Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, November 24, 2004

Enam ciri jamin kejayaan Muslim di dunia, akhirat

24 November 2004
Oleh Prof Madya Maznah Daud
AIDILFITRI dipanggil hari kemenangan dan kejayaan bagi orang Islam yang berpuasa sepanjang Ramadan. Apabila disebut kejayaan, setiap hati akan berbunga bangga, setiap mata akan bersinar.

Kalau setiap orang ditanya: Apakah impian hidupnya? Pasti mereka akan menjawab: Menjadi orang yang berjaya! Tidak kira apa bidang yang diceburi dan apa juga lapangan yang diterokai, tiada seorang pun yang mahukan kegagalan. Allah sentiasa mendorong serta menyuruh hamba-Nya berusaha mencapai kejayaan. Perkara ini terbukti dengan begitu banyak ayat al-Quran yang membicarakan mengenainya.Perkataan al-Falah yang bermaksud kejayaan serta pecahannya disebut dalam al-Quran sebanyak 40 kali. Perkataan al-Fauz yang juga bermaksud kejayaan atau kemenangan serta pecahannya disebut sebanyak 29 kali. Al-Quran menghuraikan secara terperinci maksud kejayaan. Bagaimana mencapai, peringkat, ciri orang yang berjaya serta halangan dalam menuju kejayaan. Bukan sekadar itu, malah umat Islam diseru dan diperingatkan agar melangkah ke mercu kejayaan sekurang-kurangnya 10 kali sehari melalui laungan azan (haiyya ‘alal-falah).Lantaran itu, sebagai orang yang mengaku beriman, kita perlu menilai kejayaan yang dicapai atau yang ingin dicapai dengan neraca Allah yang dinyatakan dengan jelas dan terperinci dalam al-Quran. Allah menyenaraikan ciri orang yang berjaya dan beruntung dalam firman-Nya bermaksud : “Sesungguhnya telah berjaya (beruntung) orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri atau sahya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak dicela. Barangsiapa mencari selain daripada itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal dalamnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 - 11)Ayat ini mengemukakan enam ciri mukmin yang berjaya.
Khusyuk dalam solat. Solat adalah Rukun Islam yang kedua selepas syahadah. Kalau syahadah diibaratkan sebagai tapak sebuah bangunan, solat adalah tiangnya. Tanpa tiang, tidak mungkin terdiri bangunan. Begitulah, tanpa solat tidak terbina agama. Namun sekadar solat belum tentu menjamin kemenangan. Allah hanya menjamin kemenangan bagi mereka yang khusyuk dalam solatnya. Khusyuk lahir daripada perasaan takwa, takut serta gentar berhadapan dengan Allah Yang Maha Perkasa. Orang yang benar-benar mengenali Allah, mengetahui sifat-Nya Yang Maha Agung, Kebesaran serta Kekuasaan-Nya yang tiada tara, dengan sendirinya akan menginsafi kekerdilan dan kehinaan diri di hadapan-Nya. Keinsafan melahirkan rasa takut, malu dan gentar, lalu sekalian anggota tunduk menyepi dan mengadap penuh mengharap. Anda boleh bayangkan ketika dipanggil bertemu orang atasan. Sebelum pergi anda berfikir baju apa hendak dipakai, bagaimana cara hendak masuk ke biliknya, bagaimana cara duduk, apa hendak jawab apabila ditanya, bagaimana mimik muka dan sebagainya. Ketika bertemunya, tentu anda tidak terfikir untuk melayan atau memberi perhatian kepada orang lain, walaupun orang yang paling anda sayangi. Demikian apabila kita mengadap Allah yang jauh lebih besar dan berkuasa daripada orang atasan kita. Tetapi mengapa kadang-kadang kita tidak berasa kebesaran-Nya? Itu yang perlu diperbaiki supaya kita tersenarai dalam golongan orang yang berjaya.
Menjauhi perkara yang tidak berfaedah. Kita semua tahu betapa berharganya masa. Ia lebih bernilai daripada emas dan pelbagai harta. Hilang emas boleh dicari ganti, tetapi tidak demikiannya dengan masa. Masa yang berlalu tidak mungkin dapat kembali lagi. Menghabiskan masa untuk perkara sia-sia adalah kerugian yang tiada bandingannya. Perkara yang tidak berguna adalah yang tidak mendatangkan apa-apa keuntungan sama ada di dunia atau akhirat. Ia merangkumi perbuatan, perkataan, fikiran, perasaan atau khayalan. Perkara itu sia-sia, mungkin kerana ia haram, maka kita mendapat dosa dengan melakukannya. Atau ia harus, tetapi tidak ada kena mengena dengan diri dan kehidupan kita. Maka, sia-sia saja melakukannya.Lantaran orang yang suka menghabiskan masa untuk perkara itu, tentu tidak boleh digolongkan dalam senarai orang yang berjaya.
Mengeluarkan zakat. Mukmin yang berjaya tidak memikirkan kepentingan diri semata-mata. Dia sedar harta yang diperoleh walaupun dengan usaha dan titik peluhnya sendiri, tidak mungkin diperoleh tanpa kudrat serta nikmat daripada Allah. Mukmin yang berjaya ialah mereka yang tahu nilai harta dan meletakkannya pada tempat yang betul. Mukmin wajib bersyukur kepada Allah, Pemilik dan Pemberi segala harta di dunia ini serta mengikut segala ketentuan yang dituntut oleh Allah. Jadi untuk menjadi mukmin berjaya, akui nikmat yang diterima dengan penuh kesyukuran serta bebaskan diri daripada belenggu kepentingan diri, kikir harta dan lokek jiwa.
Memelihara kemaluan dan kehormatan diri. Hubungan seksual adalah sebahagian daripada naluri yang dibekalkan oleh Allah dalam diri setiap insan sesuai dengan hikmah penciptaannya iaitu menjadi khalifah di bumi. Khalifah bermakna makhluk yang silih berganti iaitu daripada satu generasi lahir generasi berikutnya. Bagi memastikan naluri itu berfungsi dengan sebaiknya, Allah mensyariatkan perkahwinan. Tanpa perkahwinan terputus kesinambungan zuriat bani insan. Begitu juga jika dibiarkan naluri yang dibekalkan digunakan tanpa batasan. Dengan itu setiap orang berkewajipan mengawal nafsunya demi keselamatan generasi yang bakal mewarisinya. Kegagalan melahirkan generasi sejahtera adalah kegagalannya dalam melaksanakan sebahagian daripada fungsi yang diamanahkan kepadanya.
Menunaikan amanah dan janji. Pepatah Melayu yang sangat masyhur berbunyi: “Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya”. Sesungguhnya amanah dan janji adalah asas hubungan setiap orang dengan pihak lain. Sebelum lahir ke dunia, manusia berjanji dengan Allah untuk menyembah dan beribadah kepada-Nya (lihat surah al-A’raf, ayat 172). Manusia juga telah menyanggupi di hadapan-Nya untuk memikul amanah yang telah ditolak oleh langit, bumi dan bukit bukau (lihat surah al-Ahzab, ayat 72). Semua itu adalah janji dan amanah yang paling asas. Sekiranya janji dan amanah itu dimungkiri dan dikhianati, sukar untuk kita mengharapkan janji lain ditepati. Justeru, gejala mengkhianati amanah dan memungkiri janji begitu berleluasa dalam masyarakat kini. Lebih malang lagi bangsa Melayu sering dikaitkan dengan tabiat tidak menepati janji. Apabila satu janji dimungkiri atau satu amanah dikhianati, kepercayaan akan hilang, buruk sangka dan dendam akan subur. Kejayaan yang diharap, kecundang yang datang.
Sentiasa memelihara solat. Ciri pertama berkaitan dengan solat. Ciri terakhir juga berkaitan dengan solat. Isyarat yang cukup jelas menunjukkan betapa pentingnya solat dalam Islam. Solat adalah amanah Allah, kemuncak pengabdian insan terhadap Penciptanya. Islam tidak mengiktiraf kejayaan yang dicapai oleh seseorang sekiranya dia meremehkan solat. Menjaga solat dari segi waktu, rukun, syarak, adab serta hikmahnya adalah teras utama untuk berjaya.
PENULIS ialah pensyarah di Universiti Teknologi Mara dan boleh dihubungi pada e-mel wanitajim0@yahoo.com dan www.wanitajimceria.blogspot.com.

Wednesday, November 10, 2004

Wanita digalak solat raya

10 November 2004

Oleh Prof Madya Maznah Daud.

“MAMA, kenapa kita tidak pergi dengan abang dan abah ke masjid untuk sembahyang raya?” tanya Ruhaimah, gadis belasan tahun kepada ibunya yang sibuk memasak dan menghidang makanan di meja makan untuk juadah raya. “Ruhaimah, kita orang perempuan dan tugas kita menyediakan makanan. Biar abang dan abah sebagai orang lelaki saja yang pergi ke masjid. “Kalau tidak kita menyediakan makanan untuk mereka, siapa lagi,” jawab mamanya tersenyum sambil mencubit sayang dagu si comel itu. Kita sering mendengar perbualan sebegini di kalangan wanita pada pagi raya. Namun, adakah pandangan itu secocok dengan roh hari raya? Benarkah hanya lelaki yang perlu bersembahyang hari raya dan tugas wanita hanya memasak, menyediakan makanan, mengemas rumah, memasang langsir baru dan menyambut tetamu pada pagi raya? Adakah amalan lain (dikira ibadat dan mendapat pahala) yang lebih afdal dan utama yang seharusnya dilakukan oleh wanita pada pagi raya? Justeru, kita perlu melihat semula beberapa amalan lain yang lebih utama ketika merayakan Aidilfitri, sekali gus diredai supaya hari raya kali ini lebih baik daripada hari raya tahun lalu. Hari raya adalah hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh manusia tanpa mengira bangsa atau agama. Ia disambut meriah dengan pelbagai acara. Bagi umat Islam, mereka dianugerahkan oleh Allah dua hari raya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Anas menceritakan: “Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksudnya: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu hari Adha dan hari Fitri.” (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i) Jelas di sini, hari raya bagi umat Islam bukan sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ia bukan satu hari yang direka atau diilhamkan oleh sesiapa. Ia adalah anugerah Allah sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya baik lelaki dan wanita yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa Ramadan. Pada pagi Syawal, Rasulullah menjamah sedikit makanan sebelum keluar ke tanah lapang untuk menunaikan solat sunat hari raya. Kebiasaannya, Baginda memakan beberapa tamar dalam bilangan ganjil. Jadi wanita tidak perlu bersusah payah menyediakan juadah yang berlebihan. Disunatkan juga sebelum pergi solat hari raya, kita mandi sunat hari raya, memakai baju baru atau yang lebih elok. Anas menceritakan: “Pada kedua-dua hari raya, Rasulullah menyuruh kami memakai pakaian yang paling baik daripada apa yang ada pada kami, memakai bauan paling wangi daripada apa yang ada pada kami, dan menyembelih binatang yang paling mahal daripada apa yang ada pada kami.” (Hadis riwayat Al-Hakim). Maksud paling baik daripada apa yang ada adalah tidak semestinya kita bersusah payah berbelanja secara berlebihan untuk menyediakan pakaian baru. Pilih saja mana yang ada dirasakan lebih baik berbanding lain. Selepas itu, Baginda menuju ke tempat solat hari raya dengan berjalan kaki sambil memperbanyakkan takbir sepanjang perjalanan. Apabila pulang, Baginda akan memilih jalan lain daripada yang dilalui ketika pergi. Di kampung, mungkin sunnah ini masih berterusan tetapi di bandar, penghuninya lebih senang berkereta. Jika mereka dapat mengikuti sunnah ini, pasti sambutan hari raya akan lebih meriah. Baginda mengerahkan seluruh umat Islam keluar ke tempat solat, termasuk kaum wanita. Ummu ‘Atiyyah Al-Ansoriyyah berkata: “Kami diperintahkan supaya membawa bersama pada kedua-dua hari raya anak perempuan dan gadis remaja serta wanita yang sedang haid untuk bersama melakukan kebaikan. Wanita yang sedang haid duduk berjauhan dari tempat solat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) Hal ini menggambarkan Rasulullah begitu mengambil berat supaya wanita turut merasakan kemeriahan dan keberkatan hari raya. Bertemu sambil mengucap tahniah serta mendengar wasiat berguna daripada pemimpin secara terus dan langsung. Pada masa ini, kebanyakan wanita kita masih belum merasakan pentingnya keluar menyertai solat sunat hari raya. Ramai beranggapan menyediakan makanan untuk keluarga dan tetamu yang bakal berkunjung itu adalah lebih penting. Suami pergi bersendirian tanpa membawa isteri. Ayah pergi bersama anak lelaki dan meninggalkan anak perempuan untuk membantu ibu memasak serta menghias rumah. Sedar atau tidak, wanita kita sudah terlepas daripada pahala ibadat menghayati sambutan hari raya yang sebenar kerana kemuncak sambutan hari raya dalam Islam adalah solat Aidilfitri. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang mengeluarkan zakat, mengingati dan menyebut nama Tuhannya lalu mengerjakan solat.” (Surah Al-A’la, ayat 14-15). Sebahagian ulama berkata, maksud solat dalam ayat ini adalah solat hari raya. Jadi orang yang disebut sebagai beruntung ialah mereka yang mengerjakan solat, bukan yang memasak dan menghias rumah. Solat sunat hari raya dilakukan di tanah lapang. Baginda tidak solat di masjid kecuali jika hujan. Selain menambah kemeriahan hari raya, Baginda memilih tempat lain dari masjid untuk memberi peluang kepada wanita haid bersama-sama menyertainya. Jika solat diadakan di masjid, sudah pasti penyertaan wanita terbatas. Pada hari raya, Rasulullah dan sahabat saling mengucap tahniah antara satu sama lain dengan ucapan taqabbalallah minna wa minkum yang bermaksud: “Mudah-mudahan Allah menerima ibadat kami dan juga anda.” Tiada riwayat yang menyatakan mereka saling bermaafan pada hari raya seperti yang dilakukan oleh umat Islam di tanah air kita. Sesungguhnya sikap bermaafan itu dituntut Islam sepanjang masa bukan pada hari tertentu. Ia wajib disegerakan dan dilakukan sepanjang tahun, bukan pada hari raya saja. Meminta maaf juga tidak memadai dengan bersalam saja. Ia mesti diiringi dengan taubat nasuha dan memulangkan atau menjelaskan hak kepada tuannya. Budaya meminta maaf sambil bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram wajib dihentikan kerana ia mencemari kesucian Aidilfitri yang mana pada hari itu, kita kembali kepada fitrah. Rasulullah membenarkan umat Islam menjamu selera dan berhibur dengan hiburan yang diharuskan. Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Abu Bakar mengherdik dua kanak-kanak atau hamba perempuan yang sedang mendendangkan syair di rumah Aisyah pada hari raya. Lalu Rasulullah menegur Abu Bakar dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya. Dan hari ini adalah hari raya kita.” Kesimpulannya, hari raya dalam Islam mempunyai pengertian tersendiri. Ia adalah satu ibadat dan syiar yang murni. Oleh itu sambutannya juga mengandungi adab, etika dan sunnah tersendiri. Sebagai umat yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Rasulullah, kita tidak patut terikut-ikut dengan cara dan budaya orang lain dalam menyambut hari raya. Di sinilah, letaknya peranan wanita dalam menentukan corak sambutan yang terbaik berlandaskan agama. Lantaran itu, hari raya sebagai ibadat tidak seharusnya disambut dengan cara berlebihan, bercampur maksiat atau bercanggah dengan agama Islam. Hal ini kerana seperti ibadat lain, ia adalah satu ibadat syiar Islam yang suci. Perkataan fitri bermaksud ‘berbuka puasa’ iaitu hari di mana umat Islam selesai menjalankan ibadat puasa selama sebulan pada Ramadan. Ada pula yang berpendapat perkataan fitri berasal dari fitrah yang bermaksud naluri atau sifat semula jadi manusia yang bersih suci, tidak dicemari oleh sifat keji seperti syirik dan fasik. Aidilfitri adalah hari kemenangan umat Islam melawan nafsu, membersih diri daripada dosa dan kembali kepada fitrah asal mereka iaitu beriman kepada Allah dan mentauhidkan-Nya. Sambutan Aidilfitri dimulai dengan takbir pada malam 1 Syawal. Takbir adalah satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “...supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya...” (Surah Al-Hajj, ayat 37) Takbir ini diamalkan oleh Nabi, sahabat dan umat Islam selepasnya. Lafaz takbir mengandungi pengertian yang sangat penting dalam menyucikan hati daripada sifat keji, terutama syirik, bongkak dan sombong yang bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia yang diciptakan dalam keadaan yang suci. Disunatkan terus bertakbir bermula selepas Maghrib menjelang hari raya pertama hingga imam selesai membaca khutbah selepas solat sunat hari raya. PENULIS adalah pensyarah di Universiti Teknologi Mara Shah Alam dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com dan www.wanitajimceria.blogspot.com

Tuesday, November 02, 2004

Al-Quran bukan sekadar dibaca

Oleh Suriza Ahmad Zabidi
BERAPA juzkah pembacaan al-Quran kita? Adakah telah tamat membaca 30 juz? Di manakah tahap tadabburnya? Seperti yang dinukilkan dalam firman-Nya bermaksud: “Apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran.” (Surah an-Nisa, ayat 82)
Memerhatikan bermakna memikirkan maksud ayat yang dibaca untuk difahami dan diamalkan. Dengan cara ini saja al-Quran akan menjadi petunjuk (huda) dan pembeza antara benar dan palsu (furqan). (lihat surah al-Baqarah, ayat 185) Sebagai umat Islam yang sedar, kita perlu sentiasa menggali petunjuk daripada al-Quran. Perkara ini diperlukan tidak saja untuk amalan harian, malah bagi mendapat ilham dalam menjalankan kegiatan harian dan kemasyarakatan. Kita tidak seharusnya terikut-ikut budaya yang sekadar berpuas hati dengan tadarus al-Quran sebagai kegiatan Ramadan semata-mata. Menurut Teori Piramid Pembelajaran-Apabila kita lebih banyak berfikir, maka lebih banyaklah kita mendapat ilmu, sama ada daripada pembacaan, perbincangan, penulisan dan sebagainya.Supaya berkesan, selepas setiap kali membaca beberapa halaman al-Quran, tanya diri sendiri soalan berikut. “Sebutkan sekurang-kurangnya tiga tema dalam ayat yang baru dibaca tadi dan huraikan salah satu daripadanya.” Jika saudara tidak dapat menjawab soalan ini ulangilah pembacaan ayat tadi. Ini antara cara bagi memastikan kita benar-benar membaca al-Quran.Tuntutan bacaan al-Quran bukan sekadar baca, lebih-lebih lagi kepada kita yang ada antaranya tidak memahami bahasa Arab. Bacaan al-Quran kadang-kadang tidak memberi makna apa-apa. Oleh itu, marilah kita faham maksud tuntutan bacaan al-Quran sebagai tuntutan satu dalam lima iaitu baca; faham atau tadabbur; hayati atau amalkan; sampaikan ilmunya dan perjuangkan inti patinya.Peristiwa Nuzul Quran pada Ramadan bukan sekadar menjadi catatan sejarah. Al-Quran adalah panduan hidup kita. Sekian lama kita membaca al-Quran tetapi al-Quran tidak mendidik kita. Bahkan, al-Quran tidak mengubah diri kita menjadi orang yang cinta dan takutkan Allah. Moga-moga ini menjadi iktibar untuk kita bersama.Ramadan adalah bulan keampunan. Apakah tindakan kita untuk memperoleh keampunan daripada Allah? Apakah cukup dengan sekadar berpuasa pada siang hari dan bersolat Tarawih pada malam hari? Pada masa sama, kita masih melakukan kegiatan sia-sia. Kita tahu Allah itu Maha Pengampun. Perlukah kita akan keampunan Allah ini? Diriwayatkan dalam sebuah hadis, ada seorang hamba Allah yang datang mengadap Allah dengan timbunan dosa. Tetapi Allah masih memerintahkannya mencari apakah ada kebaikan yang telah dibuatnya. Setelah dicari maka terjumpalah satu kebaikan yang sebesar jari, apabila diselidiki, ia adalah kalimah Lailahaillallah. Maka, dimasukkannya hamba Allah itu tadi ke dalam syurga. Begitu sekali Allah ingin memberi pengampunan kepada kita, tetapi hamba-Nya masih menganggap sepi akan pengampunan Allah ini. Setiap kali melakukan maksiat dan berbuat dosa terhadap Allah, kita masih terus bongkak untuk memohon ampun daripada Allah. Ada juga antara kita yang berasa “Masa muda ni, kita buatlah maksiat, tua esok bertaubatlah!” Pastikah yang kita akan melalui kehidupan hari tua itu? Tahukah kita apakah yang akan berlaku pada kita dalam masa sejam daripada sekarang? Atau seminit daripada sekarang? Atau sesaat daripada sekarang? Dalam pengetahuan kitakah semua itu? Perlukah kita menunggu esok untuk bertaubat dan meminta keampunan daripada Allah, sedangkan kita tidak pasti apakah esok itu milik kita.PENULIS ialah seorang jurutera dan boleh dihubungi menerusi e-mel wanitajim0@yahoo.com dan www.wanitajimceria.blogspot.com