Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, February 23, 2005

Sakit tenat dugaan kepada seisi keluarga

Sakit tenat dugaan kepada seisi keluarga
Oleh Dr Suriya Khatun Osman
“SAYA baru saja pulang daripada melawat seorang kawan yang menghidapi kanser payu dara tahap keempat. Dia kini dalam keadaan kritikal.
“Saya kagum, dia nampak sungguh pasrah menanggung penyakitnya. Dia amat tabah melayan orang yang melawatnya di rumah,” kata Anis (bukan nama sebenar), sahabat baik saya. Seorang lagi rakan kami, Nina (bukan nama sebenar) berkata: “Semalam saya baru saja menziarahi salah seorang kawan baik yang meninggal dunia akibat penyakit sama.“Dr Suriya, adakah ubat untuk penyakit kanser yang sudah mencapai tahap keempat?” tanyanya kepada saya.Perbualan kami menimbulkan satu diskusi yang hangat dan rancak.. Ada yang mencadangkan penawar dan terapi alternatif. Tidak kurang mencadangkan agar kita menyediakan diri untuk menghadapi kematian. Sahabat saya tadi menerangkan mengenai perlunya membuat persediaan untuk ‘mati’. Perkara itu kerana ia satu kepastian. Bagi yang terpaksa menghadapi saat-saat menunggu kematian, pastinya ia satu saat yang penuh azab kecuali mereka yang diteduhkan hati dengan keimanan dan kecintaan menemui Pencipta-Nya. Dalam Surah al-Jumaah, Allah menegaskan maksudnya: “Katakanlah sesungguhnya kematian yang engkau ingin lari daripadanya, maka sesungguhnya Ia mendatangimu...”Sebab itu, orang beriman sentiasa bersiap sedia kerana mungkin esok adalah hari penghabisannya. Hanya ada satu pilihan iaitu “Al-Mautun fi taatillah khairun min hayati maksiatih... (Maksud hadis: Mati dalam taat kepada Allah adalah lebih baik daripada mati dalam maksiat kepada-Nya.” Memastikan diri sentiasa dalam taat kepada Allah bukannya mudah. Pastinya ia memerlukan mujahadah dan muraqabah berterusan.Saya pula ada mencadangkan ‘persediaan’ menghadapi ‘kematian’. Bukan hanya kita yang akan mati, tetapi orang yang hampir dengan kita. Kita perlu ada mekanisme untuk memahami cara, sikap dan pengendalian saudara terdekat yang tenat dan tidak akan sembuh. Memang, matlamat hidup adalah mati. Namun, persediaan dan bimbingan perlu bagi kita dan juga mereka yang akan pergi.Apa yang saya maksudkan dengan persediaan adalah menghadapi kematian kedua ibu bapa atau kaum keluarga yang yang tenat. Ramai ibu dan ayah antara kita sudah sampai umur untuk dipanggil kembali ke pangkuan Ilahi. Memang tidak dinafikan bukan hanya yang tua, malah Allah akan mengambil nyawa sesiapa saja tanpa mengira umur. Setiap hari kita mendengar kemalangan secara tiba-tiba. Tumpuan saya dalam perbincangan ini adalah kes terminal illness yang dapat dirasakan semua tandanya bahawa penghujung jalan kehidupan hampir tiba.Secara zahirnya dalam hakikat kehidupan ada yang sakit kuat. Kadangkala hingga pesakit itu tidak mampu mengendali dan menguruskan diri sendiri. Maka, ia adalah satu beban besar bagi pesakit serta ahli keluarganya, terutama pada zaman serba canggih, sibuk dan pantas ini.Pada ketika ini, semua ahli keluarga terduga. Umpamanya, berapa banyak masakah sanggup diluangkan untuk menjaga si sakit? Siapa yang akan menjaganya, menanggung belanja perubatan dan sebagainya?Salah satu perkara yang saya dapati ketika ahli keluarga mendapat tahu bahawa anggota keluarganya mengidap ‘kanser’ atau tenat, ramai yang tidak tahu bagaimana untuk melayan si sakit. Ada yang buat tahu dan tidak peduli. Mungkin sudah dirasakan bahawa si sakit akan meninggalkannya. Saya pernah lihat sendiri ahli keluarga terus tidak pedulikan si sakit. Si sakit yang mengadu kepada saya mengenai ketidakpedulian ahli keluarganya, amat berduka cita dengan hal itu.. Sudahlah dia menghadapi saat-saat kematian yang menyakitkan, ahli keluarganya pula mula merenggangkan diri daripadanya. Pada masa sihat, dialah yang menguruskan segala urusan keluarganya.Mungkin ahli keluarganya tidak tahu bagaimana untuk menerima berita penyakitnya. Pada masa inilah perlunya ‘kaunseling untuk si sakit dan ahli keluarganya’. Saya pernah menasihat anak pesakit mengenai persediaan menghadapi saat-saat akhir hayat bapanya yang tenat.Saya memberitahunya: “Puan, ayah puan tidak perlukan rawatan yang mahal dan canggih walaupun puan mampu memberikannya. “Ayah puan sangat perlukan ‘kehadiran’ puan di sisinya. Sejak daripada kecil ayah membela, mendidik dan membesarkan puan.“Dia sudah berikan semua kemudahan, sedaya yang mampu. Diuruskannya perkahwinan puan dan apabila mempunyai anak, dilayan cucunya dengan baik dan kasih sayang.“Saya tahu puan seorang yang sibuk, mempunyai kerjaya cemerlang serta berpersatuan. Tetapi, inilah saat-saat yang ayah puan sangat perlukan puan. Luangkan segala masa lapang puan untuk bersamanya.“Duduklah bincang dan bercerita mengenai perkara yang menggembirakan dan hal ehwal akhirat dengannya. Belailah dia. Tolong dia mengambil wuduk. Berzikirlah bersama-samanya dan berikan rawatan yang akan meredakan sakitnya. “Jadikanlah waktu ini saat yang penuh dengan reda, syukur dan kasih sayang.” Di sinilah kita diduga. Pada tahap inilah si sakit akan tahu siapakah yang benar-benar mengambil berat terhadapnya. Siapakah yang benar-benar kasih kepadanya. Cinta anak anak-anak hanya pada bibir atau di poket duit. Atau tiada siapakah lagi yang masih sayang atau peduli? Setakat manakah sayangnya kita?Pada masa sama, kita juga akan mengetahui siapakah kita sebenarnya? Ia benar-benar menguji kesabaran dan ketabahan kita!Mengenai rawatan kanser tahap keempat, ada yang konvensional dan komplimentari (kadang-kadang disebut alternatif). Tidak ramai doktor yang mampu memberi nasihat mengenai kedua-duanya.Memang ada ‘modaliti komplimentar’ yang mampu menyokong badan pesakit kanser untuk pulih. Kaedah ini memerlukan perbincangan dengan pakar berkaitan.
PENULIS boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com dan sebarang masalah layari www.wanitajimceria.blogspot.com

Monday, February 14, 2005

Hari Kekasih tradisi penganut Kristian

Hari Kekasih tradisi penganut Kristian
Oleh
Fadzilah Musa

SETIAP Februari, merentasi benua, pasangan kekasih, suami-isteri dan mereka yang berjiwa romantis akan saling bertukar hadiah, kad ucapan, bunga-bungaan atau makan malam. Tidak kurang berhibur dan menari semalaman di disko dan kelab malam sempena merayakan suatu hari yang dikenali sebagai ‘Saint Valentine’s Day’ atau Hari Kekasih.
Siapakah dia St Valentine dan mengapakah beliau dikaitkan dengan perayaan Hari Kekasih di seluruh dunia ini?Ada pelbagai versi asal asul Hari Kekasih . Pihak gereja Katholik mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga paderi bernama Valentine @ Valentinus yang dikaitkan dengan mitos ini. Ketiga-tiga paderi ini menerima pengakhiran hidup yang sama iaitu mati dibunuh.Versi pertama menceritakan mengenai St Valentine yang dikatakan sebagai seorang paderi yang berkhidmat dengan kerajaan Rom pada kurun ke-3 Masihi. Maharaja Claudius III mengeluarkan arahan melarang pemuda berkahwin dengan alasan pemuda bujang dapat memberi komitmen, taat setia dan khidmat yang lebih baik sebagai tentera Rom. St Valentine menganggap arahan Maharaja tidak adil. Lalu, secara rahsia terus mengahwinkan pasangan muda-mudi yang bercinta. Apabila kegiatan paderi ini terbongkar, Maharaja Claudius III memerintahkan beliau dihukum bunuh.Versi kedua pula menyebut bahawa St Valentine dibunuh atas cubaan membebaskan tahanan beragama Kristian daripada kekejaman dan keganasan penjara kerajaan Rom. Sewaktu di penjara, dia bersahabat rapat dengan seorang gadis anak kepada pegawai penjara itu. Sebelum dibunuh, St Valentine menulis surat kepada kekasihnya itu dan menandatanganinya dengan ungkapan From Your Valentine.Mengapakah 14 Februari dipilih sebagai merayakan perayaan hari memperingati kekasih ini?Tanggal 14 Februari 269 Masihi adalah tarikh St Valentine dijatuhi hukuman mati. Lalu, untuk mengingati dan menghormati dirinya yang dianggap sebagai wira cinta, tokoh yang dikaitkan dengan sifat kasih sayang serta sanggup berkorban demi persahabatan, Pope Gelasius, pada 496 Masihi mengisytiharkan 14 Februari sebagai ‘St Valentine’s Day’.Sejarah St Valentine telah lama berlalu walaupun masih terus diselubungi misteri. Namun, sesuatu yang pasti, sambutan Hari Kekasih ini berkait rapat dengan tradisi penganut agama Kristian dan kepercayaan masyarakat Rom kuno. Sambutan hari memperingati kekasih tidak ada kena mengena dengan adat resam dan budaya Melayu atau tata susila orang Timur. Jauh sekali bersumber daripada ajaran agama Islam yang suci. Malangnya, orang Islam pada hari ini, terutama remaja, hatta pasangan suami isteri, begitu ghairah dan tanpa usul periksa membudayakan sambutan Hari Kekasih dalam kehidupan mereka. Keseronokan ini disemarakkan lagi oleh pelbagai pihak yang mengambil kesempatan meraih keuntungan.Renungi firman Allah bermaksud: “Orang Yahudi dan Nasara (Kristian) tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keadaan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)Daripada Anas, Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: “Tiga sifat yang sesiapa memilikinya akan merasakan kelazatan iman. “Pertama, jika dia mencintai Allah dan Rasulullah lebih daripada lain-lainnya. Kedua, jika dia mencintai sesama manusia semata-mata kerana Allah. Ketiga, enggan kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah daripadanya, sebagaimana enggan dimasukkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah bermaksud : “Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, kamu tidak dapat masuk syurga selagi tidak beriman, dan tidak beriman selagi tidak berkasih sayang sesama manusia. Sukakah saya tunjukkan perbuatan yang kalau kamu kerjakan dapat menimbulkan kasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu.” (Hadis riwayat Muslim)Umat Islam sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail dalam sambutan Aidiladha yang baru saja berlalu. Kisah kecekalan hati seorang ayah dan kesabaran serta keredaan seorang anak dalam menunaikan perintah Allah itu dirakamkan dalam firman-Nya bermaksud : “Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama (Nabi) Ibrahim, Ibrahim berkata : “Hai anakku, Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah apa pendapatmu.” Dia (Nabi Ismail) menjawab: Hai ayahku! Kerjakanlah apa yang perintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” (Surah as-Saffat, ayat 102-103)Ayat seterusnya merakamkan ketabahan dan kecekalan hati kedua-duanya dalam menjunjung perintah Allah walaupun ternyata begitu berat dan hampir tidak mampu dilakukan, melainkan dengan keimanan kukuh dan kecintaan yang mendalam terhadap Rabb-nya.Hayati lagi kisah mereka menerusi firman Allah bermaksud : “Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran kedua-dua kamu telah membenarkan mimpi itu), sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (Surah as-Saffat, ayat 103-107)Peristiwa besar itu diangkat martabatnya oleh Allah, lalu mewajibkan mereka yang mampu untuk melakukan ibadah korban setiap tahun pada Aidiladha, ketika berjuta-juta umat Islam seluruh dunia menunaikan ibadah haji.Itulah lambang keimanan dan kasih sayang sejati iaitu melakukan sesuatu hanya kerana mengharapkan ganjaran dan keredaan Allah semata-mata.Dalam suasana umat Islam masih berduka cita lantaran kesengsaraan dan musibah yang melanda, terutamanya di bumi Aceh, Palestin, Iraq dan seumpamanya. Marilah, kita menghulurkan bantuan demi kasih sayang sesama insan. Pastinya bantuan kita itu tidak sia-sia kerana pahala sedekahnya akan dinikmati sepanjang hayat selagi insan yang menerima sumbangan itu memanfaatkannya.
PENULIS boleh dihubungi wanitajim0@yahoogroups.com. Jawapan kepada permasalahan boleh layari di www.wantajimcerias.blogspot.com.

Wednesday, February 09, 2005

Lima asas hijrah hadapi cabaran era globalisasi

Wadah Wanita Islam: Lima asas hijrah hadapi cabaran era globalisasi
Oleh Sumilah Marto
KEDATANGAN tahun baru 1426 Hijrah mengingatkan kita kepada peristiwa penting dan bersejarah dalam kalendar Islam. Peristiwa itu bukan saja kerana bermulanya perkiraan takwim hijrah, malah merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah yang mengandungi rahsia, keistimewaan dan konsep tersendiri.
Rasulullah diperintahkan Allah berhijrah dari Makkah ke Madinah yang berlaku ketika ruang perjuangan Rasulullah terlalu sempit dan terhimpit. Baginda tidak memilih untuk berdoa meminta kelapangan yang sudah tentu Allah kabulkan. Sebaliknya, terpaksa menempuh laluan sukar, berbahaya dan berisiko tinggi kerana diburu musuh untuk mencapai suatu keadaan yang lebih baik. Melalui perintah hijrah, Rasulullah berusaha merancang dan bertindak.Penghijrahan seumpama Rasulullah dan sahabat tidak berlaku lagi kepada umat Islam selepas Baginda. Namun, konsep penghijrahan tetap berterusan di kalangan umat Islam. Ertinya, tiada lagi hijrah kecuali daripada kejahatan kepada kebaikan dan daripada kebaikan kepada yang lebih baik. Allah berfirman bermaksud: “Orang yang berhijrah kerana Allah selepas teraniaya akan Kami tempatkan mereka di dunia pada tempat yang baik. Akan tetapi ganjaran akhirat jauh lebih besar, kalau mereka sedar. Iaitu terhadap orang yang sabar dan bertawakkal kepada Tuhan mereka.” (Surah al-Nahl, ayat 41-42)Jika diteliti dan dihayati, konsep hijrah pada era globalisasi mengajak umat Islam untuk kemanfaatan dan mempertingkatkan pelbagai aspek kemajuan. Di samping itu, ia mampu memantapkan keimanan dan jati umat Islam untuk menghadapi pelbagai kemajuan dan cabaran. Umat Islam perlu sentiasa memuhasabah diri dan memperbaiki keadaan dari semasa ke semasa. Usaha membaiki keadaan kehidupan berterusan ertinya menghayati pengertian hijrah. Sebagai menepati konsep hijrah Rasulullah, pasti terpaksa dilakukan bersungguh-sungguh. Seseorang itu juga mesti sanggup menempuh jalan penuh risiko. Tiada jalan mudah untuk meraih kejayaan sama ada di dunia mahupun akhirat.Antara aspek penting dalam proses hijrah berterusan adalah:
Hijrah imanKita perlu mempertingkatkan iman menerusi usaha membersihkan sifat keji (mazmumah) dan melazimkan dengan sifat terpuji (mahmudah). Dengan ini, hati akan disinari cahaya yang akan dapat melihat kebesaran dan keagungan Allah.Peningkatan iman juga perlu dibuat melalui banyak berfikir mengenai kejadian alam semesta, kejadian diri serta alam akhirat. Hati akan berasa takut dan gentar kepada Allah.Firman Allah bermaksud: “Hai! Tuhanku dudukkanlah diriku dalam kedudukan yang benar dan keluarkan diriku dengan cara yang benar dan kurniakanlah kepadaku kuasa daripada sisi-Mu yang serba membantu.” (Surah al-Isra’, ayat 80)Sembahyang adalah mikraj orang mukmin. Oleh itu, perlu dihayati secara sempurna dan diperbanyakkan sembahyang sunat. Sahabat mendirikan sembahyang sunat sehari semalam purata tiga ratus rakaat. Ini dilakukan di tengah kesibukan pelbagai urusan umat.
Hijrah ilmu‘Ilmu itu cahaya, jahil itu berbahaya’. Rangkai kata indah ini mempunyai pengertian yang mendalam. Bahaya kejahilan tidak perlu diungkap dengan kata-kata lagi. Semua mengakui dan terbukti betapa kejahilan membawa pelbagai natijah buruk kepada manusia.Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) adakah sama orang yang berpengetahuan dengan orang yang tidak berpengetahuan.” (Surah az-Zumar, ayat 9)Umat Islam boleh mencapai pelbagai kejayaan, andai konsep hijrah ilmu diamalkan iaitu terus meningkatkan ilmu ke tahap lebih tinggi dan mencapai profesional. Tidak ketinggalan juga, pentingnya umat Islam menguasai pengetahuan am yang luas terutama dalam politik, ekonomi, sosial dan kepemimpinan.Lemah daya fikir umat ada hubung kait dengan kelemahan menguasai ilmu dan pengetahuan. Umat Islam tidak berupaya mengatasi mainan dan tipu muslihat musuh. Malah, tidak mampu menilai budaya itu positif atau negatif. Tidak hairan, apabila remaja Muslim mudah terjebak dengan pelbagai unsur negatif dalam kehidupan.
Hijrah amal “Sebaik-baik amal adalah yang berkekalan biarpun sedikit.” maksud hadis Rasulullah. Tetapi sabda Baginda itu bukan meminta mengurangkan amal. Ini membawa pengertian perbandingan yakni amalan sedikit yang istiqamah itu, lebih baik berbanding dengan amalan yang banyak tidak istiqamah (konsisten). Tentu maksudnya lebih baik jika amalan itu banyak berserta istiqamah.Masa yang berlalu tidak akan kembali. Rasulullah memberi amaran melalui sabdanya bermaksud: “Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu ketika muda sebelum datangnya tua, masa lapang sebelum datangnya sibuk, masa senang sebelum datang susah, masa sihat sebelum datang sakit dan masa hidup sebelum datangnya mati.”Peringatan Rasulullah itu bagi mendorong umatnya meningkatkan amalan kebajikan sebelum tiada lagi peluang untuk beramal, terutama apabila kedatangan ajal.
Hijrah nafsu Nafsu tidak boleh dibuang daripada diri manusia. Manusia membiak, tamadun berkembang dan bumi semarak kerana manusia memiliki nafsu. Hanya yang ditegah adalah menurut saja nafsu sama ada taraf rendah atau serakah yang membawa keburukan kepada manusia.Oleh itu, umat perlu berhijrah daripada nafsu amarah kepada lawwamah. Seterusnya, mulhimah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamilah.
Hijrah akhlak Umat terdahulu hingga ke masyarakat jahiliah mencapai tamadun tinggi, tetapi rosak akhlak. Akhirnya, mereka binasa. Kini dunia Barat juga berada pada keadaan sama. Malangnya, umat Islam yang kebanyakan mundur sudah mengikut jejak langkah akhlak Barat.Keruntuhan akhlak antara punca umat Islam lemah. Unsur negatif Barat berleluasa di kalangan umat Islam yang juga bertindak kasar, ganas, saling rakus, hasad dengki, menghasut, tidak mempunyai nilai kasih sayang dan perpaduan.Umat Islam perlu berusaha berhijrah daripada tabiat buruk kepada berakhlak mulia seperti dimiliki Rasulullah. Sejak remaja, Baginda bergelar al-Amin, ertinya orang yang sangat dipercayai. Rasulullah juga mengakui dalam sabdanya bermaksud: “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Siti Aishah menyebut peribadi Rasulullah sebagai akhlak al-Quran. Begitu juga dengan sahabat Baginda yang sangat berakhlak, bersopan, bertertib, berbudi pekerti luhur, berdisiplin dan bertatasusila dalam segala hal. Peribadi mulia itu ditunjukkan sama ada terhadap Allah, manusia atau haiwan.Umat Islam perlu berhijrah dalam aspek sikap iaitu membuang yang negatif sebaliknya menyuburkan sikap positif. Mengikis sikap pesimis sebaliknya diganti dengan optimis.Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk mentaati Allah, maka perlu pula berusaha meningkatkan taraf hidup. Kemajuan dan pembangunan umat juga perlu sentiasa dikembangkan. Sempena awal tahun Hijrah 1426, umat Islam perlu membulatkan tekad baru selaras dengan cita-cita dan aspirasi agama, bangsa dan negara. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya aku berhijrah kepada Tuhan-ku.” (Surah al-Ankabut, ayat 26)
PENULIS ialah pensyarah Maktab Perguruan Batu Pahat dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com dan jawapan terhadap sebarang persoalan boleh dilayari di www.wanitajimceria.blogspot.com

Wednesday, February 02, 2005

Hargai kebaikan orang tanda mensyukuri nikmat

WADAH WANITA ISLAM
2 FEBRUARI 2005

Hargai kebaikan orang tanda mensyukuri nikmat
Oleh Sumilah Marto


MENYINGKAP tragedi ombak besar tsunami yang melanda beberapa negara Asia dan Afrika, 26 Disember lalu, ia membawa mesej besar kepada kita. Banyak yang dilapor dan diulas mengenai tragedi itu. Apa pun bagi mangsa ‘betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’.

Namun, mangsa diharap yakin dengan jaminan Allah terhadap orang yang sabar menerima ujian dan dugaan dalam mengharungi ranjau kehidupan. Hal ini seperti firman-Nya bermaksud: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman.” (Surah Ali Imran, ayat 139)

Begitu juga dengan firman Allah bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Kejadian seumpama sewajarnya dijadikan iktibar bagi kita yang masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar di bumi Allah ini. Ini sebahagian nikmat Allah swt yang tidak terkira banyaknya mencakupi segala kenikmatan sama ada berupa kelazatan atau keselesaan. Hal ini seperti kesihatan, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan. Begitu juga ilmu pengetahuan, keluarga dan pelbagai lagi nikmat yang diberikan Allah kepada kita.

Allah swt berfirman bermaksud: “Seandainya kamu ingin menghitung nikmat Allah, nescaya tiada terhitung olehmu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pembelas Kasihan." (Surah an-Nahl, ayat 18)

Oleh itu, di atas peluang yang Allah berikan, marilah kita bersyukur kepada-Nya atas nikmat itu. Jangan melakukan perkara yang boleh menyebabkan nikmat itu ditarik balik, malah yang boleh membawa kepada kemurkaan dan seksaan Allah. Apakah tandanya bahawa kita termasuk dalam golongan orang yang mensyukuri nikmat Allah?

Sebagai tanda kesyukuran sewajarnya kita menggunakan nikmat itu sesuai dengan apa yang ditentu dan dikehendaki Allah. Umpamanya, tubuh badan sihat, ilmu, harta, masa dan kepandaian yang diberikan Allah kepada kita sewajarnya digunakan untuk mentatati-Nya. Ia dilaksanakan dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Di samping itu, kita dituntut untuk menolong orang lain mengikut cara yang diredai Allah swt. Kita ditegah daripada menyakiti atau memusnahkan kehidupan orang lain.

Segala kebaikan yang dilakukan sebagai mensyukuri nikmat Allah swt akan dibalas dengan ganjaran yang lebih baik lagi. Allah berfirman bermaksud: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan: Jika kamu bersyukur akan Aku beri kamu kurnia lebih banyak lagi. Tetapi jika kamu tidak bersyukur, sungguh, seksaan-Ku amat dahsyat.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Kita juga tidak harus melihat orang lain yang dilebihkan Allah swt dengan segala macam kenikmatan dengan iri hati dan kagum kerana banyaknya nikmat yang dinikmatinya. Perasaan iri hati yang sedemikian jika dibiarkan akan membawa kepada jiwa yang tidak tenteram. Malah, lebih buruk lagi, perasaan iri hati ini boleh membawa kita lupa bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya yang begitu banyak.

Apa yang lebih membimbangkan, perasaan iri itu akan menyebabkan nikmat itu ditarik balik oleh Allah. Akhirnya, kita bukan saja tidak memperoleh nikmat yang kita iri hatikan, malah hilang nikmat yang ada.

Banyak peristiwa yang dapat dijadikan teladan. Misalnya, kisah kaum Saba yang disebut dalam al-Quran. Pada peringkat awal, mereka mendapat keredaan Allah dan hidup mereka diberkati-Nya. Tetapi, mereka akhirnya lupa mensyukuri nikmat Allah. Lalu, menjadi orang yang melakukan maksiat dan kemungkaran. Mereka tidak berterima kasih kepada Allah di atas rezeki yang berlimpah-ruah. Mereka ingkar atas nikmat Allah. Sebagai balasannya, jadilah negeri yang makmur dan subur itu, kawasan tandus kering. Daripada kaya raya, menjadi papa kedana.

Perkara itu digambarkan dalam al-Quran melalui firman-Nya bermaksud: “Demikianlah Kami balas mereka kerana kekufuran mereka. Dan tiadalah Kami seksa, selain daripada orang yang melakukan kekufuran.” (Surah Saba, ayat 17)

Begitu juga dengan kisah Qarun yang kaya raya pada zaman Nabi Musa. Oleh kerana sifatnya yang mengkufuri nikmat Allah swt, lalu Tuhan bukan saja menghilangkan segala nikmat daripadanya, malah mengazabnya. Demikianlah contoh manusia yang lupa akan nikmat Allah, tidak bersyukur dan tidak mengingati bahawa semua nikmat itu daripada-Nya.

Oleh itu, mari teguhkan tekad bersama-sama untuk menjadi orang yang mensyukuri nikmat Allah swt. Hal ini dapat kita mulakan dengan diri sendiri iaitu dengan mengakui kebaikan yang dilakukan orang lain terhadap walau sekecil mana pun.

Kita mengingati kebaikan itu dan menghargainya. Lalu bicarakan mengenai kebaikannya bukan keburukannya. Perkara ini adalah antara sifat seseorang mukmin yang mensyukuri Allah swt. Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia." (Hadis riwayat Abu Daud)

Jangan lupa pula untuk membalas kebaikan orang kepada kita. Di samping menerima kebaikan orang lain, kita hendaklah menjadi orang yang memberikan kebaikan kepada orang lain. Jika ini dapat diamalkan dalam kehidupan, ia akan dapat menjaga dan memupuk hubungan baik sesama manusia atas dasar saling harga-menghargai dan hormat-menghormati. Seterusnya, akan membibitkan rasa setia kawan yang berteraskan tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain.

Allah swt akan sentiasa menurunkan bantuan-Nya ke atas manusia, selagi manusia saling bantu-membantu sesama sendiri.

Ingatlah firman Allah bermaksud: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 2).


PENULIS dapat dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan sesiapa yang ingin mengemuka masalah boleh melayari www.wanitajimceria.blogspot.com