Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, May 25, 2005

Persatuan belia perluas persaudaraan sesama Islam

Persatuan belia perluas persaudaraan sesama Islam
Oleh Roha Hassan
REMAJA atau belia adalah kelompok besar dalam masyarakat Malaysia yang berjumlah 24 juta orang. Mengikut perangkaan 9.8 juta rakyat Malaysia berusia 15 hingga 40 tahun. Daripada jumlah ini pula, 46 peratus berusia 15 hingga 24 tahun.
Menurut perangkaan Jabatan Belia dan Sukan, daripada 9.8 juta golongan muda di Malaysia, hanya 2.9 peratus yang membabitkan diri dengan persatuan atau organisasi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ia bermaksud ada tujuh juta daripada golongan ini yang tidak berpersatuan. Daripada jumlah tujuh juta ini, 5.5 juta berusia antara 15 hingga 25 tahun. Pada masa ini, ada kira-kira 7,000 persatuan atau organisasi belia di seluruh Malaysia. Angka itu mengetuk minda ini untuk mengajak kita semua sama-sama berfikir. Hari ini, meskipun banyak persatuan remaja dan belia, jumlah mereka yang tidak membabitkan diri dengan persatuan masih ramai. Membabitkan diri dengan persatuan atau organisasi belia sama ada badan kerajaan atau NGO adalah sesuatu yang penting. Banyak kebaikan atau faedah yang boleh diperoleh apabila berpersatuan atau berorganisasi. Antaranya:
Mengajak diri sendiri dan masyarakat ke arah amar makruf dan nahi mungkar.Firman Allah bermaksud: “Kamu ialah umat terbaik yang dilahirkan kepada manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 110)
Meningkatkan kemahiran interpersona dan interpersonal remaja dan belia. Menerusi berpersatuan, banyak ilmu yang boleh diperoleh. Antaranya pengetahuan berbentuk soft skill. Contohnya, kemahiran berkomunikasi, pengucapan awam dan membuat keputusan. Begitu juga kemahiran dalam bidang teknikal seperti menggunakan komputer dan membaiki kenderaan.
Membangunkan konsep kendiri yang mantap dalam diri golongan muda.Dengan berpersatuan mereka diberikan amanah yang perlukan komitmen ikhlas dan berterusan. Mereka belajar melakarkan agenda, membuat keputusan, melaksanakan program serta melakukan pemantauan. Gerak kerja ini akan memantapkan sikap kendiri mereka secara langsung dan tidak langsung.
Disiplin pula adalah satu nilai yang diperlukan oleh kepemimpinan atau ahli persatuan dan organisasi. Bermula dengan remaja/belia yang biasa, mereka akan terlatih dengan ciri disiplin mantap apabila mula diberikan tugasan atau amanah. Kita maklum hanya mereka yang berdisiplin mampu menyelesaikan amanah yang diberikan dengan baik.
Mengisi masa lapang dengan perkara ibadah dan berfaedah. Memandangkan cabaran dalaman dan luaran yang sentiasa mengunjungi kita, terutama pada usia muda, semestinya kita penuhkan masa dengan kegiatan bermanfaat. Ia juga membuka ruang untuk mengumpul pahala sebanyak mungkin. Antaranya membantu mereka yang memerlukan pertolongan dan bantuan seperti membantu golongan miskin dan kurang upaya, melakukan kerja gotong-royong di rumah kebajikan orang tua, anak yatim, hospital atau menyiapkan rumah untuk golongan fakir miskin. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah dan engkau menolong seseorang menaiki tunggangannya atau engkau menolong mengangkat baginya barang ke atas tunggangannya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. Pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah."
Membuka peluang untuk menyumbang idea, tenaga dan harta kepada masyarakat dan negara dengan cara tersusun dan terancang.
Berpersatuan turut membuka peluang untuk remaja dan belia meluaskan jaringan persaudaraan. Ramai rakan dan kenalan baru dapat ditemui menerusi pelbagai kegiatan yang dijalankan dalam persatuan. Contohnya, program keluarga angkat memberikan peluang kepada remaja mendapat keluarga baru. Program pertukaran remaja/belia peringkat Asean akan membuka peluang remaja negara kita mengenali rakan sebaya dari negara lain.
Meningkatkan kesihatan fizikal, mental, kerohanian dan emosi. Contohnya adalah seperti:a. Fizikal. Menerusi sukan seperti badminton, bola sepak dan futsal.Kegiatan luar dan lasak seperti perkhemahan, mendaki gunung dan berkayak.Rasulullah bersabda bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.” b. Mental.Meningkatkan keyakinan diri dengan pelbagai kegiatan keilmuan dan keagamaan seperti seminar kekeluargaan, forum kerjaya dan kuliah agama.c. Kerohanian.Menerusi pelbagai kegiatan seperti bersolat jemaah, pendidikan keagamaan, membaca al-Quran, qiyamulail, kegiatan sambil melihat alam dan memuji Ilahi. Menjaga ibadah dan akhlak dalam setiap program yang dianjurkan mampu menjana rohani bersih dan tunduk kepada Maha Pencipta yang Maha Agung. d. Emosi.Tubuh cergas, mental sihat dan kerohanian tenang mampu mengawal emosi remaja/belia. Emosi mereka menjadi lebih bijak. Tindak tanduk dan keputusan mereka menjadi lebih matang.Memandangkan begitu banyaknya faedah yang boleh diperoleh oleh golongan remaja/belia apabila berpersatuan atau berorganisasi, diharapkan semakin ramai remaja/belia terbabit dengan pelbagai persatuan dan organisasi yang membawa kebaikan dalam hubungan dengan Tuhan, insan dan alam.PENULIS ialah Ketua Kelab Remaja (Puteri) dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan terhadap permasalahan berkaitan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

Wednesday, May 18, 2005

Guru gigih, murid soleh pencetus sekolah cemerlang

Guru gigih, murid soleh pencetus sekolah cemerlang


PADA 1 Mei lalu, anak saya berumur 12 tahun dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Besar Kuala Lumpur kerana disyaki menghidap meningitis yang membahayakan. Doktor mengatakan untuk membunuh kuman itu sepenuhnya, anak saya perlu diberikan rawatan suntikan I/V antibiotik selama 10 hari. Berderau hati saya.

Perasaan ngeri menyelinap dalam sanubari apabila mendengar penjelasan doktor. Kebimbangan ini berasas. Saya sebenarnya sangat fobia dengan penyakit ini. Hal ini kerana seorang anak saudara (kini berumur 16 tahun) menjadi pekak dan bisu kerana meningitis ketika berumur sembilan bulan (beliau dilahirkan normal). Kemudian anak seorang sahabat meninggal dunia selepas diserang penyakit itu tahun lalu.

Selama 10 hari dalam wad menunggunya, anak saya menerima banyak kunjungan daripada kawan sekelas, teman sekolah, guru, ibu pada dan rakan saya. Mereka berdoa untuknya, membawakan hadiah dan bercerita serta memberikan harapan kepadanya.

Kalau dicongak-congak, saya melihat anak saya ialah pesakit yang paling ramai menerima tetamu atau pelawat. Ada antara ibu bapa dan guru yang tidak berkesempatan menziarahi anak saya, menelefon dan menghantar sistem pesan ringkas bertanya khabar dan mengirim doa agar dia sembuh.

Saya bersyukur apabila mendapat tahu guru besar dan pengurusan sekolah membuat program solat hajat khusus untuknya. Solat hajat itu mendapat kerjasama yang cukup baik daripada semua ibu bapa dan kakitangan sekolahnya. Ada seorang bapa menulis dalam e-group sekolah: “Saya belum pernah melihat sekolah yang sebegini prihatin terhadap muridnya!”

Alhamdulillah, 10 hari kemudian anak pulih dan bersekolah seperti biasa. Saya melihat ini adalah satu rahmat daripada Allah berkat doa dan kerjasama erat antara sekolah, murid dan ibu bapa. Maka, saya tidak hairan jika pada tahun lalu, sekolah ini mencatatkan rekod cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Kerjasama erat dan penuh ukhuwah antara sekolah dan ibu bapa jelas terpampang pada Hari Guru yang jatuh pada Isnin lalu. E-group sekolah itu penuh dengan ucapan ucapan tahniah dan terima kasih yang ditujukan khusus buat guru daripada murid, bekas murid dan ibu bapa.

Apa yang menarik adalah jawapan guru besar sekolah itu. Beliau mengatakan bahawa wawasan sekolah berjalan di landasan yang betul bersesuaian dengan tema Hari Guru di sekolahnya – Guru yang gigih, murid yang soleh dan sekolah yang cemerlang.

Guru gigih memenuhi kriteria berikut:-

l Berilmu. Sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dan keilmuan bagi memantapkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

l Berkemahiran. Berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan skil pengajaran, membimbing dan membentuk anak-anak.

l Tahap profesionalisme yang meningkat, mengubah dan membentuk sikap terpuji.

l Berpersonaliti (prihatin dan penyayang) dan berketrampilan.

Pelajar soleh pula dapat memenuhi kriteria berikut:-

l Akidah sejahtera.

l Ibadah yang sahih dan diterima Allah.

l Akhlak mantap.

l Ilmu pengetahuan yang meningkat.

l Keterampilan diri terpuji.

Sekolah cemerlang adalah sekolah yang mempunyai ciri berikut:-

l Pengurusan cekap.

l Kewangan mantap.

l Suasana keIslaman terpelihara.

l Pembinaan sahsiah terlaksana.

l Proses pengajaran dan pembelajaran baik.

l Pencapaian akademik meningkat.

l Peraturan dihormati.

l Keselamatan dan keceriaan diutamakan.

l Kerjasama padu semua pihak.

Sempena Hari Guru tahun ini, eloklah hayati sajak bertajuk Guru Oh Guru karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr Usman Awang.

Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa,

Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,

Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,

Jika hari ini seorang ulama yang mulia,

Jika hari ini seorang peguam menang bicara,

Jika hari ini seorang penulis terkemuka,

Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.



l PENULIS boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan terhadap sebarang persoalan boleh layari www.wanitajimceria.blogspot.com

Wednesday, May 11, 2005

Warkah buat Ibu

Warkah buat ibu
Oleh Siti Salma Wahiddudin
ASSALAMUALAIKUM warahmatullahi wabarakatuh.

Menemui bonda yang dikasihi, semoga sentiasa dalam kesejahteraan dan limpah rahmat kasih sayang-Nya. Anakanda doakan mudah-mudahan dirimu terus tegar dan tabah dalam menghadapi keperitan dan ranjau kehidupan yang kian mencabar. Selamat Hari Ibu.

Bonda tersayang,Sesungguhnya tiada kata yang dapat anakanda lafazkan. Tiada lukisan yang dapat dilakarkan dan tiada tulisan yang dapat dititipkan untuk melahirkan rasa penghargaan buatmu ibu, melainkan rasa kesyukuran setinggi-tingginya kerana dikurniakan ibu seperti mu. Sedar tidak sedar, kini usiaku menjangkau 20 tahun. Tidak dapat kugambarkan betapa keperitan yang ibu rasakan ketika bertarung nyawa melahirkanku. Ibu berkorban segala jiwa dan raga demi melihat sinar hidup anakmu. Hanya Dia yang layak membalasnya.

Bonda,
Seketika aku terkenang firman Allah bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah. Mengandungnya hingga berpisah selama 30 bulan sehingga apabila dia dewasa dan umurnya menjangkaui 40 tahun, dia berdoa:

Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau berikan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku dan supaya aku beramal soleh yang Kau redai. Berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada zuriatku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk dalam golongan orang yang berserah diri."Firman-Nya lagi: "Mereka itulah orang yang kami terima daripada mereka amalan kebaikan yang mereka kerjakan dan Kami ampunkan kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai janji benar yang telah dijanjikan kepada mereka." (Surah al-Ahqaf, ayat 15 hingga 16)Aku terharu.

Tanpa disedari, air bergenang di kelopak mataku. Betapa tingginya kedudukanmu di sisi Tuhan. Betapa mulianya tugasmu ibu hingga disebutkan dalam al-Quran. Betapa Dia menjanjikan keampunan dan syurga buat mereka yang mentaati ibu bapa. Dalam ayat lain pula, firman-Nya bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menderita kelemahan atas kelemahan dan berpisah (melahirkan) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu." (Surah Luqman, ayat 15)Nabi Muhammad SAW juga amat memuliakan diri insan bergelar ibu. Sabda Baginda bermaksud: “Telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah, lalu dia bertanya: Siapakah orang yang paling layak untuk aku berbuat baik? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa? Jawab Baginda: Bapamu.”(Muttafaqun 'alaih)Urwah, sahabat Rasulullah berkata: "Tunduklah kamu di hadapan ibu bapamu sebagaimana tunduknya seorang hamba abdi di hadapan tuannya."Kata Atha' bin Rabah: "Janganlah kamu mengangkat tangan apabila sedang bercakap dengan kedua-dua ibubapamu."

Imam Hassan al-Banna berkata: "Hendaklah si anak itu bercakap kepada orang tuanya: Wahai ibu! Wahai ayah! Dan jangan sesekali memanggil dengan menyebut nama mereka."

Apabila dikenang kembali waktu kecil, hatiku sering memberontak lantaran rasa kebebasan diri disekat. Tidak seperti orang lain yang mudah memperoleh apa saja yang diinginkan. Namun, kini aku sedari bahawa tindakanmu ibu, bukan untuk menyakiti diriku, bukan juga untuk mendera. Jauh sekali untuk membalas dendam terhadap apa yang pernah ibu rasakan.

Tindakan itu untuk mendidik diriku menjadi seorang insan yang bakal berjuang untuk agama, keluarga, bangsa dan negara. Terima kasih ibu, ayah.Namun ibu, aku berduka cita melihatkan fenomena dunia kini. Tamadun manusia semakin meningkat, kemajuan di sana sini, namun hakikatnya jiwa dan rohani mereka kian mundur. Demi mengejar kemajuan kebendaan dan mengagungkan nafsu menyesatkan, mereka sanggup mengetepikan arahan Tuhan.

Bukankah Dia Yang Maha Mulia memerintahkan agar sekalian manusia berlaku ihsan terhadap ibu bapanya yang bersusah payah melahir dan membesarkannya? Bukankah Dia memberi amaran keras terhadap mereka yang mengabaikan kedua-dua ibu bapanya? Lupakah mereka pada kisah Alqamah, sahabat Rasulullah yang menghadapi kesulitan untuk mengucap syahadah ketika ajal menjemput lantaran mengutamakan isteri melebihi ibunya?Apakah manusia tidak ingin mengambil iktibar terhadap kisah pemuda yang diselamatkan Allah daripada terperangkap dalam gua hanya kerana bakti dan pengorbanan terhadap kedua-dua orang tuanya? Adakah mereka sangka bahawa mereka dapat membalasnya dengan nilaian wang dan harta?

Duhai ibu, semoga Allah melindungi diriku daripada bersifat sebegitu. Ibu, sampaikan salam hormatku buat sekalian sahabatmu. Anakmu yang kerdil ini mendoakan agar ibu sekalian dikurniakan ketabahan seperti tabahnya Maryam, ibu Nabi Isa. Allah memilihnya untuk dipertanggungjawabkan dengan amanah sebagai seorang ibu, meskipun tanpa kehadiran suami. Begitu juga kepahitan yang dirasakan oleh bonda Rasulullah, Aminah binti Abdul Wahab ketika dibawa berita gembira mengandungkan Baginda, suami tercinta pula dipanggil mengadap Yang Esa. Ketabahan dan keutuhan peribadi mereka akhirnya melahirkan peribadi unggul, insan pilihan yang membawa manusia kepada Penciptanya.

Ibu tercinta, anakanda memohon keampunan atas segala kesalahan dan keterlanjuran yang dilakukan selama ini dalam sedar atau tidak. Ketahuilah ibu, sesungguhnya anakmu ini tidak ingin melukai hati suci ibu. Anakanda tidak ingin menjadi seorang anak derhaka. Ibu, anakanda akan berusaha menjadi seorang anak terbaik buat ibu dan ayah, contoh cemerlang buat keluarga. Doakan anakmu ini berjaya mencapai cita-cita, dan menjadi penyejuk hati kedua-dua ibu dan ayah. Sebelum berundur, dari jauh anakanda titipkan petikan kata-kata nasyid ini buat mu.Ibu...Bergenang air mataku.

Terbayang wajahmu yang redup sayuRestumu dan kasihmu kuharapkanKerana di situ letak syurgaku.Ibu...Kau ampunilah dosakuAndainya ku pernah menghiris hatimuKasihanilah Wahai Tuhan…Ibu yang telah melahirkan dirikuDengan kepayahan sewaktu kecilkuMoga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana...

PENULIS ialah pelajar jurusan Bahasa Arab di Universiti Al Bayt, Jordan dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan terhadap persoalan boleh layari www.wanitajimceria.blogspot.com

Wednesday, May 04, 2005

Umat Islam dilarang tiru budaya Kristian, Yahudi

Umat Islam dilarang tiru budaya Kristian, Yahudi

Oleh Roha Hasan
'Remaja, terutama Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap kita memiliki keunikan tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Allah.'



PERNAHKAH anda memandang wajah di cermin, kemudian berasa rendah diri kerana merasakan wajah tidak secantik rakan lain. Hidung tidak semancung artis pujaan. Kulit tidak secerah gadis jiran sebelah rumah?

Pernahkah anda berasa ketinggalan dari sudut fesyen rambut, cara penampilan dan berpakaian serta cara bercakap dan berjalan berbanding teman sebaya?

Pernahkah anda tersinggung kerana melihat teman karib memiliki teman lelaki. Pernahkah anda merasakan diri serba kekurangan kerana tiada buah hati?

Pernahkah anda berasa tidak pergi ke disko atau tidak mengambil pil khayal untuk mengubat kerunsingan itu sesuatu yang ketinggalan zaman?

Semua yang disenaraikan di atas sebenarnya bukan satu senario luar biasa. Ia perkara biasa di kalangan remaja masa kini.

Kajian Prof Dr Azimi Hamzah dari Universiti Putra Malaysia berkaitan remaja dan belia menunjukkan bahawa 68 peratus remaja berusia 15 hingga 19 tahun menyukai pakaian trendy berbanding 16.1 peratus yang menggemari pakaian tradisional.

Kajian juga menunjukkan 43.1 peratus menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan berbanding 38 peratus menjadikan ibu bapa sebagai rujukan. Sementara, 14.8 peratus menjadikan disko sebagai tempat mencari hiburan.

Kajian juga menunjukkan 31.7 peratus adalah perokok dan 13.6 peratus ketagih alkohol. Sementara, 25.2 peratus menganggap agama tidak penting. Kajian ini bukan saja petanda kepada keadaan kecelaruan remaja hari ini, malahan kecenderungan untuk terpengaruh dengan budaya bercanggah dengan agama melanda dengan hebat remaja kita. Malah, ramai remaja juga menganggap agama tidak penting.

Remaja, terutama Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap kita memiliki keunikan tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Allah.

Dalam bukunya La Tahzan atau tajuknya dalam penerbitan terjemahan bahasa Melayu Jangan Bersedih – Don’t Be Sad, ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni antara lain menulis:

“Jangan ikut-ikutkan, dengan kata lain, jangan mudah memakai dan meniru-niru ciri sahsiah orang lain. Kerana itu akan menjadi malapetaka yang tidak mudah diterima oleh jiwamu. Orang yang lupa dengan dirinya sendiri, suaranya, gerakan tubuhnya, ucapannya, kemampuannya, dan suasananya sendiri, kebanyakan akan meniru-niru budaya bangsa lain. Dan itulah yang disebut dengan latah, mengada-ngada, berpura-pura dan membunuh secara paksa jati dirinya sendiri.

“Ketahuilah bahawa diri anda adalah sesuatu yang lain daripada lain – unik. Tidak ada seorang pun yang menyerupai anda dalam catatan sejarah hidup ini. Belum pernah ada seorang pun yang diciptakan sama dengan anda. Tidak akan ada orang yang akan sama dengan anda sampai bila-bila pun. Keadaan anda betul-betul berbeza dengan orang lain. Oleh itu, jangan memaksakan diri untuk berbuat latah dan meniru-niru sahsiah orang lain. Tetap berpijak dan berjalan pada keadaan dan sahsiah anda sendiri.”

Sebagai umat mulia, remaja Muslim harus memiliki dan memelihara jati diri berasaskan apa yang diajarkan oleh al-Quran dan sunnah. Tidak salah untuk ikut dalam kemajuan zaman, sebab Islam amat menggalakkan umatnya berdaya maju dan menguasai teknologi pada zamannya. Namun, kita harus memiliki panduan dalam keghairahan untuk mengikut trend semasa sama ada dari sudut pakaian, perbuatan, cara hidup dan sebagainya.

Banyak panduan daripada Allah dan Rasulullah dalam persoalan mengekalkan jati diri sebagai seorang remaja Muslim.

Antaranya dari sudut pakaian. Islam menggariskan agar kita memastikan pakaian menutup aurat dan memenuhi tuntutan agama. Hal ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, bahawa Asma binti Abu Bakar masuk ke rumah Rasulullah dengan pakaian yang tipis, maka Rasulullah berpaling seraya bersabda bermaksud: “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita yang sudah baligh, maka tidak boleh dilihat tubuhnya kecuali ini dan ini dengan menunjuk wajah dan telapak tangan (sampai pergelangan).” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Allah berfirman bermaksud : “... dan wanita jangan menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang biasa nampak diperhiasan itu.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Selain itu, Rasulullah mengingatkan supaya tidak cenderung untuk menurut jejak langkah dan budaya orang Yahudi dan Nasrani dari segenap gaya hidup mereka. Sabda Baginda bermaksud: “Kamu telah mengikuti sunnah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau maksudkan itu ialah orang Yahudi dan orang Nasrani?” Baginda bersabda: “Kalau bukan mereka, siapa lagi?” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga semua ini sedikit sebanyak dapat menjadi panduan kepada remaja untuk berusaha mengekalkan jati diri sebagai seorang Muslim dalam arus perubahan dunia yang kadang kala melalai dan merosakkan.



PENULIS ialah ketua Kelab Remaja (Putri) dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan terhadap persoalan boleh layari www.wanitajimceria.blogspot.com