Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, March 30, 2005

Saintis buktikan keistimewaan tanah

Wadah Wanita Islam: 30 Mac 2005
Saintis buktikan keistimewaan tanah

Oleh Prof Madya Maznah Daud


BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan kejadian seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Hazman Khan, 9, diserang anjing di Taman Putra Perdana, Puchong. Serangan itu, menyebabkan mangsa luka dan terpaksa dijahit 180 jahitan. Akibatnya dia mengalami trauma teruk, sentiasa mengalirkan air mata setiap kali teringat peristiwa mengerikan itu.

Di kalangan masyarakat Islam, anjing sinonim dengan perkataan najis mughallazah. Lantaran itu boleh dikatakan rata-rata orang Islam khususnya, di Malaysia ‘tidak berani’ mendekati anjing, apa lagi menyentuhnya.Anjing sebagai sesuatu yang najis, termaktub dalam hadis sahih riwayat Muslim, Ahmad dan lain-lain. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sucinya bejana salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.”
Mungkin timbul persoalan mengapa Rasulullah menyuruh umatnya menggunakan tanah untuk menyuci bekas yang dijilat anjing? Ada mengatakan, terbukti bahawa dalam air liur anjing ada bakteria yang hanya dapat dimatikan oleh tanah yang dicampur air. Menurut ahli sains, dalam air liur setiap makhluk yang hidup di bumi ini ada bakteria yang tidak terhitung banyaknya. Contohnya, manusia mengeluarkan 1.5 liter air liur dalam sehari. Dalam setiap satu mililiter air liur yang dikeluarkan ada 750 ribu juta bakteria. Ketika mulut itu mengandungi sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan atau selepas bangun tidur, bilangan bakteria itu bertambah tujuh kali ganda banyaknya. Ini dinisbah kepada air liur manusia, makhluk paling suci. Ali liur anjing? Allah saja Maha Mengetahui.
Mengenai tanah, Dr Danial Zainal Abidin menulis dalam bukunya bertajuk Empayar Minda Muslim:”Tanah mempunyai komposisinya yang tersendiri, 45 peratus daripadanya adalah zat logam (galian), 25 peratus udara, 25 peratus air dan 5 peratus adalah bahan-bahan organik. Tanah ada kelebihannya. Ahli sains di Norway menemui sejenis kulat di tanah yang mampu menghasilkan ubat dinamakan cyclosporin. Ia digunakan sebagai rawatan selepas pembedahan pemindahan organ (anti-rejection drug). Di sebuah ladang jagung, seorang pelajar dari Universiti Wisconsin menemui sejenis protein daripada bakteria tertentu yang boleh mengeluarkan ais (bacterial ice-forming protein). Pada hari ini, ia digunakan untuk mengeluarkan ais bagi pusat ski.
Di Indonesia, saintis menemui sejenis bahan daripada kuman tertentu (microbial molecule) dalam tanah yang mampu menukarkan kanji (starch) kepada glukos. Di sebuah padang golf di Jepun, seorang saintis menemui sejenis ubat yang mampu merawat penyakit parasit (parasitic infection) yang sering menyerang binatang ternakan.Bakteria dari tanah telah menghasilkan produk yang bernama ivermectin. Ubat ini mampu membunuh cacing yang menyerang manusia dan binatang dengan cara menghalang penyebaran maklumat dalam sistem saraf cacing (blocking the transmission of nerve signals).
Pada tahun 1980-an, saintis menemui satu bahan kimia dari tanah di Sepanyol. Ia digunakan untuk menghasilkan ubat yang mampu menurunkan kadar kolesterol dalam darah (cholesterol-lowering drug). Dalam konteks pemindahan organ, antara masalah besar yang sering dihadapi adalah penolakan organ baru oleh badan penerima dan reaksi ini boleh membahayakan nyawa. Pada pertengahan 1980-an, saintis menemui satu bahan yang mampu mengawal proses penolakan organ dengan cara mengawal proses tertentu dalam sistem pertahanan badan (immune system). Bahan ini diperoleh dari tanah bukit dan produk yang terhasil daripadanya dikenali sebagai Prograf. Ia digunakan sebagai rawatan kepada pesakit yang terpaksa menjalani pembedahan pemindahan hati (liver transplant) bermula 1994.
Kira-kira 3,222 antibiotik pada hari ini diperoleh daripada kuman dan kebanyakannya dari tanah. Antara produk antibiotik yang terhasil daripadanya adalah erythromycin, streptomycin dan tetracycline. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah membuat kajian untuk menilai kemampuan tanah sebagai alat pencuci kotoran. Kajian ini dilakukan di Bangladesh pada 1993. Ia untuk membandingkan kuasa cucian yang ada pada sabun biasa, abu dan tanah selut. Dua puluh wanita dari Dhaka terbabit dalam kajian ini. Sebahagian mereka mencuci tangan dengan sabun, abu dan tanah selut.
Mereka melakukannya dengan cara tertentu selama lima hari. Rumusannya adalah sabun, abu dan tanah selut adalah sama-sama berkesan sebagai bahan pencuci, jika dilakukan dengan betul. Apabila seseorang Muslim bersuci dengan tanah, dia juga mendekatkan dirinya kepada alam dan kunci kehidupan yang diciptakan Allah. Lebih daripada itu, tanah adalah alat pencuci yang murah, berkesan dan boleh diperoleh di seluruh dunia.Justeru, penggunaan air dan tanah mendekatkan umat Islam kepada alam dan kunci kehidupan.
Ia juga mengingatkan mereka kepada asal usul manusia, selain merangsang untuk terus mengkaji alam dan mencungkil rahsianya.Begitu pun, kenajisan sesuatu benda walaupun dikategorikan sebagai najis mughallazah tidak bermakna haram menyentuhnya. Begitu juga sucinya sesuatu itu tidak bermakna halal bagi kita menyentuhnya. Umpamanya, tahi dan air kencing manusia serta haiwan yang haram dimakan adalah najis. Namun, setiap hari kita menyentuh benda itu ketika membasuh kemaluan selepas membuang air kecil dan besar. Tidak ada ulama mengatakan perbuatan itu (menyentuh najis) berdosa.
Wanita yang bukan mahram adalah haram bagi lelaki ajnabi menyentuhnya, padahal wanita itu suci dan tidak najis. Al-Quran, menurut majoriti fuqaha, haram disentuh oleh mereka yang berhadas sama ada kecil atau besar. Hal ini bukan kerana orang berhadas itu dianggap najis. Buktinya benda yang disentuh oleh orang yang berhadas tidak wajib dibasuh.Kesimpulannya, hukum najis dan sentuh adalah dua isu berbeza yang tidak boleh dikaitkan antara satu dengan lain. Najis tidak semestinya haram disentuh, suci tidak semestinya halal disentuh oleh sesiapa saja tanpa batas dan syarat. Bertitik tolak dari konsep ini, maka dalam al-Quran disebutkan beberapa fungsi anjing yang boleh dimanfaatkan oleh manusia. Insya-Allah akan dibincangkan pada penulisan akan datang.

PENULIS ialah pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com. Jawapan dan persoalan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

Wednesday, March 23, 2005

Tuntutan hak persamaan kena berlandaskan akhlak

Tuntutan hak persamaan kena berlandaskan akhlak



Secara umum, tiada yang mempersoalkan lagi hak asasi wanita untuk hidup terhormat tanpa penganiayaan dan penindasan. Begitu juga hak mendapat pendidikan, kemudahan jagaan kesihatan fizikal dan mental dan mendapat ganjaran ekonomi yang setimpal dengan usaha mereka.

Wanita membuktikan keupayaan mereka dalam mentadbir sumber alam dan manusia di sekelilingnya.

Apa yang dikhuatirkan, perjuangan menuntut hak wanita itu seolah-olah menjadi medan untuk menghasilkan beberapa ‘hak baru’ yang amat mengelirukan. Dalam membahaskan persoalan jantina dan gender (kejantinaan), seolah-olah timbul hak asasi baru untuk menjadi seorang yang bukan wanita dan bukan lelaki berdasarkan adat kebiasaan, menafikan kejadian asal ketika dilahirkan.

Dalam aspek berkeluarga, timbul pula hak untuk menentukan bahawa keluarga tidak lagi harus hanya dimulakan oleh seorang lelaki bergelar suami atau bapa dan seorang wanita yang bergelar isteri atau ibu. Wanita dikatakan ada hak untuk menjalani kehidupan berkeluarga walaupun tinggal berpasangan dengan sejenis dengannya.

Selain itu, wanita dikatakan punya hak untuk menggugurkan kandungan, sekiranya belum bersedia menghadapi kehamilan dan kehidupan sebagai seorang ibu.

Anak gadis pula dinobatkan mempunyai hak asasi untuk menerokai seksualitinya apabila sudah bersedia dengan siapa juga yang dirasakan sesuai.

Satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Latin American and Caribbean Youth Network for Reproductive and Sexual Rights (Redlac) yang turut serta pada persidangan itu mengedarkan pelekat berbunyi Being sexually active IS NOT a sin....IT IS MY RIGHT! (Mengadakan hubungan seks bukanlah satu dosa, ia adalah hak saya!) Bagi masyarakat dunia yang masih kukuh berpegang kepada adat budaya dan agama, pandangan itu jauh menyimpang, sekiranya dituturkan oleh remaja yang belum bernikah dengan sah.

Jelaslah, sekiranya perjuangan menuntut hak asasi ini tidak didasarkan kepada garis panduan sejagat yang akan mempertahankan satu keseimbangan, usaha gergasi ini akan berakhir dengan kehancuran umat manusia itu sendiri.

Dalam membincangkan hak, ada dua perkara asas yang mesti terlebih dulu difahami dengan jelas. Pertama, aspek kewujudan hak itu sendiri. Sebenarnya, hak tidak wujud secara sendirian, malah mempunyai pasangan yang tidak boleh dipisahkan sama sekali, iaitu tanggungjawab.

Tidak keterlaluan jika dikatakan seseorang itu hanya boleh menuntut haknya selepas tanggungjawabnya selesai dilakukan sebaik mungkin.

Contoh paling mudah adalah dalam urusan pengambilan pekerja baru. Hanya selepas tempoh percubaan tamat iaitu selepas dia menunjukkan keupayaannya menjalankan tanggungjawab dengan baik, barulah disahkan jawatan dan layak menikmati hak yang diperuntukkan sebagai pekerja di sesuatu syarikat atau jabatan.

Seorang suami mesti terlebih dulu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terhadap isteri dan anak, sebelum boleh menagih dan menuntut haknya ke atas ahli keluarganya. Seorang wanita yang menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu, wajar diberikan hak untuk dihormati, dilindungi dan dimuliakan. Ini tentunya tidak sama sekali menafikan hak yang diperuntukkan kepada wanita atau lelaki yang tidak bergelar ibu bapa atau suami isteri.

Selagi seseorang itu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai manusia yang diciptakan Allah sebagai hamba dan khalifah, dia berhak dihormati dan tidak ditindas lantaran warna kulit, rupa paras, dan adat bahasa. Seorang manusia yang melakukan kesilapan dan kemungkaran, tidak kira besarnya, mempunyai hak untuk diperbetulkan. Ia mesti dilaksanakan oleh rakan manusia lain di sekitarnya. Menjadi tanggungjawab kita yang menyaksikan kemungkaran dan kemaksiatan di depan mata untuk berusaha menghalang dan memperbetulkannya. Hanya dengan usaha itu, barulah kita berhak mendapat gelaran ‘khairul ummah’ atau ummah terbaik. Ia seperti dijanjikan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 110)

Sekiranya manusia jelas terhadap aspek hak dan tanggungjawab ini, usaha memperjuangkan hak secara membabi-buta hendaknya dapat diseimbangkan dengan kesungguhan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Kedua, selain hak asasi seseorang, ada satu lagi yang amat perlu dijaga iaitu hak kolektif atau berkelompok bagi sesuatu komuniti atau masyarakat. Tiada manusia yang boleh hidup sendirian. Manusia memerlukan keluarga dan masyarakat sekitar untuk memenuhi kehendak dan keperluannya. Apabila seseorang itu menjadi salah seorang anggota masyarakat, dia bertanggungjawab menjaga perkara asas dalam budaya dan cara hidup yang dipersetujui bersama. Selepas dia berjaya menjalankan peranan dan tanggungjawab itu, wajar menikmati hak kolektif tertentu yang sama-sama dikongsi dengan anggota masyarakat yang lain.

Dalam banyak hal, apabila wujud pertembungan antara hak individu dengan berkelompok, demi menjaga keharmonian bersama, individu haruslah berupaya mengalah dan mendahulukan keperluan hak kolektif.

Sekiranya itu tidak dapat diterima, cara yang paling baik adalah supaya orang berkenaan berhijrah mencari kelompok manusia lain yang dapat menyempurnakan haknya.

Contoh yang ingin dibawa di sini, adalah seperti cara hidup berpasangan dengan sesama jenis (homoseksual atau lesbian). Masyarakat Islam amat jelas pendiriannya dan tidak dapat menerima cara hidup ini. Contoh jelas dalam al-Quran adalah kerosakan yang menimpa umat Nabi Luth yang mengamalkan cara hidup ini. Umat Islam faham dan jelas bahawa homoseksualiti bertentangan dengan objektif hubungan manusia dalam aspek meneruskan zuriat nasab keturunan. Hubungan sejenis ini juga terbukti menjadi punca penyebaran virus HIV yang membawa Aids.

Individu dalam masyarakat Islam harus sensitif terhadap pandangan ini dan bertanggungjawab memelihara cara hidup yang lebih diterima umum. Mungkin dia merasakan adalah hak individunya untuk mengamalkan sebarang corak hidup yang disukainya, namun dia tidak wajar mengganggu keseimbangan yang ada.

Dalam hal ini, dia mempunyai dua pilihan. Pertama, menyembunyikan saja cara hidup yang tidak seiring dengan orang lain. Kedua, berpindah kepada kelompok manusia lain yang lebih boleh menerima cara hidup itu secara terbuka.

Menuntut agar masyarakat menerima saja secara total cara hidupnya di atas alasan dia berhak melakukan apa yang dirasakannya baik untuknya menunjukkan ketidakmatangannya. Ia juga menunjukkan kedangkalan iltizamnya untuk menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab.

Pada masa sama, ahli masyarakat lain yang kurang senang dengan cara hidup yang dipilih oleh sekelompok lain, tidak harus menunjukkan sikap membenci dan meminggirkan kelompok itu.

Mereka harus menjalankan tanggungjawab memperbetulkan mana yang silap dan salah dengan cara penuh berhikmah. Bukan hanya mencaci, mencemuh dan menghina. Pendekatan dakwah memang terbukti lebih berkesan dan positif kesannya daripada hukuman keras dan tegas. Teknik berdakwah yang baik akan membimbing seseorang untuk menangani segala perselisihan pendapat dengan cara bijaksana dan tidak emosional.

Mudah-mudahan dengan cara itu, pihak yang satu lagi akan dapat menerima kebenaran atau paling tidak akan menghormati pendapat dan pandangan kita sendiri. Renungilah perintah Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran, dan berdebatlah dengan mereka (yang kamu serukan itu) dengan cara yang paling baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Semoga perjuangan menuntut hak ini akan terus diseimbangi dengan kematangan dan usaha gigih yang ikhlas serta mantap. Ia tidak melencong daripada garis panduan sejagat yang telah digariskan oleh Allah, Pencipta sekalian alam.

l PENULIS ialah Ketua Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi pada wantajim0@yahoo.com dan sebarang jawapan kepada permasalahan boleh dilayari www.wanitajimceria.blogspot.com

Wednesday, March 16, 2005

Muhasabah diri elak sesat dalam hidup

Muhasabah diri elak sesat dalam hidup


KEJAYAAN anak Melayu, Nur Amalina Che Bakri yang mendapat keputusan cemerlang 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2004 perlu dicontohi pelajar lain. Ibu bapa dan siapa saja akan gembira serta bahagia dengan keputusan cemerlang itu. Apa yang dapat dipelajari daripada kisah kejayaan itu? Ternyata kejayaan yang diraih adalah daripada perancangan kehidupan seharian dan istiqamah dengan apa yang dirancangkan. Begitulah sunnatullah. Masa adalah kehidupan dan ia tidak akan menunggu sesiapa. Kejayaan dalam kehidupan ini mengikut perancangan masa kita.

Adakah kita akan membiarkan masa berlalu dan usia meningkat tanpa apa-apa perancangan? Insya-Allah jawapannya tidak.

Islam menyarakan ibu bapa membuat perancangan untuk anak sejak mereka dalam rahim. Hal ini agar anak itu lahir dengan sihat dan sempurna. Emosi dan kesihatan ibu harus diberi keutamaan ketika mengandung. Ibu bapa juga hendaklah beramal soleh, mudah-mudahan anak itu akan menjadi anak soleh. Seterusnya, mencontohi ibu bapa yang soleh.

Ibu bapa perlu membuat perancangan pendidikan anak. Mereka harus mencari jalan agar anak boleh mendapat pendidikan sempurna, untuk dunia dan akhirat. Sampai masanya, anak sendiri mesti merancang bagaimana mereka boleh berjaya dalam kehidupan di dunia dan menyediakan tempat yang baik di akhirat kelak.

Mereka perlu merancang bagaimana untuk terus maju dalam kehidupan ini, di samping menyediakan bekalan secukupnya untuk alam akhirat yang kekal abadi.

Dengan kesedaran ini ramai yang membuat ‘azam baru’ setiap kali tahun baru. Bukan sedikit daripada mereka yang hanya mempunyai azam yang tidak kesampaian. Bagaimana pula kita hendak mengelakkan perkara ini daripada berlaku?

Steven Covey, seorang pakar motivasi terkenal mengatakan satu daripada tujuh ciri manusia yang berkesan adalah sentiasa membuat perancangan. Beliau mengatakan orang yang ada perancangan seperti juruterbang yang mempunyai matlamat tepat sebagai destinasinya serta laluan yang dicarta untuk sampai ke destinasi itu.

Seorang juruterbang tidak akan sesekali mengubah destinasinya melainkan ada keperluan yang amat penting untuk berbuat demikian. Dalam keadaan biasa, dia akan tetap menuju ke sasarannya mengikut laluan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, ada kalanya cuaca yang kurang baik atau halangan dan masalah lain dalam perjalanan mungkin memaksanya membuat lencongan dari laluan asal, tetapi dia tetap menuju ke sasaran destinasinya.

Begitu juga kita sebagai manusia yang diciptakan Allah, tidak sunyi daripada sifat lupa, lalai, malas dan sebagainya. Sesekali, kita akan mendapati diri kita terkeluar daripada laluan ke arah matlamat ditetapkan.

Contohnya, seorang pelajar mungkin tidak menghabiskan masa secukupnya untuk mengulang kaji pelajaran dalam perancangannya untuk cemerlang peperiksaan.

Begitu juga dalam perancangan untuk membina keluarga berjaya, ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya mungkin mendapati tidak menghabiskan masa secukupnya untuk anak seperti mereka mahukan.

Seseorang mungkin mendapati dirinya tidak bangun untuk mengerjakan solat malam dan membaca al-Quran seperti yang dirancangkan. Ia tidak akan menjadi persoalan besar jika kita cepat-cepat pulang ke pangkal jalan dan menuju semula ke sasaran asal.

Bagaimanapun, jadikanlah menghisab dan muhasabah diri sebagai amal harian. Hal ini kerana ia dapat membantu kita menyimpang jauh dari laluan yang dirancangkan dan agar tidak terlambat ke destinasi yang dituju.

Sebaliknya, jika seseorang itu tidak mempunyai perancangan, dia akan terus hanyut dan lupa matlamat hidup ini. Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat Islam Malaysia hari ini. Ibu bapa tidak jelas peranan dan matlamat hidup mereka, selain membesarkan anak dalam keadaan sebaik mungkin.

Dengan itu, lahirlah anak yang langsung tidak tahu bahawa hidup ini ada matlamat dan tujuan. Antaranya memastikan kesejahteraan sesama manusia serta memelihara kesejahteraan bumi dan alam ini. Begitu juga menyiapkan bekalan diri masing-masing untuk alam seterusnya.

Cara untuk mencapai matlamat dan tujuan hidup ini juga diberi Islam berpandukan al-Quran dan sunnah. Tanpa hala tuju jelas, orang Islam sendiri akan tercari-cari dan terikut-ikut cara hidup yang dipelopori tamadun Barat yang jelas menuju kehancuran.

Masyarakat tertanya-tanya mengapa semakin banyak masalah di dunia hari ini. Semakin banyak masalah sosial, penyakit, pencemaran dan seribu satu masalah lagi. Jawapannya jelas, apabila orang Islam sendiri tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan dan sunnah sebagai ikutan. Begitu juga tidak mengajak manusia lain kepada cara hidup yang dianjurkan oleh Islam, dunia ini tidak akan aman.

Marilah kita sama-sama menilai semula diri kita. Bagi yang belum membuat apa-apa perancangan, mulalah berbuat demikian. Tidak ada perkataan ‘terlambat’ dalam memulakan sesuatu yang baik untuk kehidupan.

Bagi yang sudah ada perancangan, lihatlah sama ada anda berada di atas laluan betul dan ke arah matlamat yang dituju. Lakukanlah segala-galanya dengan hati ikhlas, berlandaskan al-Quran dan sunnah, dengan matlamat mencapai keredaan Allah.

Renungi firman Allah bermaksud: “Demi Masa. Sesungguhnya manusia sentiasa berada dalam kerugian. Melainkan orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah ak-Ashr, ayat 1-3)

  • PENULIS ialah pengarah syarikat dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com. Jawapan terhadap permasalahan boleh layari www.wanitajimceria.blohspot.com.
  • Wednesday, March 09, 2005

    Lagu kanak-kanak klasik asas pembentukan sahsiah

    Lagu kanak-kanak klasik asas pembentukan sahsiah
    Oleh Rosnah Ahmad
    ARWAH ibu gemar memdodoi anak-anaknya dengan zikir dan menyanyikan lagu kanak-kanak klasik Melayu yang penuh dengan mesej dan aksi. Kini, saya turut melakukan perkara sama kepada anak-anak mengikut tahap perkembangan mereka. Guru dan pengasuh yang bekerja di taska, pusat jagaan dan tadika saya juga diminta menggunakan cara sama kepada kanak-kanak dalam jagaan mereka.

    Arwah ibu kerap menyanyi ‘cak cekur udang gamit, minta cekur bagi kunyit’. Lagu ini dinyanyikan apabila anak sudah boleh membuka dan menutup tangan pada sekitar usia tujuh bulan. Anak diajar untuk membuka dan menutup tangannya mengikut lagu yang dinyanyikan. Ia sebenarnya membantu menguatkan otot-otot jari dan tangan anak. Kemudian anak dengan sendirinya akan menggayakan tangannya setiap kali lagu ini dinyanyikan. Ia adalah kegiatan yang menggembira dan meningkatkan keyakinan diri mereka.

    Apabila pandai menggunakan jari telunjuk sekitar usia sembilan bulan, arwah ibu suka menyanyikan lagu:Tun-tun nukut,Nukut dalam cupak, Mana tikus mondok, Menyorok bawah ketiak.Lagu ini digayakan anak dengan mengetuk-ngetuk satu jari telunjuk ke tapak tangan yang satu lagi. Apabila habis lagu dinyanyikan, ibu akan menggeletek bawah ketiak anak supaya berasa geli dan ketawa. Pada peringkat ini anak juga diajar menepuk tangan dengan lagu Tepuk Amai-Amai.Apabila anak bertatih belajar berjalan lagu berikut dinyanyikan:Tak teh kayu api, Sudah letih jalan lagi. Lagu lain yang dinyanyikan oleh arwah ibu, termasuk Buai Laju-Laju, Rasa Sayang, Tom Tom Bak, Air Pasang Dalam, Enjit-Enjit Semut, Lompat Si Katak Lompat dan Tebang Tebu.

    Lagu kanak-kanak Melayu klasik mengandungi mesej berserta aksi atau pergerakan kreatif, yang menyumbang kepada perkembangan menyeluruh dan pembentukan sahsiah generasi kita sejak turun-temurun. Lagu ini juga banyak membawa mesej positif dalam diri anak iaitu mesej Islam, taat kepada Allah, nasihat, nilai moral tinggi, taat kepada ibu bapa, menyemai rasa kasih sayang dan mencintai keindahan alam. Doa dan harapan ibu bapa terhadap anak banyak diselitkan dalam lagu ini.

    Malangnya, lagu ini semakin dipinggirkan. Kanak-kanak dan lagu memang tidak boleh dipisahkan. Ia adalah asas untuk mereka melihat, mendengar, bertutur, bergembira dan meneroka anggota badan serta alam sekeliling melalui seni, muzik, pergerakan dan kreativiti. Dari sini, keyakinan diri mereka akan terbentuk. Mereka seterusnya, akan menjadi anak yang riang, mudah bergaul dan belajar.Lagu yang sesuai untuk kanak-kanak peringkat awal adalah lagu beraksi, permainan berlagu, lagu yang menggunakan perkataan yang mudah dan selalu diulang. Lagu yang tidak bermakna juga boleh digunakan.

    Zikir dan lagu klasik Melayu menepati ciri itu. Ia juga membolehkan kanak-kanak mengenali dan menghargai budaya agama dan bangsa kita. Lagu dan pergerakan kreatif juga penting dalam menyampaikan sesuatu maksud kepada perkataan atau arahan yang diberi kepada anak. Setiap arahan perlu tepat, jelas dan disertakan dengan aksi yang menyerlahkan maksud perkataan supaya mesejnya sampai. Contohnya, permainan berlagu seperti Lompat Si Katak Lompat dapat mengajar anak pergerakan yang dikaitkan dengan perkataan melompat. Aksi melompat dengan tinggi, menggalakkan perkembangan fizikal dan membantu anak mengenali konsep rendah dan tinggi.Perkembangan akal kanak-kanak ditingkatkan melalui permainan berlagu, terutama lagu yang menggunakan gerak tangan.

    Saya sangat suka lagu Air Pasang Dalam yang banyak menggunakan pergerakan tangan menyilang yang sangat baik untuk meningkatkan potensi otak kanan dan kiri. Aksi lagu ini juga dimainkan dua berkumpulan. Ia baik untuk perkembangan emosi dan sosial anak.Banyak juga lagu yang berunsur teka-teki, mengenal abjad dan matematik yang baik untuk minda anak. Permainan berlagu Mak-Mak Pergi Pasar, contohnya, mengasah kemampuan anak untuk mengenal dan mengeja warna.Kegiatan nyanyian beraksi dapat meningkatkan kecerdasan kanak-kanak.

    Anak kecil yang aktif menunjukkan bahawa dia akan membesar menjadi anak cergas. Ia seperti sabda Rasulullah saw bermaksud:“Keaktifan anak pada masa kecil akan menambah kecerdasannya ketika dewasa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)Sebagai ibu bapa, kita juga mesti memahami bahawa kanak-kanak gemarkan nyanyian dan pergerakan. Mereka banyak belajar melalui nyanyian dan permainan. Ada ibu bapa yang agak malu untuk menyanyi dan melakukan aksi lagu bersama anak-anak. Sikap ini mesti dikikis dan digantikan dengan sikap memupuk minat berkreatif melalui zikir, nasyid dan nyanyian.

    Setiap aksi mesti dimulakan oleh ibu bapa kerana anak suka meniru. Ia adalah antara kegiatan masa berkualiti yang harus dilakukan setiap hari bersama anak-anak supaya mereka gembira, dihargai dan disayangi.

    PENULIS ialah seorang pengusaha taska dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com. Jawapan terhadap permasalahan di ruangan ini boleh dilayari wanitajimceria.blogspot.com.

    Wednesday, March 02, 2005

    Kemahiran keibubapaan panduan didik cahaya mata

    Kemahiran keibubapaan panduan didik cahaya mata
    Oleh Nazilah Mohamad

    AIMAN, 3, mula melakukan pelbagai perkara yang menggugat kesabaran ibu bapanya sebaik kelahiran adiknya.
    Jika dulu, ibu menegur atau memarahinya hanya dengan perkataan, nasihat dan belaian. Kini, ada kalanya teguran
    secara fizikal mula diterimanya. Pada mata ibu bapa perubahan itu tidak menggambarkan berkurangnya
    kasih sayang. Namun, di hati Aiman yang masih kecil, tetap memberi kesan yang tidak mudah dilupakan.
    Apa yang diterima Aiman hari ini dan mungkin beberapa tahun berikutnya boleh memberi kesan besar, tanpa disedari oleh ibu bapanya. Contohnya, seorang murid saya berumur lapan tahun diketuk jarinya dengan pen kerana tidak menyiapkan kerja sekolah, berkata: “Cikgu, di rumah, ayah saya pukul dengan tali pinggang.” Tentulah saya tidak akan menggunakan tali pinggang untuk membolehkannya membuat kerja. Namun, sebagai guru, saya mesti mencari cara terbaik untuk mengatasi masalah ini. Pada masa sama membantunya berdisiplin bukan melalui kekerasan.Nabi Muhammad saw mendidik seseorang pada zamannya dengan banyak mengguna dan mengutamakan pendekatan lemah lembut dan penuh dengan kasih-sayang. Antara langkah atau tahap mengajar, sebelum memukul adalah:
    · Beritahu dan sebutkan secara terus terang perkara yang dibuat itu salah.
    · Tunjukkan cara yang betul.
    · Memujuk dengan cara lemah lembut dan berhikmah atau kreatif.
    · Menggunakan isyarat.
    · Mencela keburukan perangai (bukan kekurangan diri untuk tujuan menghina dirinya).
    · Memulau atau tidak mempedulikannya dalam jangka waktu tertentu.Pilihan terakhir adalah memukul atau merotan. Tindakan ini diambil selepas kaedah di atas tidak berkesan. Menghukum dengan memukul atau merotan mesti menggunakan kaedah atau cara pukul yang diizinkan dalam Islam. Antara kaedah memukul yang diizinkan oleh Islam adalah:
    · Memukul atau merotan hanya dibenarkan kepada anak yang berumur 10 tahun ke atas. Sabda Rasulullah bermaksud: “Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah jika mereka enggan apabila berumur 10 tahun.” Ada tempat yang haram dipukul, umpamanya muka dan pula bahagian yang sensitif dan boleh mencederakan seseorang.
    · Guru atau ibu bapa membetulkan niat memukul semata-mata untuk mendidik dan membetulkan keadaan atau sifat tercela, bukan untuk mendera atau melepaskan perasaan geram dan marah.
    · Jika dalam keadaan marah dan panas, ambil langkah untuk meredakan perasaan marah dulu, dengan mengubah posisi diri. Contohnya, bagi yang sedang berdiri hendaklah duduk dulu atau yang sedang duduk perlu berdiri atau baring. Atau keluar dari bilik atau bilik darjah sebentar. Ambil wuduk, solat sunat, kemudian baru pukul dengan membaca doa dan selawat (untuk kesejahteraan anak) dan memukul dengan nama Allah. Pakar psikiatri dari Hospital Kota Bharu, Kelantan, Dr Khairi Che Mat dalam kajian fisiologi rangsangan saraf ke otak menunjukkan bahawa keputusan dan tindakan ketika marah adalah tidak rasional. Selalunya adalah sembrono dan lebih memudaratkan perasaan dan mental anak-anak.
    · Jangan sekali-kali meninggalkan konsep ‘mendidik’. Pesan Rasulullah: “Hendaklah kamu mengajarkan mereka dan jangan berkeras. Sesungguhnya orang yang mengajar itu lebih baik daripada orang yang berkeras.”Dr Khairi juga menasihatkan agar ibu bapa/guru supaya memberikan maklum balas kepada setiap perbuatan anak sama ada betul atau salah.Jika perbuatan mereka betul, berikan dia ‘pengukuhan positif’ dalam bentuk pujian atau ganjaran. Jika salah, berikan ‘pengukuhan negatif’, seperti teguran atau hukuman. Jangan sampai, anak kita kata, ‘apa yang saya buat selama ini, semuanya salah’. Sebelum ini kita tidak pernah iktiraf atau memberi perakuan terhadap perbuatannya yang betul. Sebaliknya, kita hanya menegurnya jika perbuatannya salah. Jika keadaan ini (hanya menegur ketika salah laku) berterusan, anak-anak akan suka membuat perbuatan salah.Merotan walaupun cara terakhir dalam mendisiplinkan pelajar, kesan negatifnya pasti ada. Hampir semua ibu bapa akan malu, tercabar, geram atau marah apabila anak dihukum dan diperkatakan di hadapan orang lain. Ibu bapa, yang paling hampir dengan anak. Oleh itu, kitalah orang pertama yang perlu berasa bersalah. Bagaimanapun, tanggungjawab mencorak masa depan anak memang tidak terletak di tangan ibu bapa semata-mata. Pengaruh luar sama ada positif atau negatif tetap memainkan peranan besar. Ada antaranya tidak dapat ditangani, lalu memberi kesan buruk berpanjangan dalam kehidupan. Biar apapun alasannya, orang dewasa yang sebenarnya lebih banyak menentukan sama ada anak itu hanya perlu dibelai atau mesti dipukul bagi memenuhi tanggungjawab atau mendisiplinkannya.Jika diberi pilihan, pasti tiada ibu bapa normal, ingin memukul anaknya, apatah lagi membenarkan orang lain melakukannya. Faktor ‘kecerdikan emosi’ ibu bapa dan pendidik perlu diasah selalu:
    · Fitrah manusia berasa perlu dilindungi dan dikasihi untuk ketenangan akal fikiran dan jiwa. Demikian juga anak-anak, mereka memerlukan keprihatinan orang dewasa dalam setiap kegiatan kehidupan. Oleh itu, ibu bapa atau guru perlu mengemas kini pengetahuan dalam mendidik dan memanfaatkan bidang ilmu terkini dalam pendidikan anak.
    · Anak-anak perlukan peribadi contoh atau ‘role model’ untuk diikuti. Ibu bapa adalah peribadi terhampir dengan mereka, yang boleh menampakkan usaha, kesusahan dan pencapaian kepada anak. Pada masa sama datangkan padanya model terunggul untuk diikuti iaitu Rasulullah. Sampaikan kisah kehidupan Baginda yang telah diterima Timur dan Barat sebagai pemimpin, suami, bapa dan datuk terbaik.Bagindalah yang membentuk dan membelai cucunya, Hassan dan Hussin hingga terpahat menjadi teladan, sesuai dengan sabda Baginda bermaksud: “Hendaklah engkau berlaku lemah-lembut dan jauhkanlah daripada berkasar dan berkeras (perkataan dan perbuatan).”
    · Menghormati keperluan, kehendak dan perasaan anak adalah satu tanggungjawab. Namun, setiap kita mesti tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak. Keperluan mesti dipenuhi, namun kehendak tiada batasnya kerana ‘kehendak’ lebih berasaskan kepada nafsu. Kehendak dan kerenah perlu diubah suai supaya boleh menjadi bimbingan.
    · Ibu bapa hendaklah menerima anak-anak seadanya tanpa syarat, dengan segala kebaikan dan keburukannya, kebolehan dan kekurangannya. Ibu bapa juga mesti belajar menerima dan mengiktiraf perasaan dan pandangan anak walaupun ia bercanggah dengan pandangan mereka.Jangan sekali terlalai untuk memberi pujian dan menghargai perlakuan baik anak kerana itu akan menjadi insentif nombor satu dan ingatan bermakna, meskipun tanpa hadiah yang dinilai dengan wang ringgit.
    · Pasti ada kalanya anak melakukan kesilapan. Ambillah kesilapan sebagai pengajaran dan permulaan menuju kejayaan. Sentiasa ingatkan diri bahawa Islam tidak menggalakkan kekerasan. Dalam mendidik atau menasihati anak, ibu bapa disuruh menggunakan cara yang lembut dan ringan terlebih dulu dan beransur-ansur bertukar kepada yang lebih berat sekiranya tiada perubahan. Perlu diingat bahawa ibu bapa adalah orang yang paling tahan ujian, sabar dan bertawakal kepada Allah ketika mendidik, apatah apabila mengalami kegagalan dalam membentuk anak yang diharap-harapkan.
    · Memahami perkembangan emosi anak. Anak-anak menunjukkan pelbagai ragam yang sebahagiannya menggugat kesabaran. Emosi negatif anak mesti ditangani dan dibelai dengan ilmu. Usaha berterusan perlu untuk menjauhkan mereka daripada terus terbawa-bawa tingkah laku demikian hingga besar dan mempengaruhi sikap mereka. Kepincangan dalam perkembangan emosi boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan, terutama dari segi mental.Apabila mental mereka terjejas, punahlah harapan ibu bapa untuk menatang anak cergas yang berjaya.
    · PENULIS ialah guru dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan sebarang jawapan permasalahan boleh layari wanitajimceria.blogspot.com