak. Contohnya, seorang ibu berperanan mendidik dan menyedarkan anak terhadap perkara asas alam sekitar. Ia harus dimula dan disedarkan mengenai hubungan akrab dan kudus antara manusia, alam sekitar dan Pencipta. Sekali gus, ia akan menanamkan ketauhidan yang mutlak kepada Allah. Program percutian keluarga sewajarnya diisi dengan menyelitkan unsur mencintai dan pendidikan alam sekitar. Mewujudkan bahan rujukan berkaitan dengan alam sekitar di ruang perpustakaan di rumah adalah antara perkara yang perlu di beri perhatian. Disamping itu, rumah sebagai unit keluarga yang kecil boleh menerapkan cintakan alam sekitar dengan menyokong semua kempen pihak berkuasa seperti program kitar semula dan mengelakkan pembakaran terbuka;
· Dalam konteks institusi mahupun agensi kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan, kesedaran dan keprihatinan terhadap alam sekitar harus dipertingkatkan. Program institusi itu, wajar diselitkan dengan program ke arah meningkatkan kefahaman dan kesedaran kita terhadap alam sekitar. Umpamanya, bagi institusi yang mempunyai laman web, satu ruang khas seperti ruang pendidikan alam sekitar untuk anak-anak dan kelab alam sekitar perlulah diadakan. Melahirkan generasi yang peka dan sedar akan tanggungjawab terhadap alam sekitar tidak cukup dengan membawa mereka ke dalam hutan dan mengadakan perkhemahan saja, tanpa pengisian yang dapat mengetuk hati terhadap kebesaran Allah dan kekudusan kita makhluk-Nya; dan
· Usaha ini harus ada kesinambungan dan hanya berjaya dengan tindakan secara kolektif oleh semua pihak. Ia walaupun membabitkan perbelanjaan, untuk jangka panjang akan menyelamatkan dunia ini daripada kemusnahan. Renungilah firman Allah bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali mengerjakan yang benar.” (Surah ar-Rum, ayat 41)
· PENULIS ialah seorang guru dan pelajar sarjana yang ditaja oleh Bank Dunia dalam bidang sains alam sekitar. Beliau boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan sebarang jawapan terhadap persoalan boleh dilihat di www.wanitajimceria.blogspot.com.
1 Comments:
ASSALAMUALAIKUM WBH...KAMI DARI BRUNEI DARUSSALAM...SEKOLAH MEN. PG. ANAK PUTERI HAJAH MASNA (GIRLS' SCHOOL) THROUGH ITS KELAB PUTERI-PUTERI PENCINTA ALAM SEKITAR INGIN MEMINTA KEIZINAN KEPADA SEMUA TERUTAMA SEKALI PADA NOOR ZAITUN YAHYA (SEMOGA SUKES DALAM PENGAJIANNYA) KERANA KAMI AMAT MEMINATI PENULISANNYA YANG SANGAT EMOSIONAL ...TERTARIK SANGAT DENGAN ISINYA ..YANG DAPAT KAMI MENFAATKAN UNTUK DIBINCANGKAN DALAM AKTIVITI KELAB...LAGI SATU PERKARA ..KAMI INGIN ..KALAU DAPAT BERHUBUNG TERUS DENGAN PENULIS YANG KAMI HORMATI...SANJUNGI...SEBAGAI IDOLA KAMI..OH YA KAMI DARI TINGKATAN 4 KALANGAN PEMBIMBING RAKAN SEBAYA..ALAMAT E-MAIL KAMI PAPMASNA_P3A@HOTMAIL.COM ..SEKIAN DAHULU KAMI SUDAHI DENGAN WASSALAM..JUMPA LAGI...SENSEI PAP MASNA...SALAM PERKENALAN! ALHAMDULLILAH!
By Penyambung Puteri-puteri Pencinta Alam Sekitar of SMPAPHM, at 11:49 PM
Post a Comment
<< Home