Sakit tenat dugaan kepada seisi keluarga
Sakit tenat dugaan kepada seisi keluarga
Oleh Dr Suriya Khatun Osman
“SAYA baru saja pulang daripada melawat seorang kawan yang menghidapi kanser payu dara tahap keempat. Dia kini dalam keadaan kritikal.
“Saya kagum, dia nampak sungguh pasrah menanggung penyakitnya. Dia amat tabah melayan orang yang melawatnya di rumah,” kata Anis (bukan nama sebenar), sahabat baik saya. Seorang lagi rakan kami, Nina (bukan nama sebenar) berkata: “Semalam saya baru saja menziarahi salah seorang kawan baik yang meninggal dunia akibat penyakit sama.“Dr Suriya, adakah ubat untuk penyakit kanser yang sudah mencapai tahap keempat?” tanyanya kepada saya.Perbualan kami menimbulkan satu diskusi yang hangat dan rancak.. Ada yang mencadangkan penawar dan terapi alternatif. Tidak kurang mencadangkan agar kita menyediakan diri untuk menghadapi kematian. Sahabat saya tadi menerangkan mengenai perlunya membuat persediaan untuk ‘mati’. Perkara itu kerana ia satu kepastian. Bagi yang terpaksa menghadapi saat-saat menunggu kematian, pastinya ia satu saat yang penuh azab kecuali mereka yang diteduhkan hati dengan keimanan dan kecintaan menemui Pencipta-Nya. Dalam Surah al-Jumaah, Allah menegaskan maksudnya: “Katakanlah sesungguhnya kematian yang engkau ingin lari daripadanya, maka sesungguhnya Ia mendatangimu...”Sebab itu, orang beriman sentiasa bersiap sedia kerana mungkin esok adalah hari penghabisannya. Hanya ada satu pilihan iaitu “Al-Mautun fi taatillah khairun min hayati maksiatih... (Maksud hadis: Mati dalam taat kepada Allah adalah lebih baik daripada mati dalam maksiat kepada-Nya.” Memastikan diri sentiasa dalam taat kepada Allah bukannya mudah. Pastinya ia memerlukan mujahadah dan muraqabah berterusan.Saya pula ada mencadangkan ‘persediaan’ menghadapi ‘kematian’. Bukan hanya kita yang akan mati, tetapi orang yang hampir dengan kita. Kita perlu ada mekanisme untuk memahami cara, sikap dan pengendalian saudara terdekat yang tenat dan tidak akan sembuh. Memang, matlamat hidup adalah mati. Namun, persediaan dan bimbingan perlu bagi kita dan juga mereka yang akan pergi.Apa yang saya maksudkan dengan persediaan adalah menghadapi kematian kedua ibu bapa atau kaum keluarga yang yang tenat. Ramai ibu dan ayah antara kita sudah sampai umur untuk dipanggil kembali ke pangkuan Ilahi. Memang tidak dinafikan bukan hanya yang tua, malah Allah akan mengambil nyawa sesiapa saja tanpa mengira umur. Setiap hari kita mendengar kemalangan secara tiba-tiba. Tumpuan saya dalam perbincangan ini adalah kes terminal illness yang dapat dirasakan semua tandanya bahawa penghujung jalan kehidupan hampir tiba.Secara zahirnya dalam hakikat kehidupan ada yang sakit kuat. Kadangkala hingga pesakit itu tidak mampu mengendali dan menguruskan diri sendiri. Maka, ia adalah satu beban besar bagi pesakit serta ahli keluarganya, terutama pada zaman serba canggih, sibuk dan pantas ini.Pada ketika ini, semua ahli keluarga terduga. Umpamanya, berapa banyak masakah sanggup diluangkan untuk menjaga si sakit? Siapa yang akan menjaganya, menanggung belanja perubatan dan sebagainya?Salah satu perkara yang saya dapati ketika ahli keluarga mendapat tahu bahawa anggota keluarganya mengidap ‘kanser’ atau tenat, ramai yang tidak tahu bagaimana untuk melayan si sakit. Ada yang buat tahu dan tidak peduli. Mungkin sudah dirasakan bahawa si sakit akan meninggalkannya. Saya pernah lihat sendiri ahli keluarga terus tidak pedulikan si sakit. Si sakit yang mengadu kepada saya mengenai ketidakpedulian ahli keluarganya, amat berduka cita dengan hal itu.. Sudahlah dia menghadapi saat-saat kematian yang menyakitkan, ahli keluarganya pula mula merenggangkan diri daripadanya. Pada masa sihat, dialah yang menguruskan segala urusan keluarganya.Mungkin ahli keluarganya tidak tahu bagaimana untuk menerima berita penyakitnya. Pada masa inilah perlunya ‘kaunseling untuk si sakit dan ahli keluarganya’. Saya pernah menasihat anak pesakit mengenai persediaan menghadapi saat-saat akhir hayat bapanya yang tenat.Saya memberitahunya: “Puan, ayah puan tidak perlukan rawatan yang mahal dan canggih walaupun puan mampu memberikannya. “Ayah puan sangat perlukan ‘kehadiran’ puan di sisinya. Sejak daripada kecil ayah membela, mendidik dan membesarkan puan.“Dia sudah berikan semua kemudahan, sedaya yang mampu. Diuruskannya perkahwinan puan dan apabila mempunyai anak, dilayan cucunya dengan baik dan kasih sayang.“Saya tahu puan seorang yang sibuk, mempunyai kerjaya cemerlang serta berpersatuan. Tetapi, inilah saat-saat yang ayah puan sangat perlukan puan. Luangkan segala masa lapang puan untuk bersamanya.“Duduklah bincang dan bercerita mengenai perkara yang menggembirakan dan hal ehwal akhirat dengannya. Belailah dia. Tolong dia mengambil wuduk. Berzikirlah bersama-samanya dan berikan rawatan yang akan meredakan sakitnya. “Jadikanlah waktu ini saat yang penuh dengan reda, syukur dan kasih sayang.” Di sinilah kita diduga. Pada tahap inilah si sakit akan tahu siapakah yang benar-benar mengambil berat terhadapnya. Siapakah yang benar-benar kasih kepadanya. Cinta anak anak-anak hanya pada bibir atau di poket duit. Atau tiada siapakah lagi yang masih sayang atau peduli? Setakat manakah sayangnya kita?Pada masa sama, kita juga akan mengetahui siapakah kita sebenarnya? Ia benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan kita!Mengenai rawatan kanser tahap keempat, ada yang konvensional dan komplimentari (kadang-kadang disebut alternatif). Tidak ramai doktor yang mampu memberi nasihat mengenai kedua-duanya.Memang ada ‘modaliti komplimentar’ yang mampu menyokong badan pesakit kanser untuk pulih. Kaedah ini memerlukan perbincangan dengan pakar berkaitan.
PENULIS boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com dan sebarang masalah layari www.wanitajimceria.blogspot.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home