Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, April 30, 2003

Ciri pendidik bertakwa

30/4/03
Ciri pendidik bertakwa
Oleh Muzdalifah Mokhtadi

SABAN hari ada saja masalah disiplin pelajar. Pengetua atau guru besar banyak membuang masa untuk menyelesaikan masalah disiplin pelajar mereka. Selesai satu masalah akan timbul pula masalah lain.

Anak berusia di antara 10 hingga 15 tahun, khususnya akan sentiasa memerhatikan persekitaran mereka. Contohnya, mereka meneliti tindak-tanduk ibu bapa mereka, program televisyen, perangai manusia di luar rumah seperti jiran, rakan dan guru di sekolah. Tidak ketinggalan gelagat insan di sepanjang perjalanan dari rumah ke sekolah.

Golongan remaja ini sentiasa mencari ‘role model’ atau teladan yang akan mereka ikuti.

Persoalan pertama, adakah anak ini memahami tujuan mereka dilahirkan? Untuk apa dilahirkan dan ke manakah akhirnya hidup mereka? Di manakah peranan ibu bapa sebagai pendidik pertama ?

Adakah anak-anak diberikan garis panduan untuk bekalan sepanjang hidup mereka? Anak-anak tidak selamanya berada di sisi ibu bapa mereka. Ini kerana mereka akan keluar bersama mereka atau melakukan kegiatan seharian lain, seperti bekerja.

Persoalan kedua, adakah guru yang berhadapan dengan murid dari jam 7.30 pagi hingga 1.30 petang menjalankan peranan mereka dengan bijaksana? Tidakkah anak-anak ini akan bosan dengan beban kerja sekolah, di samping guru yang kurang berinteraksi dengan muridnya?

Guru yang berkesan dapat menghabiskan sukatan pelajaran dan membantu murid membuat persediaan bagi mencapai kejayaan dalam hidup. Adakah kejayaan hanya dilihat dari keputusan cemerlang dalam peperiksaan? Sekiranya anak itu tidak cemerlang dalam pelajaran adakah mereka akan gagal dalam hidupnya?

Persoalan ketiga, adakah masyarakat prihatin masih lagi wujud?

Bagaimanakah sensitifnya masyarakat untuk menegur anak jiran yang membuat kesalahan. Sikap biarlah anak orang lain yang rosak, asalkan anak kita selamat, perlukah diteruskan?

Sepatutnya kita tidak menyalahkan sesiapa sekiranya anak-anak ini tersalah memilih contoh ‘role model’ mereka.

Usaha berterusan tanpa jemu akan menghasilkan natijah yang baik sama ada melalui peranan ibu bapa, guru atau masyarakat yang memahami tanggungjawab melahirkan pelapis masyarakat cemerlang sama ada dari segi jasmani, rohani atau emosi.

Sebagaimana firman Allah bermaksud: “Beramallah kamu, sesungguhnya Allah akan melihat amal kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Maka (Allah) akan memberitahu kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah at-Taubah, ayat 105)

Setiap usaha yang dilaksanakan dengan rasa penuh bertanggungjawab akan menghasilkan insan yang saling menghormati di antara satu sama lain. Ia juga melahirkan rasa kasih sayang dan persaudaraan kental di jiwa orang yang terbabit sama ada anak, ibu bapa, guru atau masyarakat.

Seperti kata Imam Hassan al-Banna: “Berkasih sayanglah sesama kamu dan peliharalah persaudaraan (ukhuwwah) kerana ia rahsia kekuatan dan kemenangan kamu. Hendaklah kamu berterusan dalam demikian, sehingga Allah datangkan kemenangan bagi kamu dan agamamu. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi kemenangan.”

Sebagai seorang pendidik, sama ada ibu,bapa, penjaga, guru atau masyarakat yang prihatin, seharusnya mempunyai ciri seorang pendidik sebenar iaitu:

l Sifat ikhlas terhadap Allah dalam segala amal pendidikan sama ada perintah, larangan, nasihat, perhatian atau hukuman daripada Allah.

Setiap pendidik yang menjalankan tanggungjawab perlu menunjukkan setiap kerja yang dilakukannya hanya kerana Allah.

l Sifat takwa iaitu, bimbang akan seksaan Allah secara rahsia dan terang-terangan. Jika ini diabaikan, maka tiada syak lagi kanak-kanak akan membesar dalam penyelewengan dan dia akan berulang-alik kepada kumpulan perosak dan kejahilan.

l Sifat sayang kepada ilmu pengetahuan iaitu mengetahui dan mengenali dasar pendidikan yang ditunjukkan dalam syariat Islam.

Ini kerana ilmu yang ada dapat membantu meletakkan setiap perkara pada tempatnya.

l Suka memaafkan kerana sifat ini akan menarik anak-anak kepada pendidik dan dengan sebab itu, anak akan menyambut kata-kata dan perintah pendidiknya.

Sifat ini dapat meletakkan manusia di kemuncak adab dan kesempurnaan serta di tingkat tinggi dalam strata sifat budi pekerti.

l Sifat tanggungjawab yang besar dalam mendidik anak dalam segi keimanan dan kelakuan, membentuknya dalam segi jasmani dan rohani serta menyediakannya dalam segi mental dan sosial.

Pendidik hendaklah selalu bimbang jika dia melalai atau mencuaikan tanggungjawabnya. Ini kerana perbuatan demikian, pasti membuat anak itu akan terjebak ke dalam kerosakan sikit demi sikit dan selangkah demi selangkah.



l PENULIS adalah guru siswazah dan boleh dihubungi di wadah_wjy2k@yahoo.com


Wednesday, April 23, 2003

Kesilapan ibubapa didik anak remaja

23/4/03
Kesilapan ibu bapa didik anak remaja
Oleh Roha Hassan

LAPORAN akhbar Harian Metro bertarikh 1 Mac 2003 mengenai kumpulan punk menjadikan seks bebas sebagai sebahagian amalan mereka, sangat mengejutkan. Laporan itu antara lain menyiarkan pengakuan beberapa remaja yang bangga dengan pembabitan mereka dalam kumpulan itu.

Bagi mereka, ia adalah kumpulan yang memperjuangkan bangsa dan mereka tidak berasa bersalah, walaupun dipandang serong oleh masyarakat. Mereka gembira dapat menghabiskan masa bersama dan berpakaian berlainan daripada orang lain.

Sebelum ini, kita digemparkan dengan kehadiran kumpulan ‘Black Metal’ yang majoriti pengikutnya adalah remaja Islam. Begitu besar bahaya yang sedang melanda generasi remaja Islam kita masa kini.

Daripada saling menuding jari di antara satu sama lain, ibu bapa dan pihak berkuasa mesti berusaha meningkatkan kawalan terhadap remaja terbabit dengan kumpulan yang menjalankan kegiatan tidak sihat.

Ibu bapa mesti mengenali siapa rakan sebaya anak mereka. Ibu bapa mesti mendapatkan maklumat lanjut jika mengesan anak remaja mereka terbabit dengan mana-mana kumpulan atau geng.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui oleh ibu bapa dan masyarakat mengenai emosi anak remaja mereka, kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh ibu bapa dan pengaruh rakan sebaya ke atas remaja.

1. Keinginan naluri remaja itu sendiri.

Seorang ahli psikologi Barat, Carl Rogers (1985), berkata seseorang yang memasuki alam remaja akan mengalami beberapa perubahan ketara. Perubahan ini dengan jelas menunjukkan bagaimana rakan sebaya begitu penting bagi memenuhi tuntutan naluri seseorang remaja itu. Di antara perubahan itu ialah kecenderungan berkumpulan dan tidak suka dikongkong.

Dari aspek kecenderungan berkumpulan Rogers berkata, perubahan emosi dan fikiran mendorong remaja memperluas jaringan rakan sosialnya mengikut umur sebaya, hobi, prinsip hidup dan cara berpakaian yang sama.

Adalah perkara biasa pada tahap ini jika remaja dikesan ingin memiliki identiti tersendiri, walaupun ada di antara mereka yang kemudiannya mengalami krisis identiti. Perubahan ini adalah perkembangan sihat dalam pertumbuhan dan perkembangan mental remaja. Namun remaja boleh terjerumus ke dalam kegiatan tidak sihat jika mereka salah memilih kumpulan.

Remaja juga mudah berasa kuasa yang ada pada ibu bapa, guru dan orang dewasa terlalu kuat dan boleh menghalang cita-cita mereka. Perbezaan pendapat dan gaya hidup di antara remaja dengan ibu bapa, guru dan orang dewasa akan mencetuskan rasa permusuhan dan berasa diri dikongkong. Ini kerana golongan remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang sedang bergelora.

Konflik harga diri ini menyebabkan remaja menjadikan rakan sebaya sebagai ‘tempat mengadu. Malah, mereka juga akan melakukan sesuatu yang drastik bagi membuktikan mereka boleh berdikari atau mampu bertindak seperti orang dewasa.

2. Ibu bapa dan ahli keluarga terlalu sibuk.

Ibu bapa yang terlalu sibuk tanpa mampu meluangkan masa secukupnya untuk mendampingi anak remaja masing-masing akan menyebabkan anak mereka mencari alternatif. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang dan tumpuan sewajarnya daripada ibu bapa dan keluarga, akan mendapatkannya daripada orang luar termasuk rakan sebaya.

3. Komunikasi kurang berkesan.

Komunikasi kurang berkesan juga menyebabkan remaja lebih selesa berkongsi masalah, suka dan duka dengan rakan sebaya.

Ibu bapa seharusnya membuka ruang yang lebih luas untuk mendengar permasalahan atau luahan perasaan anak remaja masing-masing. Cuba memahami naluri mereka. Kurangkan penggunaan kuasa sebagai ibu bapa untuk memaksa anak-anak mendengar atau mematuhi semua arahan.

4. Maruah diri.

Remaja yang berhadapan dengan masalah membabitkan nama baik keluarga dan maruah dirinya, yang memungkinkannya dihukum jika perkara ini dimaklumkan kepada keluarga, akan menggunakan rakan sebaya sebagai pendengar dan pemberi nasihat.

5. Kurang keyakinan.

Rasa kurang yakin terhadap diri sendiri, ibu bapa dan adik beradik turut menyebabkan remaja mencari seseorang atau sekumpulan insan lain iaitu rakan sebaya sebagai tempat bergantung atau berlindung.

Sikap acuh tidak acuh terhadap tanggungjawab sebagai ibu bapa dan ahli dalam sesebuah keluarga, menyebabkan anak remaja memandang rendah kemampuan ibu bapa dan ahli keluarga. Mereka berasa lebih selamat dan selesa apabila bersama rakan sebaya berbanding keluarga.

6. Sindrom kurang daya tahan iman.

Kurangnya pengetahuan agama menyebabkan jiwa remaja kekosongan. Jiwa yang kosong ini, jika tidak diisikan dengan perkara berfaedah atau kegiatan membina sifat-sifat positif, akan dipenuhi dengan unsur negatif yang membinasakan.

Bagaimanakah ibu bapa dan masyarakat dapat membantu remaja daripada terbabit dengan rakan sebaya dan kumpulan yang tidak bermoral ini?

1. Tingkatkan daya ketahanan iman remaja.

Dorongan menyucikan hati adalah unsur penting dalam melahirkan generasi remaja berakhlak baik atau salih. Menyucikan hati bermakna takziah an-nafsi iaitu membersihkan diri daripada maksiat.

Imam Al-Ghazali membahagikan maksiat kepada dua bahagian iaitu maksiat zahir dan batin. Suasana persekitaran yang wujud mempengaruhi rangsangan nafsu dan akal untuk menghasilkan tingkah laku remaja.

Pembabitan remaja dalam kegiatan berfaedah seperti kem ibadat, kursus kecemerlangan diri, sukan dan aktiviti sosial berkonsep keagamaan dan penerapan nilai murni, mampu membantu remaja membina personaliti unggul.

2. Berikan panduan memilih kawan.

Memandangkan begitu besar dan pentingnya kehendak naluri dan keperluan remaja terhadap rakan sebaya, ibu bapa harus memberi panduan kepada anak-anak untuk memilih rakan sebaya.

Ibu bapa mesti menyedari bahawa rakan sebaya mampu mendorong remaja ke arah kejayaan atau kemusnahan, dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Menurut Imam Al-Ghazali, berkawan dengan orang yang sangat mementingkan perkara keduniaan semata-mata, adalah seperti meminum racun yang membinasakan.

Ini kerana tabiat manusia itu sentiasa terpengaruh untuk meniru-niru tabiat rakannya tanpa disedari oleh orang lain. Bercampur atau berkawan dengan orang yang amat mementingkan hal keduniaan, akan menarik hati kepada sifat tamak dan sayangkan dunia.

Sebaliknya, jika kita bergaul atau berkawan dengan orang yang zahid atau mementingkan hal keakhiratan, ia akan menarik hati kepada cintakan kezahidan, mensyukuri nikamt Allah dan memiliki rasa sayang pada diri yang tinggi, yang mampu menjadi benteng menepis perbuatan maksiat.

3. Didik anak supaya dapat membezakan di antara rakan sebaya yang baik dan jahat dan kumpulan yang baik atau sebaliknya.

Abu Sulaiman Ad-Darani berkata, jangan sekali-kali engkau bersahabat dengan salah seorang daripada dua yang berikut:

l Orang yang engkau senang dengannya dalam menguruskan hal ehwal keduniaanmu.

l Orang yang engkau tidak dapat menambahkan faedah dan manfaat dalam hal ehwal keakhiratanmu.

4. Sentiasa memantau siapa rakan sebaya anak.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar, iaitu mereka mesti memantau siapa rakan di sekolah atau dalam kawasan perumahan tempat mereka tinggal, yang sering didampingi oleh anak mereka dari semasa ke semasa.

Mereka perlu memerhatikan tingkah laku anak secara bijaksana untuk mengesan sebarang perubahan tidak sihat. Mereka mesti cepat bertindak jika mendapati anak remaja terbabit dengan kumpulan tidak sihat.

Selain itu, ibu bapa perlu berusaha memperkukuhkan ikatan kasih sayang dan kekeluargaan bagi memenangi hati anak remaja. Melalui cara ini, kita dapat memastikan anak tidak tersilap memilih rakan sebaya dan kumpulan.

PENULIS adalah ketua kelab remaja sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan wanita Islam dan boleh dihubungi melalui e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com

Wednesday, April 16, 2003

Umat Islam sedunia perlu pertahan hak rakyat Iraq

16/4/03
Wadah Wanita Islam: Umat Islam sedunia perlu pertahan hak rakyat Iraq
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

KITA melihat perarakan dan kempen antiperang mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia. Beratus ribu orang menyertai kempen itu. Sebagai warga Islam prihatin, kita juga perlu menyokongnya.

Kita pernah ternampak kempen pulaukan barangan Amerika Syarikat. Mungkin ada yang berfikir, apalah sangat kesan yang akan dirasai oleh Amerika, jika rakyat Malaysia memboikot barangan mereka?

Terdapat seorang pemikir membuat kesimpulan, Amerika tidak akan terasa apa-apa kesan daripada pemboikotan barangannya oleh orang Malaysia. Dalam kata lain, tidak ada ertinya kita melakukan usaha yang tidak memberikan kesan.

Namun, bagi seorang Muslim yang sedar dan insaf, kesan itu tidak penting. Ini kerana dia percaya setiap amalan atau tindakannya, walau sebesar zarah, akan mendapat ganjaran Allah! Dia akan melihat bahawa tindakan ini tidak sia-sia.

Di akhirat kelak, Allah tidak akan bertanya hasil perjuangan kita. Allah mungkin bertanya, ‘apakah yang kamu lakukan untuk agama kamu?’ Allah tidak akan bertanya ‘apakah pemboikotan kita berjaya menjejaskan ekonomi Amerika?’ Tetapi yang akan ditanya Allah kelak ialah, ‘apakah yang sudah kita buat untuk menamatkan kekejaman ini?’

Perkara ini mengingatkan kita kepada satu kisah pada zaman Nabi Ibrahim ketika baginda dibakar oleh kaumnya. Ketika itu, terdapat seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiramnya ke atas api yang sedang marak membakar.

Tingkah lakunya diperhatikan oleh makhluk lain, lalu bertanya kepada burung itu: “Buat apa kau memenatkan dirimu, mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim takkan terpadam dengan air yang kau siramkan itu. Sia-sia saja usahamu itu.”

Burung itu lalu menjawab: “Memang ia tidak akan memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku lakukan untuk agama Allah? Allah tidak akan bertanyaku sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau tidak, tetapi apakah yang aku sudah lakukan untuk memadamkan api itu?”

Subhanallah, burung kecil ini pun faham kepentingan melakukan sesuatu untuk agama.

Dalam konteks pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq, bagaimana pula keadaannya selepas kota Baghdad tumbang?

Di beberapa bandar di selatan Baghdad, rakyat Iraq menunjukkan penentangan yang hebat sehingga pasukan askar penceroboh, yang diketuai oleh Amerika, mengambil masa sehingga tiga minggu untuk menawannya. Masyarakat seluruh dunia begitu kagum dengan kekuatan semangat dan kepahlawanan rakyat Iraq itu.

Tiba-tiba, seluruh dunia terkejut apabila Baghdad jatuh ke tangan askar penceroboh dalam masa yang begitu singkat, hanya kira-kira lebih dua jam, selepas selesai pertempuran.

Kota Baghdad jatuh dengan mudah. Umat Islam di seluruh dunia terpinga-pinga. Hati kita pedih bagai dihiris sembilu dengan jatuhnya Baghdad dalam keadaan yang menyayat hati serta memalukan.

Senario kejatuhan memang sudah dijangka. Tentera penceroboh mempunyai segala kelengkapan perang yang moden dan canggih berbanding dengan kelengkapan persenjataan dan logistik peperangan tentera Iraq Selain itu, mereka turut mendapat sokongan puak pembangkang dan pemberontak Kurdish dan Syiah. Puak Kurdish dan Syiah ini beralih untuk memihak kepada penceroboh setelah mereka melihat rejim Saddam Hussein tidak lagi berkuasa.

Mampukah rakyat Iraq, yang sekian lama hidup di bawah regim kuku besi Saddam dan menghadapi kekurangan makanan akibat sekatan ekonomi, melawan penceroboh? Bolehkah rakyat yang tidak diperkasakan selama puluhan tahun, melawan dengan gagah berani? Banyak lagi faktor penuh misteri yang menyebabkan tragedi demikian.

Perkara yang jelas adalah rakyat Iraq menanggung segala musibah dan kemusnahan perang yang mengerikan. Selama puluhan tahun, mereka dinafikan hak asasi demokrasi, selama itu jugalah sumber kekayaan mereka dieksploitasi. Kini mereka dalam bahaya penjajahan Amerika.

Seramai 24 juta penduduk Iraq terdedah kepada ‘pasaran’ besar untuk dieksploitasi oleh syarikat multinasional Amerika. Cara hidup dan masa depan Iraq akan ditentukan oleh penceroboh dan sekutunya.

Dalam perkara ini, kita tidak boleh menganggap isu ini sebagai isu Iraq atau Arab semata-mata. Isu ini adalah isu umat Islam. Mereka adalah saudara kita seagama. Justeru, kita perlu menentukan pendirian.

Kita perlu suarakan hak asasi mereka untuk memerintah negara sendiri. Kita perlu menjunjung kemerdekaan sesuatu bangsa itu, keadilan, patriotisme, nilai keamanan dan kemanusiaan.

Kita perlu membantu rakyat Iraq menumpukan kepada mengumpul kekuatan dengan sokongan umat Islam lain untuk membebaskan diri mereka daripada cengkaman penjajahan. Kita perlu membantu mereka berjuang mempertahankan maruah agama dan tanah air.

Kita perlu sedar bahawa umat yang lemah dalam pelbagai sudut, akan menjadi habuan kepada bangsa yang tamak, gagah dan berteknologi tinggi. Kita perlu menyiapkan diri dengan membina jati diri, ilmu, teknologi dan peka keadaan sekeliling. Kita hendaklah celik terhadap sebarang kepalsuan, pembohongan, ketidakadilan serta pupuk kesedaran beragama di samping meningkatkan ketakwaan.

Kita perlu memerdekakan pemikiran kita. Kita perlu mencukupkan infrastruktur fizikal dan kerohanian, barulah kita memohon pertolongan Allah.

Allah berfirman, yang bermaksud: “Diwajibkan kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal dia amat baik bagimu dan boleh jadi juga kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Firman-Nya lagi, yang bermaksud: “Kerana sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kesenangan, selepas kesulitan itu ada kesenangan.” (Surah Alam Nasyrah, ayat 5-6)

Al-Quran memberi beberapa panduan mengenai kejatuhan sesuatu negara dan kebangkitan sesuatu bangsa.

“Yang demikian (seksaan) itu adalah sesunguhnya Allah sesekali tidak akan merubah sesuatu nikmat yang dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan sesnunguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfaal, ayat 53).


Wednesday, April 09, 2003

Umat Islam dituntut sentiasa jaga kebersihan

9/4/03
Umat Islam dituntut sentiasa jaga kebersihan
Oleh Fajriah Salleh

FIRMAN Allah bermaksud : “Katakanlah: Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati. Tetapi amat sedikit kamu bersyukur.” (Surah al-Mulk, ayat 23).

Manusia dijadikan membabitkan dua unsur, iaitu roh dan jasad. Kedua-duanya mempunyai peranan tersendiri. Dalam hal ini, jasad, termasuk kedua-dua tangan dan jari, mesti digunakan untuk pengabdian kepada Allah, sekali gus untuk kebaikan alam sejagat. Soalnya, apakah kita wanita Islam, benar-benar perhatikan dan bersyukur dengan tangan yang dikurniakan?

Wanita sering dikaitkan dengan penyediaan makanan, sama ada untuk diri sendiri, keluarga mahupun bagi jualan. Soalnya, apakah wanita Islam hari ini, benar-benar sedar dan faham peranan mereka dalam menjaga kebersihan, terutama pada tangannya?

Wanita Islam profesional dan bijaksana, akan berperanan menjadikan alam ini dalam suasana sihat yang konsisten. Ini membuktikan bahawa kita mengerti bahawa kehadiran di bumi ini bukan untuk melakukan kerosakan.

Firman Allah, yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah dan janganlah kamu bermaharajalela (berkeliaran) di bumi dengan berbuat kerosakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 60)

Wanita Islam perlu menyedari bahawa seiring dengan hukum alam ciptaan Tuhan, kita yang prihatin dan berilmu pelru menerima hakikat bahawa bakteria/kuman adalah sebahagian daripada ciptaan-Nya. Ia berada di mana-mana, termasuk pada tangan, yang pada pandangan mata kasar mungkin tidak kotor.

Wanita Islam sepatutnya sedar dan faham bahawa tangan boleh menjadi ‘ tempat tinggal habitat sejenis kuman penyebab keracunan seperti kuman ‘Staph.aureus’. Menurut saintis, kira-kira 40 peratus badan manusia mengandungi kuman jenis ini dan tangan adalah cara berkesan dalam memindah kuman kepada makanan serta kawasan lain. Bagaimana pemindahan ini boleh berlaku?

Mari kita perhatikan senario berikut:

l Umum mengetahui Muharam adalah bulan penghijrahan Rasulullah saw dan tradisi membuat bubur Asyura menjadi agenda tetap masyarakat Islam. Di sesetengah tempat, bubur Asyura dimakan selepas ia keras, dipotong kecil-kecil menggunakan tangan. Sebelum itu, kuih Asyura ini kebiasaannya dihiasi dengan telur dadar yang dipotong halus-halus menggunakan pisau dan tangan. Ini ditambah pula dengan sambal ikan yang ditabur di atas kepingan kuih Asyura itu. Walaupun dimasak untuk membunuh kuman, sambal itu ditabur ke atas kepingan bubur asyura kebanyakkan masih lagi menggunakan tangan!

Ketiga-tiga komponen utama bubur Asyura iaitu telur dadar, sambal ikan dan kepingan bubur Asyura (keras) mempunyai tahap kelembapan dan protein tinggi yang mempercepatkan kegiatan pembiakan kuman jika tangan yang mengendalikannya masih tercemar dengan saki-baki bakteria itu (kebiasaannya dikenali sebagai ‘Staph.aureus’). Ini ditambah dengan hawa panas sekarang. Apabila bilangan kuman itu meningkat pada bilangan tertentu, toksin boleh terhasil dan makanan mudah tercemar dan beracun. Ingat, makanan beracun tidak semestinya berbau busuk! Sementara, toksin pula bersifat tahan haba. Penghijrahan kuman boleh berlaku jika kita tidak mengikut cara atau kaedah penyediaan betul.

Sewajarnya, gunakanlah penyepit atau sudu bersih menggantikan tangan. Kalau terpaksa guna tangan, cuci sebersih-bersihnya sebelum menyediakan dan mengendalikan makanan supaya pemindahan kuman dapat dielakkan.

l Sewaktu berpeluang berkursus di Jepun beberapa tahun lalu, satu pengajaran diperoleh daripada masyarakat di sana mengenai penjagaan kebersihan diri dan pemindahan kuman ini. Di tandas awam wanita yang dikunjungi pada waktu itu, tertulis amaran “Beware of E. Coli 0157.” Amaran itu ditampal berdekatan sinki cuci tangan bersebelahan cermin muka. Soalnya, apakah dia E.Coli 0157? Sejenis kuman? Kenapa ia begitu penting untuk diingatkan kepada wanita yang menggunakan tandas?

Hakikatnya, mungkin ramai yang faham bahaya E.Coli 0157, iaitu sejenis kuman yang mengeluarkan toksin dan boleh mengundang gejala keracunan apabila berlaku pemindahannya daripada proses pembuangan najis.

E. Coli dikaitkan sebagai bakteria penunjuk najis, manakala E.Coli 0157 adalah EHEC (Entero Heamoragic E.Coli). Oleh itu, perlu dipastikan tangan bebas bakteria itu sebelum keluar dari tandas dan amaran itu baik dan bertepatan.

Apakah wanita Islam tidak cemburu dengan senario ini? Sepatutnya kita menjadi ‘role model’ kepada wanita lain dalam mengawal dan mengekalkan suasana bersih dan sihat untuk alam sejagat. Bukankah umat Islam umat terbaik? Kalau di Jepun, wanitanya boleh terdidik akan bahaya E.Coli 0157, sepatutnya wanita Islam lebih berwaspada dan memahami konsep pemindahan kuman. Ini sesuai dengan pesanan Rasulullah bahawa “kebersihan itu sebahagian daripada iman.”.

Kadang-kadang ada juga wanita Islam yang tidak tahu menjaga kebersihan diri, dengan memindahkan kuman yang patogenik (seperti E.Coli ) ke bahagian yang menyebabkan kita tersentuhnya sebelum keluar tandas seperti pemegang pintu tandas dan kepala paip sinki.

Daripada senario di atas, apakah kesannya jika wanita Islam tidak tahu berperanan menghindari pemindahan kuman itu?

Secara ringkas, keracunan, jika berlaku akibat tindak balas toksin dan kuman pada bilangan tinggi, akan menyusahkan masyarakat pelbagai peringkat. Firman Allah, yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang takut kepada Tuhan mereka yang ghaib, akan memperoleh keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Mulk, ayat 12).

Sabda Rasulullah lagi, yang bermaksud : “Seseorang itu cukup dikatakan berbuat dosa apabila dia mensia-siakan orang yang menjadi tanggungan makan dan minumnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh itu, selaku wanita Islam yang sedar akan hakikat pemindahan kuman ini, apakah peranan kita menghindarinya?

Pertama, kita perlu memahami dan perhatikan dengan pandangan mata hati akan kejadian ciptaan Allah, termasuk kuman yang dibincangkan tadi. Tidak semua kuman membawa kerosakan terhadap kita, ada yang menjadi penolong untuk menghasilkan makanan tertentu.

Kemudian, selepas difahami bakteria/kuman memang berada di mana-mana, yang penting ialah menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan kuman yang berbahaya/patogenik berpindah memasuki rantaian makanan kita dan seumpama.



PENULIS adalah anggota Perkhidmatan Awam di Jabatan Kesihatan Malaysia dan boleh dihubungi di e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com

Wednesday, April 02, 2003

Ayah prihatin dapat tempat istimewa di hati anak

2/4/03
Ayah prihatin dapat tempat istimewa di hati anak
Oleh Umi Kalthum Ngah

JIKA anda seorang ayah, bayangkan bagaimana perasaan anda jika anak mengatakan: “Ayah! Ayah hebatlah!” Kata-kata ini hanya akan terkeluar daripada anak yang mendapat perhatian, bimbingan seorang ayah secara berterusan.

Banyak kajian menunjukkan, kelelakian seseorang anak lelaki banyak dipengaruhi daripada ayahnya yang menjadi ‘role model’. Kajian juga menunjukkan, anak yang terbabit dalam pelbagai masalah juvana adalah mereka yang tidak mendapat kasih sayang seorang ayah.

Bagaimana untuk menjadi seorang ayah yang hebat pada pandangan anak kita?

Tip berikut ditulis mengikut pandangan tulus ikhlas seorang ibu, tetapi anda bolehlah mengolah mengikut cita rasa tersendiri (iaitu naluri seorang bapa).

l Lebih proaktif.

Sebagai ayah, anda perlu lebih berinisiatif. Jika tidak, amat malang kerana anda gagal memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan anak-anak, yang selayaknya diterima oleh seorang anak.

Bagaimana kalau kita ubah cara? Jika selalunya kita biarkan si ibu memujuk anak, atau kita mengelak diri daripada menukar lampin, apa kata kalau si ayah cuba ubah cara berfikir. Iaitu dengan mengatakan “Oh! Rasanya aku boleh buat ni!” atau “Okey!, sebenarnya aku kena juga melatih diri dengan kerja ni!”

Tidak salah kalau ayah mengakui kurang pengalaman dan kemudian meminta nasihat serta tunjuk ajar daripada isteri kerja-kerja yang berkaitan dengan pembangunan emo-si anak-anak.

l Perlu banyak latihan amali.

Jangan sekali-kali mengandaikan pasangan anda serba tahu atau lebih tahu segala hal dari dirinya. Sesungguhnya, apa yang isteri anda ketahui atau lakukan dalam membesarkan anak, datang daripada pengalamannya.

Jangan lupa bahawa apabila kita selalu berlatih, kita akan menjadi bertambah baik dan cekap.

l Bangga tentang hubungan istimewa anda dan anak.

Lelaki dan wanita mempunyai cara berbeza berinteraksi dengan anak-anak. Lelaki lazimnya lebih kasar dan agak 'fizikal' hubungannya dengan anak-anak, manakala wanita membina kemahiran bersosial dan lebih menghalusi emosi anak-anak.

Namun, jangan pandang rendah akan hakikat ini. Perlakuan secara fizikal dan kasar itu juga memperkayakan didikan emosi seperti ujaan dan stimulasi. Kanak-kanak yang mempunyai seorang ayah yang aktif secara fizikal, lebih popular dan berjaya dalam menjalin hubungan dengan kanak-kanak lain.

l Sokongan emosi penting untuk anak-anak.

Interaksi secara fizikal, memainkan peranan penting dalam hubungan di antara ayah dan anak. Bagaimanapun, sokongan moral dan emosi jauh lebih penting.

Ayah perlu menyelami perasaan anak-anak supaya dia lebih peka dan secara tidak langsung, lebih empati kepada anak. Dengan itu, seorang ayah akan dapat menyiapkan diri untuk memberi bantuan moral dan sokongan secara emosi untuk anak mereka apabila keadaan memaksa.

l Jadilah rakan kongsi anak, bukannya pembantu.

Paradigma lama yang menganggap ayah hanya sebagai pembantu, sebenarnya sudah ketinggalan zaman. Ia adalah pemikiran lapuk dan tidak lagi sesuai pada masa ini.

Jika ayah mahu lebih terbabit dalam tanggungjawab membesarkan anak, mereka harus menanggung bersama tanggungjawab rumah tangga dan asuhan didikan anak.

Ayah yang sentiasa menunjukkan kasih sayang dan timbang rasa kepada ibu dan anaknya, akan dapat melahirkan perasaan dihargai oleh ibu, manakala anak pula akan timbul rasa hormat pada ayah.

l Cari masa setiap hari, bukan sekadar masa hujung minggu.

Seorang ayah yang berkesan, akan terbabit secara langsung dalam membuat keputusan harian mengenai anak. Dia tidak membiarkan semuanya kepada isteri.

Jika tidak, ayah terbabit akan rugi kerana dia tidak sempat melalui cebisan hayat anak, yang walaupun nampak pada mata kasar amat kecil sumbangannya, tetapi sebenarnya memberi kesan besar dalam jiwa anak.

Seorang ayah yang sensitif, tidak sekali-kali mahu ketinggalan untuk mengambil tahu segala perkara mengenai anaknya. Contoh mudah adalah bercerita atau membacakan cerita kepada anak sebelum tidur atau sekali sekala memandikan mereka.

l Hormati dan bertimbang rasa terhadap pasangan anda.

Seorang ayah yang prihatin akan menghargai dan memahami betapa pasangannya, cuba sedaya upaya melicinkan tugas hariannya di rumah. Dia akan menghormati segala keputusan isterinya ketika tiada di rumah.

l Jangan pandang rendah komunikasi dengan anak.

Seorang ayah yang hebat, akan sedar betapa pentingnya kemahiran berkomunikasi dalam rumah tangga. Ayah harus cuba berbicara dengan anak, bukan sekadar bercakap kepada mereka. Ada perbezaan di antara kedua-dua perkara itu. Pertama, ayah berperanan sebagai teman berbual dan banyak mendengar, manakala keadaan kedua, ayah lebih kepada memberi arahan.

l Jangan segan tunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.

Disebabkan terlalu sibuk, kadang kala seorang ayah akan cuba mengimbangi rasa bersalah dengan menghujani anak dengan hadiah sebagai pengganti diri. Mungkin kita terlupa, jiwa seorang anak amat mudah dan suci bersih. Malah, kebiasaan memanjakan anak dengan pemberian ini, adalah berbahaya dan lambat laun boleh merosakkan jiwa mereka.

Lazimnya seorang ayah berasa agak kekok menunjukkan belaian kasih sayang apabila anak meningkat dewasa, apa lagi ketika di khalayak ramai. Ini seharusnya tidak berlaku. Lihatlah bagaimana Rasulullah saw menunjukkan kasih sayang kepada anaknya dengan bangun menyambut kedatangannya, mengucup, memimpin tangan dan memberikan tempat duduknya kepada Fatimah. Sesungguhnya, kasih sayang sebegini akan memberi kesan mendalam dalam hati anak-anak.

l Pastikan anda terus berperanan sebagai ayah walaupun selepas perpisahan (jika ia berlaku).



PENULIS adalah pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia dan boleh dihubungi di e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com