Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, May 26, 2004

Perkara sunat tidak boleh dianggap amalan sukarela

26/5/04

Oleh Prof Madya Maznah Daud
PERKARA sunat sering ditakrifkan sebagai sesuatu yang jika dilakukan mendapat pahala, jika ditinggalkan tidak berdosa. Ungkapan ‘tidak berdosa’ seolah-olah memberi gambaran bahawa ia suatu perkara sukarela – terserah kepada diri masing-masing sama ada hendak melakukannya atau sebaliknya. Lantaran itu ada umat Islam tidak begitu mengambil berat dalam mengerjakan amalan sunat, khususnya yang berkaitan ibadat seperti solat, puasa, sedekah dan zikir.
Anehnya, dalam urusan harian atau perkara tidak termasuk dalam kategori ibadat khusus, kita tidak berpada dengan yang wajib saja, malah begitu menitikberatkan perkara remeh temeh yang tidak sampai ke martabat sunat pun. Contohnya, pakaian yang diwajibkan adalah memakai pakaian yang menutup aurat dengan kriteria tertentu seperti tidak ketat dan jarang. Namun dalam menyempurnakan yang wajib ini kita berlebih-lebih pula mementingkan perkara sampingan seperti fesyen, warna dan aksesori sampingannya.
Allah menciptakan manusia dan diberinya pelbagai kelebihan. Disediakan untuk mereka pelbagai kemudahan untuk menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini. Segala kelebihan dan kemudahan seperti bumi terbentang sebagai hamparan, langit sebagai bumbung tidak bertiang, udara bertiup segar, cahaya membekalkan tenaga dan kepanasan serta air yang sesuai untuk diminum dan bercucuk tanam, semuanya diberikan dengan percuma. Firman Allah bermaksud:
“Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). “Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar untuk kepentingan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. “Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim, ayat 32 hingga 34)
Sesungguhnya terlalu besar nikmat Allah yang kita terima. Jika kita cuba hendak menghitungnya, pasti sepanjang hayat tidak akan selesai. Begitu juga jika kita ingin berterima kasih kepada-Nya, sepanjang hayat tidak mampu berbuat demikian yang sepadan dengan nikmat itu. Rasulullah cuba melahirkan rasa syukurnya terhadap nikmat Allah dengan bersembahyang pada waktu malam hingga bengkak kakinya. Isterinya, Aisyah bertanya:
“Kenapa Rasulullah lakukan semua ini (berdiri lama ketika solat malam hingga bengkak kaki), pada hal Allah telah mengampun segala dosa Rasulullah baik yang dulu atau kemudian.” Dengan tenang baginda menjelaskan: “Tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini mengajar kita bahawa solat sunat adalah antara cara seorang hamba menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Allah. Waktu paling baik untuk melakukan solat sunat ialah tengah malam atau sepertiga terakhir daripada malam. Waktu seluruh alam dibungkus kegelapan. Lebih indah lagi, jika amalan ini dikongsikan bersama ahli keluarga.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam, lalu bersembahyang. Kemudian dia mengejutkan isterinya. Jika isterinya enggan bangun, direnjisnya air ke mukanya. “Begitu juga Allah merahmati seorang perempuan yang bangun pada waktu malam lalu bersembahyang. Kemudian dia mengejutkan suaminya. Dan jika suaminya enggan bangun, direnjiskan air ke mukanya.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Selain menyatakan rasa syukur kepada Allah, amalan sunat, khususnya solat dapat menyelamatkan kita daripada seksa di akhirat kelak. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya amalan seseorang manusia yang mula-mula dihisab pada hari kiamat nanti ialah solatnya. Jika baik solatnya, maka dia selamat dan berjaya. Jika rosak solatnya, maka dia rugi dan kecewa. “Jika ada sedikit kekurangan pada solat fardunya, Allah memerintahkan: “Lihatlah! Apakah ada tercatat hamba-Ku melakukan solat sunat? Jika ada, tampungilah apa yang kurang daripada solat fardunya.” “Kemudian, begitulah caranya akan diperhitungkan semua amalan-amalannya.” (Hadis riwayat at-Tarmizi).
Bayangkanlah nasib yang bakal menimpa seorang hamba yang lemah pada hari kiamat nanti jika tiada langsung bekalan yang dibawa daripada amalan sunat. Mengharapkan amalan yang fardu atau wajib saja, adakah terjamin semuanya sempurna? Di samping itu, banyak melakukan amalan sunat menjadikan seseorang hamba itu dikasihi oleh Tuhannya.
Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah berfirman: “Sesiapa yang memusuhi kekasih-Ku, maka sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang dengannya. Tidak ada perkara yang paling Aku sukai dilakukan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain daripada dia melakukan apa yang Aku fardukan ke atasnya. “Dan sentiasalah hamba-Ku itu menghampirkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan amalan yang sunat hingga Aku kasihkannya. Maka apabila Aku telah kasihkannya, maka Akulah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, tangan yang dia menghulur dengannya dan kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia meminta dari-Ku, akan Ku berikan apa yang dipintanya. Dan jika dia memohon perlindungan, pasti akan Ku lindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Daripada hadis di atas, jelas bahawa sunat tidak boleh dianggap sebagai suatu amalan sukarela. Siapa yang suka dia buat. Kalau tidak suka, tidak payah buat. Sebaliknya sunat adalah amalan yang sangat diperlukan oleh Muslim beriman. Ia sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada Tuhan Yang Amat Pemurah, sebagai penyelamat daripada seksa api neraka pada akhirat nanti dan sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah agar menjadi seorang hamba yang dikasihi-Nya.
# PENULIS adalah pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, May 19, 2004

Wanita kena berilmu bukan harapkan kecantikan fizikal

19/5/04

Oleh Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
HORMAT Wanita yang dipilih sebagai tema Hari Sambutan Wanita Sedunia di Malaysia, baru-baru ini, memberikan penghormatan dan pengiktirafan terhadap peranan wanita sebagai ibu, isteri, anak, sahabat, teman seperjuangan dan ahli dalam sesebuah masyarakat. Sikap saling hormat menghormati adalah nilai murni yang perlu diterapkan pada setiap anggota masyarakat tanpa mengira usia, jantina dan status sosial.
Bagaimanapun, hormat wanita perlulah bermula dengan wanita menghormati diri mereka sendiri. Bak mutiara kata Inggeris yang berbunyi ‘Respect is earned’. Hormat terhadap seseorang tidak akan datang sendiri melainkan di atas sesuatu yang menyebabkan dia layak menerima penghormatan itu. Hormat pula bukanlah sesuatu yang boleh diminta-minta atau dipaksakan, tetapi lahir daripada hak dan tanggungjawab yang sudah dilaksanakan.
Wanita perlu mula belajar menghormati diri sendiri. Ia bermula dengan belajar mengenali diri sendiri dan menerima segala kelebihan dan kekurangan kurniaan Allah ke atas dirinya. Segala kelebihan diri dimanfaatkan untuk berbuat kebaikan yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Kekurangan diri pula cuba diperbaiki seboleh mungkin tanpa menyebabkan perasaan rendah diri. Wanita perlu menghargai dan menyayangi diri sendiri dan meletakkan nilai tinggi ke atas maruah dan harga diri mereka sebelum meminta orang lain berbuat demikian terhadap mereka. Islam mengiktiraf wanita sebagai individu yang berbeza daripada lelaki dari sudut penciptaannya.
Bagaimanapun, dari segi tanggungjawab dan pengabdiannya terhadap Allah adalah sama. Firman Allah bermaksud :
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang wanita serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Firman Allah lagi bermaksud: “Demi malam apabila menutupi, dan siang apabila terang benderang dan penciptaan lelaki dan perempuan, sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.” (Surah al-Lail, ayat 1-4)
“Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk, ayat 2)
Wanita Islam yang menghormati dirinya akan sedaya upaya menunaikan setiap suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dia juga perlu meyakini setiap hukum Allah mempunyai hikmah yang bertujuan memelihara kesucian dan kesejahteraan diri dan masyarakat umum walaupun nafsu mereka tidak menyenanginya.
Contohnya, sistem hijab dalam Islam untuk memelihara kesucian maruah diri dan keselamatan seseorang wanita. Dengan ini lelaki akan memandang wanita sebagai seorang yang mulia dan terhormat serta bukan semata-mata sebagai objek seks. Ini seperti firman Allah bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)
“Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” (Surah Yunus, ayat 44)
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut, ayat 64)
Seterusnya wanita mesti memperkasakan diri mereka dengan ilmu pengetahuan kerana dengan ilmulah seseorang manusia dihormati dan disanjungi. Wanita tidak boleh bersandarkan kepada kecantikan fizikal semata-mata kerana ia tidak berkekalan. Wanita perlu mengambil tindakan berdasarkan sesuatu fakta dan tidak hanya terikut-ikut dengan trend semasa. Contohnya, ramai wanita muda kini yang merokok! Perbuatan itu jelas melambangkan wanita tidak menghormati diri sendiri kerana berbuat sesuatu yang akan memudaratkan tubuh badan mereka.
Merokok boleh mengganggu pusingan haid dan menyebabkan penghasilan ovum yang kurang berkualiti. Merokok juga boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti kanser paru-paru dan kerongkong. Malah, wanita mengandung yang merokok akan mendatangkan mudarat kepada janin yang dikandungnya.
Kajian saintis mendapati beberapa komplikasi bagi ibu mengandung yang merokok seperti kelahiran pramatang, berat badan bayi yang terlalu rendah dan kematian janin dalam rahim.
Terlalu mempercayai lelaki tanpa syarat hingga menggadaikan maruah diri juga bukanlah tindakan bijak seorang wanita biar seagung mana pun cintanya! Wanita harus pandai memberi dan menilai cinta dan hanya menyerahkan dirinya dengan terhormat melalui ikatan ijab kabul.
Berleluasanya perbuatan maksiat dan zina dalam masyarakat turut berpunca daripada longgarnya ikatan kekeluargaan dan punahnya rasa percaya dan hormat terhadap ibu bapa. Gadis dan wanita yang tidak mendapat kasih sayang daripada lelaki dalam hidup mereka iaitu bapa masing-masing, mula mengemis kasih daripada lelaki hidung belang yang mengambil kesempatan daripada keperluan emosi seorang wanita.
Pengalaman dalam kehidupan adalah universiti terbaik bagi seseorang insan selagi mana dia belajar dengan mengutip permata kehidupan yang berharga di celah-celah kesilapan yang pernah dilakukannya atau oleh orang lain.
Panduan menghormati diri sendiri.
# Hargai dan sayangi diri sendiri dengan menerima segala kelebihan dan kelemahan diri. Berazam untuk memanfaatkan kelebihan diri untuk kehidupan yang lebih baik, di samping cuba memperbaiki kelemahan sendiri.
# Percaya kepada keupayaan diri sendiri dan mempunyai maruah diri yang tinggi.
# Tidak melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan kesihatan seperti merokok, mengambil dadah, minum arak dan pengguguran haram.
# Merasai kepuasan sekiranya beroleh kejayaan dan tidak berputus asa sekiranya gagal.
# Melakukan sesuatu kerana kemahuan diri sendiri dan bukan paksaan daripada orang lain. # Memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencuba semula dan bangun daripada kegagalan.
# Tidak rendah diri di atas kekurangan yang ada pada diri sebaliknya meyakini Allah menciptakan manusia dengan keupayaan yang tersendiri.
# Tidak terikut-ikut dengan tindak tanduk orang lain atau berbuat sesuatu semata-mata untuk menarik perhatian orang lain.
# Meyakini qada dan qadar yang ditetapkan oleh Allah serta meyakini usaha dan tawakal adalah selari dalam mencapai kejayaan.
# Tidak terlalu mengharapkan bantuan orang lain, sebaliknya berusaha dengan menggunakan kelebihan, kemahiran dan kepandaian yang ada pada diri sendiri.
# Membuat keputusan yang menguntungkan diri sendiri, keluarga dan masa hadapan serta menjauhi perbuatan yang merugikan.
(Penulis ialah pelajar sarjana bidang psikologi serta mengalu-alukan e-mel remaja dan wanita bermasalah. Sila hubungi raudhatus_sakinah@yahoo.com)

Wednesday, May 12, 2004

Asma pembakar semangat juang anak -Hari ibu

12/5/04

Oleh Dr Hafidzah Mustaqim

AHAD lalu, telefon bimbit saya tidak berhenti-henti menerima pesanan ringkas ucapan ‘Selamat Hari Ibu.’ Semuanya menarik termasuk yang berbunyi “Motherhood is a tough 24 hour job: no pay, no day off, most often unappreciated and yet resignation is impossible!” (Keibuan adalah satu kerjaya 24 jam yang berat, tiada cuti, tiada gaji, kebanyakannya memang tidak dihargai tetapi meletak jawatan adalah mustahil!). Jika ada yang hendak mempertikaikannya, silakan! Sejak dari pagi, anak saya sibuk bergilir-gilir memberikan pelukan istimewa ‘Selamat Hari Ibu, Umi.’ Malam esoknya kumpulan usrah pula akan mengadakan pertemuan mingguan di tempat yang istimewa untuk kami meraikan Hari Ibu. Bak kata seorang teman, “Let’s treat ourself in style.” Kalau hendak tunggu suami kita mengaturkan semuanya, mungkin kita akan dianggap ‘meminta terlalu banyak’ pula. Jadi, lebih baik kita aturkan sendiri pertemuan itu dan menghantar bil saja kepada mereka. Apabila masuk bab hari istimewa, ada yang mempersoalkannya. Kita tidak perlu hari istimewa kerana dalam Islam setiap hari kita seharusnya menghargai dan mendoakan untuk ibu kita. Memang betul tetapi berapa ramai pula di kalangan kita yang menyatakan penghargaan mereka kepada ibu saban hari tanpa ketinggalan. Oleh itu ambillah peluang pada Mei ini untuk menyatakan penghargaan kita yang tidak terhingga kepada ibu terutama bagi mereka yang masih mempunyai ibu di sisi. (Bagi yang sudah tiada, janganlah lupa kirimkan doa kepada mereka daripada seorang anak yang soleh setiap hari). Saya teringat dengan satu tazkirah oleh seorang ustaz pada satu perhimpunan keluarga warga Jamaah Islah Malaysia (JIM) baru baru ini, mengenai nasihat Luqman kepada anaknya dalam surah Luqman dalam al-Quran. Nasihat kedua Luqman selepas perintah untuk tidak menyekutukan Allah adalah untuk berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam konteks ini, Luqman mengingatkan anaknya mengenai keadaan susah payah ibu yang mengandungkannya dalam keadaan lemah selama lebih sembilan bulan dan penat lelah menyusukannya sepanjang tempoh dua tahun. Masya-Allah, dapat kita bayangkan kalau semua bapa di dunia ini menyatakan penghargaan dan penghormatan kepada isterinya, sekali gus menjadikan ia contoh dan menjadikannya satu pengajaran di depan semua anak mereka, beruntunglah sekalian ibu di dunia ini. Tidak akan ada ibu Islam yang menderita kerana dipinggirkan suami dan anak mereka. Sejarah Islam sarat dengan kisah ibu yang menjadi pendorong kepada anak mereka. Antara cerita yang paling saya sukai dan kagumi adalah kisah Asma binti Abu Bakar ketika mententeramkan anaknya. Memang Asma seorang yang hebat sejak dari zaman gadisi kerana menjadi watak penting dalam sejarah penghijrahan Rasulullah. Hingga ke akhir hayat, Asma yang buta lagi lanjut usia menjadi pendorong dan pembakar semangat anaknya Abdullah bin Zubair yang menentang kezaliman panglima yang menyeleweng iaitu Al Hajjaj Yusuf Ath-Thaqafi. Beliau bersama anaknya, Abdullah mempertahankan kota Makkah ketika Hajjaj mengepung mereka dan menghujani Kaabah dengan peluru meriam menjanik. Ketika Abdullah berasa dia akan tewas pada hari itu dan melafazkan kekhuatiran beliau pada ibunya: “Wahai ibu, aku khuatir kalau musuh berhasil membunuh aku mereka akan menyalib mayat aku.” Asma lantas menjawab: “Wahai Abdullah, sesungguhnya kambing yang sudah disembelih itu sedikitpun tidak akan berasa sakit ketika dilapah.” Dengan berbekalkan kata keramat daripada seorang ibu, Abdullah mara dan akhirnya menjadi syahid. Asma yang buta itu mengetahui kematian anaknya dengan meraba tubuh puteranya yang tidak bernyawa di tiang salib. Kurang seminggu dari tempoh syahid Abdullah, Asma meninggal dunia pada usia genap 100 tahun dan ketika itu giginya masih asli dan ingatannya masih kukuh. Allahu Akbar. Inilah yang paling saya takuti. Bersediakah kita menjadi seperti Asma, idola dan pendorong serta pembakar semangat anaknya hingga ke hujung usia. Tentu ibu ini mempunyai hubungan yang kuat dengan anaknya dan menunjukkan contoh teladan ikutan anaknya di jalan dakwah. Marilah sama-sama kita fikirkan hubungan kita dengan setiap anak. Adakah kita berasa yakin bahawa setiap mereka akan mewarisi dan mengamalkan Islam yang syumul. Kalau tidak, masih belum terlewat untuk kita lakukan sesuatu. Marilah kita bersama-sama menjadi seorang ibu yang menghargai dan dihargai. · Penulis adalah doktor perubatan persendirian dan boleh di hubungi di e-mel wanitajim0@yahoo

Wednesday, May 05, 2004

Contohi Rasulullah hargai, perjuang nasib pekerja

5/5/04

Endok Sempo Tahir

CUTI hujung minggu yang panjang sempena sambutan Hari Pekerja, Maulidur Rasul dan Hari Wesak memberi peluang masyarakat negara ini berehat selain melaksanakan perkara yang sudah dirancang. Bagi masyarakat Islam, bulan ini lebih dikenali dengan bulan sambutan Maulidur Rasul, yang ia dimanfaatkan sebahagian Muslimin untuk melahirkan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad. Kedatangan serentak 1 Mei dengan sambutan Maulidur Rasul menambah makna kepada cuti kali ini bukan saja masa untuk berehat tetapi juga menilai serta menginsafi makna di sebalik sambutan kedua peristiwa bersejarah ini. Bagi golongan yang prihatin, inilah saatnya mengimbas kembali sumbangan serta perjuangan yang belum berakhir dengan mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad. Rasulullah adalah seorang pemimpin yang sangat dicintai dan dihormati oleh umat Islam di mana apabila baginda mengambil wuduk, orang ramai merebut mendapatkan sisa air wuduknya. Apabila baginda bercukur, sahabat hampir berkelahi untuk memperoleh hanya selembar rambutnya dan orang daripada pelbagai lapisan berpusu-pusu serta berasak asak untuk sekadar mencium tangannya. Pengikut Rasulullah menyimpan dengan penuh penghormatan apa saja benda yang pernah disentuhnya termasuk pinggan, piring, selipar, cincin, jubah, mahupun tongkat. Setiap tahun, jutaan kaum Muslim mengucapkan salam takzim dengan suara sayu disertai linangan air mata di hadapan makam baginda dengan ucapan, Assalamualaika ayyuhan Nabiy wa rahmatullahiwa barakatuh. Pada satu pertempuran, seorang sahabat menjilat luka Rasulullah SAW dan menjelang wafatnya, sahabat yang lain memeluk serta mencium perut baginda. Sesudah baginda wafat, Saidina Abu Bakar, mencium wajah Rasulullah seraya berkata, “Engkau tetap indah, baik ketika engkau hidup mahupun sesudah engkau wafat.” Puteri Rasulullah, Fatimah, setiap hari mencium tanah pusara ayahnya sambil bersyair: “Apakah mungkin orang yang mencium tanah pusara Ahmad, mahu mencium wangian lain sepanjang masa?” Ramai orang ingin mencium sekurang-kurangnya makam Rasulullah tetapi siapakah gerangan yang tangannya pernah dicium oleh Nabi yang mulia itu? Terdapat dua orang yang tangannya pernah dicium oleh Rasulullah iaitu puterinya sendiri, Fatimah dan seorang buruh kasar yang juga sahabat kepada baginda. Apabila Fatimah datang menemui ayahandanya, Rasulullah akan segera berdiri, menjemput puterinya itu, mengambil tangannya dan menciumnya. Baginda pernah berkata di hadapan sahabat-sahabatnya, “Fatimah belahan nyawaku. Siapa yang membuatnya marah, mereka juga membuatkan aku marah. Siapa yang menyakitinya, mereka juga menyakitiku”. Ketika anak-anak perempuan dihina bahkan dibunuh semasa kecil, Rasulullah mencium tangan puterinya dengan penuh kasih sayang seakan ingin menunjukkan tangan wanita adalah tangan yang dicintai Allah. Tangan itu yang mencorakkan masa depan umat dan negara, oleh itu tangan itulah perlu dihormati, dijaga dan ditatang kerana kedudukan mereka. Seorang sahabat, Saad Al-Anshari, bercerita pada suatu hari seorang sahabat Rasulullah memperlihatkan tangannya yang hitam dan melepuh. Apabila baginda menanyakan mengenai perkara itu, beliau menjawab bahawa tangannya melepuh kerana bekerja keras. Sahabat itu bekerja memecah batu dan tanah keras dengan kapaknya untuk mencari nafkah yang halal bagi keluarganya. Mendengar cerita itu, Rasulullah, yang mulia mengambil tangannya dan menciumnya. Seakan-akan baginda ingin menyatakan kepada seluruh pengikutnya bahawa tangan yang melepuh kerana kerja keras adalah tangan yang cintai Allah. Jika memandang di sekeliling, kita akan melihat jutaan tangan yang menghitam di pinggir jalan, di sawah dan ladang, di tengah hutan, di lautan kerana mencari sesuap nasi. Bayangkan peneroka yang membanting tulang memerah keringat seperti abdi, nelayan kecil di laut yang bersaing dengan kapal besar, petani yang terdedah di bawah terik mentari mencangkul tanah yang kain lama makin tidak subur. Kenangkan juga nasib buruh kilang yang menggerakkan jentera berat tanpa perlindungan majikan. Dan bertanyalah kita, “Ya Rasulullah, setelah engkau, siapakah gerangan pemimpin yang akan mencium tangan mereka ini? Siapakah dikalangan pemimpin yang akan memperjuangkan nasib kaum buruh yang sering dilupakan? – Penulis boleh dihubungi di alamat emel, wanitajim0@yahoo.com