Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, February 02, 2005

Hargai kebaikan orang tanda mensyukuri nikmat

WADAH WANITA ISLAM
2 FEBRUARI 2005

Hargai kebaikan orang tanda mensyukuri nikmat
Oleh Sumilah Marto


MENYINGKAP tragedi ombak besar tsunami yang melanda beberapa negara Asia dan Afrika, 26 Disember lalu, ia membawa mesej besar kepada kita. Banyak yang dilapor dan diulas mengenai tragedi itu. Apa pun bagi mangsa ‘betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’.

Namun, mangsa diharap yakin dengan jaminan Allah terhadap orang yang sabar menerima ujian dan dugaan dalam mengharungi ranjau kehidupan. Hal ini seperti firman-Nya bermaksud: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman.” (Surah Ali Imran, ayat 139)

Begitu juga dengan firman Allah bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Kejadian seumpama sewajarnya dijadikan iktibar bagi kita yang masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar di bumi Allah ini. Ini sebahagian nikmat Allah swt yang tidak terkira banyaknya mencakupi segala kenikmatan sama ada berupa kelazatan atau keselesaan. Hal ini seperti kesihatan, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan. Begitu juga ilmu pengetahuan, keluarga dan pelbagai lagi nikmat yang diberikan Allah kepada kita.

Allah swt berfirman bermaksud: “Seandainya kamu ingin menghitung nikmat Allah, nescaya tiada terhitung olehmu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pembelas Kasihan." (Surah an-Nahl, ayat 18)

Oleh itu, di atas peluang yang Allah berikan, marilah kita bersyukur kepada-Nya atas nikmat itu. Jangan melakukan perkara yang boleh menyebabkan nikmat itu ditarik balik, malah yang boleh membawa kepada kemurkaan dan seksaan Allah. Apakah tandanya bahawa kita termasuk dalam golongan orang yang mensyukuri nikmat Allah?

Sebagai tanda kesyukuran sewajarnya kita menggunakan nikmat itu sesuai dengan apa yang ditentu dan dikehendaki Allah. Umpamanya, tubuh badan sihat, ilmu, harta, masa dan kepandaian yang diberikan Allah kepada kita sewajarnya digunakan untuk mentatati-Nya. Ia dilaksanakan dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Di samping itu, kita dituntut untuk menolong orang lain mengikut cara yang diredai Allah swt. Kita ditegah daripada menyakiti atau memusnahkan kehidupan orang lain.

Segala kebaikan yang dilakukan sebagai mensyukuri nikmat Allah swt akan dibalas dengan ganjaran yang lebih baik lagi. Allah berfirman bermaksud: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan: Jika kamu bersyukur akan Aku beri kamu kurnia lebih banyak lagi. Tetapi jika kamu tidak bersyukur, sungguh, seksaan-Ku amat dahsyat.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Kita juga tidak harus melihat orang lain yang dilebihkan Allah swt dengan segala macam kenikmatan dengan iri hati dan kagum kerana banyaknya nikmat yang dinikmatinya. Perasaan iri hati yang sedemikian jika dibiarkan akan membawa kepada jiwa yang tidak tenteram. Malah, lebih buruk lagi, perasaan iri hati ini boleh membawa kita lupa bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya yang begitu banyak.

Apa yang lebih membimbangkan, perasaan iri itu akan menyebabkan nikmat itu ditarik balik oleh Allah. Akhirnya, kita bukan saja tidak memperoleh nikmat yang kita iri hatikan, malah hilang nikmat yang ada.

Banyak peristiwa yang dapat dijadikan teladan. Misalnya, kisah kaum Saba yang disebut dalam al-Quran. Pada peringkat awal, mereka mendapat keredaan Allah dan hidup mereka diberkati-Nya. Tetapi, mereka akhirnya lupa mensyukuri nikmat Allah. Lalu, menjadi orang yang melakukan maksiat dan kemungkaran. Mereka tidak berterima kasih kepada Allah di atas rezeki yang berlimpah-ruah. Mereka ingkar atas nikmat Allah. Sebagai balasannya, jadilah negeri yang makmur dan subur itu, kawasan tandus kering. Daripada kaya raya, menjadi papa kedana.

Perkara itu digambarkan dalam al-Quran melalui firman-Nya bermaksud: “Demikianlah Kami balas mereka kerana kekufuran mereka. Dan tiadalah Kami seksa, selain daripada orang yang melakukan kekufuran.” (Surah Saba, ayat 17)

Begitu juga dengan kisah Qarun yang kaya raya pada zaman Nabi Musa. Oleh kerana sifatnya yang mengkufuri nikmat Allah swt, lalu Tuhan bukan saja menghilangkan segala nikmat daripadanya, malah mengazabnya. Demikianlah contoh manusia yang lupa akan nikmat Allah, tidak bersyukur dan tidak mengingati bahawa semua nikmat itu daripada-Nya.

Oleh itu, mari teguhkan tekad bersama-sama untuk menjadi orang yang mensyukuri nikmat Allah swt. Hal ini dapat kita mulakan dengan diri sendiri iaitu dengan mengakui kebaikan yang dilakukan orang lain terhadap walau sekecil mana pun.

Kita mengingati kebaikan itu dan menghargainya. Lalu bicarakan mengenai kebaikannya bukan keburukannya. Perkara ini adalah antara sifat seseorang mukmin yang mensyukuri Allah swt. Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia." (Hadis riwayat Abu Daud)

Jangan lupa pula untuk membalas kebaikan orang kepada kita. Di samping menerima kebaikan orang lain, kita hendaklah menjadi orang yang memberikan kebaikan kepada orang lain. Jika ini dapat diamalkan dalam kehidupan, ia akan dapat menjaga dan memupuk hubungan baik sesama manusia atas dasar saling harga-menghargai dan hormat-menghormati. Seterusnya, akan membibitkan rasa setia kawan yang berteraskan tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain.

Allah swt akan sentiasa menurunkan bantuan-Nya ke atas manusia, selagi manusia saling bantu-membantu sesama sendiri.

Ingatlah firman Allah bermaksud: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 2).


PENULIS dapat dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan sesiapa yang ingin mengemuka masalah boleh melayari www.wanitajimceria.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home