Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, April 27, 2005

Suruhan tutup aurat untuk kebaikan lelaki dan wanita

Artikel 2: Suruhan tutup aurat untuk kebaikan lelaki, wanita
Dr Harlina Halizah Hj Siraj

DALAM membicarakan persoalan cara pakaian wanita dan kaitannya dengan jenayah seksual adalah satu lagi pandangan mengenainya. Ia adalah jenayah seksual melambangkan perlanggaran terang-terangan terhadap peraturan seimbang yang terkandung dalam Islam, yang perlu dipatuhi oleh lelaki dan wanita dalam masyarakat.

Penyelesaiannya adalah interaksi lelaki dan wanita mestilah kembali kepada penghayatan yang didasarkan kepada asas Islam yang sahih.

Asas itu adalah:

# Hubungan habbunminnas antara lelaki perempuan adalah diasaskan atas dasar ukhuwah dan persaudaraan, penuh rasa hormat dan saling bantu membantu ke arah iman dan takwa.

# Tanggungjawab moral terpikul sama beratnya di atas bahu lelaki dan wanita dalam masyarakat. Dalilnya surah an Nur, ayat 30 dan 31. Lebih penekanan harus diberikan kepada pemahaman dan penghayatan ayat 30 sekarang ini (untuk lelaki beriman) – bagi mengimbangi penekanan yang selama ini yang hanya memberikan tumpuan kepada wanita semata-mata.

Lelaki bertanggungjawab sepenuhnya mengekang nafsu syahwatnya melalui banyak cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

# Kejelasan mengenai perkara asas seperti apa itu kecantikan dan aurat, terutama di kalangan wanita Islam hari ini. Aurat meliputi anggota badan manusia yang berkaitan dengan reproduksi.

Kecantikan pula terbahagi kepada dua iaitu haiwaniah dan insaniah. Kecantikan haiwaniah tertumpu kepada anggota reproduksi. Kalau melihat haiwan seperti kambing dan lembu yang tidak perlu menutup aurat, genitalia yang terdedah perlu untuk menarik perhatian pasangan kepadanya. Seterusnya berlaku kopulasi atau persetubuhan yang akan menghasilkan zuriat keturunan.

Ia adalah proses asas survival dalam kerajaan binatang. Siapa yang paling cantik dan menarik akan mempunyai peluang untuk membiak. Dengan itu, kita boleh memahami mengapa babun mempunyai punggung merah, kenapa burung merak jantan mempunyai bulu yang sungguh memukau dan berwarna warni?

Namun bagi manusia, kita mesti menilai kecantikan dari sudut insaniah dan nilai Ilahi. Kecantikan insaniah hanya dianugerah kepada manusia yang tinggi dan mulia tarafnya.

Dengan adanya konsep aurat yang diperkenalkan seawal penciptaan manusia pertama, Nabi Adam, manusia menutup anggota reproduksi lantaran nasab keturunan manusia amat perlu dijaga dan diurus sebaik mungkin.

Perasaan malu secara fitrah diwujudkan dalam jiwa manusia normal,apabila auratnya terdedah.

Kecantikan haiwaniah diganti dengan nilai kecantikan insaniah yang dicirikan dengan kesopanan (modesty). Bilakah pula kita boleh tonjolkan kecantikan haiwaniah kita? Masa bersama dengan pasangan yang sah dalam lingkungan dinding kamar tidur bagi memastikan adanya penerusan zuriat manusia.

Jadi jika ada wanita atau lelaki yang keluar ke khalayak umum mendedahkan kecantikan haiwaniahnya, jangan terkejut jika kopulasi atau persetubuhan haram akhirnya berlaku (sama ada dengan rela atau tidak). Ketika itu perlakuan manusia berkenaan tidak ubah seperti seekor haiwan.

# Wanita Islam perlu membetulkan niatnya atau nawaitunya. Dia mengenakan pakaian menutup aurat kerana semata-mata mahu menjaga kepentingan iman lelaki. Tanggungjawab menjaga dan meningkatkan iman adalah urusan setiap orang.

Seperti juga lelaki membetulkannya, yang mengenakan bajunya yang menutup aurat kerana niat perlu menjaga iman wanita. Begitu juga wanita tidak melilit tudungnya atas nawaitu – jangan sekali-kali berkata dalam hati: "Saya perlu berbuat begini agar lelaki di luar sana tidak akan terliur melihat tubuh badan saya dan gugur iman dan serbannya."

Kita, wanita menutup aurat dan sanggup melakukan apa saja untuk mematuhi perintah Allah yang mengandungi terlalu banyak hikmah dan kebaikannya. Kita buat ini semua bukan kerana orang lelaki.

Kita menutup aurat sebab iman dan takwa. Kita tidak merokok sebab iman dan takwa. Kita tidak simpan perempuan sebab iman dan takwa. Kita tidak minum arak dan tidak makan babi, semuanya itu kita buat sebab kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Kadangkala apabila kita menggunakan alasan saintifik untuk menyokong alasan kita, maka orang yang berfikiran liberal akan sedaya upaya berusaha menumbangkan `teori' kita.

Contohnya, mengaitkan aurat dengan rogol. Apabila kita kata menutup aurat akan mengurangkan jenayah rogol. Saya pasti banyak dokumen berasaskan penyelidikan dan kajian kes dilonggokkan untuk melemahkan kita dan memalukan Islam.

Sekiranya dengan wanita menutup aurat, peluang dan tarikan syaitan kurang menyerlah di hati lelaki untuk mencabuli kehormatan wanita berkenaan, tentu sekali itu adalah bukti kepada hikmah yang ditetapkan oleh Allah yang bertanggungjawab memelihara hamba-Nya. Dalam masa yang sama, usaha meningkatkan iman dan kegerunan terhadap azab serta kemurkaan Allah mestilah ditingkatkan dalam diri setiap insan. Barulah masyarakat akan terjamin dari sebarang perlanggaran hak dan sebarang bentuk jenayah akan dapat dibendung.

Masyarakat Bermoral cegah jenayah seksual

Art 1: Wadah Wanita Islam: Masyarakat bermoral cegah jenayah seksual
Oleh Dr Harlina Halizah Siraj

PELBAGAI isu mengenai wanita Islam dibangkitkan kebelakangan ini.Terbaru, bantahan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita terhadap tulisan seorang lelaki Islam yang mengaitkan pakaian seksi wanita dengan jenayah seksual. Berikutan itu, timbul pelbagai pandangan pembaca lelaki dan wanita mengenainya.

Pada saya, isu cara pakaian wanita dan kaitannya dengan jenayah seksual agak kompleks dan tidak straight-forward. Sebabnya, kita masing-masing melihat dari sudut berbeza. Berdasarkan pendedahan,pembacaan, pemahaman dan amalan Islam seharian kita.

Apa dilihat, ada dua pandangan berbeza mengenai perkara ini:

# Pandangan pertama.

Pakaian seksi wanita bertanggungjawab meningkatkan kes rogol dan jenayah seksual.

Dari sudut pandang mudah, bagi seorang manusia biasa yang mampu berfikir dengan akal kurniaan Allah, bilangan kes rogol meningkat sejak semakin ramai wanita berpakaian mendedahkan aurat hingga kepada tahap yang tidak pernah tergambar sebelum ini dalam masyarakat kita.

Dengan itu, kita boleh saja memberikan kesimpulan mudah iaitu pakaian seksi wanita adalah penyumbang utama peningkatan kes jenayah seksual.

Penyelesaian mudah pula boleh diambil adalah pastikan semua wanita berpakaian menutup aurat, maka habis cerita.

Hasil pandangan ini, wanita dikenakan peraturan menutup aurat. Kalau ada kuasa politik, ia dijadikan terus satu akta dan peraturan undang-undang. Untuk memastikan peraturan dipatuhi, diwujudkan polis moral, yang akan menguatkuasakan undang-undang itu.

Harapan akhir tindakan itu, kes rogol, jenayah seksual lain akan menurun. Saya percaya, kita boleh bandingkan perangkaan jenayah rogol di negara yang mengamalkan peraturan moral ini seperti di Iran dan negara Timur Tengah dengan negara Barat. Ternyata memang ada perbezaan, ketara daripada bilangan kes.

# Pandangan kedua (pandangan ini dianuti pihak feminis).

Cara pakaian wanita seksi tidak boleh dianggap penyebab peningkatan kes jenayah seksual. Sebaliknya jenayah itu, dicetuskan oleh satu interaksi kompleks yang berpunca daripada gender, stereotyping dan ketidakseimbangan kuasa. Lelaki gagah perkasa, punya nafsu syahwat yang mudah tersasar. Wanita pula memang submisif dan perlu bersedia memberikan dirinya apabila saja dan apabila lelaki berkehendak kepadanya.

Pegangan tradisi ini dikatakan menyebabkan tiada rasa hormat lelaki terhadap wanita. Ia menyebabkan hingga pencabulan kehormatan wanita menjadi satu jenayah terancang besar-besaran, terutama di kawasan konflik peperangan.

Untuk mengurangkan jenayah ini, pihak yang beriktikad dengan pegangan ini menyarankan supaya lelaki kena lebih bertanggungjawab untuk sama-sama menjaga moral masyarakat. Tidak membebankan sepenuh tanggungjawab itu pada bahu wanita semata-mata.

Di samping itu, rasa hormat lelaki terhadap wanita perlu ditingkatkan. Kelompok ini berpendapat, selagi perkara ini tidak dibereskan, selagi itu jenayah seksual terus meningkat.

Mereka menentang habis-habisan pandangan pertama. Pandangan itu meletakkan sepenuh tanggungjawab menjaga moral masyarakat di atas bahu wanita yang dianggap objek seksual.

Alasan mereka kenapa ramai mangsa rogol adalah wanita yang bertudung litup, kanak-kanak perempuan, wanita tua yang uzur! Kelompok ini berhujah lagi, jika ada wanita yang menutup seluruh tubuhnya dengan keyakinan dan niat bahawa perlu berbuat begitu untuk menjaga dan mengawal nafsu syahwat lelaki, ia adalah satu pandangan yang sama tahapnya dengan mereka yang memperagakan tubuh badan di media dan papan iklan. Cuma pada ekstrim yang berbeza. Bagaimanapun kumpulan ini menentang konotasi bahawa `wanita adalah objek seks.'

# PENULIS ialah Ketua Wanita JIM dan seorang doktor pakar sakit puan, boleh dihubungi menerusi e-mel wanitajim0@.... Sebarang permasalahan layari www.wanitajimceria.blogspot.com.

Wednesday, April 20, 2005

Mulakan Perubahan diri dengan kenali kelemahan diri

Mulakan perubahan dengan kenali kelemahan diri

Oleh Rosnah Ahmad
PROSES mengandung dan melahirkan anak bagi saya adalah tazkirah panjang daripada Allah. Perkara ini lebih lagi dirasakan ketika hamil dan melahirkan anak ketiga kira-kira tiga tahun lalu


Saya menghidap gestational diabetes atau kencing manis ketika mengandung yang agak teruk. Pengalaman dimasukkan ke hospital tiga kali dan terpaksa menyuntik sendiri insulin empat kali sehari sangat menginsafkan. Syukur ke hadrat Allah. Berkat mengikut nasihat doktor dengan menjaga pemakanan, saya berjaya melahirkan anak lelaki yang sihat, sempurna dan bebas daripada kencing manis.

Kesan peristiwa itu, sangat mendalam dalam diri. Tambah menginsafkan setahun kemudian saya disahkan menghidap kencing manis peringkat awal. Ia sangat merisau dan menakutkan. Akhirnya, saya tiada pilihan, memilih untuk reda menerima ujian Allah dan cuba melawan penyakit ini.

Melawan kencing manis memerlukan saya mengubah gaya hidup, pola pemakanan dan paling penting berfikiran positif. Perkara yang sukar dilakukan pada awalnya membuahkan hasil menakjubkan. Saya rasa lebih sihat, lebih bertenaga dan lebih positif menjalani kehidupan.

Anak kunci kepada kejayaan adalah terus melakukan perubahan positif dan ia bermula dengan mengenali diri. Cabaran untuk mengenal diri bermula dengan memahami dan menerima diri kita. Hal ini bukan bermaksud kita tidak boleh membaiki diri. Kalau difikirkan tidak cukup baik, kita mesti belajar bekerja lebih kuat, berubah menjadi lebih baik dan membaiki diri .

Kerap kita mencari faktor luaran dan percaya bahawa kekurangan kasih sayang, ilmu, kejayaan dan kepuasan. Jarang sekali kita mengaku secara sedar bahawa tenaga atau kuasa hebat itu berada dalam diri kita. Cabaran sebagai manusia untuk sedar apa yang sekarang ini berada di bawah sedar.

Setiap insan dilahirkan dengan pelbagai potensi untuk berjaya seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami mencipta insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik.” (Surah at-Tin, ayat 4)

Kita dilahirkan dengan anugerah, kebolehan, kekuatan dan keperibadian tersendiri. Ia menjadikan kita unik dan berbeza daripada orang lain. Sepanjang kehidupan, memperoleh pelbagai kemahiran dan ilmu yang membolehkan kita menjalani kehidupan dengan cara tersendiri. Kebanyakan daripada kita agak bersikap tertutup untuk mengenali kekuatan dan cara tersendiri.

Apabila mengenali diri, akan kurang terikat kepada diri sendiri dan keunikan diri akan terserlah. Kita juga akan menjalani hidup dengan menggunakan potensi diri secara optimum.

Nur hidayah Allah sentiasa menerangi seluruh alam dan hamba-Nya seperti firman Allah bermaksud: “Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (al-Quran) adalah sebagai sebuah ‘misykaat’ yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam gelok kaca, gelok kaca itu laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya; (iaitu) pokok zaitun yang bukan saja disinari matahari ketika naiknya dan bukan saja ketika turunnya; hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinar nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya, Allah memimpin sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang dan peraturannya) kepada nur hidayahnya itu; dan Allah mengemukakan pelbagai contoh perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah an-Nur, ayat 35)

Penghalang kepada perubahan dan kemajuan diri adalah diri sendiri. Oleh itu, antara rahsia kejayaan diri adalah dengan berdoa, berzikir, bersembahyang, bertafakur, melakukan muhasabah diri dan menggilap hati. Hal ini bagi memastikan supaya nur hidayah Allah dapat menembusi diri dan tidak terhalang oleh hati yang gelap serta perisai tebal yang dibina dalam diri.

Dari perspektif kerohanian, masalah dan cabaran bukan ancaman, tetapi membuka ruang untuk kita memahami dan menerima kenyataan terhadap diri. Kita mengalami cabaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Ia menunjukkan bahawa sesuatu dalam diri tidak selari dengan fitrah. Apa saja yang menghalang aliran semula jadi akan menyebabkan tekanan dan penyakit.

Malu, risau, takut dan rendah diri adalah antara penghalang kemajuan diri. Kita sering menggunakan tenaga untuk mengelak, melupakan atau memindahkan penghalang itu satu bentuk kepada bentuk lain. Jarang sekali penghalang itu dilepas dan disembuhkan.

Sekiranya mahu menghilangkan tekanan dan kesakitan, berusaha mendapatkan kesedaran lebih tinggi. Penghalang mempunyai banyak hikmah.

Mekanisme membela diri juga adalah penghalang kepada perubahan. Ramai yang sering memberi penjelasan dan alasan untuk tidak memajukan diri sendiri. Tidak kurang menyalahkan orang lain dan keadaan.

Faham dan cari jawapan kepada mengapa bersikap demikian. Ia dapat membantu berubah. Contohnya, seorang yang apabila ditegur akan menipu. Hal ini kerana ketika kecil apabila mengaku kesalahan dia akan dipukul oleh ayahnya. Dia tidak diterangkan mengapa sikap itu tidak baik, apa kesan dan pilihan kepada sikap itu.

Perubahan positif pada diri seseorang mempunyai kesan besar kepada orang lain. Jika sering muhasabah diri dan berubah dengan sendirinya orang lain akan merasakan perubahan kita dan turut berubah.

Dengan berbekalkan kesedaran, kesungguhan, keikhlasan, sikap terbuka dan tawakal tinggi, kita dapat mencapai wawasan wanita solehah, bertamadun dan cemerlang.

PENULIS ialah pengusaha tadika dan taska boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com. Jawapan terhadap persoalan artikel boleh layari www.wanitajimceria.blogspot.com.

(Diterbitkan dalam Berita Harian bertarikh 20 April 2005)

Wednesday, April 13, 2005

Pendidikan awal penentu kejayaan, keperibadian anak

Wadah Wanita Islam: 13 April 2005

Pendidikan awal penentu kejayaan, keperibadian anak
Oleh Rosnah Ahmad


CENDEKIAWAN pendidik Islam di Mesir, Dr Abdullah Nasih Ulwan mengatakan bahawa kecemerlangan anak adalah satu natijah daripada amalan dan pengalaman yang mereka lalui.
Perkara itu akan tersemat dalam jiwa serta hati sanubari anak sejak kecil, terutama pada peringkat awal iaitu di bawah enam tahun.

Begitu besar kesan tarbiah atau pendidikan anak sejak kecil. Ia antara faktor penentu kejayaan anak pada masa depan.‘Izzah iaitu yakin kendiri (self-esteem) adalah rasa hormat diri, yakin dan percaya bahawa diri dihargai. Ia adalah asas penting untuk membina sahsiah anak sejak kecil.

Kajian mendapati bahawa anak-anak yang mempunyai masalah ‘izzah akan lebih mudah terbabit dengan salah laku, gejala sosial dan penagihan dadah. Ibu bapa, pengasuh dan guru, mesti peka terhadap perkara itu dan berusaha untuk menggalakkan pembinaan ‘izzah anak.

Berikut adalah 10 tips penting yang perlu disemai dalam diri anak untuk mencapai tujuan itu.
Melahirkan hubungan kasih sayang, rapat dan berasa selamat sejak bayi dilahirkan.

Rangsangan peringkat awal ini penting dan tidak dapat diambil alih oleh rangsangan daripada barang atau benda. Sekiranya kanak-kanak berasa diketepikan dan tidak diterima, ia sukar untuk membina keyakinan dan mempelajari sesuatu. Kasih sayang yang diberikan mesti tanpa syarat iaitu tanpa mengambil kira rupa paras dan kebolehan mereka. Kita harus berlaku adil kepada anak. Sikap pilih kasih boleh membunuh rasa hormat diri anak-anak. Mereka akan berasa rendah diri dan terlalu sensitif. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Samakanlah pemberian antara anak seperti kamu sekalian senang apabila mereka adil dalam berbakti yang sama kepada kamu sekalian (ibu bapa).” (Hadis riwayat Muslim).

Fahami dunia dan emosi anak dengan menggalakkan mereka meluahkan perasaan dan berkongsi masalah. Mengenakan butang baju mungkin masalah besar kepada anak berumur tiga tahun. Apabila memberikan perhatian dan menggalakkan mereka menyelesaikan masalah, anak akan berasa lebih yakin diri.

Niat perlu jelas dan tanpa ego apabila membetulkan kesilapan anak. Kita hendaklah membetulkan ‘perbuatan’ salah laku mereka, bukan diri mereka. Apabila mereka menconteng buku, jelaskan bahawa perbuatan itu akan merosakkan buku. Elak memarahi dengan mengatakan mereka nakal. Dengan cara ini, anak akan belajar kenapa sesuatu perbuatan itu tidak boleh dilakukan dan tidak tersalah anggap bahawa diri mereka tidak disukai.

Tetapkan peraturan dan terangkan sebab peraturan itu diberikan kepadanya. Kanak-kanak belajar daripada pengulangan. Jangan rasa marah dan letih untuk mengulangi peraturan yang sama saban hari kerana inilah cara mereka belajar mengingati sesuatu. Dalam menetapkan peraturan juga, kita mestilah konsisten dan tidak selalu menukar peraturan, terutama pada kanak-kanak yang masih kecil. Mereka mungkin tidak akan belajar cara membuang sampah yang betul sekiranya bakul sampah sering bertukar tempat.

Galakkan anak membuat pilihan sendiri. Elakkan memaksa anak menerima saja keputusan yang dibuat. Bagi kanak-kanak kecil, berikan dua atau tiga pilihan untuk memudahkan mereka memilih. Ia seperti memilih untuk memakai baju hijau atau biru dan makan nasi atau mi.

Membina pengalaman baru dalam diri anak. Beri sokongan kepada mereka apabila mengambil risiko positif seperti belajar menunggang basikal. Kegiatan ini walaupun berisiko, namun jika anak tidak mencuba, kejayaan tidak akan dicipta dalam diri mereka. Ibu bapa dan guru perlu mencari keseimbangan antara melindungi anak dan membiarkan anak memperoleh kemahiran baru dalam hidup mereka. Kita mesti bersabar daripada terlalu membantu anak. Biarkan mereka mencuba sendiri dan belajar daripada kesilapan.
Tidak semua kesilapan akan membunuh keyakinan diri, sebaliknya memupuk sifat lebih berhati-hati. Anak yang tergelincir di tempat licin mungkin akan lebih berhati-hati apabila berjalan. Kadang-kadang mereka sememangnya perlu belajar daripada kesilapan.Mereka mungkin berkeras untuk melakukan sesuatu yang tidak sesuai seperti memakai baju tangan panjang pada cuaca panas. Biarkan mereka melakukan kesilapan. Bawa baju yang lain untuk ditukar apabila mereka merungut kepanasan. Kita tidak perlu memarahi lagi kerana sebenarnya mereka telah menyedari kesilapan dan akibat daripada kedegilan mereka.

Meminta maaf sekiranya ibu bapa melakukan kesilapan. Anak akan belajar bahawa melakukan kesalahan secara tidak sengaja adalah tidak mengapa. Apa yang perlu dilakukan adalah meminta maaf dan belajar daripada kesalahan yang dilakukan.

Berilah pujian dan kata-kata galakan positif apabila anak berusaha melakukan sesuatu. Perkara itu perlu dilakukan selalu dan segera untuk memberikan kesan. Contohnya, beri pujian pada anak yang mencuba untuk menyuap makanan sendiri walaupun tumpah dan comot. Dengan cara ini mereka akan lebih bersemangat dan tekun mencuba melakukan atau mempelajari sesuatu.Berbeza pula dengan memberi ganjaran apabila anak melakukan yang terbaik. Hal ini akan memberi tekanan kepada mereka untuk melakukan hanya yang terbaik.Elakkan juga daripada hanya menegur anak apabila melakukan kesilapan. Perkara ini boleh menyebabkan mereka tidak dapat membezakan yang baik dan buruk.

Menggalakkan anak melakukan kerja dan kreatif mengikut kemampuan mereka. Dalam hal ini kita terlebih dulu mesti sentiasa melakukan sendiri kerja di depan anak. Contohnya, jika anak menyepahkan mainannya, kita harus memimpin tangan anak, melutut pada lantai melakukan permainan menyimpan mainan sambil berkata “sekarang masanya untuk menyimpan mainan kamu.”Galakkan anak berkreatif secara bebas.
Jangan mengongkong anak dengan satu cara melakukan sesuatu. Contohnya, meminta anak melukis rumah mengikut bentuk yang biasa kita lukis. Semua kegiatan seni dan estetika baik untuk meningkatkan keyakinan mereka. Hargai hasil kerja anak dengan mempamer atau merakam aksi mereka.

Menggunakan disiplin secara positif. Kanak-kanak akan berasa lebih selamat dan yakin sekiranya kehidupan seharian mereka berdisiplin. Masa untuk kegiatan harian mestilah tetap dan tidak selalu diubah. Contohnya, masa makan dan belajar. Anak akan rasa lebih yakin, berdisiplin dan terdidik. Islam juga mendidik untuk mempunyai disiplin diri tinggi seperti solat dan puasa.Mengasuh dan mendidik anak adalah amanah Allah yang memerlukan komitmen tinggi dan berpanjangan. Apapun ia sememangnya sesuatu yang menyeronokkan sekiranya kita mempunyai ilmu untuk melakukannya.
Perkongsian pengalaman dan ilmu keibubapaan sangat praktikal dan berharga. Ia mestilah sentiasa dipupuk dalam masyarakat supaya kita dapat membina anak yang lebih bersedia untuk menjadi khalifah Allah di bumi ini. –

PENULIS ialah pengusaha taska dan tadika Islam. Beliau boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com. Persoalan dan jawapan berkaitan artikel yang disiar boleh layari http://www.wanitajimceria.blogspot.com/

Wednesday, April 06, 2005

Harus bela anjing pengawal

Wadah Wanita Islam: 6 April 2005
Harus bela anjing pengawal
Oleh Prof Madya Maznah Daud


TULISAN saya minggu lalu, menyentuh peristiwa anjing menggigit kanak-kanak. Berikutan itu, beberapa pembaca bertanyakan mengenai pandangan Islam berkaitan dengan anjing peliharaan.

Seperti yang dinyatakan dalam penulisan lalu, anjing menurut pandangan jumhur fuqahak adalah najis mughallazah. Ia berdasarkan perintah Rasulullah agar membasuh bekas yang dijilatnya sebanyak tujuh kali dimulakan dengan air yang dicampur tanah. Namun, tidak bermakna Islam menganggap anjing sebagai makhluk hina yang wajib dibenci dan dijauhi.

Setiap makhluk ciptaan Allah ada kelebihan tersendiri. Lantaran itu tidak wajar bagi kita memandang hina pada sesuatu makhluk disebabkan kejadiannya yang buruk, kotor dan najis.

Dalam satu hadis diceritakan seorang lelaki diampunkan dosanya kerana menolong seekor anjing yang kehausan.Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Ketika mana seorang lelaki berjalan di suatu jalan, dia terlalu dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba untuknya menceduk air dari perigi itu dia turun ke dalamnya dan meminum air sehingga puas. Kemudian dia naik ke atas dan ternampak seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana tersangat dahaga. Lelaki itu berkata kepada dirinya sendirinya: Anjing ini haus seperti apa yang aku rasakan sebelum ini. Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasut yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Allah berterima kasih kepadanya lantas mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.”Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga?” Baginda menjawab: “Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Selain itu, al-Quran menerangkan beberapa fungsi anjing yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Antaranya anjing sebagai pengawal keselamatan. Ketika menceritakan kisah Ashabul-Kahfi, Allah berfirman maksudnya: “Dan kamu mengira mereka itu jaga padahal mereka tidur. Dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua-dua lengannya di muka pintu gua...” (Surah al-Kahfi, ayat 18). Ayat ini menunjukkan harus membela anjing untuk dijadikan pengawal keselamatan. Allah menyatakan bahawa anjing itu berada di muka pintu, bukan dalam gua bersama tuannya.
Jadi keharusan membela anjing sebagai pengawal tidak bermakna ia boleh dibawa masuk ke dalam rumah. Maksud yang tersirat dalam ayat ini diperkukuhkan dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Malaikat (rahmat) tidak memasuki rumah yang ada dalamnya patung dan anjing.”
Ayat ini juga menunjukkan bahawa anjing adalah haiwan yang setia kepada tuannya. Perihal kesetiaan anjing memang selalu didengar. Ada yang berjaya menemui jalan pulang ke rumah tuannya walaupun terpisah berpuluh-puluh batu jauhnya. Di samping itu, ayat berkenaan memaparkan bahawa keberkatan orang salih akan melimpahi sesiapa saja yang berdampingan dengannya walaupun seekor haiwan. Lantaran itu, kita seharusnya berhati-hati dalam memilih teman. Pastikan sentiasa berdampingan dengan golongan yang baik agar sama-sama mendapat kebaikan dan keberkatannya.Selain menjadi pengawal, anjing boleh digunakan untuk berburu.
Allah berfirman maksudnya: “Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?” Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan buruan yang ditangkap oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu, kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka, makanlah daripada apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepasnya). Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha cepat hisab-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 4). Binatang buas yang disebutkan dalam ayat di atas termasuk anjing. Malah perkataan ‘mukallibin’ yang bermaksud ‘mengajar binatang buas untuk berburu’ diambil daripada perkataan ‘kalb’ yang bermakna anjing.
Ia menunjukkan binatang yang paling kerap digunakan untuk berburu adalah anjing. Hal ini diperkuatkan dengan beberapa hadis yang menunjukkan sahabat memang menggunakan anjing untuk berburu. Antaranya hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Adi bin Hatim. ‘Adi berkata: “Saya berkata kepada Rasulullah : Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya telah melepaskan anjing saya yang telah saya ajar untuk berburu dan saya menyebut Nama Allah.” Baginda bersabda: “Sekiranya engkau melepaskan anjingmu yang telah diajar untuk berburu dan engkau menyebut nama Allah maka makanlah binatang yang ditangkap oleh anjingmu itu.”Di samping kelebihan yang ada pada anjing, ia mempunyai satu tabiat hodoh, lidahnya yang terjelir-jelir setiap ketika.
Namun, di sisi Allah ada manusia yang sama hodohnya dengan anjing itu. Mereka ialah orang yang meninggalkan petunjuk kebenaran yang nyata dan memilih kesesatan. Mengutamakan kesenangan dunia yang sementara dan melupakan akhirat yang kekal abadi. Firman Allah bermaksud: “Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami, kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka jadilah dia termasuk orang yang sesat. Dan kalau Kami mengkehendaki, sesungguhnya Kami tingkatkan darjatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah.
Maka perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya dijulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjulurkan lidahnya juga. Demikian itulah perumpamaan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah kepada mereka kisah-kisah itu agar mereka berfikir.” (Surah al-A’raf, ayat 175-176).
Kesimpulannya, semua makhluk yang diciptakan Allah, sama ada haiwan, tumbuhan-tumbuhan dan sebagainya untuk mempermudahkan kehidupan manusia. Hal ini agar mereka dapat menyempurnakan tugas sebagai khalifah dengan sebaiknya. Sebahagian makhluk menjadi sumber makanan, sebahagian digunakan untuk membuat tempat tinggal, pakaian, kenderaan dan sebagainya. Malah, ada yang berkhidmat kepada manusia secara diam-diam tanpa disedari oleh manusia sendiri seperti apa yang dilakukan oleh pelbagai jenis bakteria termasuk dalam badan manusia.Ada antara makhluk Allah, khususnya haiwan yang boleh dijadikan pengajaran serta iktibar dalam pelbagai aspek.
Perkara ini yang dimaksudkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu...” (Surah al-Baqarah, ayat 29)Firman-Nya lagi bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk kepentinganmu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya lahir dan batin. Dan antara manusia ada yang membantah keesaan Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa kitab yang memberi penerangan.” (Surah Luqman, ayat 20). –
Penulis ialah pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com. Jawapan terhadap persoalan boleh dilayari www.wanitajimceria.blogspot.com