Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, July 31, 2002

Kerjaya wanita Islam saluran dakwah kepada masyarakat

31/7/2002
Kerjaya wanita Islam saluran dakwah kepada masyarakat
Oleh Dr Noor Aini Raimi

TUGAS mewujudkan rumah tangga bahagia adalah tanggungjawab suami dan
isteri. Suasana penuh dengan kasih sayang antara mereka akan
melahirkan kesejahteraan. Kesejahteraan dan kedamaian rumah tangga
akan wujud apabila suami isteri bersama-sama menghayati perintah agama
dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar.

Apa saja pembabitan wanita Islam, sama ada luar atau dalam rumah,
hendaklah dilihat dalam konteks untuk melaksanakan tugas dakwah
Islamiah.

Berdakwah di luar rumah tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan
tugas dalam rumah serta pendidikan anak.

Seseorang wanita Islam yang keluar rumah untuk melaksanakan apa saja
kegiatan membabitkan dakwah (sama ada kerjayanya atau tugasan
organisasi), hendaklah dilihat sebagai penerusan dan pengembangan
usaha bagi mewujudkan kesejahteraan dan kebaikan di luar lingkungan
rumahnya.

Wanita Islam pada masa ini bergiat dalam sesuatu kerjaya atas beberapa
sebab. Wanita bekerja di luar rumah untuk membaiki ekonomi rumah
tangga.

Bagi wanita yang menghadapi kesempitan hidup, syariat Islam memang
membolehkan mereka bekerja di luar rumah untuk membantu suami atau
keluarganya.

Bagi mereka yang mempunyai kelulusan, ilmu di dada perlu dikongsi dan
khidmat ditabur kepada masyarakat untuk pembangunan umat dan negara.

Ada yang perlu menjelaskan hutang pinjaman pelajaran yang dibuat
ketika belajar di institusi pendidikan tinggi. Dengan senario
sedemikian, ramai wanita sekarang memilih untuk bekerja.

Wanita Islam seharusnya menjadikan tempat pekerjaannya sebagai medan
melaksanakan dakwah di kalangan rakan sekerja.

Jika menjaga kepentingan rumah tangga lebih besar tuntutannya daripada
keluar meringankan bebanan ekonomi rumah tangganya, maka hendaklah
(jika sudah bersuami) mereka membuat keputusan tegas bagi menangani
maslahah yang lebih besar.

Sebaik-baiknya seorang wanita Islam merencanakan dirinya bekerja di
luar rumah sebagai satu saluran dakwah kepada masyarakat, jika dapat
melaksanakan tugas asasi sebagai isteri dan ibu (dengan bantuan dan
sokongan suaminya).

Wanita Islam itu perlu menjadikan rumahnya sebagai medan utamanya.
Rumah menjadi medan merealisasikan potensinya sebagai seorang pengurus
dan pentadbir baik, di samping melatih diri dalam pengurusan masa dan
tenaga dengan baik.

Seorang wanita Islam yang bersikap betul akan mampu mengenal keutamaan
dalam hidupnya. Usaha untuk menggunakan potensinya adalah dengan
membabitkan diri dalam masyarakat.

Oleh kerana pembabitan wanita Islam dalam sesuatu kerjaya menjadi
saluran dakwah kepada masyarakat, matlamat mereka adalah dakwah dan
bukan ganjaran gaji daripada pekerjaannya.

Jawatan itu adalah wasilah dan ganjaran gaji yang baik adalah kurniaan
daripada rezeki Allah yang mesti disyukuri. Tidak ramai wanita Islam
bekerja tergolong dalam kelompok ini.

Ada beberapa panduan bagi mereka yang memilih untuk bekerja di luar
rumah:

l Pilihlah kerjaya yang disenangi dan menepati minat.

l Usahakan ke arah mewujudkan suasana kerja yang menenang dan
merangsangkan minda.

l Dampingi rakan yang dapat membantu membaiki diri dan memberi
motivasi.

l Jadikan bidang pekerjaannya sebagai satu medan untuk menonjolkan
kecemerlangan.

l Medan pekerjaan yang diceburi hendaklah menjadi tempat di mana
masyarakat dapat melihat bagaimana Islam dihayati dalam realiti
seharian.

l Datang tepat pada waktu, bekerja dengan teliti dan menyiapkan kerja
dengan baik adalah contoh kecemerlangan yang membolehkan masyarakat
melihat kesan positif daripada orang yang menghayati Islam.
Sebaik-baiknya menghabiskan kerja pejabat di pejabat.

l Sentiasa berusaha membaiki mutu kerja dan memajukan kerjaya.

l Wanita Islam yang peka terhadap misi dakwahnya tidak sepatutnya
menolak jawatan berautoriti. Sebaliknya, apabila jawatan itu
ditawarkan kepadanya dengan keyakinan bahawa tiada orang lain yang
boleh melaksanakan tugas itu dengan cemerlang, hendaklah menerimanya.

Syariat Islam tidak melarang wanita menjadi pemimpin selagi dalam
bidang berkaitan persamaan antara lelaki dengan wanita.

Apabila seorang wanita Islam memegang tugas sebagai ketua hendaklah
dia menggunakan autoritinya dengan menjaga adab Islam. Dia hendaklah
sedar bahawa akhlaknya yang mulia adalah teladan dikagumi. Ini
ditambah pula dengan autoriti sah yang dijawatnya, pasti dia akan
dapat melaksanakan tugas kemakrufan dan pembasmian kemungkaran.

l Bertanyalah khabar berkaitan kerja suami. Ini dapat membuat pasangan
suami isteri memahami dan menghormati kerjaya masing-masing.

l Usahakan untuk selalu berada di sisi suami. Pasangan anda adalah
teman seumur hidup. Temankan beliau ke acara rasmi pejabat dan
sebaliknya.

Pada hari ini, manusia begitu menekankan kecemerlangan dalam apa saja
bidang yang dilakukan. Demi untuk mencapai kecemerlangan ini manusia
moden memberikan penumpuan yang begitu besar terhadap pengkhususan.

Pengkhususan bererti penumpuan masa dan tenaga. Dengan itu adalah
wajar pembabitan wanita Islam dalam masyarakat tidak dibataskan kepada
bidang tertentu.

Sebaliknya, bentuk dan bidang itu hendaklah ditentukan oleh maslahah
yang ingin dicapai oleh umat Islam.

Keseimbangan kehidupan berkeluarga dengan kerjaya memerlukan iltizam
dan pengorbanan daripada suami isteri. Persefahaman dan perkongsian
aspirasi dan ideologi kehidupan adalah resipi kejayaan sesebuah
keluarga.

Antara paduan ke arah itu ialah:

l Waktu bujangnya patut digunakan untuk melengkapkan diri dengan
kebolehan

memasak, mengemas rumah dan menjahit. Disiplinkan diri melakukan kerja
rumah.

l Selepas berumah tangga, amalkan sifat rajin memasak, mengemas rumah,

membaca buku mengenai kehidupan berumah tangga serta berbincang dengan
suami dan rakan.

l Jangan hebohkan kelemahan suami dan keluarga.

l Babitkan diri dengan kerja amal, persatuan dan pertubuhan.

l Luangkan masa untuk hobi diminati. Berikan ruang kepada suami untuk
berbuat perkara sama. Usahakan berada di sisi suami baik dalam suka
atau duka.

l Berkomunikasi dengan baik sama ada dengan sentuhan, percakapan,
isyarat mata dan mimik muka.

l Jangan berlaku kasar terhadap pasangan atau merendahkannya.

l Sentiasa bersikap jujur antara satu sama lain.

l Sewaktu mengandung nikmati perubahan yang dialami bersama suami.
Bekalkan diri dengan membaca dan mencari ilmu berkaitan penjagaan dan
pendidikan anak. Hadirkan diri bersama suami untuk kursus keibubapaan.

l Selepas menimang cahaya mata disiplinkan diri untuk membahagikan
masa untuk semua kerja rumah, hobi dan waktu rehat. Seorang suami yang
matang dan bertimbang rasa perlu memainkan fungsinya di sini.

l Pengisian ilmu agama diteruskan agar ketenteraman jiwa dicapai.

l Hormati dan sayangi keluarga suami seperti keluarga sendiri. Bagi
yang mempunyai masalah dengan mentua dan ipar duai, terus dampingi
mereka dan jangan berputus asa. Perbaiki sikap diri sendiri dan
elakkan perbalahan keluarga. Ingat bahawa anak mencontohi ibu bapanya
dalam mengharungi kehidupan berkeluarga.

l Jangan bertengkar di hadapan anak. Selesaikan masalah dalam bilik
jauh daripada pendengaran dan pembabitan anak. Ketua keluarga perlu
ditonjolkan di sini.

l Jaga tingkah laku suami isteri kerana anak mewarisi banyak kelakuan
ibu bapanya.

l Galakkan anak untuk berfikir dan suka membaca.

l Cetuskan sifat sensitif kepada persekitaran dan hargai alam semula
jadi.

l Ajar anak berjimat cermat dan tidak membazir.

l Damaikan anak yang bergaduh dan bertengkar ketika itu juga.

l Didik anak agar menghormati yang tua dan bersikap tolak ansur kepada
yang muda.

l Rancangkan percutian keluarga sekurang-kurangnya sekali setahun.

l Apabila anak baligh, berbincanglah sekeluarga ketika membuat sesuatu
keputusan yang membabitkan ahli keluarga seperti pertukaran sekolah.

l Berikan ruang untuk anak membuat keputusan dan menanggung risiko
daripada keputusan yang dibuat.

l Tanamkan sifat rajin, berdisiplin dan berilmu ke dalam perwatakan
anak agar mereka menjadi insan lebih baik daripada ibu bapa mereka.

Apa yang penting, setiap wanita Islam hendaklah jujur dalam menangani
tugas mereka. Suami pula hendaklah menunjukkan teladan baik. Kerukunan
sesebuah rumah tangga tiada nilainya.

Fungsi suami isteri dalam menerajui sesebuah institusi keluarga yang
berjaya, memerlukan persefahaman dan penghayatan Islam dalam kehidupan
mereka. Sebuah keluarga yang berjaya mampu menghasilkan generasi
berilmu dan juga bertakwa.

Penulis adalah pengamal perubatan.

Wednesday, July 24, 2002

Tiga kaedah menghindari penyakit

24/7/2002
Tiga kaedah menghindari penyakit
Rosliya Abbas

SETIAP hari kita mendengar perbincangan mengenai ubat, sakit dan penyakit. Ubat dibincangkan dalam skop penggunaan yang pelbagai. Fenomena ini adalah lumrah dan bertepatan dengan satu hadis Rasulullah saw. Dari Abu Hurairah, Nabi Muhammad saw bersabda: "Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit kecuali menurunkan juga ubatnya." Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan makna yang sama. Secara umumnya penyakit boleh dielakkan dengan tiga cara. Pertama dengan penjagaan kesihatan dan mengamalkan cara hidup sihat. Kita perlu mengambil makanan seimbang untuk keperluan tenaga badan secukupnya saja. Kedua, menjauhi dan melindungi diri daripada sesuatu yang menyakiti/memudaratkan tubuh badan seperti merokok, menghidu asap rokok, persekitaran tidak sihat, tidur dan rehat tidak cukup. Ketiga adalah membuang zat yang merosakkan. Ia boleh dicapai dengan senaman mencukupi setiap minggu dan pengambilan makanan tertentu yang boleh membantu pengeluaran toksin. Ubat memang dikaitkan dengan kesakitan dan penyakit. Penyakit boleh datang secara mendadak dan akan pergi secara perlahan-lahan pada jasmani. Ia akan kembali normal dengan mengubati dan merawatnya. Bagaimana sesuatu ubat itu diketahui boleh mengubati sesuatu penyakit? Tentunya melalui pemerhatian kesan dan pengalaman mereka yang terdahulu terhadap punca dan tanda yang ditunjukkan daripada percubaan menggunakannya. Usaha ini diteruskan oleh pakar dan penyelidik bagi mengetahui bahan kimia apakah sebenarnya yang membantu dalam sesuatu penyembuhan. Hasilnya adalah kemudahan pelbagai ubatan dalam pelbagai bentuk dan cara pengambilannya, walaupun merujuk kepada sesuatu penyakit atau kesakitan yang sama. Contohnya ubat Paracetamol ada dalam bentuk tablet, sirap dan `suppositori'. Hingga kini kegiatan penyelidikan ini masih berterusan. Sebagai pengguna ubatan, mahupun pengurus ubat-ubatan keluarga, kita perlu mengambil tahu beberapa perkara berkaitan penyakit dan ubat yang dipreskripsikan. Semua ubatan yang ada dijual di negara ini mesti berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. Secara kasar ubatan akan dikelaskan kepada dua kelas utama iaitu kelas racun dan bukan racun. Kita boleh mengenali nombor pendaftaran ini dengan kod yang dimulai dengan MAL atau PBKD sebagai cont. MAL19911139X. Huruf X pada hujung menandakan ubat itu dalam kelas utama `BUKAN RACUN'. Sediaan bukan racun mempunyai rekod julat keselamatan yang luas. Oleh itu ia boleh dijual oleh sesiapa tanpa memerlukan Lesen Racun A dari kerajaan. Contoh ubatan ini adalah seperti Paracetamol 500mg Tablet yang boleh dibeli di kedai kopi hingga ke farmasi. Sebaliknya sediaan ubat yang mempunyai kod berakhir dengan huruf A, adalah ubatan yang tergolong dalam kumpulan besar kelas `RACUN'. Kita boleh mengetahuinya dengan melihat label yang ada pada kotak atau bungkusan ubatan itu. Kita boleh juga menyemak kesahihan pendaftaran sediaan ini pada lawan web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di alamat www.bpfk.gov.my. Selain perkataan RACUN, label itu juga mengandungi nama dan alamat pengimport dan pengedarnya di negara ini. Pastikan label ini ada pada ubatan anda bersama dengan maklumat penting seperti tarikh pembuatan, rujukan pembuatan dan tarikh lupus iaitu tarikh akhir ubatan itu dijamin memberi kesan optimum setiap kali kita membeli atau menerima ubatan Sediaan dalam kelas RACUN pula dibahagi kepada beberapa sub kelas lagi. Dua sub kelas yang besar adalah sub kelas B dan sub kelas C. Sediaan dalam kelas ini hanya boleh digunakan untuk penyakit dan keadaan pesakit tertentu dalam pelan rawatan dalam jangkamasa tertentu. Oleh itu sediaan ubat kelas ini hanya boleh didapati di farmasi, klinik dan hospital. Sub kelas B hanya boleh diperoleh dengan preskripsi doktor dan dibeli dari klinik, hospital dan farmasi. Sub kelas C boleh di beli di farmasi tanpa preskripsi dengan kehadiran Ahli Farmasi Berdaftar. Penjualan dan pembelian semua sediaan ini mesti mengikut peraturan dan direkodkan seperti yang ditetapkan dalam Akta Racun 1952. Oleh itu, sebagai pengguna kita seharusnya memberi kerjasama kepada pihak klinik, hospital dan farmasi memenuhi keperluan akta bagi membolehkan sediaan itu dibekalkan kepada yang memerlukan. Pengambilan atau penggunaan sediaan ubatan akan memberi beberapa kesan kepada pengguna. Ini kerana manusia mempunyai sistem badan kompleks dan saling berhubungan antara satu sama lain. Oleh itu pengambilan dan penggunaan ubatan dari kelas Racun atau Bukan Racun sama ada untuk penjagaan kesihatan atau perawatan semestinya mendapat preskripsi dari doktor atau nasihat ahli farmasi. Berhubung perkara ini, Islam amat menjaga kebajikan dan keselamatan umatnya dengan panduan daripada al-Quran. Firman-Nya bermaksud : "Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui."- (Surah al-Nahl, ayat 43). Perawatan dan penjagaan kesihatan bagi setiap orang adalah berbeza kerana faktor fizikal dan keperluan berbeza. Perkembangan industri farmaseutikal berkembang dengan pesatnya membolehkan kita mempunyai pelbagai pilihan ubatan yang lebih menjurus kepada keperluan seseorang pengguna. Oleh itu pengguna dilarang berkongsi ubatan dengan orang lain tanpa mendapat nasihat doktor atau ahli farmasi terlebih dulu. Sediaan ubatan ini mempunyai waktu mula bertindak balas dan berakhirnya kesan kepada tubuh badan. Pengguna perlu membaca label arahan pengambilan atau penggunaan ubatan dengan teliti. Pastikan nama pengguna dan ubat adalah sama dengan apa yang diterangkan ketika mendapat preskripsi daripada doktor atau nasihat ahli farmasi. Penggunaan dan pengambilan mesti mengikuti dos dan arahan pengambilan atau penggunaan ubatan itu. Sebarang kecuaian akan mengganggu tindak balas ubatan dalam badan dan ini akan mengganggu kesan yang ingin diperoleh. Kecuaian akan merugikan pengguna dari segi kesihatan, masa dan wang ringgit. Bidang farmaseutikal di negara ini juga pesat berkembang dan kita mempunyai banyak kilang ubat. Oleh itu, kita boleh mendapati satu sedia-an ubatan yang diimport dari pengeluar yang memegang hak milik jenama asal, mempunyai beberapa jenama tempatan. Keberkesanan dan mutu ubatan jenama tempatan tidak perlu diragui, selagi mana didaftarkan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan. Biro itu dipertanggungjawab oleh kerajaan untuk memastikan keselamatan dan status halal bahan yang digunakan dalam sediaan itu. Sebagaimana yang kita maklum ubatan tempatan ini lebih murah berbanding diimport. Hubungan baik dan maklum balas semua yang terbabit dalam penjagaan dan perawatan amat disyukuri. Pengguna seharusnya mengambil peluang daripada kemudahan maklumat media cetak dan elektronik untuk meningkatkan pengetahuan. Usaha menambah ilmu dan membaiki diri dari segi kesihatan seiring dengan hadis yang dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Orang mukmin yang kuat itu lebih disukai oleh Allah daripada seorang mukmin yang lemah." Semoga usaha mendapat tahap kesihatan yang diinginkan dengan meningkatkan ilmu dan mengamalkannya akan diberkati dan dipermudahkan Allah. * Penulis adalah ahli farmasi .

Wednesday, July 17, 2002

Akhlak anak cermin ibu bapa beriman

17/7/2002
Akhlak anak cermin ibu bapa beriman
(Azlina Roszy Mohd Ghaffar)

Anak merupakan permata hati bagi kedua ibubapanya. Kehadiran anak-anak adalah penyeri dalam kehidupan sepasang insan yang bergelar suami isteri. Justeru itulah orang Melayu mengungkapkan anak sebagai ‘cahayamata’ yang sudah tentu melambangkan kekudusan perasaan dan ikatan jiwa antara ibubapa dan anaknya. Kelahiran cahayamata sulung biasanya ditatang dengan penuh belaian kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Kenakalan anak-anak biasanya menjadi sumber kemarahan ibu bapa dan anak-anak yang masih kecil tidak berdosa biasanya menjadi tempat melepaskan geram setelah seharian keletihan mengemaskan rumah atau sibuk di pejabat.

Hadith Rasulullah saw “Setiap anak dilahirkan atas fitrah, terpulanglah kepada ibubapa untuk mencorakkannya samada meyahudikannya, memajusikannya atau menasranikannya”. Hadith ini dengan jelasnya meletakkan tanggungjawab pendidikan anak-anak di bahu ibubapa dan bukannya datuk, nenek, saudara mara ataupun guru. Dengan ini ibubapa tidak boleh berlepas tangan menyerahkan pendidikan akhlak ataupun hal-hal pendisiplinan anak-anak kepada pembantu rumah, pengasuh ataupun guru-guru sahaja. Sementara itu pepatah Melayu yang tidak lekang dik panas serta menjadi ingatan sepanjang zaman: Melentur buloh biarlah secari rebung. Pendidikan dan pembentukan keperinadian anak anak hendaknya bernula sedari kecil lagi. Mesti dilakukan oleh kedua duanya sekali, bukan ibu seorang dan bukan juga bapa seorang.

Bagaimana mendidik anak supaya menjadi seorang yang berakhlak mulia, penyantun serta berbudi bahasa dalam usia anak yang masih mentah. Pertama sekali, ibubapa perlulah berusaha untuk memenuhi hak-hak asasi anak seperti yang telah digariskan oleh Islam. Menurut Prof Abdul Rahim Omran, terdapat 10 hak-hak asasi seorang anak iaitu;
1. hak untuk hidup
2. hak untuk mempunyai genetik yang sahih (anak yang dilahirkan dari ibubapa yang sah pernikahannya)
3. hak untuk mempunyai nama yang baik
4. hak untuk mendapat belaian kasih sayang, perlindungan dan penyusuan ibu
5. hak untuk mendapat tempat tidur yang berasingan
6. hak untuk mendapat pendidikan dan ilmu pengetahuan
7. hak untuk dibesarkan di dalam suasana Islam
8. hak untuk mendapatkan setiap sesuatu yang dibelanjakan untuknya dari sumber yang halal
9. hak untuk mempelajari kemahiran hidup dan pertahanan diri
10. hak untuk mendapat layanan yang saksama tanpa mengira jantina atau gender

Jika diteliti dengan begitu halus, apa yang telah digariskan oleh Prof Omran mencakupi keperluan segala aspek-aspek fizikal, mental, emosi dan rohani mahupun maruah diri seseorang individu. Hak yang pertama dan kedua yang digariskan di atas menuntut agar pemuda dan pemudi Islam hari ini tidak berzina sehingga menyebabkan lahirnya anak luar nikah. Anak yang dikurniakan oleh Allah kepada ibubapa adalah sebagai amanah yang memerlukan pertanggungjawaban yang besar. Anak bukanlah hakmilik mutlak ibubapa sehingga ada yang sanggup memperlakukan anak dengan sesuka hati sehingga terjadilah fenomena sumbang mahram, haruan makan anak atau ibu yang sanggup melacurkan anaknya demi mengejar kemewahan hidup.

Dewasa ini kita seringkali dikejutkan dengan kes-kes anak-anak di bangku sekolah yang sudah mula terlibat dengan pelbagai perlakuan jenayah daripada mencuri dan mengugut sehinggalah kepada merogol dan membunuh. Kes-kes ini sangatlah menyayat hati kita sebagai masyrakat yang prihatin dan penyayang. Persoalannya ke manakah perginya ibu bapa kanak-kanak ini? Kebanyakan anak-anak yang dibesarkan dalam suasana yang ekstrim tanpa kasih sayang yang secukupnya akan mudah terlibat dengan gejala-gejala yang merosakkan akhlak. Kasih sayang yang berlebihan juga boleh menyebabkan anak menjadi buta lantas tidak tahu membezakan antara yang baik dan buruk lantaran kehendaknya tidak pernah dibantah atau tindakannya tidak diambil peduli.

Masyarakat seringkali menyalahkan ibubapa sekiranya berlaku perkara-perkara sedemikian. Si bapa pula akan menyalahkan ibu yang menurutnya bertanggungjawab sepenuhnya mendidik anak-anaknya. Sebenarnya kedua-dua ibubapa adalah bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak. Sikap saling menyalahkan antara satu sama lain sangat merugikan kerana ia tidak menyelesaikan apa-apa masalah.

Al Qur’an menjelaskan bahawa peranan mendidik anak terletak pertama-tamanya di atas bahu seorang bapa manakala ibu sebagai pendokong dan penyokong utamanya. Ini dinukilkan di dalam surah Luqman,ayat 13: “Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, diwaktu dia memberi pelajaran kepada anaknya : Hai anakku, janganlah nkamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar benar kezaliman yang besar.”. Disini Luqman sebagai seorang bapa, telah memulakan mendidik anaknya dengan memperkenalkannya kepada Allah swt, Pencipta dan Pemilik alam ini. Seterusnya Luqman ( mewakili kaum ‘bapa’) mengajarkan anaknya tentang bahaya syirik dan menasihatkan anaknya tentang beberapa tatacara akhlak yang mulia. Nah, begitulah betapa besarnya perananan kaum bapa dan ini menunjukan bapa memang tidak boleh lepas tangan dalam pembinaan sahsiah anak anak. Dalam perubahan struktur keluarga di zaman ini (dimana kaum ibu juga sama-sama mencari nafkah), tugas bapa bukanlah setakat mencari nafkah untuk keluarga semata mata tetapi harus aktif dan berganding bahu sebagai ibubapa yang berpadu tenaga untuk mengenalkan anak kepada aqidah Islam yang mantap. Keutuhan aqidah inilah yang akan menjamin kemuliaan akhlak anak-anak remaja Islam seperti mana kerapuhan aqidah boleh membawa kepada kegelinciran dari nilai hidup Islam.

Di dalam hal ini Dr. Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya Tarbiyyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak Di dalam Islam) telah merakamkan tujuh tanggungjawab pendidikan iaitu;
1. Tanggungjawab pendidikan keimanan (aqidah)
2. Tanggungjawab pendidikan akhlak
3. Tanggungjawab pendidikan jasmani
4. Tanggungjawab pendidikan mental
5. Tanggungjawab pendidikan rohani
6. Tanggungjawab pendidikan sosial
7. Tanggungjawab pendidikan seks

Dalam kesibukan mengejar kehidupan dunia moden hari ini, ibubapa harus juga tidak ketinggalan menyediakan diri sebagai ibubapa yang berketrampilan. Sebenarnya persiapan ini haruslah bermula semenjak seorang lelaki dan wanita itu bercita-cita hendak mendirikan rumahtangga. Persiapan yang sering ditekankan dan digembar-gemburkan oleh pihak media hanyalah bersifat superfisial iaitu persiapan fizikal seperti hantaran, maskahwin, membeli kereta, rumah dan sebagainya. Tanpa menafikan kepentingan persiapan fizikal, persiapan yang lebih penting untuk melayari kehidupan berumahtangga seterusnya ialah persiapan mental dan emosi. Ramai pemuda dan pemudi Islam yang memasuki alam rumahtangga tanpa persediaan mental dan emosi yang secukupnya menyebabkan mereka tidak berkemampuan menghadapi konflik yang timbul yang mengakibatkan perkahwinan dan keluarga bahagia yang diidam-idamkan berakhir dengan perceraian ataupun menyebabkan sebelah pihak mengalami penderitaan emosi dan mental.

Ibubapa seringkali lalai dari mengingati bahawa sesungguhnya segala tindak tanduk mereka menjadi tontonan dan cerminan anak-anak. Ibubapa kerapkali leka bahawa segala tindakan mereka di hadapan anak-anak adalah sebenarnya ‘didikan’ kepada anak itu sendiri. Ini bermakna bahawa tingkahlaku ibubapa yang garang, pemurah, pemaaf dan sebagainya telah mendidik anak-anak supaya bersikap dengan sikap yang serupa di mana sahaja dan dengan sesiapa sahaja. Sebab itu tidak hairanlah sekiranya anak-anak meniru perkataan-perkataan yang baik mahupun buruk yang terhambur dari mulut ibubapa mereka. Ini juga merupakan satu cabaran yang besar kepada para ibubapa agar mereka membiasakan melatih diri dengan akhlak Islam yang mulia demi pembentukan generasi akan datang yang juga berakhlak mulia.

Akhirnya, semoga para ibubapa dan pendidik sekalian dapat mempertingkatkan iltizam di dalam mendidik cahayamata masing-masing dengan merenung mafhum Hadis Rasulullah s.a.w di bawah;
“Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya ataupun mensia-siakannya” (Riwayat Ibnu Hibban).

[Satu bengkel “Pemahaman Gender Dalam Perspektif Islam” akan diadakan pada 3hb Ogos 2002, untuk maklumat lanjut sila hubungi wjim@pd.jaring.my atau tel: 03-41089669]

Wednesday, July 10, 2002

Komunikasi eratkan hubungan suami isteri




10/7/2002
Komunikasi eratkan hubungan suami isteri)
Oleh: Dr. Suriya Osman

Siti dan Mat (bukan nama sebenar) kedua-duanya sibuk bekerja. Pasangan muda ini masing-masing bekerja di syarikat swasta. Siti bekerja sebagai eksekutif pemasaran dan Mat sebagai jurutera electronik. Mereka baru saja mendirikan rumah tangga dua bulan lepas. Walaupun telah lama berkenalan, perkahwinan membuka lembaran baru di dalam perhubungan mereka.

Pada hari Ahad lepas, Siti bangun awal dari Mat, ia bergegas ke dapur menyediakan sarapan. Sambil menyanyi riang dan dengan penuh minat, Siti menyediakan nasi goreng kesukaan Mat. .Bau kopi panas di ruang dapur amat menyelerakan Siti. Mat belum juga muncul dari bilik tidur ! Siti pergi mendapatkan Mat.

”Bang, mari lah makan, nanti dah sejuk tak sedap! Siti masak nasi goreng kesukaan Abang”. Mat masih mengantuk. Dia telah tidur lambat semalam setelah tidak dapat membuat rumusan pada kertas kerja yang perlu dihantar pada hari Isnin.

“Siti makan la dulu, Abang nak tidur ni”. Mat berkata ,sambil mata masih pejam...

“Alaaaa jumlaaaa, kalau Siti nak makan sorang tak payahlah Siti kahwin, dah la hari lain pun Siti makan sorang kat kantin, takkan hari Ahad pun Siti makan sorang juga”...

Mat cuma mengumam sesuatu dimulutnya….”Hmmmm sambil menarik selimut dan terus tidur”. Tidak lama kemudian hanya dengkuran nafasnya yang kedengaran menunjukkan dia sudah pun lena.

Siti mengeluh panjang, menuju kemeja makan dan memakan sarapan seorang diri.

Mari kita lihat semula dailog ini dengan memasukkan sekali suara hati masing-masing:

Siti didapur memikir, hari ini dapat saya bermesra dengan suami ku!Lepas saya sediakan sarapan boleh kita makan bersama. Rindu saya pada suami, banyak yang nak saya beritahu padanya!

Mat pula menganggap hari Ahan hari untuk dia berehat. Mengikut contoh ibu bapa Mat. Mat beranggapan suami isteri tidak perlu berkomunikasi dan berinteraksi sangat. Mat terbiasa dengan sikap ayahnya yang tidak pernah duduk berborak dengan isterinya. Ibu Mat pula memang pendiam bila berhadapan dengan suaminya dan hanya akan bercakap bila berjumpa dengan kawan-kawan perempuannya.

Semasa Siti kejut Mat dari tidur, Mat berasa marah sebab Siti menganggu tidurnya. Mat berasa Siti tidak prihatin tentang kehendak dan keperluannya.

Semasa Siti didapur memakan nasi goreng seorang diri, Siti terkenang ayah ibunya yang sentiasa bergurau dan bercerita diantara satu sama lain. Siti tidak faham kenapa Mat bersikap begini dan tidak mahu bangun untuk makan sarapan bersama. Bukanlah awal sangat, waktu sudah pukul sepuluh pagi, takkan mengantuk lagi! Hilang perasaan riang Siti, malahan terus jadi masam dan murung. Siti tak jadi kemas rumah, langsung mengambil buku cerita dan baring di sofa ruang tamu .Rancangan Siti tadi kemas rumah bersama, sepertimana kebiasaan ayah ibunya yang kedua-duanya bekerja.

Apa pula kata Mat nanti bila dia bangun tidur dan lihat isterinya dengan rumah berselerak membaca buku cerita?

Semasa kita mula berumah tangga, kita mempunyai tanggapan masing-masing tentang tugas dan tanggung jawab pasangan kita. Contoh teladan ibu ayah akan menyebabkan kita mempunyai ekspektasi tentang pasangan kita. Namun demikian, pasangan kita pula yang dari keluarga yang mempunyai perhubungan yang berbeda dari perhubungan ibu ayah kita akan mempunyai ekspektasi dan tanggapan yang berlainan pula.


Ini tidak bererti kita tidak boleh berumah tangga tetapi apa yang perlu adalah komunikasi yang baik. Agar kita lebih memahami kehendak danpengharapan masing masing.

Di dalam kisah Mat dan Siti, keluarga Mat berbentuk keluarga zaman silam dimana wanita tidak disayangi tetapi dianggap memenuhi keperluan lelaki untuk berkelamin, membesarkan anak dan menguruskan rumah tangga. Di dalam bentuk keluarga begini, suami sebagai ketua dan tuan, perlu dihornati dan ditakuti serta dipatuhi segala kemahuan dan arahannya. Diantara suami isteri ini, tidak ada jalinan mesra, malahan kadang kala isteri berasa geram dengan arahan yang pada pendapat isteri kurang munasabah. Suami sebagai ketua rumah tangga bekerja dan isteri tidak bekerja.

Keluarga Siti pula sangat berlainan. Ibu ayahnya berkahwin atas dasar cinta. Kedua-duanya bekerja sebagai guru semasa muda dan mereka selalu berbincang sebelum membuat apa-apa keputusan. Siti pernah melihat ibu ayahnya bertengkar tetapi Siti tidak pernah cemas melihat pertengkaran mereka sebab masing-masing akan mendengar dengan baik dan akan selesaikan perbezaan pendapat mereka dengan masing-masing beralah sedikit dari pendapat asal. Semasa ibu Siti perlu menghadiri aktiviti tambahan di luar, ayah Siti akan mengambil alih tugas memasak dan kerja rumah dan demikian juga sebaliknya.

Siti perlu memahami latar belakang Mat dan bersabar dengan kelemahan Mat yang berpunca dari scripting keluarga Mat, Mat pula perlu sedar tentang perbezaan persepsi kehidupan berkeluarga diantara Siti dan ibunya sendiri. Mat perlu faham Siti bekerja dan sama penat pada hujung minggu. Jadi Mat dan Siti perlu menyedari bahwa perhubungan suami isteri yang intim bergantung kepada kelicinan komunikasi diantara mereka. Mendalami ajaran Nabi tentang hubungan suami isteri akan menolong pasangan ini.

Tindakan ini amatlah bertepatan dengan ayat Al Qur’an dari Surah An Nisa’: ayat 35 bermaksud:
“ Dan jika kamu khawatirkan ada persingketaan (perbezaan pendapat) antara keduanya, maka kirimlah ‘juru pendamai’ dari pihak lelaki dan perempuan. Jika kedua pihak itu bertujuan mengadakan ‘pembaikan(perdamaian), nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenali.

Maksud juru pendamai termasuklah ‘kaunselor, psikiatri, ahli psikologi, hakim, ketua keluarga, dimana dalam proses ini melibatkan komunikasi yang licin, saling memahami, penuh kasih sayang dan bertangungjawab untuk mencari penyelesaian dan ketenangan.

Model keluarga Melayu zaman silam yang kurang kemesraan di antara suami isteri tidak boleh dijadikan contoh untuk keluarga zaman sekarang dengan dinamik keluarga dan keperluan serta keadaan yang berbeza.


Wednesday, July 03, 2002

Kalimah zikrullah penenang jiwa

3/7/2002
Kalimah Zikrullah penenang Jiwa
Siti Marhamah Abdul Wahid

MANUSIA perlu bekerja untuk hidup. Kenapa mesti bekerja? Bekerja untuk
mendapat upah atau ganjaran. Upah inilah yang digunakan untuk memenuhi
keperluan hidup.
Semakin banyak keperluan yang dapat dipenuhi, selalunya semakin selesa,
maka bahagialah hidup.
Apatah lagi jika upah yang diperoleh itu daripada kerja dan usaha halal.
Semakin tinggi upah atau ganjaran didapati selalunya menggambarkan
tingginya hasil kerja yang dilakukan.
Oleh itu, manusia selalu berlumba-lumba, sanggup bersaing dan
menggunakan pelbagai perancangan dan strategi, sanggup berkorban masa dan
umur yang banyak untuk meningkatkan mutu kerja supaya boleh mendapat upah
atau ganjaran lebih baik dan banyak.
Inilah gambaran biasa dalam dunia kerjaya manusia yang menjadi ragam
kehidupan.
Alangkah indahnya sekiranya manusia yang meyakini kehidupan kekal pada
akhirat serta tempat pembalasan, kembali yang pasti dan bertemu dengan
Yang Maha Pencipta menjadikan kehidupannya penuh dengan perancangan
strategi.
Mereka membuat persaingan untuk meningkatkan amal bersepadu tanpa
pengasingan dalam semua bidang kehidupan, selaras dan seimbang antara
keperluan kehidupan dunia dan bekalan menuju alam kekal abadi.
Marilah kita berfikir sejenak, manusia apabila ingin memenuhi keperluan
hidup di dunia ini sanggup berkorban jiwa raga.
Mereka sanggup meredah hutan rimba serta melangkah onak dan duri, tetapi
kenapa tidak sedemikian pengorbanan untuk persediaan ke akhirat. Pepatah
Melayu ada mengatakan "Berakit-rakit ke hulu, Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dulu, Bersenang-senang kemudian".
Dalam mencari kesenangan di dunia pun pastinya didului dengan kesediaan
menanggung kesakitan dan susah payah.
Ia boleh diterima sebagai logik akal dan dianggap sebagai penerimaan
sebab serta diterima sebagai hipotesis umum.
Apakah mungkin kita bercita-cita mendapatkan kesenangan pada alam baqa
yang ganjarannya kesenangan syurga yang tiada bandingannya, tanpa usaha
dan susah payah juga? Atau usaha yang menuju keredaan.
Salah satu amalan mudah yang tidak memerlukan tenaga dan masa yang
banyak untuk melakukannya tetapi cukup besar ganjaran pahala di sisi Allah
ialah menyebut kalimah zikrullah
Amalan ini sekalipun diketahui, tetapi sering dilupakan kecuali oleh
orang yang benar-benar beriman. Dalam satu hadis, Rasulullah saw ditanya
oleh sahabat Baginda yang miskin berkaitan keinginan mereka mendapat
pahala besar di sisi Allah. Baginda bersabda yang maksudnya:
"Bukankah Allah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk kamu bersedekah?
Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedekah, dan tiap-tiap takbir itu
sedekah, tiap-tiap tahlil itu sedekah, menyuruh yang makruf (kebaikan) itu
sedekah, melarang suatu yang mungkar (kejahatan) itu sedekah. - (Riwayat
Muslim dari Abi Zar sumber rujukan hadis ke-25, 40 An-Nawawi).
Alangkah besarnya pahala yang disediakan bagi mereka yang menjadikan ia
sebagai zikir ketika saja terluang masanya. Bahkan, alangkah bahagianya
mereka yang boleh menjadikannya sebagai pembasah bibir dan menjadikannya
sebutan kebiasaan ketika diam.
Tiga kalimah zikir ini juga menjadi penenang jiwa kepada sahabat
Rasulullah saw, iaitu golongan miskin yang mencemburui kelebihan sahabat
yang berharta lagi dermawan ditambah pula dengan kemuliaan ilmu dan
kedudukannya di sisi Rasulullah saw.
Dengan membiasakan berzikir dengan tiga kalimah ini, mereka juga mampu
mendapat kelebihan yang dijanjikan oleh Allah, sekalipun mereka tidak
mampu membuat kebajikan dengan harta benda lantaran kefakiran mereka.
Kisah inilah juga menjadi `asbab wurud al-hadis' (sebab datang hadis
yang dinyatakan di atas).
Begitu juga ketika Fatimah AzZahra' puteri Rasulullah saw yang
dikasihinya berulang kali memohon kepada ayahadanya agar diberikan
kepadanya seorang pembantu rumah yang boleh membantunya menguruskan kerja
rumah tangganya. Diceritakan tangan Fatimah berkematu dan pecah-pecah
kerana menguli gandum, begitu juga belakangnya kerana memikul air,
sedangkan suaminya Saidina Ali Karamallu Wajhah (bakal Ketua Pemuda
Syurga) lantaran kemiskinannya tidak mampu menyediakan jariah untuk
isterinya.
Permohonan puteri Rasulullah saw tidak dijawab, bahkan Baginda hanya
mewasiatkan kepada Fatimah agar membiasakan dengan ketiga-tiga zikir ini.
Selepas mengamalkannya, Fatimah merasakan ketenangan dan hilang
kepenatannya.
Sekalipun zikrullah ini kelihatan menyebutnya mudah tetapi ia hanya
mampu diamalkan oleh mereka yang jiwanya hampir dengan Allah.
Semakin menyebutnya semakin hampir dirinya dengan Penciptanya. Benarlah
firman Allah bermaksud: "Orang beriman dan hati mereka tenteram kerana
mengingati Allah, Ingatlah bahawa dengan mengingati Allah hati menjadi
tenteram." (Surah ar-Raad, ayat 28)