Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, March 30, 2005

Saintis buktikan keistimewaan tanah

Wadah Wanita Islam: 30 Mac 2005
Saintis buktikan keistimewaan tanah

Oleh Prof Madya Maznah Daud


BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan kejadian seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Hazman Khan, 9, diserang anjing di Taman Putra Perdana, Puchong. Serangan itu, menyebabkan mangsa luka dan terpaksa dijahit 180 jahitan. Akibatnya dia mengalami trauma teruk, sentiasa mengalirkan air mata setiap kali teringat peristiwa mengerikan itu.

Di kalangan masyarakat Islam, anjing sinonim dengan perkataan najis mughallazah. Lantaran itu boleh dikatakan rata-rata orang Islam khususnya, di Malaysia ‘tidak berani’ mendekati anjing, apa lagi menyentuhnya.Anjing sebagai sesuatu yang najis, termaktub dalam hadis sahih riwayat Muslim, Ahmad dan lain-lain. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sucinya bejana salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.”
Mungkin timbul persoalan mengapa Rasulullah menyuruh umatnya menggunakan tanah untuk menyuci bekas yang dijilat anjing? Ada mengatakan, terbukti bahawa dalam air liur anjing ada bakteria yang hanya dapat dimatikan oleh tanah yang dicampur air. Menurut ahli sains, dalam air liur setiap makhluk yang hidup di bumi ini ada bakteria yang tidak terhitung banyaknya. Contohnya, manusia mengeluarkan 1.5 liter air liur dalam sehari. Dalam setiap satu mililiter air liur yang dikeluarkan ada 750 ribu juta bakteria. Ketika mulut itu mengandungi sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan atau selepas bangun tidur, bilangan bakteria itu bertambah tujuh kali ganda banyaknya. Ini dinisbah kepada air liur manusia, makhluk paling suci. Ali liur anjing? Allah saja Maha Mengetahui.
Mengenai tanah, Dr Danial Zainal Abidin menulis dalam bukunya bertajuk Empayar Minda Muslim:”Tanah mempunyai komposisinya yang tersendiri, 45 peratus daripadanya adalah zat logam (galian), 25 peratus udara, 25 peratus air dan 5 peratus adalah bahan-bahan organik. Tanah ada kelebihannya. Ahli sains di Norway menemui sejenis kulat di tanah yang mampu menghasilkan ubat dinamakan cyclosporin. Ia digunakan sebagai rawatan selepas pembedahan pemindahan organ (anti-rejection drug). Di sebuah ladang jagung, seorang pelajar dari Universiti Wisconsin menemui sejenis protein daripada bakteria tertentu yang boleh mengeluarkan ais (bacterial ice-forming protein). Pada hari ini, ia digunakan untuk mengeluarkan ais bagi pusat ski.
Di Indonesia, saintis menemui sejenis bahan daripada kuman tertentu (microbial molecule) dalam tanah yang mampu menukarkan kanji (starch) kepada glukos. Di sebuah padang golf di Jepun, seorang saintis menemui sejenis ubat yang mampu merawat penyakit parasit (parasitic infection) yang sering menyerang binatang ternakan.Bakteria dari tanah telah menghasilkan produk yang bernama ivermectin. Ubat ini mampu membunuh cacing yang menyerang manusia dan binatang dengan cara menghalang penyebaran maklumat dalam sistem saraf cacing (blocking the transmission of nerve signals).
Pada tahun 1980-an, saintis menemui satu bahan kimia dari tanah di Sepanyol. Ia digunakan untuk menghasilkan ubat yang mampu menurunkan kadar kolesterol dalam darah (cholesterol-lowering drug). Dalam konteks pemindahan organ, antara masalah besar yang sering dihadapi adalah penolakan organ baru oleh badan penerima dan reaksi ini boleh membahayakan nyawa. Pada pertengahan 1980-an, saintis menemui satu bahan yang mampu mengawal proses penolakan organ dengan cara mengawal proses tertentu dalam sistem pertahanan badan (immune system). Bahan ini diperoleh dari tanah bukit dan produk yang terhasil daripadanya dikenali sebagai Prograf. Ia digunakan sebagai rawatan kepada pesakit yang terpaksa menjalani pembedahan pemindahan hati (liver transplant) bermula 1994.
Kira-kira 3,222 antibiotik pada hari ini diperoleh daripada kuman dan kebanyakannya dari tanah. Antara produk antibiotik yang terhasil daripadanya adalah erythromycin, streptomycin dan tetracycline. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah membuat kajian untuk menilai kemampuan tanah sebagai alat pencuci kotoran. Kajian ini dilakukan di Bangladesh pada 1993. Ia untuk membandingkan kuasa cucian yang ada pada sabun biasa, abu dan tanah selut. Dua puluh wanita dari Dhaka terbabit dalam kajian ini. Sebahagian mereka mencuci tangan dengan sabun, abu dan tanah selut.
Mereka melakukannya dengan cara tertentu selama lima hari. Rumusannya adalah sabun, abu dan tanah selut adalah sama-sama berkesan sebagai bahan pencuci, jika dilakukan dengan betul. Apabila seseorang Muslim bersuci dengan tanah, dia juga mendekatkan dirinya kepada alam dan kunci kehidupan yang diciptakan Allah. Lebih daripada itu, tanah adalah alat pencuci yang murah, berkesan dan boleh diperoleh di seluruh dunia.Justeru, penggunaan air dan tanah mendekatkan umat Islam kepada alam dan kunci kehidupan.
Ia juga mengingatkan mereka kepada asal usul manusia, selain merangsang untuk terus mengkaji alam dan mencungkil rahsianya.Begitu pun, kenajisan sesuatu benda walaupun dikategorikan sebagai najis mughallazah tidak bermakna haram menyentuhnya. Begitu juga sucinya sesuatu itu tidak bermakna halal bagi kita menyentuhnya. Umpamanya, tahi dan air kencing manusia serta haiwan yang haram dimakan adalah najis. Namun, setiap hari kita menyentuh benda itu ketika membasuh kemaluan selepas membuang air kecil dan besar. Tidak ada ulama mengatakan perbuatan itu (menyentuh najis) berdosa.
Wanita yang bukan mahram adalah haram bagi lelaki ajnabi menyentuhnya, padahal wanita itu suci dan tidak najis. Al-Quran, menurut majoriti fuqaha, haram disentuh oleh mereka yang berhadas sama ada kecil atau besar. Hal ini bukan kerana orang berhadas itu dianggap najis. Buktinya benda yang disentuh oleh orang yang berhadas tidak wajib dibasuh.Kesimpulannya, hukum najis dan sentuh adalah dua isu berbeza yang tidak boleh dikaitkan antara satu dengan lain. Najis tidak semestinya haram disentuh, suci tidak semestinya halal disentuh oleh sesiapa saja tanpa batas dan syarat. Bertitik tolak dari konsep ini, maka dalam al-Quran disebutkan beberapa fungsi anjing yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Insya-Allah akan dibincangkan pada penulisan akan datang.

PENULIS ialah pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com. Jawapan dan persoalan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home