Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, March 16, 2005

Muhasabah diri elak sesat dalam hidup

Muhasabah diri elak sesat dalam hidup


KEJAYAAN anak Melayu, Nur Amalina Che Bakri yang mendapat keputusan cemerlang 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2004 perlu dicontohi pelajar lain. Ibu bapa dan siapa saja akan gembira serta bahagia dengan keputusan cemerlang itu. Apa yang dapat dipelajari daripada kisah kejayaan itu? Ternyata kejayaan yang diraih adalah daripada perancangan kehidupan seharian dan istiqamah dengan apa yang dirancangkan. Begitulah sunnatullah. Masa adalah kehidupan dan ia tidak akan menunggu sesiapa. Kejayaan dalam kehidupan ini mengikut perancangan masa kita.

Adakah kita akan membiarkan masa berlalu dan usia meningkat tanpa apa-apa perancangan? Insya-Allah jawapannya tidak.

Islam menyarakan ibu bapa membuat perancangan untuk anak sejak mereka dalam rahim. Hal ini agar anak itu lahir dengan sihat dan sempurna. Emosi dan kesihatan ibu harus diberi keutamaan ketika mengandung. Ibu bapa juga hendaklah beramal soleh, mudah-mudahan anak itu akan menjadi anak soleh. Seterusnya, mencontohi ibu bapa yang soleh.

Ibu bapa perlu membuat perancangan pendidikan anak. Mereka harus mencari jalan agar anak boleh mendapat pendidikan sempurna, untuk dunia dan akhirat. Sampai masanya, anak sendiri mesti merancang bagaimana mereka boleh berjaya dalam kehidupan di dunia dan menyediakan tempat yang baik di akhirat kelak.

Mereka perlu merancang bagaimana untuk terus maju dalam kehidupan ini, di samping menyediakan bekalan secukupnya untuk alam akhirat yang kekal abadi.

Dengan kesedaran ini ramai yang membuat ‘azam baru’ setiap kali tahun baru. Bukan sedikit daripada mereka yang hanya mempunyai azam yang tidak kesampaian. Bagaimana pula kita hendak mengelakkan perkara ini daripada berlaku?

Steven Covey, seorang pakar motivasi terkenal mengatakan satu daripada tujuh ciri manusia yang berkesan adalah sentiasa membuat perancangan. Beliau mengatakan orang yang ada perancangan seperti juruterbang yang mempunyai matlamat tepat sebagai destinasinya serta laluan yang dicarta untuk sampai ke destinasi itu.

Seorang juruterbang tidak akan sesekali mengubah destinasinya melainkan ada keperluan yang amat penting untuk berbuat demikian. Dalam keadaan biasa, dia akan tetap menuju ke sasarannya mengikut laluan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, ada kalanya cuaca yang kurang baik atau halangan dan masalah lain dalam perjalanan mungkin memaksanya membuat lencongan dari laluan asal, tetapi dia tetap menuju ke sasaran destinasinya.

Begitu juga kita sebagai manusia yang diciptakan Allah, tidak sunyi daripada sifat lupa, lalai, malas dan sebagainya. Sesekali, kita akan mendapati diri kita terkeluar daripada laluan ke arah matlamat ditetapkan.

Contohnya, seorang pelajar mungkin tidak menghabiskan masa secukupnya untuk mengulang kaji pelajaran dalam perancangannya untuk cemerlang peperiksaan.

Begitu juga dalam perancangan untuk membina keluarga berjaya, ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya mungkin mendapati tidak menghabiskan masa secukupnya untuk anak seperti mereka mahukan.

Seseorang mungkin mendapati dirinya tidak bangun untuk mengerjakan solat malam dan membaca al-Quran seperti yang dirancangkan. Ia tidak akan menjadi persoalan besar jika kita cepat-cepat pulang ke pangkal jalan dan menuju semula ke sasaran asal.

Bagaimanapun, jadikanlah menghisab dan muhasabah diri sebagai amal harian. Hal ini kerana ia dapat membantu kita menyimpang jauh dari laluan yang dirancangkan dan agar tidak terlambat ke destinasi yang dituju.

Sebaliknya, jika seseorang itu tidak mempunyai perancangan, dia akan terus hanyut dan lupa matlamat hidup ini. Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat Islam Malaysia hari ini. Ibu bapa tidak jelas peranan dan matlamat hidup mereka, selain membesarkan anak dalam keadaan sebaik mungkin.

Dengan itu, lahirlah anak yang langsung tidak tahu bahawa hidup ini ada matlamat dan tujuan. Antaranya memastikan kesejahteraan sesama manusia serta memelihara kesejahteraan bumi dan alam ini. Begitu juga menyiapkan bekalan diri masing-masing untuk alam seterusnya.

Cara untuk mencapai matlamat dan tujuan hidup ini juga diberi Islam berpandukan al-Quran dan sunnah. Tanpa hala tuju jelas, orang Islam sendiri akan tercari-cari dan terikut-ikut cara hidup yang dipelopori tamadun Barat yang jelas menuju kehancuran.

Masyarakat tertanya-tanya mengapa semakin banyak masalah di dunia hari ini. Semakin banyak masalah sosial, penyakit, pencemaran dan seribu satu masalah lagi. Jawapannya jelas, apabila orang Islam sendiri tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan dan sunnah sebagai ikutan. Begitu juga tidak mengajak manusia lain kepada cara hidup yang dianjurkan oleh Islam, dunia ini tidak akan aman.

Marilah kita sama-sama menilai semula diri kita. Bagi yang belum membuat apa-apa perancangan, mulalah berbuat demikian. Tidak ada perkataan ‘terlambat’ dalam memulakan sesuatu yang baik untuk kehidupan.

Bagi yang sudah ada perancangan, lihatlah sama ada anda berada di atas laluan betul dan ke arah matlamat yang dituju. Lakukanlah segala-galanya dengan hati ikhlas, berlandaskan al-Quran dan sunnah, dengan matlamat mencapai keredaan Allah.

Renungi firman Allah bermaksud: “Demi Masa. Sesungguhnya manusia sentiasa berada dalam kerugian. Melainkan orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah ak-Ashr, ayat 1-3)

  • PENULIS ialah pengarah syarikat dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com. Jawapan terhadap permasalahan boleh layari www.wanitajimceria.blohspot.com.
  • 1 Comments:

    • salam.. bleh terangkan pada saya etika peperangan dari perspektif islam dan barat? syukran jazilan..

      By Blogger aeman, at 10:45 PM  

    Post a Comment

    << Home