Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, April 28, 2004

Bukan Islam boleh diajak tangani isu Palestin

28/4/04

Oleh Maryam Jailani
MINGGU Palestin atau ‘Palestinian Week 2004’ yang berakhir 19 April lalu anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menimbulkan ra-sa prihatin ‘masalah umat’ di kalangan remaja yang cintakan keamanan sejagat.
Program yang dirancang pada kali ini diberi nafas baru dan meniupkan kesedaran yang sungguh mengguris jiwa setiap yang hadir. Program begitu seharusnya disuburkan di pusat pengajian tinggi lain dan seterusnya di sekolah menengah seluruh negara. Malah, saya amat yakin program ‘Video and Talk Show’ dalam program itu yang menampilkan Datuk Dr Jemilah Mahmood (dari Persatuan Bantuan perubatan Malaysia – MERCY) sebagai ahli panel tunggal dan Nizal Mohamad (dari TV3) sebagai pengerusi majlis, berjaya memberi kesan sangat mendalam kepada hadirin yang memenuhi dewan.
Antara isu berkaitan yang perlu diambil perhatian ialah perkongsian isu Palestin dengan seluruh masyarakat yang lebih meluas termasuklah masyarakat bukan Islam. Isu Palestin yang sudah lebih 50 tahun diperjuangkan tidak harus terus diperjuangkan masyarakat Islam saja. Demi mewujudkan dunia yang aman, perpaduan dan kesatuan dalam isu antarabangsa ini harus diperluaskan dan diperjelaskan kepada seluruh lapisan masyarakat termasuklah masyarakat bukan Islam. Saya pasti rakyat Palestin juga mahukan masa depan dunia yang damai dan harmoni.
Saya juga yakin mereka bersedia menyahut cabaran untuk terus memperjuangkan kebenaran. Malah, saya amat pasti ramai di kalangan masyarakat bukan Islam yang sangat sensitif dengan isu pencabulan hak asasi manusia walaupun di mana saja, apatah lagi isu Palestin yang memaparkan episod pencabulan hak asasi manusia yang tidak dapat diterima oleh sesiapapun yang mengaku dirinya sebagai manusia.
Hati siapa yang tidak tersentuh dengan penderitaan rakyat Palestin yang juga berbilang agama?
Hati mana yang tidak terusik dengan pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa dan pencabulan maruah wanita yang lemah tidak berdaya?
Nurani siapa yang tidak terguris dengan pengeboman Sheikh Ahmad Yasin, pejuang Palestin yang lumpuh di kerusi rodanya?
Alangkah baiknya jika kita sebagai insan pencinta keamanan, ‘berkongsi’ rasa hati dan idealisme perjuangan dengan mereka di luar sana? Mengapa kita kecilkan medan perjuangan keamanan dan hak Palestin ini hanya dikalangan umat Islam? Mengapa tidak kita bersatu dengan semua pencinta keamanan lain?
Bumi ini dikongsi bersama, maka mengapa hanya berjuang seorang diri berusaha untuk memastikan bumi aman? Malah di Palestin sendiri, ramai sukarelawan dan masyarakat Palestin bukan Islam yang turut memperjuangkan kemerdekaan dan hak rakyat Palestin hingga mereka sanggup menggadaikan nyawa sendiri. Mengapa? Ini kerana, mereka juga manusia yang mempunyai naluri kemanusiaan. Mengapa? Ini kerana, mereka juga cintakan keamanan. Mereka juga tahu membezakan prinsip keadilan dan kezaliman. Mereka juga percaya bahawa masih ada peluang untuk kebenaran bertapak kukuh di bumi Palestin dan di dunia ini. Mereka juga percaya bahawa peperangan lebih membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.
Malah, sebagai pelajar perbandingan agama, saya juga yakin semua agama menuntut penganutnya berpegang dengan prinsip etika yang sama sekali akan menidakkan tindakan kejam dan bersifat haiwan ke atas manusia.
Bagi penganut agama Buddha yang berpegang dengan konsep ‘Nirvana’ dan ‘10 Precepts’ tentu sekali tidak akan membenarkan pembunuhan kejam yang berlaku di Palestin berdekad-dekad lamanya. Penganut agama Kristian pula tentu sudah lazim dengan ajaran Kitab Injil yang menolak kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia. Maka, di sinilah relevan isu ini untuk dikongsi bersama hatta dengan masyarakat bukan Islam. Titik pertemuan yang sangat berhubung kait ini sudah tentunya akan membuka lembaran baru dalam kehidupan masyarakat dunia yang memperjuangkan keamanan.
Penyatuan tenaga dan usaha seumpama inilah yang kita nantikan selepas sekian lama. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Tentu sekali masih ada ruang untuk kita bergabung tenaga dan idea, menyumbangkan bantuan kewangan dan harta benda, malah menyebarkan isu perjuangan di Palestin dengan fakta yang sahih ke dalam kepelbagaian bahasa dan bangsa di negara ini. Umpamanya, seluruh lapisan masyarakat boleh memperluaskan isu ini melalui lagu, kartun, majalah dan akhbar dalam pelbagai dialek dan bahasa.
Pendek kata, pendidikan dan pemahaman mengenai isu sebenar di Palestin ini perlu disebarkan melangkaui batasan bangsa, bahasa dan agama dengan satu matlamat yang kita semua impikan iaitu mewujudkan dunia yang lebih aman. Masyarakat Malaysia berbilang kaum bersatu menyumbang dan membantu misi kemanusiaan di wilayah Bam, Iran dan juga Iraq. Pengorbanan itu tentunya tambah bermakna dengan kesediaan untuk terus mengekalkan perpaduan dan sokongan dalam isu Palestin ini. Kesatuan dan perpaduan unik ini tentunya akan menghasilkan suara baru yang teguh memperjuangkan keamanan dan kedamaian.
Maka, seluruh masyarakat Islam perlu diajak untuk bersama-sama ‘bercerita dan berkongsi’ isu Palestin sebenar dengan masyarakat bukan Islam. Masyarakat bukan Islam perlu diajak untuk sama-sama menganalisis tragedi di Palestin daripada kaca mata pencinta kedamaian. Justeru, marilah kita berganding bahu demi merealisasikan keamanan dunia yang kita impikan.
Penulis adalah Pelajar Jurusan Perbandingan Agama, UIAM dan boleh dihubungi melalui e-mel di alamat wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, April 21, 2004

Ibu bapa contoh disiplin bagi anak

21/4/04

Oleh Wan Nadiah Wan Abdullah
Sambungan minggu lalu
SESEORANG pendidik perlu ikhlas, bertakwa, berilmu, bertanggungjawab dan suka memaafkan sebagai prasyarat untuk menerapkan disiplin yang berkesan kepada pelajar. Hubungan baik dan keakraban adalah asas untuk disiplin yang berkesan. Sayangnya, perkara ini sering dilupa dan diabaikan. Pendidik hanya tahu mengeluarkan arahan tanpa cuba menjalin hubungan kerana mereka berasa anak mesti mematuhi ibu bapa atau murid mesti mematuhi guru.
Dari segi praktik, ibu bapa beruntung kerana anak mereka mengambil masa lebih kurang setahun untuk merangkak dan berjalan. Ini memberi masa kepada mereka untuk menjalin hubungan itu ketika anak masih bayi. Setiap kali anak itu menyusu, memeluk dan dimandikan, ibu bapa adalah orang yang paling besar dalam hidup anak serta amat disayanginya. Apabila kita mengajar mereka untuk berkelakuan baik, anak akan mengikut.
Justeru, penting sekali untuk ibu bapa meluangkan masa dengan anak, melakukan sesuatu bersama, sama ada bersiar-siar, bermain, menonton televisyen atau membantu di dapur, bergantung kepada umur anak dan keadaan. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abus-Syaikh bermaksud:
“Moga-moga Allah merahmati ayah yang membantu anaknya untuk mentaatinya”.
Contoh praktik yang boleh disingkap daripada kitab al Ishabah yang menceritakan bagaimana Rasulullah ketika bermain-main dengan cucu Baginda, merangkak atas kedua-dua tangan dan lututnya lalu mereka bergantung dari tepinya dan Baginda mengangkat kedua-duanya.
Perkara itu juga ditekankan oleh Dr Covey dalam bukunya yang bertajuk Tujuh Tabiat Keluarga yang Sangat Berkesan (Seven habits of Highly Effective Families). Dalam buku itu, antara empat fungsi penting untuk ibu bapa sebagai ketua keluarga ialah mengatur keluarga masing-masing supaya mencapai matlamat. Covey menyarankan perkara itu dapat diwujudkan dengan mengadakan masa untuk keluarga, makan bersama, berkelah, bercuti dan keluar. Tanpa penyusunan ini, ahli keluarga mungkin seperti kapal yang melintasi lautan pada malam hari, masing-masing dengan hal dan urusan sendiri. Cuba kita lihat bagaimana hubungan mempengaruhi pengajaran.
Bayangkan dua budak melakukan kesalahan yang sama dan bapa mereka membetulkannya dengan cara yang sama. Bapa Ahmad memberi masa, kasih sayang dan perhatian kepada anaknya hingga anaknya suka, percaya dan menghormatinya. Apakah kesan pembetulan itu? Ahmad rasa bersalah kerana melakukan apa yang membuatkan bapanya marah.
Sebaliknya bapa Ali jarang memberi masa untuk membina hubungan yang baik dengan anaknya. Masa yang diberi hanya untuk membetulkan kelakuan Ali. Justeru, pembetulan kali ini membuatkan Ali marah kerana setiap kali interaksi dengan bapanya berlaku, ia tidak menyenangkan. Ramai ibu bapa walaupun mengambil tanggungjawab mendidik anak tidak dapat mengajar melalui contoh. Ini menyebabkan anak membentuk diri mereka berdasarkan tindak balas mereka kepada kita, lebih banyak dia di samping kita lebih banyak dia mencontohi kita dan sebaliknya.
Satu kajian di Sweden pada 1973 yang dijalankan oleh ahli psikologi terkenal, Dr Bettelheim menunjukkan bahawa orang dewasa yang ingin menghidupkan nilai murni tidak perlu menyogok nilai berkenaan kepada anak mereka. Menurutnya, kerajaan Sweden pada awal 70-an berasa bimbang kerana penyalahgunaan dadah, alkohol, hooliganisme dan jenayah meningkat di kalangan anak muda mereka walaupun ada usaha menanganinya dijalankan oleh kerajaan.
Satu kajian dilakukan ke atas anak muda yang berdisiplin dan mereka yang bermasalah (delinquent). Kajian menunjukkan latar belakang kewangan atau sosial bukan faktor penting yang mempengaruhi kelakuan. Apa yang penting adalah keadaan rumah mereka. Ibu bapa yang berjaya membesarkan anak yang berdisiplin terdiri daripada mereka yang bertanggungjawab dan berdisiplin. Mereka menjadi contoh yang hidup kepada anak mereka. Kajian itu juga mendapati anak bermasalah tidak semestinya datang dari rumah yang kelihatan tidak berdisiplin, tetapi daripada ibu bapa yang biasanya tidak konsisten dan mereka tidak hidup mengikut nilai yang cuba mereka ajar. Justeru, dapat disimpulkan bahawa penerapan disiplin dalam diri anak adalah usaha yang berterusan dan memerlukan kasih sayang, komitmen dan contoh daripada ibu bapa.
PENULIS adalah pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, April 14, 2004

Mendisiplinkan anak dengan kasih sayang

14/4/04

Oleh Wan Nadiah Wan Abdullah
RAMAI ibu bapa prihatin dan tertanya-tanya serta mencari-cari cara terbaik untuk mendisiplin anak. Rasa prihatin atau kebimbangan ini dapat difahami kerana masalah kurang disiplin atau tidak disiplin di kalangan anak muda kian membimbangkan. Apakah yang dimaksudkan dengan disiplin? Biasanya apabila disebut disiplin, ibu bapa selalu bayangkan hukuman dan denda.
Dari segi bahasa, disiplin boleh ditakrifkan sebagai latihan yang biasanya pemikiran dan kelakuan supaya patuh dan bertata-tertib, undang-undang yang ditetapkan supaya seseorang berkelakuan baik, patuh kepada peraturan, hukum/denda kerana melanggar sesuatu peraturan dan salah satu cabang ilmu pengetahuan. Jadi, hukuman/denda hanya satu daripada banyak takrifan disiplin.
Perkataan disiplin adalah dari perkataan Latin iaitu discipulus yang bermakna pelajar. Dan makna inilah yang ditekankan oleh Dr Fitzhugh Dod-son, seorang pakar psikologi dan pendidik, juga penulis beberapa buku pendidikan anak-anak, termasuk How to Discipline With Love. Bagaimana untuk memberi disiplin dengan kasih sayang, sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Daripada Saidatina Aisyah, katanya, Rasulullah bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu bersifat belas kasihan, sangat suka belas kasihan dalam segala perkara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam bukunya, Dr Dodson menekankan bahawa disiplin ialah mengajar, dan proses pengajaran itu berlaku sepanjang masa – bukan hanya pada masa anak meragam, nakal atau berkelakuan buruk. Apakah yang diajar? Setiap anak perlu diajar untuk berkelakuan baik dan menjauhi kelakuan jahat. Definisi baik buruk mungkin berbeza dari seorang individu kepada yang lain, tetapi dalam Islam, ia adalah jelas. Ini sebagaimana firman Allah bermaksud:
“Kami telah tunjukinya dua jalan. Iaitu jalan kebaikan dan jalan kejahatan.” – (Surah al-Balad, ayat 10).
Lalu Rasulullah bersabda bermaksud:
“Tiada sesuatu pemberian yang diberi seorang ayah kepada anaknya lebih utama daripada mengajarnya adab yang mulia.” (Hadis riwayat at-Tarmizi).
Hadis di atas menekankan pentingnya disiplin atau mengajar adab yang mulia ini kepada anak-anak. Itulah seutama-utama pemberian daripada seorang ayah kepada anaknya. Kenapa disiplin penting? Perasaan, emosi dan nafsu perlu dikekang serta dikawal oleh diri. Kawalan dalaman penting untuk menjadikan personaliti yang baik. Biasanya kanak-kanak berfikir mengenai diri sendiri saja serta tidak berfikir panjang dan tidak matang (tidak memikirkan akibat dan kesudahan). Oleh itu, mereka perlu mempelajari untuk mengawal diri. Sekiranya tidak diajar hingga ke dewasa, kelakuan yang mungkin dimaafkan atau ditolakansurkan ketika kecil akan menjadi buruk. Ini akan menjejaskan diri anak itu serta hubungan ibu bapa dan anak kerana ibu bapa berasa kecewa, benci dengan sikap dan kelakuan anak. Masyarakat juga akan turut terbeban dengan keadaan itu. Masalah teruk dengan remaja tidak terjadi dalam sehari.
Seseorang yang berumur 15 tahun yang merosakkan harta awam, berkemungkinan pada usia lima tahun dibetulkan apabila dia melontar batu ke rumah jiran atau menconteng dinding. Remaja 17 tahun yang tidak senonoh, mungkin ketika kanak-kanak tidak ditegur daripada berbuat sesuka hati. Justeru, tidak bijak kalau tunggu hendak membetulkan masalah yang telah menjadi besar apabila anak itu sudah dewasa. Adalah lebih mudah untuk menyelesaikan masalah kecil pada peringkat awal umur anak.
Bagaimanapun, disiplin bukan satu perkara yang mudah sama ada untuk ibu bapa mahupun anak. Anak yang bersifat hanya memikirkan diri sendiri, tidak berfikir panjang dan tidak matang susah hendak mengawal diri. Mereka belum lagi memahami tanggungjawab moral dan sosial. Mereka mungkin belum memiliki ilmu, pengalaman dan sebab yang membolehkan mereka memilih antara baik dan buruk. Bagi ibu bapa pula, perkara ini agak sukar kerana kadang-kadang disiplin memerlukan sekatan tertentu. Meletakkan sekatan itu ke atas anak yang disayangi adalah sukar kecuali kita berpandangan jauh atau dapat melihat kesan baiknya. Ia juga memerlukan contoh daripada ibu bapa. Tiada kaedah berkesan pada setiap masa untuk semua anak. Namun, secara prinsip:-
· Kita perlu lihat umur anak itu. Cara mengajar berkelakuan baik kepada anak berumur dua tahun berbeza daripada berumur lapan atau 15 tahun. Contohnya, ketika Rasulullah bersembahyang, datang cucunya Hussain, lalu menunggang belakang baginda, padahal baginda sedang sujud. Maka baginda pun memanjangkan sujud itu hingga orang ramai menyangka ada sesuatu perkara berlaku. Dalam hal ini Rasulullah mengambil kira umur Hussain pada masa itu. Oleh kerana perbuatannya tidak memudaratkan, baginda membiarkan saja, dengan penuh timbang rasa dan belas kasihan. · Bergantung juga kepada kemampuan ibu bapa.
Mungkin ada kaedah yang dikatakan berkesan untuk sesuatu keadaan bagi ibu bapa si A, tetapi bagi ibu bapa B, disebabkan personaliti atau cara mereka dibesarkan, kaedah itu tidak dapat dilakukannya. · Anak juga berbeza antara satu sama lain. Ada yang lebih senang dibentuk, ada yang lebih keras. Justeru, tidak boleh mengguna cermin mata yang sama untuk membaiki rabun anak yang berbeza.
· PENULIS adalah pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, April 07, 2004

Membezakan sesama umat bawa kehancuran kaum

7/4/04
Oleh Prof Madya Maznah Daud
UNGKAPAN ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’ sememangnya tidak asing kepada kita. Ia memberi gambaran betapa sukarnya untuk kita cuba mewujudkan perpaduan di kalangan umat kerana manusia dicipta dengan pelbagai ragam serta budaya. Namun, perkara itu bukanlah mustahil. Sejarah membuktikan bahawa Rasulullah berjaya menyatupadukan pelbagai etnik di Madinah dalam masa singkat. Allah mengajak kita kembali kepada perkara pokok iaitu asal kejadian diri. Manusia dijadikan Allah hasil perkahwinan ayah dan ibu.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang wanita serta menjadikan kamu berbilang bangsa dan suku supaya kamu saling kenal mengenal. “Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” (Surah al-Hujurat, ayat 13).
Ayat itu menjelaskan bahawa Pencipta kita adalah satu dan kita dilahirkan menerusi perkahwinan ayah dan ibu. Oleh kerana kita dicipta oleh Tuhan yang esa serta daripada ayah dan ibu yang satu, mengapa harus wujud perbezaan sesama kita hingga ada kalanya tidak boleh duduk bersama?
Asas pertama untuk mewujudkan perpaduan dan kasih sayang ialah kefahaman bahawa semua manusia tidak kira bangsa, jantina, pangkat, warna kulit, bahasa pertuturan, atau adat resam, adalah sama taraf, hak dan tanggungjawab di sisi-Nya. Tidak ada pihak atau puak yang lebih istimewa daripada yang lain. Rasulullah saw pernah memberi amaran bahawa sikap membeza-bezakan antara satu golongan dengan lain adalah punca kehancuran sesuatu kaum.
Dalam hadisnya, baginda bersabda:
“Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang atasan mencuri mereka membiarkannya (tidak dihukum). Tetapi apabila orang bawahan mencuri mereka menghukumnya. Demi Allah sekiranya terbukti Fatimah anak perempuan Muhammad mencuri, pasti akan aku potong tangannya.”
Asas kedua yang dianjurkan oleh Rasulullah dalam mewujudkan perpaduan ialah menjadikan kasih sayang sesama saudara sebagai pengukur kepada iman seseorang. Sabda baginda bermaksud:
“Tidak beriman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi diri sendiri.”
Contohnya, katakan seorang lelaki ingin mencari pasangan hidup, adakah dia mahu mengahwini perempuan yang dinodai lelaki lain? Sudah tentu dia tidak suka. Jika dia sendiri tidak suka, dia pasti tahu lelaki lain juga begitu kerana mereka adalah saudaranya juga. Lantaran itu, dia tidak akan mencabuli maruah wanita yang bukan isterinya atau yang tidak mahu dikahwininya. Kita tidak suka dicerca dan dihina di khalayak ramai. Sebagaimana kita, orang lain begitu juga. Maka, janganlah kita sekali-kali mencerca dan menghina mereka meskipun kita mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Jika sanggup melakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka perkara itu dilakukan terhadap diri sendiri, itu tandanya kita tidak kasih kepada saudara kita. Ia menunjukkan tanda kedaifan iman di hati kita.
Cuba kita bayangkan apabila semua orang berfikir mengenai kepentingan orang lain sama seperti mereka berfikir mengenai kepentingan diri sendiri; memberi kepada mereka apa yang dia suka menerimanya; tidak bermasam muka, tidak menuduh orang lain tanpa bukti dan usul periksa. Jika perkara sebegini berlaku, pasti tidak berlaku perkara yang tidak diingini dalam masyarakat seperti mencuri, merompak, menipu, merogol, memfitnah dan rasuah.
Asas ketiga dalam mewujudkan perpaduan ialah mengembalikan segala pertikaian dan perselisihan pandangan kepada Allah dan Sunnah rasul. Kita sering diperdengarkan firman Allah yang bermaksud:
“Hai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul, dan ulil amri (pemerintah) antara kamu...” (Surah an-Nisaa’, ayat 58).
Sambungan ayat itu jarang sekali ditekankan. Sambungan ayat itulah yang sebenarnya menjadi teras kepada perpaduan dan kemakmuran sesebuah masyarakat.
Sambungannya adalah: “... Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka kembalikan ia kepada Allah (al-Quran) dan rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama bagimu dan lebih baik kesudahannya.” (Surah an-Nisaa’, ayat 59).
Kembali kepada ungkapan ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’, penyelesaian muktamad ialah dengan merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah sendiri kerana kedua-duanya pusaka yang ditinggalkan Nabi kepada umatnya.
Kesimpulannya, bagi memupuk perpaduan dan kasih sayang di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan budaya, tiga perkara mesti dipegang iaitu menerima hakikat semua manusia adalah bersaudara; meletakkan kepentingan saudara sekurang-kurangnya sejajar dengan kepentingan kita sendiri; serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama dalam menyelesaikan masalah.
PENULIS adalah pensyarah Syariah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan boleh dihubungi dengan mengakses e-mel wanitajim0@yahoo.com