Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, October 29, 2003

Ibadah Ramadan perlu ceria, erat silaturahim

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

KEHADIRAN Ramadan yang kita lalui sekarang hendaklah disambut dan dipenuhi dengan amal soleh. Jangan biarkan Ramadan ini berlalu begitu saja tanpa dipenuhi dengan kegiatan atau amalan berfaedah yang mendapat keberkatan dan keredaan Allah. Kita perlu memanfaatkan kedatangan Ramadan sebaiknya dengan doa dan harapan amalan puasa dan ibadat lain diterima Allah. Suasana orang yang menyambut Ramadan berbeza. Ada yang gembira dan tidak sabar mengalu-alukan ketibaan Ramadan. Ada juga tidak ceria dengan kedatangannya kerana tidak terasa keseronokan dan kenikmatan berpuasa. Malah golongan ini terasa terseksa hidup dalam sebulan ini. Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiup angin al-Mutsiiratu dari Arasy dan menggerakkan daun-daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. “Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian bulan Ramadan yang sedang dilalui umat Islam. Kita harus bersyukur kerana dapat menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Semoga kita mendapat ketiga-tiga kelebihan itu. Bagi mereka yang ingin menjinakkan hati untuk merasakan keseronokan Ramadan, perlu dibuat beberapa inovasi dalam pengisian dan menghayati bulan mulia ini. Mungkin saranan amal Ramadan di bawah ini lebih praktikal untuk keseronokan berpuasa dan menggamit kegembiraan. Kita perlu mencipta suasana ceria dan menyeronokkan pada Ramadan agar jiwa tenang dan puas dengan amalan yang hanya sebulan ini. · Badan dakwah dan kebajikan atau organisasi Islam di setiap daerah menyediakan kain rentang dengan ungkapan mengalu-alukan Ramadan seperti ‘Ahlan Wa sahlan Ya Ramadan’ dan ‘Ramadan Karim, samalah kita merebut piala Ramadhan’. Jika sudah terlepas awal Ramadan, kita masih sempat membuatnya untuk menyambut hari raya seperti ‘Raya Tanpa Maksiat’. Mungkin di rumah kita boleh cipta suasana sebegini. · Hantar ucapan atau sistem pesanan ringkas (SMS) ‘Selamat Berpuasa’ kepada rakan. · Latih anak-anak kecil lima tahun ke atas untuk mula berpuasa. Berikan ganjaran dan galakan kepada mereka. · Galakkan iftar (buka puasa) secara berjemaah bersama ahli kariah dan rakan di surau atau bergilir-gilir di rumah ahli keluarga terdekat, jiran atau sahabat handai. Dengan cara ini, kita juga dapat merapatkan silaturahim sesama umat. · Galakkan menghantar juadah berbuka kepada jiran. Namun isteri atau kaum ibu jangan keterlaluan menyediakan juadah sehingga kepenatan. Ini akan menjejaskan tumpuan untuk melakukan ibadat seperti solat Tarawih. · Jemput rakan beriftar di rumah, pejabat atau tempat biasa kita berkumpul atau bertemu. · Bertadarus al-Quran bersama ahli keluarga di rumah atau rakan sepejabat ketika waktu rehat. Inilah peluang mendapatkan bekalan ruhiyah pada bulan mulia ini. · Galakkan bertadarus bersama isteri dan anak. · Tadabbur, telaah dan mengkaji isi kandungan al-Quran. Baca tafsir dan maknanya untuk meningkatkan ilmu dan iman. Al-Quran, pemberi panduan, pemisah antara hak dan batil, seterusnya membebaskan kita dan manusia daripada kesesatan. · Rajinkan diri bersolat jemaah Tarawih di surau dan masjid. Inilah peluang untuk menambah amalan solat dan meramaikan kenalan baru.. · Rajinlah berqiamullail di surau dan masjid. Kalau takut hendak buat seorang diri, ajak rakan dan ahli keluarga yang lain. · Setiap hari ringankan tangan untuk menghulur sedekah wang, walaupun RM1 dan harta (infaq) seperti sumbangan untuk tabung Palestin, tanah wakaf, sekolah, anak yatim, fakir miskin, tabung iftar di surau dan masjid. Derma kepada orang yang memerlukan dan galakkan anak menjadi dermawan dan suka menyumbang. · Iktikaf di masjid. Ini secara tidak langsung memberi peluang kita beruzlah dan fokus untuk mengenali diri dan menghampirkan diri kepada Pencipta kita, selepas setahun sibuk dengan dunia dan kehidupan. · Bersedia untuk ‘Kembara Ramadan’ pada 10 malam terakhir bersama kaum keluarga, rakan atau sekampung. Kembara Ramadan adalah ekspedisi untuk mengejar harta karun malam seribu bulan, Lailatul Qadar yang hanya berlaku sehari dalam setahun. Semoga puasa kali ini lebih baik daripada pada tahun sebelumnya. – wanitajim0@yahoo.co

Thursday, October 23, 2003

Kebajikan imbangi kekurangan ibadat

23/10/03
Kebajikan imbangi kekurangan ibadat
Oleh Sumilah Marto

KITA biasa dikejutkan dengan berita kematian secara tiba-tiba. Punca kematian juga berbeza-beza daripada penyakit kronik hingga kepada keadaan tanpa penyakit.

Malah ada yang meninggal dunia pada usia muda.


Ini sebenarnya tazkirah atau peringatan yang amat baik kepada seseorang mukmin. Dalam kesibukan dan keghairahan umat manusia mengejar kehidupan dunia, kita kadangkala lupa membuat persediaan bagi menghadapi kematian pada bila-bila masa.

Diriwayatkan daripada Abi Dunya dan At-Tabrani bahawa seorang lelaki bertanyakan kepada Rasulullah, mukmin manakah yang paling cerdik? Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persediaan mereka. Mereka itulah orang yang paling cerdik.”

Setiap mukmin dianjurkan untuk sentiasa memperbanyakkan amal ibadat dan melaksanakan kebajikan sebagai persediaan. Sehubungan itu, Rasulullah mengingatkan mukmin agar menggunakan masa sebaik mungkin.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Pergunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan: Pertama, pergunakanlah kesempatan sihatmu sebelum datang sakitmu. Kedua, pergunakanlah kesempatan lapangmu sebelum datang masa sibukmu. Ketiga, pergunakanlah hari mudamu sebelum datang hari tuamu. Keempat, pergunakanlah kesempatan waktu engkau kaya sebelum datang kemiskinanmu. Kelima, pergunakanlah kesempatan masa hidupmu sebelum datang saat kematianmu.” – (Hadis riwayat Imam Al-Hakim dan Imam Al-Baihaqi daripada Ibnu Abbas).

Kekuatan rohani seorang mukmin adalah punca utama bagi membolehkannya melaksanakan segala amal ibadat. Namun, bukanlah sesuatu yang mudah untuk memperteguhkan kerohanian seseorang.

Memperteguhkan kerohanian boleh dicapai melalui:

- Memperbanyakkan membaca al-Quran dengan penuh perhatian dan khusyuk. Pembacaan sebegini menjadi penerang kepada pemikiran yang kusut. Di samping itu, pada Ramadan ini, pahala berganda akan dianugerahkan oleh Allah bagi orang bertadarus dan menghayati isi al-Quran.

- Mencontohi perjalanan hidup Rasulullah kerana ia terhimpun agama dan dunia; ibadat dan kehidupan serta pembersihan jiwa dan perjuangan.

- Bergaul dan mendampingi orang bertakwa kerana persahabatan yang ikhlas akan mendorong ke arah kebaikan dan petunjuk.

- Sentiasa mengingati Allah pada setiap ketika dan keadaan. Merasakan kebesaran Allah dengan hati mantap dan menguasainya dalam diri akan menjadikan seseorang mukmin merasakan kemanisan iman dan ketenangan.

- Menangis ketika bersendirian kerana takutkan Allah. Pada masa itu, seseorang dapat menilai dirinya dan seterusnya berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

- Sentiasa melakukan ibadat sunat.

Setiap mukmin walaupun dituntut melaksanakan segala amal ibadat sebaik mungkin, namun ada ketikanya ada kekurangan dan kelemahan dari segi pelaksanaan amalan itu.

Justeru, bagi mengimbangi segala kekurangan dan kelemahan itu, sewajarnya kita melaksanakan amal soleh iaitu amal kebajikan kepada orang lain.

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberi pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” – (Surah an-Nahl, ayat 97).

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam.”

Seorang sahabat bertanya: “Jika ia tiada apa yang hendak diberi?”

Jawab Baginda: “Hendaklah dia bekerja dan apabila dapat duit, sedekahkan sebahagiannya.”

Sahabat itu bertanya lagi: “Jika dia tidak boleh bekerja?”

Jawab Baginda: “Tolonglah orang miskin yang dalam kesusahan.”

“Kalau ini juga tidak dapat dia lakukan?” tanya sahabat itu lagi.

Jawab Baginda: “Beri nasihat untuk berbuat baik.”

Sahabat itu bertanya: “Jika itu pun tidak dapat dilakukan?

Jawab Baginda: “Janganlah dia melukakan hati orang lain, itulah sedekahnya.”

Ayat dan hadis di atas membuktikan membuat amal kebajikan kepada orang lain adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Amal kebajikan ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara sama ada memberi bantuan kebendaan, melalui khidmat bakti secara fizikal atau memberikan buah fikiran dan pandangan yang baik. Bersempena Ramadan yang bakal menjelang, amalan ikhlas yang dilakukan akan melipatgandakan ganjaran pahala, barakat serta kasih sayang Allah kepada kita.

- PENULIS adalah seorang pensyarah di maktab perguruan dan boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, October 15, 2003

Prihatin perasaan bayi bendung sifat ganas

PRIHATIN PERASAAN BAYI BENDUNG SIFAT GANAS

Fitrahnya, anak yang dilahirkan hingga berusia dua tahun secara amnya tidak boleh bercakap. Kaedah komunikasi yang digunakan olehnya adalah menangis, senyum atau ketawa. Dengan menangis, bayi meluahkan perasaan jika lapar, mahu lampin ditukar atau ingin dibelai. Begitu juga jika gembira, bayi akan tersenyum atau mengekek. Selalunya bayi yang tersenyum dan gembira akan menerima pujian, sebaliknya bayi yang menangis akan mendapat tindak balas kurang positif.
Dari sini selalunya bayi akan menanam kefahaman yang memudaratkan emosinya hingga dewasa, iaitu dia hanya akan diterima dan disayangi apabila dalam keadaan gembira. Kefahaman ini akan meresap dalam jiwanya hingga sampai ke tahap sekolah rendah, terutama pada tahap satu. Pada masa ini, kanak-kanak dijangka tidak menangis lagi. Jika keadaan ini diabaikan, kanak-kanak itu tidak akan dapat meluahkan perasaannya melalui perkataan. Menangis sepatutnya diberikan perhatian positif supaya kanak-kanak berasa perasaannya, sama ada sedih atau gembira, diterima. Jika semua perasaannya tidak boleh diterima, malah menangis pun, kadangkala tidak dipeduli atau dihukum, dia menerima mesej kesedihan dan kemarahan tidak diterima.
Adalah satu perkara mustahil untuk kanak-kanak memahami bahawa luahan perasaannya mungkin diterima jika dia menggunakan perkataan atau kaedah komunikasi yang sesuai pada pandangan orang dewasa. Sebenarnya setiap kanak-kanak mencuba yang terbaik untuk memahami keadaan sekitarnya mengikut kemampuan masing-masing. Perasaan kanak-kanak yang tidak diluahkan pada peringkat awal, tidak akan hilang begitu saja. Tekanan demi tekanan akan terbina selama beberapa tahun hingga kanak-kanak tidak mampu menanggungnya lagi.
Apabila takungan tekanan perasaan ini tidak dapat dibendung lagi, ia akan meletus. Ibu bapa akan terkejut melihat tindakan ‘rebellious’ anak mereka, terutama apabila mereka remaja. Sebenarnya kekecewaan remaja itu, yang dipendam sejak daripada bayi, yang mengarahkan kepada tindakan ganas. Ibu bapa sepatutnya dibimbing untuk memahami betapa kecewanya seorang anak jika tangisannya dianggap tidak wujud. Apa yang paling membimbangkan selalunya remaja mula berasakan ada orang lain yang lebih bersedia untuk mendengar perasaan mereka walaupun orang itu baru dikenali. Mereka berasa lebih selesa untuk meluahkan perasaan kepada orang lain dalam bentuk perkataan atau tangisan.
Dengan kesibukan ibu bapa, remaja akan mula menggantikan tempat itu kepada orang lain sama ada teman sebaya sejenis atau berlainan jenis atau sesiapa saja, termasuk mereka yang mempunyai jarak umur yang besar. Tekanan perasaan ini tidak mengenal jantina, malah ada yang berpendapat kaum wanita lebih mudah tertekan. Jika dilihat penghuni rumah sakit jiwa, pesakit lelaki pun ramai.
Masyarakat juga sering menganggap anak lelaki yang menangis sebagai ‘pondan’, lelaki yang tidak tabah atau lelaki yang emosional. Jika perasaan ini tidak terkawal ia boleh menimbulkan kesan negatif terhadap hubungannya dengan masyarakat. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika beliau berumahtangga dan ditimpa musibah yang menekan perasaannya. Disebabkan keadaannya yang tidak pandai untuk meluahkan perasaannya Melalui perkataan, maka segala rasa marah, sedih, geram, kecewa dan pelbagai lagi akan dipendam.
Dalam keadaan begini, selalunya pasangannya akan mengambil kesempatan ‘membulinya’ dari segi mental dan fizikal. Lazimnya, kaum wanita yang menjadi mangsa walaupun ada juga lelaki yang diperlakukansedemikian oleh wanita. Proses untuk memahami tangisan seseorang individu, bermula daripada bayi hingga dewasa dan tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata. Belajar Melalui pengalaman hidup bersama dan mendalami perasaan mereka boleh membantu membuahkan hasil menguntungkan untuk masa depan anak-anak.
Persoalannya sekarang, adakah kita semua, sama ada sebagai ibu bapa atau pendidik, mampu berbuat demikian kerana ia memerlukan kesabaran tinggi dalam usaha menyelami lubuk hati anak-anak?
Antara cara mudah ialah mengingatkan diri kita bahawa anak-anak perlu didengari walaupun tangisan mereka kadang kala menguji keimanan kita. Apa yang selalu disarankan kepada tenaga pengajar supaya memberi pelukan atau mendukung anak yang menangis, kemudian berkata: “Tidak mengapa menangis, saya berada di sisi kamu.”
Semoga usaha kita yang nampak mudah ini dapat menyelamatkan jiwa anak-anak daripada teris tertekan dan apabila mereka dewasa nanti dapat pula menangani apa jua masalah.


Oleh: Hasmiza Mohd Amin
Berita Harian, Wadah Wanita Islam, 15 Oktober 2003.

Wednesday, October 08, 2003

Kewarasan elak remaja terjebak pergaulan liar

8/10/03:
Kewarasan elak remaja terjebak pergaulan liar

Oleh Roha Hassan

Kes 1 Azirah, 15 tahun, berasal daripada keluarga berpecah belah. Untuk
mengubat kerunsingan hatinya, beliau kerap menghabiskan masa melepak di
kompleks membeli belah bersama rakan-rakannya. Disebabkan pergaulan yang
tiada batasan, ditambah dengan sikap keluarga yang tidak prihatin, beliau
terlanjur dan kini hamil tujuh bulan. Semuanya akibat kurang kasih sayang
dan longgarnya iman.

Kes 2 Khairi baru berusia 18 tahun ketika diperkenalkan oleh abang
angkatnya kepada seorang usahawan wanita berjaya, Puan M. Disebabkan
desakan hidup di ibu kota, penuntut tahun pertama di sebuah universiti itu
sanggup menjadi lelaki simpananatau gigolokepada Puan M. Hasilnya beliau
disalut kemewahan oleh wanita yang sering ditinggalkan suaminya, ahli
perniagaan terkenal.

Kes 3 Lina, seorang gadis pendiam sedang menuntut di tingkatan tiga. Selama
tiga tahun beliau memendam perasaan daripada semua orang terhadap perbuatan
jirannya yang telah beberapa kali memperkosa beliau. Perbuatan itu akhirnya
didedahkan adik jirannya itu yang bersimpati dengan Lina.

Kes di atas adalah antara banyak gejala yang berlaku dalam masyarakat yang
sering kita dengar setiap hari membabitkan remaja. Semua ini merunsingkan
ibu bapa serta masyarakat.

Menyalahkan remaja terhadap kejadian yang berlaku, tidak wajar kerana masih
ramai remaja berfikiran positif, berdikari, berdaya maju dan berwawasan
untuk cemerlang pada masa depan.

Kita perlu memahami situasi remaja hari ini yang berdepan pelbagai ujian
dan godaan dalam era sains teknologi di mana pengaliran maklumat diperoleh
secara meluas, tanpa batasan.

Gaya hidup hari ini juga dipenuhi pelbagai bentuk hiburan yang melalaikan,
bahan tidak bermoral, pil khayal dan dadah boleh diperoleh dengan mudah.

Oleh kerana adanya dugaan dan godaan sebegini, remaja memerlukan ketahanan
serta bimbingan supaya tidak tergelincir atau terjebak dalam perlakuan yang
akan memusnahkan diri mereka.

Antara tips yang boleh dijadikan panduan remaja dalam menghadapi cabaran
hidup dunia hari ini ialah:

Diri Remaja Itu Sendiri

Remaja perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan agama secukupnya bagi
membina ketahanan diri dan iman. Hanya iman yang mantap dapat menolak
sebarang godaan ke jalan yang merosakkan dan memusnahkan diri. Amati
pesanan yang dipetik daripada buku Memahami dan Membimbing Remaja Nakal,
tulisan Hairunnaja Najmuddin: Seorang remaja jika dapat melalui cabaran di
zamannya dengan baik, tenang dan penuh kebaikan, mampu menolak kehendak
nafsu, maka percayalah, dia adalah manusia yang paling berjaya selama
hidupnya. Sekiranya seorang pemuda gagal menggunakan zaman remajanya untuk
mencari kebaikan, rugilah dia dan celakalah hidupnya, esok dan akan datang.

Berfikir secara tenang dan waras

Remaja harus menenangkan jiwanya yang sentiasa memberontak dengan berfikir
secara tenang dan waras. Kajilah baik buruk setiap perbuatan atau tingkah
laku anda. Analisa kebaikan dan keburukan yang akan menimpa diri, keluarga
dan masyarakat di atas setiap perbuatan kita.

Mengelakkan diri daripada pergaulan bebas

Pergaulan bebas adalah bibit-bibit maksiat. Maksiat yang paling buruk kesan
daripada pergaulan bebas ialah zina. Selain dosa besar, zina membawa kepada
pelbagai kemusnahan dan kerosakan seperti lahirnya anak luar nikah dan
pembunuhan bayi yang tidak berdosa. Pergaulan bebas turut mengundang ke
arah seks bebas yang sememangnya tersedia di dalamnya pelbagai keburukan
antaranya merosakkan maruah dan nilai diri remaja terutamanya gadis,
mengundang pelbagai penyakit dari sudut fizikal, minda dan mental dan
meruntuhkan tamadun umat.

Mempunyai identiti sendiri

Setiap remaja harus mampu memiliki identiti diri. Sikap mudah terikut-ikut
atau meniru rentak dan gaya orang lain memudahkan remaja tergelincir dari
landasan agama dan norma murni kehidupan. Dengan memiliki identiti remaja
tidak akan mudah dimamah ujian dan godaan. Setiap manusia dikurniakan Allah
dengan kelebihan dan keistimewaan yang berbeza. Remaja harus mencari dan
memahami kelebihan dan keistimewaan dirinya sendiri seterusnya membina
identitinya sendiri.

Memahami undang-undang dan akta perlindungan untuk remaja

Sekiranya remaja diajak, disuruh, digoda atau diugut untuk melakukan
perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan agama, remaja mestilah
memaklumkan perihal itu kepada ibu bapa, guru ataupun mereka yang boleh
dipercayai. Undang-undang adalah amaran kepada remaja supaya tidak terbabit
dengan perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang.

Beberapa akta perlindungan yang berfaedah untuk membantu diri dan rakan
yang menghadapi masalah:

1. Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 untuk melindungi kanak-kanak di bawah
16 tahun dari segi penderaan, penganiayaan dan pengabaian. Penderaan
termasuk dari segi fizikal, seksual, mental dan emosi. Penganiayaan ialah
membebankan remaja dengan tugas yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka.

2. Akta Perlindungan Wanita Dan Gadis 1973 bagi kes yang terdedah kepada
bahaya pelacuran dan melacur sama ada secara paksa atau sukarela. Jika
didapati bersalah selepas perbicaraan di mahkamah, yang berkenaan akan
dihantar ke Taman Seri Puteri selama 3 tahun.

3. Akta Mahkamah Juvana 1947 untuk kes remaja tidak terkawal. Permohonan
dari dua sumber iaitu; surat permohonan ibu bapa dan kes tangkapan polis.
Terbahagi kepada dua: Mahkamah Tertutup (remaja 10 tahun hingga 18 tahun)
dan Mahkamah Terbuka (remaja 18 tahun hingga 21 tahun)

4. Akta kawalan Tembakau 1993 melarang sama sekali remaja membeli dan
menghisap rokok. Memberikan kesedaran kepada ibu bapa agar tidak menyuruh
remaja membeli rokok untuk mereka. Denda RM5,000 jika didapati bersalah
merokok di tempat yang dilarang merokok.

Tips lain yang diperlukan remaja untuk menolak godaan ialah meningkatkan
kualiti diri melalui peningkatan akademik dan pelbagai ilmu pembinaan diri,
membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti sihat, bijak memilih rakan
sebaya, memahami tugas sebagai pemimpin masyarakat apabila dewasa kelas,
berpendirian teguh, menjadikan ibu bapa, guru dan orang-orang yang lebih
tua dan berpengalaman sebagai sumber rujukan.

Penulis adalah pengerusi kelab remaja dan penolong pengurus latihan dan
sumber manusia dan boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@y...


Thursday, October 02, 2003

Anak tidak perlu dipaksa pilih sekolah asrama

2/10/03
Anak tidak perlu dipaksa pilih sekolah asrama
Oleh Farihah Abu Bakar

ANAK adalah anugerah Allah dan menjadi tanggungjawab ibu bapa
mencorakkan mereka menjadi insan berguna. Setiap ibu bapa mahukan
yang terbaik untuk anak termasuk kejayaan dalam pelajaran mereka.

Allah juga mengingatkan dalam surah At-Tahrim, ayat 6,
bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu
dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya, manusia dan
batu".

Minggu depan, anak di tingkatan tiga akan menghadapi Peperiksaan
Menengah Rendah (PMR). Marilah kita mendoakan moga mereka berjaya
dengan cemerlang.

Kebanyakan ibu bapa yang anak menduduki peperiksaan Ujian Penilaian
Sekolah Rendah (UPSR) dan PMR tahun ini sudah merancang masa depan
anak mereka.

Anak diberi motivasi supaya rajin belajar dan bila apabila
cemerlang, akan diberi pelbagai ganjaran.

Menjadi harapan ibu bapa anak mendapat 5A (UPSR) dan 9A (PMR) bagi
membolehkan mereka menyambung pengajian di sekolah berasrama penuh.

Ibu bapa beranggapan anak di sekolah asrama penuh bakal mendapat
peluang cerah untuk melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi
di dalam dan luar negara.

Hakikatnya, banyak juga sekolah tidak berasrama penuh mampu
melahirkan pelajar cemerlang.

Tanggapan bahawa sekolah berasrama penuh memberi peluang lebih cerah
mungkin disebabkan pengalaman ibu bapa yang menimba pengetahuan di
sana. Oleh itu mereka mengharapkan perkara yang sama berlaku kepada
anak mereka.

Sekarang ini timbul pelbagai cerita kurang enak berlaku di sekolah
berasrama penuh dan tidak dinafikan perkara itu turut mencemaskan
ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah berkenaan.

Justeru, dalam menentukan sama ada sekolah berasrama penuh adalah
pilihan terbaik dan tepat, ibu bapa perlu menilai banyak aspek
termasuk mendapatkan pandangan serta persetujuan daripada anak.

Ibu bapa perlu membandingkan dua jawapan yang diberikan anak kepada
persoalan, "Adakah abang atau kakak hendak ke sekolah XYZ?

Jika anak menjawab "Ya" dengan penuh yakin, bermakna mereka bersedia
untuk berenggang dengan keluarga untuk jangka waktu yang panjang.

Tetapi jika jawapannya, "Ikut suka ibu ayah." Maklum balas itu
menunjukkan mereka tidak bersedia berpisah dengan keluarga kerana
tidak dapat membuat keputusan untuk diri sendiri dan masih
bergantung kepada ibu bapa untuk menentukan masa depan mereka.

Apabila anak dimasukkan ke sekolah berasrama penuh (atas keputusan
ibu bapa), ibu bapa perlu memberi perhatian lebih kepada anak itu
seperti sering melawat mereka.

Ibu bapa juga perlu menjalinkan hubungan baik dengan warden atau
guru kelas untuk mengetahui perkembangan mereka.

Anak yang mempunyai keyakinan diri lebih mudah dilepaskan kerana
mereka sudah membulatkan tekad dan mampu berdikari. Tetapi itu tidak
bermakna tanggungjawab ibu bapa selesai apabila anak berada di
asrama.

Sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud, "Setiap kamu adalah
pemelihara. Setiap pemelihara bertanggungjawab terhadap
peliharaannya."

Tidak kira di mana anak belajar, mereka masih di bawah tanggungjawab
ibu bapa tetapi di asrama mereka terikat dengan peraturan serta
undang-undang.

Walaupun mereka diterapkan dengan disiplin, tidak dinafikan anak di
asrama berasa kekurangan terutama dari segi kehadiran ibu bapa yang
memberi kata perangsang dan hubungan akrab adik beradik.

Namun di sebalik itu, ada kelebihannya kerana anak di asrama cepat
matang selain berdikari dan dari segi keselamatan, mereka
terpelihara dalam satu kawasan yang mempunyai kawalan.

Sementara anak di sekolah tidak berasrama lebih terdedah kepada
bahaya dan dugaan daripada pengaruh rakan sebaya yang boleh menjurus
kepada gejala tidak baik.

Mengenai masalah disiplin, ia bukan berpunca dari sekolah sebaliknya
persekitaran rumah turut menjadi penyebab terutama bagi anak yang
biasa melihat bapanya berkuasa, kelakuannya di sekolah akan
mencerminkan sikap tadi.

Contohilah bapa khalifah Umar Abdul Aziz yang menghantar beliau ke
Madinah untuk mendapat pendidikan. Bapa Umar selalu mengutus surat
kepada gurunya menanyakan ibadat, akhlak dan pelajaran anaknya.

Beliau memberi saranan kepada guru bentuk pengajaran, denda dan
hukuman yang dikenakan terhadap anaknya apabila melanggar peraturan.
Berkat daripada itu lahirlah khalifah yang alim dan terkenal di
dalam sejarah Islam.

Akhir sekali, sebagai ibu bapa, buatlah pertimbangan yang bijak demi
masa depan anak-anak.

PENULIS adalah pengurus tadika berijazah dan boleh dihubungi melalui
e-mel wanitajim0@y...