Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, July 28, 2004

Kemahiran bapa mendidik anak elak gejala sosial

28 Julai 2004
Oleh Dr Hafidzah Mustakim
CABARAN dalaman paling mendesak dihadapi Amerika Syarikat pada akhir abad ke-20 adalah penciptaan semula institusi kebapaan sebagai peranan penting kaum lelaki dalam masyarakat.
Itulah yang diungkapkan David Blackenhorn yang dicatatkan dalam buku ‘Fatherless America: Confronting Our Most Severe Social Problem’. Pendapat ini disokong oleh 72 peratus rakyat Amerika dalam satu pungutan suara yang menamakan ketiadaan bapa dalam rumah sebagai masalah sosial atau keluarga paling serius yang dihadapi oleh negara itu.Dianggarkan, 24.7 juta kanak-kanak hidup tanpa ketiadaan bapa kandung di sisi mereka. Sememangnya peranan bapa dalam pembinaan keluarga dan pembesaran anak-anak adalah kritikal, terutama pada zaman serba mencabar ini. Jika dulu, kebolehan bapa memimpin dan mengurus keluarga adalah sesuatu yang bersifat ‘instinct’ atau semula jadi, namun dalam dunia serba berubah ini, kita merasakan perkara ini adalah suatu kemahiran yang perlu dipelajar, dikuasa dan dikongsi bersama dengan seramai mungkin golongan bapa.Hari ini, kita dapati semakin ramai anak-anak membesar tanpa bapa di sisi mereka. Bilangan keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal terus bertambah. Pada 2000 saja, lebih 620,000 ibu tunggal terpaksa membesarkan anak-anak tanpa suami. Untuk sebahagian besar keluarga lain, walaupun bapa ada, namun hakikatnya seolah-olah bapa itu tidak wujud. Hal ini kerana bapa-bapa ini tidak berfungsi dan memainkan peranannya yang sebenar dalam keluarga. Ada banyak faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Selain faktor bapa yang tidak berkemahiran dan tidak bertanggungjawab, wujudnya fenomena ‘overfunctioning mum’ (ibu bekerja yang tidak terlalu bergantung kepada orang lain, serba boleh dan mengambil alih semua tugas bapa) lebih merumitkan keadaan. Keadaan ini memberikan kesan jangka panjang yang bukan sedikit. Sebahagian besar anak-anak yang lahir daripada keluarga tanpa bapa ini mudah terbabit oleh gejala sosial yang semakin hari semakin parah. Mari kita lihat statistik berikut:
Kanak-kanak yang membesar tanpa bapa mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda untuk menghadapi masalah emosi dan perilaku. Mereka juga berisiko tinggi untuk terbabit dalam penagihan dadah dan alkohol.
Kanak-kanak yang membesar tanpa bapa mempunyai risiko tiga hingga empat kali ganda untuk merokok berbanding remaja yang mempunyai bapa di sisi mereka.
Dalam satu kajian membabitkan 25,000 kanak-kanak, kanak-kanak tanpa bapa memperoleh purata gred yang rendah. Mereka juga mempunyai aspirasi kolej yang rendah, rekod kehadiran persekolahan yang merosot dan kadar keciciran sekolah yang tinggi berbanding mereka yang tinggal dengan kedua-dua ibu bapa.
Sebanyak 71 peratus remaja yang mengandung luar nikah adalah remaja yang membesar tanpa bapa. Semua fakta yang menggerunkan ini sebenarnya cukup untuk membangkitkan semangat kita, terutama golongan bapa untuk memainkan peranan yang aktif dalam pembinaan keluarga dan pendidikan anak-anak. Tidak seperti aspek keibuan, kebapaan jarang mendapat huraian dan perhatian sewajarnya. Namun, kemuliaan status kebapaan dalam Islam itu dirakamkan melalui hadis daripada Abdullah Ibn Amr, katanya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah terletak kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah juga terletak kepada kemurkaan bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).Kebapaan sering dibincangkan dalam konteks ketegasan, tanggungjawab kepemimpinan dan saraan hidup, juga pelaksanaan disiplin di kalangan anak-anak. Dalam masyarakat kita, perbincangan mengenai kebapaan tidak sering diwarnai oleh aspek kasih sayang, komunikasi berhikmah dan kemesraan sepontan. Dalam al-Quran, ada banyak saranan yang ditujukan kepada golongan bapa. Ayat ini bukan saja menyentuh perintah agar bapa menjaga dan memelihara keluarga seperti ayat mengenai ‘Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.’ Ia juga merangkumi ayat yang menganjurkan bapa agar melengkapi diri dengan kemahiran tertentu dalam mendidik dan membangunkan anak-anak. Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya seperti yang dicatatkan dalam ayat 13 hingga 19, surah Luqman adalah contoh jelas bagaimana seorang bapa harus berkemahiran dalam menyusun strategi dalam mendidik anak-anaknya. Antara kemahiran yang diperlukan oleh seorang bapa boleh diringkaskan seperti berikut :
Kemahiran menjadi suami yang disayangi, dihormati dan disanjungi oleh pasangan masing-masing. Perkara ini merangkumi kemahiran memahami perasaan isteri, menghormati perbezaan pandangan yang mungkin berlaku dan seterusnya kebolehan menyusun strategi bersama pasangan dalam mendidik dan membangunkan keluarga. Pepatah ada mengatakan bahawa ‘hadiah terbaik daripada seorang bapa kepada anak-anaknya adalah menyayangi ibu mereka’.
Kemahiran menjadi ayah yang disayangi, dihormati dan diteladani oleh anak-anak. Antaranya, meliputi aspek kemahiran berkomunikasi, kemahiran memahami perbezaan tingkah laku anak lelaki dan perempuan; keseimbangan penggunaan teknik pemberian hadiah dan hukuman serta terbabit secara langsung dalam urusan harian anak-anak.Pelbagai strategi lain yang harus digunakan dalam membesarkan anak-anak dalam dunia yang begitu mencabar ini. Anak-anak akan membesar dengan cepat dan terdedah dengan pelbagai rangsangan positif dan negatif melalui persekitaran mereka. Benarlah sabda Rasulullah yang memberikan kefahaman bahawa anak itu dilahirkan dengan fitrah yang bersih. Ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka sama ada menjadi Majusi, Nasrani atau Muslim yang patuh.
PENULIS adalah Jawatankuasa JIM Pusat. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dilayari di laman web www.wanitajimceria.blogspot.com atau e-mel wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, July 21, 2004

Pendidikan mesra pererat hubungan suci bapa, anak

Oleh Azlina Roszy Mohamad Ghaffar
BAPA adalah orang penting dalam keluarga bagi membentuk sahsiah dan identiti seorang anak. Anak pula adalah penyejuk mata manusia dan buah hati bapa dalam hidup ini.
Justeru, anak yang menggembirakan umur dan menghiburkan hidup bapa. Disebabkan anak-anak, hidup bapa menjadi ceria dan seronok. Kerana anak-anak juga, bapa bekerja keras menampung keperluan seharian demi membesarkan mereka menjadi manusia berjaya. Oleh itu, wajarlah bapa tidak cuai dalam membentuk pendidikan dan sentuhan kasih sayang kepada anak-anak. Ia supaya anak-anak membesar dalam suasana penuh penghormatan, didikan tertib dan kasih sayang melimpah ruah. Rahmat kasih sayang sejati dan akhlak Islam dalam kehidupan Rasulullah diungkapkan oleh Anas seperti mana kata-katanya: “Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih merahmati keluarganya daripada Rasulullah.” Kata Anas lagi: “Adalah Ibrahim (putera Rasulullah dari Mariatul Qibtiah) disusukan bagi Rasulullah di utara Madinah, maka Rasulullah pergi ke sana bersama kami lalu memasuki rumah itu dengan mengambil Ibrahim lalu diciumnya, selepas itu baru Baginda kembali.” (Hadis riwayat Muslim). Abu Hurairah meriwayatkan, katanya, bahawa Rasulullah mencium Hussin bin Ali, lalu berkata Al-Aqra’ Ibn Habas: “Sesungguhnya bagiku ada sepuluh anak, tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka.” Lalu Baginda bersabda : “Sesiapa yang tidak merahmati, dia tidak dirahmati.” Pendidikan dalam bentuk bermesra dan bergurau senda ketika melayani anak amat digalakkan dalam Islam seperti yang ditunjukkan Rasulullah. Malah, Baginda juga pernah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai anak kecil, hendaklah menjadi anak kecil terhadapnya.” (Hadis riwayat Ibn Asakir). Rasulullah juga tidak membeza-bezakan layanan terhadap anak lelaki atau perempuan. Ummul Mukminin Aisyah pernah berkata: “Sesungguhnya, apabila Fatimah masuk menemui Rasulullah, Baginda bangun menyambut kedatangan puteri Baginda dan mengalu-alukan kedatangannya, menciumnya dan mempersilakan dia duduk dalam majlis Baginda. “Begitu juga, apabila Rasulullah masuk menemuinya (Fatimah), dia bangun menyambut Rasulullah dan mencium baginda dan mempersilakan Rasulullah duduk dalam majlisnya. Dan sesungguhnya, Fatimah sudah masuk untuk berjumpa Rasulullah pada masa Baginda sedang sakit menjelang kewafatan Baginda, lalu Baginda mengalu-alukan dia dan menciumnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Perkembangan semasa menyaksikan penularan gejala keruntuhan akhlak dalam masyarakat, rapuhnya ikatan kekeluargaan dan sesama insan. Ia turut menular dalam keluarga termasuk keretakan hubungan suami isteri dan anak dengan ibu bapa. Kajian yang dijalankan menunjukkan, apabila fungsi bapa gagal dijalankan, maka ia akan membentuk sikap sama pada anak lelaki dan perempuan. Selepas berumah tangga, anak-anak itu akan melakukan perkara sama kepada anak mereka. Dalam buku What A Difference A Daddy Makes oleh Dr Kevin Leman menggariskan sebab kehadiran seorang bapa penting dalam kehidupan anak. Antaranya: Membentuk keyakinan diri seorang anak. Mencorakkan maruah diri seorang anak. Meningkatkan kecerdasan emosi dan kepintaran akalnya. Membentuk tanggapan anak perempuan terhadap lelaki yang mendampinginya. Anak-anak sangat memerlukan sentuhan, perhatian, belaian, kasih mesra, gurau senda dan ketegasan daripada seorang bapa. Bagi anak, bapa yang selalu tidak berada di rumah akan menjadikannya seolah-olah seperti seorang anak yatim. Justeru, kepulangan bapa tidak pernah disambut. Baginya, kehadiran bapa di rumah seperti ketiadaannya. Ini berlaku disebabkan tidak ada sentuhan sama ada dalam bentuk fizikal, perbuatan atau perkataan. Lama kelamaan, anak hanya menjadikan bapa sebagai tempat meminta wang, bukannya sebagai tempat mengadu, bermain atau meluahkan masalah. Anak berasakan mereka tidak ‘diterima’ oleh bapa sendiri. Ia menyebabkan anak-anak akan mengalihkan perhatian kepada kawan yang menerima mereka seadanya. Bapa yang terlalu garang, kerap mengkritik anak, tidak pernah mendengar luahan perasaan dan pendapat anak serta sering membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak anak (kerana merasakan keputusan mereka lebih baik) juga menyebabkan anak merasa tersisih dalam rumah sendiri. Perceraian dan poligami juga kadang-kadang menyebabkan bapa mula mengabaikan tanggungjawab memberi perhatian kepada anak yang sedang membesar. Keadaan lebih buruk selepas anak meningkat remaja. Mereka akan lebih percayakan kawan dan lebih senang menghabiskan masa dengan kawan daripada keluarga sendiri. Anak jenis ini akan mudah menerima huluran persahabatan daripada orang luar yang tidak dikenali. Mereka juga akan lebih mudah bersama remaja lain yang juga mempunyai bapa jenis itu. Penerimaan orang lain terhadap seseorang adalah sesuatu yang diinginkan oleh setiap insan. Begitu juga, anak mahukan bapa menerima kehadirannya dengan sepenuh hati. Anak juga mahukan bapa menghargai dan menyokong kebaikan anaknya, merangsang dan menggalakkan minatnya serta menegur dengan baik kesilapan dilakukannya. Jika tugas ini gagal dijalankan oleh bapa, anak akan mengemis ‘penerimaan’ orang luar yang mungkin mengambil kesempatan daripada anak yang dahagakan kasih sayang. Perhatian yang diberikan bapa kepada anak perempuan didapati mempengaruhi hubungan anak itu dengan lelaki lain. Anak perempuan yang mendapat perhatian mencukupi daripada bapa akan meletakkan piawaian tinggi terhadap lelaki yang mendampinginya. Dia tidak mudah terpengaruh dengan sifat luaran, tetapi mutu yang ada pada lelaki itu. Kajian mendapati, anak perempuan yang tidak mendapat perhatian bapa kerap bertemu dan berkahwin dengan lelaki yang juga kurang mengambil berat terhadap perasaan isteri, rumah tangga dan anak-anak. Allah memuliakan kedudukan bapa dan memerintahkan anak-anak taat kepada bapa seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Dan kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua orang ibu bapanya” (Surah al-Ankabuut, ayat 8). Justeru, wajarlah bapa menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul dengan menunaikan hak kepada anak-anak dengan sebaik mungkin. Hubungan bapa dan anak ibarat tali bersimpul mati. Hubungan bapa dengan anak tidak mungkin boleh dirungkai walaupun bapa sudah bercerai. Hubungan ini tetap akan dituntut di akhirat kelak iaitu sejauh mana tanggungjawab yang ditunaikan dan hak yang diberikan. Hubungan suci ini juga tidak akan berakhir walaupun anak itu sudah berkahwin dan berkeluarga. Malah, dalam satu hadis, Rasulullah menjelaskan keutamaan bapa yang berbuat baik terhadap anak yang sudah janda disebabkan kematian suami atau bercerai. Rasulullah bersabda kepada Suraqah Ibn Ju’syum maksudnya: “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sebesar-besar sedekah atau daripada sebesar sedekah? Suraqah berkata: “Hebahkan wahai Rasulullah.” Lalu Baginda bersabda: “Puterimu yang sudah menjadi janda (kerana perceraian atau kematian suami) pulang kembali kepadamu, yang tidak mempunyai tempat bergantung selain daripadamu.” (Hadis riwayat Ahmad, An-Nasai dan Ibn Majah). Sesungguhnya, anak-anak kita mungkin mempunyai ramai teman dan rakan serta boleh bertukar-tukar pasangan hidup, tetapi mereka hanya mempunyai seorang bapa saja di dunia ini. PENULIS adalah pelajar Sarjana Psikologi Klinikal yang boleh dihubungi melalui e-mel raudhatus_sakinah@yahoo.com

Wednesday, July 14, 2004

Amalan zikir, surah pendek pengisi masa paling berkesan

Oleh Prof Madya Maznah Daud
AKTIVIS pertubuhan Islam di Amerika Syarikat, Dr Hisham Yahya Al-Talib pernah menulis, “Apakah yang terpanjang, terpendek, terpantas dan sangat perlahan, kita semua tidak mengendahkannya, tetapi selepas itu, kita semua menyesalinya?
“Tiada apa pun yang dapat dilakukan tanpanya, ia menelan segala yang kecil dan membina segala yang besar?”Itulah masa.Masa adalah yang terpanjang kerana masa adalah ukuran keabadian dan juga yang terpendek. Hal ini kerana tiada seorang pun antara kita yang mempunyai masa yang cukup untuk menyiap atau menyempurnakan segala tugas dalam kehidupan. Bagi mereka yang gembira, masa berlalu terlalu cepat. Tetapi bagi mereka yang menderita, masa berlaku terlalu lambat. Tiada apa-apa pun yang dapat dilakukan tanpanya. Hal ini kerana masa adalah satu-satunya pentas kehidupan kita. Masa juga adalah unsur asas bagi pembentukan kehidupan. Masa menelan semua yang tidak berfaedah daripada generasi dalam bentuk kelalaian dan mengekalkan semua yang hebat dan berharga.Manusia terbahagi kepada dua kategori. Pertama, manusia malang iaitu kumpulan yang murung atau pasif yang selalu memulakan sesuatu pada keesokan hari atau dengan perkataan lain, suka bertangguh. Satu kategori lagi ialah kumpulan manusia yang hebat dan bersedia melakukan sesuatu berfaedah dengan segera. Bagi mereka tidak ada hari esok.Membuang masa bukan hanya satu jenayah biasa, sebaliknya satu pembunuhan kejam. Ramai percaya kepada ungkapan masa itu emas atau masa itu wang. Anehnya, kita tidak pernah terfikir untuk membiarkan sesiapa pun mencuri wang kita walaupun hakikatnya membiarkan manusia serta benda lain meragut masa kita.Setiap pagi apabila bangun daripada tidur, buku catatan sudah tersedia untuk dipenuhi dalam masa 24 jam.Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Pada setiap kali terbit fajar, ada dua malaikat menyeru: “Wahai anak Adam, aku adalah hari yang baru dan aku datang untuk menyaksikan semua amalan kamu. “Oleh itu manfaatkan aku sebaik-baiknya kerana aku tidak kembali lagi hingga Hari Kiamat.”Pada setiap hari, masa perlu diisi dengan perkara berfaedah dan mendatangkan kebaikan sama ada di dunia atau akhirat. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, kita boleh berfikir dan merancang pekerjaan yang mendatangkan keuntungan di dunia dan akhirat. Rasulullah mengajar kita pelbagai amalan yang boleh dilakukan pada minit terluang yang biasanya dibiarkan berlalu begitu saja. Apa-apa yang diajar kepada kita, sebenarnya sangat mudah. Tetapi, faedahnya cukup besar, terutama sebagai bekalan untuk menghadapi hari kemudian yang semakin hampir.Antaranyaialah membaca Surah al-Mulk. Surah yang mengandungi 30 ayat itu boleh dibaca dalam masa lima minit saja. Surah ini jika dibaca setiap hari dapat menyelamatkan kita daripada seksaan kubur. Dalam satu riwayat, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku bercita-cita supaya surah ini terpahat dalam hati setiap insan dari kalangan umatku.” Surah al-Waqi’ah yang mengandungi 96 ayat dan boleh dihabiskan dalam masa lapan minit juga elok dijadikan amalan. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membaca Surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan menjadi papa selama-lamanya.” Begitu juga dengan Surah Yasin yang mengandungi 83 ayat dan memakan masa 12 minit untuk dibaca. Kegunaannya seperti yang diakui oleh kebanyakan ulama bahawa tidak dibacakan surah ini ketika berada dalam kesulitan kecuali dimudahkan Allah kesulitan itu. Mungkin ada yang berasa sukar untuk membaca surah di atas jika tidak menghafaznya. Bagi mereka ada gantinya. Bacalah ‘Qul Huwallahu Ahad’ (Surah al-Ikhlash) sebanyak tiga kali yang mengambil masa 15 saat saja. Pahalanya menyamai dengan membaca sebuah al-Quran!Zikir tertentu sangat besar gunanya. Dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang berkata ‘Subhanallah wa biham dihi’ ditanamkan untuknya sebatang pokok kurma di syurga.” Dalam riwayat lain Baginda bersabda bermaksud: “Sesiapa yang berkata ‘Subhanallah wa biham dihi’ 100 kali dalam sehari, dihapuskan kesalahannya meskipun kesalahan itu sebanyak buih di lautan.” Pengulangan zikir itu sebanyak 100 kali hanya memerlukan masa hanya tiga minit.Sudah ada kebun kurma di syurga, pastinya kita memerlukan kediaman untuk beristirehat. Untuk mendapat sebuah rumah, Rasulullah mengajar umatnya supaya mengerjakan solat sunat rawatib 12 rakaat dalam satu hari, dua rakaat sebelum fardu Subuh, dua sebelum fardu Zuhur serta dua selepasnya, dua selepas fardu Maghrib dan dua selepas fardu Isyak. Setiap dua rakaat solat sunat rawatib itu memakan masa tiga minit, maka 12 rakaat hanya memerlukan 18 minit. Itu hanya contoh. Jika dikira sekalipun, jumlah amalan itu tidak sampai satu jam daripada 24 jam yang Allah berikan kepada kita. Namun begitu jika tidak dirancang, masa itu berlalu dengan sia-sia. Banyak lagi ayat dan zikir pada waktu pagi, petang atau malam yang boleh diamalkan, khususnya pada waktu terluang yang biasanya dibiarkan berlalu begitu saja. Ibnu Mas’ud berkata bahawa Rasulullah bersabda kepadanya: “Aku bertemu dengan Nabi Ibrahim pada malam aku diisrakkan. Baginda berkata kepadaku: “Wahai Muhammad! Sampaikan kepada umat kamu salam dariku.“Khabarkan kepada mereka, sesungguhnya syurga adalah tanah yang subur, airnya jernih lagi nyaman. Ia kosong dan lapang. Tanamannya ialah: Subhanallah, walhamdulillah, walailahaillallah, Allahu Akbar.” (Hadis riwayat at-Tirmizi). Perlu diingat bahawa apa-apa pun yang dilakukan harus berdasar kepada keimanan yang tulus suci dan keikhlasan yang murni. Tanpa keikhlasan amalan itu tidak bermakna dan hancur laksana debu berterbangan. Firman Allah bermaksud: “Dan Kami tujukan perbincangan kepada apa yang mereka kerjakan daripada jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan, ayat 23) Amalan baik yang dilakukan dengan perancangan betul, berlandaskan keimanan dan mengharap rahmat serta reda Ilahi pasti membuahkan kejayaan baik di dunia mahupun akhirat. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih, baik lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 97).l

PENULIS adalah pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor dan boleh dihubungi pada e-mel wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, July 07, 2004

Amalan kerohanian asas bentuk anak cemerlang

Oleh Norhayati Siddikah Abu Bakar
LAZIMNYA apabila anak menduduki peperiksaan utama persekolahan sama ada Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, ibu bapa yang lebih berasakan ketegangannya. Pada saat begini, ibu bapa biasanya akan mengambil pelbagai usaha bagi memastikan anak memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki. Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang anak. Ia juga tiket peluang mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab mempersiapkan mereka dari segi mental, fizikal, emosi dan rohani. Kita juga perlu : # Mewujudkan kemesraan dan bersikap tegas ketika mendidik mereka. # Memberi/menerima cinta tanpa syarat. # Menerima kritikan membina daripada mereka. # Mewujudkan suasana di mana mereka berasa dimiliki. Kita juga patut mengelakkan diri daripada mengulangi kesilapan yang sering dilakukan oleh ibu bapa iaitu: # Tidak membentuk anak supaya bercita-cita tinggi. # Tidak membantu anak menetapkan matlamat jangka pendek dan panjang. # Tidak membantu anak mengurus masa dengan bijak. # Tidak menyediakan jadual waktu. # Tidak peduli jika anak tiada keyakinan diri atau bersemangat. # Meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak. # Kurang berdoa. Ibu bapa boleh menggalakkan anak belajar secara berkumpulan. Kaedah ini lebih berkesan kerana biasanya mereka dapat bertukar fikiran dan bersoal jawab jika ada perkara yang kurang jelas. Lagipun, suasana pembelajaran begini tidak membosankan atau boleh membuat mereka mengantuk. Pelbagai kegiatan yang boleh mereka lakukan bersama seperti: # Berkongsi nota. # Membanding jawapan. # Merumus sesuatu idea. # Bersaing sesama sendiri secara sihat. Ibu bapa juga tidak seharusnya memaksa anak belajar berterusan tanpa berehat atau beriadah. Dikhuatiri jika terlampau menerima tekanan, nak boleh sakit ketika hari peperiksaan. Ini pasti menjejaskan keupayaan mereka menjawab soalan. Sebagai ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak, kita boleh membantu meletakkan sasaran yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, berapa muka surat yang boleh diulang kaji setiap hari atau berapa jam sehari untuknya belajar secara berkesan. Jika ini dilakukan secara berterusan, insya-Allah anak tidak akan panik menjelang minggu peperiksaan. Tekanan biasanya dialami apabila anak kecewa kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa. Jadi, tidak mustahil jika tidak lama dulu kita dikejutkan dengan kes kanak-kanak sekolah rendah membunuh diri kerana mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan. Ibu bapa hari ini boleh dikatakan begitu mengambil berat kemajuan anak. Malangnya, hasrat murni ibu bapa belum mencapai tahap yang memuaskan. Ini kerana anak-anak Islam hari ini sama ada di bandar atau desa didapati kurang berminat untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran berbanding anak-anak kaum Cina. Sebagai ibu bapa kita perlu mengajak mereka berfikir mengenai senario akan datang. Peluang untuk masuk ke institusi pengajian tinggi didasarkan kepada merit. Sektor pekerjaan tentu akan terbuka luas kepada calon yang cemerlang. Jika mereka masih leka dan selesa dengan apa yang ada, pasti anak kita akan ketinggalan dalam pelbagai bidang. Pelajar hari ini kelihatan semakin kurang menunjukkan minat membaca. Masih ramai pelajar yang menjadikan buku hanya teman ketika menjelang peperiksaan, sedangkan budaya membaca ini perlu dipupuk dan dijadikan amalan harian. Sebagai permulaan ibu bapa perlu menyediakan satu ruang atau bilik di rumah masing-masing sebagai tempat anak belajar dan membaca. Boleh dikatakan sebilangan besar keluarga mempunyai bahan bacaan di rumah. Bahan ini ada yang disusun dan diguna dengan sempurna dan tidak kurang pula yang tidak menjaganya dengan baik. Ibu bapa perlu berusaha menyusun bahan bacaan sebagaimana mereka menyusun perhiasan di ruang tamu agar ia dapat dimanfaatkan oleh anak dari semasa ke semasa. Bukankah sudah termaktub dalam lipatan sejarah bahawa ayat yang pertama turun kepada Rasulullah ialah: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah al-Alaq, ayat 1) Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mewujudkan budaya membaca. Ibu bapa yang gemar membeli bahan bacaan dan membaca akan menjadi ikutan anak. Berdasarkan ini ibu bapa perlu menjadikan membaca sebagai kegiatan seisi keluarga sebagaimana budaya solat, makan dan bercuti bersama. Dengan cara ini, budaya ilmu itu secara tidak disedari akan menjadi amalan yang sangat baik bagi kemajuan ummah. Dalam satu hadis riwayat Abu Nai'm daripada Ibnu Abbas Rasulullah bersabda: "Manusia yang terdekat kepada darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Ada pun yang berilmu, maka mereka memberi petunjuk kepada manusia daripada apa yang dibawa nabi. "Dan yang berjihad, mereka berjuang dengan pedang bagi membela apa yang dibawa nabi." Kesimpulannya, peranan ibu bapa adalah sebagai pembimbing dan pendorong kepada kejayaan seseorang pelajar. Apa pun perancangan yang dibuat jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, nescaya segala-galanya akan sia-sia saja. Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yassin ketika anak menduduki peperiksaan. Amalan ini dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada mereka. Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa yang dihajatkan. Firman Allah bermaksud : "...Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal..." (Surah Ali Imran, ayat 159) # PENULIS adalah sukarelawan Wanita JIM dan boleh dihubungi pada e-mel wanitajim0@y...