Bisik doa pada telinga mangsa Tsunami
Bisik doa pada telinga mangsa Tsunami
Endok Sempo Mohd Tahir
RAKYAT Malaysia begitu prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa ombak tsunami. Bukan sekadar kata-kata, malah bantuan dalam bentuk kebendaan dan wang ringgit dihulurkan bagi meringankan penderitaan dan beban mangsa
Sementara keperluan kebendaan mangsa tsunami diuruskan oleh agensi kerajaan dan beberapa badan politik, kita boleh mencurah bakti secara persendirian atau melalui badan bukan kerajaan (NGO) setempat sebagai sukarelawan. Satu lagi keperluan yang amat ketara adalah kekuatan emosi dan kerohanian tinggi. Mangsa tragedi harus diingatkan agar bersabar dan menguatkan semangat menanggung penderitaan ini. Mereka perlu diberikan motivasi kerohanian dalam bentuk kekentalan akidah dan keyakinan kepada Allah. Di sinilah peranan NGO Islam dan sukarelawan.Selain keperluan kebendaan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan membersihkan persekitaran, mangsa terutama yang kehilangan ahli keluarga memerlukan sokongan emosi dan kerohanian. Biasanya dalam adat orang Melayu Islam, majlis tahlil selepas kematian diadakan. Kita jelas, ia amalan yang tidak dilakukan pada zaman Rasulullah. Namun, kalau dilihat dari sudut lain, majlis itu sebenarnya sebahagian daripada tanda bahawa seluruh kampung dan komuniti turut berkabung dengan keluarga yang ditimpa musibah. Kesannya amat positif. Seorang sahabat saya pernah kehilangan beberapa orang yang dikasihi, terasa kehilangan dan kesunyian. Kedukaannya dapat diringankan apabila sanak saudara dan jiran tetangga berkumpul pada majlis itu. Perkara ini sebenarnya menunjukkan keprihatinan masyarakat dalam membantu meringankan beban, penderitaan dan kesedihan orang lain.Oleh itu, kita perlu tumpukan amal sukarelawan terhadap sokongan emosi dan kerohanian ini. Kita gerakkan masyarakat setempat untuk turut mendoakan kesejahteraan mangsa bencana ini dengan mengadakan solat jenazah ghaib bukan saja di Malaysia, malahan di Sumatera, Sri Lanka, India dan Thailand.Kita penuhkan masjid atau surau di kampung yang terbabit, jemput seramai mungkin mangsa dan ajak rakan sukarelawan lain bersama meramaikan program itu. Selepas majlis tahlil, berikan sedikit tazkirah, peringatan serta kata-kata perangsang dan motivasi. Kita bungkuskan sedikit hadiah seperti peralatan sekolah baru kepada keluarga terbabit. Sebagai sokongan emosi, kita peluk erat-erat mangsa dan bisikkan doa pada telinga mereka. Jika ikhlas, spontan titisan air mata penuh simpati akan menyejukkan hati mereka. Kalau ada kelapangan dan permintaan, hadirlah lagi untuk majlis tahlil dan bacaan Yassin di surau lain pula. Kita lahirkan keprihatinan dalam bentuk amal.Mereka kini berada dalam kebingungan, dalam keadaan yang amat tidak berdaya, sedih dan sugul. Terngiang-ngiang pada telinga mereka, jeritan ahli keluarga meminta tolong, umpama mengalami mimpi ngeri. Kerohanian mereka ditampar dengan cukup hebat! Mereka perlu diberikan pengharapan bahawa ketentuan Allah pasti ada hikmahnya. Mereka perlu kena diperingatkan bahawa mereka ada Allah untuk mengadu.Hal ini mengingatkan saya kepada e-mel yang diterima daripada seorang sahabat bukan Islam ketika gempa bumi yang berlaku setahun lalu. Kedahsyatan gempa bumi berkekuatan 6.3 skala Richter itu menghancurkan kota Bam di Tenggara Iran pada Jumaat, 26 Disember 2003. Kejadian pada jam 5.28 pagi waktu tempatan masih segar dalam ingatan. E-mel kawan itu antaranya berbunyi : “Kalau gempa bumi terjadi di Amerika Syarikat atau Eropah dan mangsanya adalah bukan Islam, orang Islam akan berkata ‘Itu bala daripada Allah’. Kini apa pula yang akan kamu katakan mengenai bencana yang menimpa kaum Muslim di kota Bam, Iran?” Saya bingung sejenak untuk menjawabnya. Ya, ada antara kaum Muslimin memang suka menghukum dan menjatuhkan kecaman atas nama Allah. Apabila ada musibah menimpa orang lain yang tidak seagama atau tidak sefahaman, jangankan hendak menolong, malah lidah itu spontan tanpa rasa simpati akan terus mengatakan: “Itulah bala daripada Allah atas kesesatan mereka.”Sewaktu kecil, seorang pak cik yang berjiran dengan rumah kami memberikan komen: “...itulah hukuman kepada masyarakat daerah itu.” Hal itu kerana menurut pengetahuannya, orang di sana malas sembahyang. Komen itu adalah berikutan banjir besar di sebuah negeri di tanah air.Oleh kerana masih kecil pada masa itu, saya percaya bulat-bulat perkataan pak cik itu yang juga seorang guru agama. Saya menjadi seorang anak yang rajin sembahyang kerana takut tertimpa bencana banjir. Kini, apabila difikirkan komen sebegini tidak harus tuturkan kerana tidak boleh diterima akal. Mengapa sekarang banyak negara Eropah yang makmur, hidup sejahtera, negaranya nyaman, tidak ada banjir dan gempa bumi? Walhal, majoriti penduduknya tidak bersembahyang kerana mereka bukan Islam. Jika benarlah alasan turunnya musibah hanya kerana tidak sembahyang, alangkah tidak adilnya Allah yang sering menimpakan banjir kepada penduduk penduduk Islam di Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan negara Islam lain.Sikap suka menghukum dan mengecam bukan sikap bijaksana. Ketika kita atau orang lain ditimpa musibah, tindakan yang terbaik adalah bersabar, melihat dalam diri, bermuhasabah dan saling-menolong. Bencana boleh saja datang pada bila-bila masa dan di mana saja. Penderitaan akibat bencana alam yang dialami orang Islam dan bukan Islam sama saja menyakitkan. Kesedihan seorang ayah yang kehilangan lima anak akibat hentaman ombak besar tsunami di Pulau Pinang dengan kesedihan keluarga gadis mangsa rogol di Kedah, baru baru ini, sama beratnya.Ketika berita mengenai ombak besar tsunami tersiar, tiba-tiba saya berasa takut. Apa jadinya apabila kejadian itu menimpa saya? Menjelang tidur, terlintas ketakutan dalam hati, bagaimana kalau menjelang Subuh nanti, tiba-tiba atap rumah saya runtuh? Gempa itu hanya terjadi 15 saat, apa yang boleh saya dilakukan dalam waktu sesingkat itu? Lari? Mustahil! Dari pintu bilik saya hingga halaman luar yang beratap langit memerlukan memerlukan masa paling minimum satu minit. Belum lagi masa yang saya perlukan untuk mencari dan memakai tudung? Mengejutkan anak-anak yang sedang tidur, Demikian juga dokumen penting dan wang ringgit yang diperlukan pada saat genting. Namun, akhirnya saya tersedar, tidak ada tempat untuk lari! Ketika kematian menjelang, ke manakah manusia akan lari? Bukankah Allah telah berfirman bermaksud: “Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat melambatkannya barang sesaat pun, dan tidak pula dapat menyegerakannya.” (Surah Yunus, ayat 49).Firman-Nya lagi bermaksud: “Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (Surah an-Nisa, ayat 78)Akhirnya, barulah saya boleh tidur.Mungkin reaksi yang paling bijaksana dalam menghadapi musibah seperti ini adalah dengan menganggapnya sebagai ujian daripada Allah. Ujian pertama adalah kesabaran bagi yang ditimpa musibah dan juga ujian kepada kita, untuk melihat sejauh mana rasa keprihatinan, persaudaraan, keimanan dan keikhlasan dalam membantu saudara seIslam atau bukan Islam.Satu musibah juga ujian hati nurani, kewibawaan dan kecekapan pegawai serta agensi kerajaan, tokoh masyarakat setempat dan korporat dalam menangani masalah bencana alam yang paling dahsyat sejak empat dekad ini.Musibah juga seperti test-case untuk melihat apakah seseorang boleh terkesan atau tersedar daripada segala perilaku negatifnya selama ini. Ketika kita melihat musibah menimpa orang lain, kita harus sedar dan bersiap-sedia menghadapi kematian. Kematian boleh datang secara tiba-tiba, menjemput pada bila-bila masa saja. Tanpa amaran. Untuk itu, sebelum kematian menjelang, kita harus menyiapkan bekal amal sebanyak-banyaknya. Akhirnya, hayati kisah yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, katanya:“Telah datang seorang lelaki Ansar untuk bertemu Rasulullah yang sedang berkumpul dengan sahabat. Lalu lelaki itu bertanya: Siapakah yang paling cerdik dan mulia wahai Rasulullah? Rasulullah bersabda, “Secerdik-cerdik manusia ialah orang yang paling banyak mengingat kematian serta yang gigih membuat persiapan menghadapi kematian itu. Merekalah orang yang paling cerdik. Mereka meninggalkan dunia dengan kemuliaan dan menuju akhirat dengan keagungan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Abi al-Dunya).
0 Comments:
Post a Comment
<< Home