Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, September 25, 2002

Kasih sayang dalam pendekatan dakwah

25.9.2002
Kasih sayang dalam pendekatan dakwah
Oleh Sumilah Marto

l Senario 1


MALAM itu Tok Mah menelefon cucunya lagi. "Ain, bila nak balik
kampung Atuk, Atuk rindulah". Ain adalah anak tunggal Puan Salmah,
anak sulung kepada Tok Mah yang tinggal di selatan tanah air. "Atuk,
nanti Ain ajak ibu balik ya Tok", bicara anak kecil itu mengakhiri
perbualan.

Apabila diajukan persoalan ini kepada ibunya, ibunya memberikan
alasan tidak boleh bercuti kerana urusan kerja yang terlalu banyak.
Tinggallah si cucu dan si atuk memendam rindu.


l Senario 2


Sekembalinya dari pejabat, Aminah bercadang untuk menziarahi jiran
sebelah rumah, Rukayyah yang sudah hampir sebulan melahirkan anak
keduanya. Hajat ini sudah lama tertangguh kerana saban hari sebaik
saja menjejakkan kami ke rumah selepas penat seharian bekerja, Aminah
akan meneruskan pula kerja urusan rumah tangga yang tidak pernah
selesai.

Namun hari itu untuk sekian kali, hajatnya hanya tinggal hajat
seperti hari-hari sebelumnya dan Aminah masih tidak berpeluang untuk
menziarahi Rukayyah walaupun rumah mereka hanya dipisahkan oleh kawat
besi.

Dua situasi di atas menggambarkan satu sikap yang sama, tidak peka
dalam menjalin dan menjaga hubungan kasih sayang sama ada sesama
keluarga atau jiran tetangga. Menularnya sikap ini dalam masyarakat
menunjukkan bahawa unsur-unsur hubungan kasih sayang sudah tidak
begitu dititikberatkan lagi sedangkan setiap Muslim dituntut untuk
merealisasikan hubungan kasih sayang dengan masyarakat yang berada di
sekitarnya.

Hubungan yang harmonis di tengah masyarakat dapat menghasilkan
suasana yang tenteram dan damai. Sebenarnya ada tiga asas yang perlu
dipertimbangkan dalam membentuk hubungan kasih sayang ini.


1.Hubungan dengan ibu bapa

Hubungan ini adalah hubungan kewajipan yang bersifat mutlak. Ayah dan
ibu adalah orang yang sudah banyak berjasa kepada anak-anaknya.
Setiap anak sudah semestinya menyayangi ibu bapa mereka. Malahan
derhaka kepada kedua ibu bapa tergolong dalam dosa besar yang sangat
dibenci oleh Allah SWT.

Islam mengajar supaya setiap Muslim merendahkan hati dan menghormati
ibu bapa, walau bagaimana sekalipun keadaan ibu bapa mereka.
Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan rendahkanlah dirimu
terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan
ucapkanlah, "Wahai Tuhanku sayangilah keduanya, sebagaimana mereka
berdua telah mendidik aku sewaktu kecil" (dalam Surah Al Isra' ayat
24).

Justeru, sejauh mana sibuk seseorang anak itu namun tanggungjawab dan
kewajipannya terhadap kedua ibu bapa tidak sewajarnya diabaikan
apatah lagi di saat-saat mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang
daripada insan yang bergelar anak.


2. Hubungan dengan sanak saudara, kaum kerabat dan sesama manusia

Keluarga dan sanak saudara adalah benteng pemelihara hubungan kasih
sayang yang luas. Islam mengatur supaya hubungan yang mesra sesama
manusia menjadi terarah dan seimbang. Maka keutamaan hubungan kasih
sayang terhadap keluarga juga diakui, selagi ia tidak bertentangan
dengan prinsip iman dan amal soleh.

Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 6 bermaksud: "Dan orang-orang
yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris
mewarisi) daripada orang-orang Mukmin dan Muhajirin, kecuali bila
kamu berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama), adalah yang
demikian itu telah tertulis dalam Kitab (Allah SWT)".

Keluarga yang dididik dengan nilai Islam akan menjadi pembela dakwah
dan penyokong aktiviti ibadat yang mempunyai nilai yang tinggi. Oleh
itu dalam dakwahnya, Rasulullah SAW mengikat hubungan kekeluargaan
dengan beberapa sahabat akrab beliau seperti Abu Bakar dan Umar
sebagai mertua manakala Usman dan Ali sebagai menantu.




3. Hubungan dengan jiran tetangga


Hubungan dengan jiran tetangga adalah kunci utama untuk menggarap
hubungan kasih sayang yang berjaya di tengah masyarakat. Apabila
setiap Muslim dan Muslimah dapat menunjukkan keperibadian Islam di
kawasan tempat tinggalnya, maka secara automatik ia akan memiliki
daya tarikan untuk berdakwah.

Oleh itu Rasulullah SAW mengingatkan kita mengenai hak terhadap jiran
tetangga sebagaimana sabdanya yang bermaksud, "Malaikat Jibril selalu
berpesan kepadaku mengenai tetangga sehingga aku mengira dia akan
menetapkan hak waris bagi tetangga. (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Banyak hak-hak jiran tetangga yang wajib ditunaikan oleh setiap
Muslim. Antara lain sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW
yang bermaksud, "Hak tetangga ialah bila dia sakit kamu kunjungi dan
apabila wafat kamu menghantar jenazahnya. Bila dia memerlukan wang
kamu pinjamkan dan bila dia mengalami kemiskinan (kesukaran) kamu
tutupi (rahsiakan). Bila dia memperoleh kebaikan kamu mengucapkan
selamat kepadanya dan bila dia mengalami musibah kamu berjumpa
dengannya untuk menyampaikan rasa duka. Janganlah meninggikan
bangunan rumahmu melebihi bangunan rumahnya yang dapat menutupi
kelancaran angin baginya dan jangan kamu mengganggunya dengan bau
masakan makanan kecuali kamu mencedok sebahagian untuk diberikan
kepadanya," (Hadis Riwayat Al-Thabrani).

Satu kisah abadi dalam lipatan sejarah yang menunjukkan betapa
tingginya nilai kasih sayang dalam membentuk masyarakat yang
sejahtera ialah kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Khalifah
Islam, Khalifah Umar ibn al-Khatab. Khalifah Umar terkenal sebagai
pemimpin yang sangat mencintai rakyatnya. Kepekaan hubungannya
terhadap rakyat jelata khususnya fakir miskin sangat luar biasa. Pada
suatu malam beliau seperti biasa meronda di sekitar Madinah. Beliau
melakukan rondaan malam bagi mengetahui keadaan rakyatnya.

Tiba-tiba pandangannya tertumpu ke sebuah pondok di pinggir kota
Madinah. Dari dalam pondok itu terdengar rintihan seorang wanita.
Segera Umar menghampiri tempat itu. Di pintu pondok ada seorang
lelaki yang sedang duduk termenung. Ternyata beliau adalah suami
kepada wanita yang sedang mengerang kesakitan kerana hendak
melahirkan. Wanita ini sedang bertarung nyawa sementara suaminya
berada dalam kebingungan kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan
untuk menolong isterinya. Rupa-rupanya pasangan suami isteri ini
bukanlah penduduk asal kota Madinah tetapi orang asing yang sedang
merantau tanpa sanak saudara.

Melihat situasi ini, Khalifah Umar segera pulang menemui isterinya,
Ummu Kalthum lalu berkata: "Mahukah engkau mendapat pahala yang
dibukakan kesempatannya oleh Allah SWT bagi kita? Mahu, jawab
isterinya. Seorang wanita musafir sedang sarat mengandung dan sedang
menanti saat melahirkan tetapi tiada orang yang datang menolongnya,
kata Umar. Jika anda mahu, saya pasti akan menolongnya," sahut isteri
Umar.

Umar segera menyiapkan perbekalan dan bahan-bahan yang diperlukan
seperti tepung gandum, minyak samin, lembaran kain untuk membalut
bayi dan sebagainya. Sambil mengajak isterinya, Umar memikul sendiri
periuk dan tepung gandum di bahunya. Bersama isterinya beliau menuju
pondok pasangan suami isteri tadi. Ummu Kalthum terus masuk ke dalam
pondok untuk membantu wanita yang akan melahirkan itu. Manakala
Saidina Umar pula segera memasang tungku, kemudian meletakkan periuk
di atasnya dan menyalakan api di bawahnya. Umar bersiap sedia memasak
makanan bagi wanita yang akan melahirkan sementara suami wanita itu
berada di sisi Saidina Umar sambil memerhatikan perbuatan lelaki
asing yang menolongnya dengan rasa penuh syukur dan terima kasih.

Suami wanita itu sama sekali tidak mengetahui siapa penolong yang
baik hati itu. Di dalam hatinya ia berkata, "Lelaki ini lebih layak
menjadi khalifah daripada Umar bin Khattab!" Tiba-tiba terdengar dari
dalam pondok tangisan bayi. Rupanya ibu itu sudah selamat melahirkan
bayinya. Bukan main gembira hati si ayah yang menunggu di luar
pondok. Tidak lama kemudian terdengar suara keras dari Ummu
Kalthum, "Hai Amirul Mukminin, sampaikanlah berita gembira kepada
sahabatmu itu, ia dianugerahkan Allah seorang anak lelaki".

Mendengar ungkapan itu, barulah disedari oleh lelaki berkenaan bahawa
orang yang menolong keluarganya ialah pasangan suami isteri pemimpin
kaum Muslimin, lalu gementarlah seluruh tubuhnya akibat rasa terkejut
yang amat sangat. Selepas selesai semua urusan dan sebelum berlalu,
Umar berpesan kepada si suami tadi, "Pagi nanti datanglah menemui
saya di Kota Madinah. Saya akan memberikan bekalan kepada anda dengan
wang dari Baitulmal, sekadar bekal bagi anda dan akan saya keluarkan
hak bayi ini".

Demikianlah contoh seorang isteri yang sedia membantu suaminya tanpa
mengira waktu untuk menolong mereka yang berada dalam kesulitan.
Inilah hasil tarbiyah iman dan Islam sehingga mampu melahirkan suatu
masyarakat Islam yang tiada tandingan.

Apabila ketiga-tiga asas dalam menjalin hubungan kasih sayang ini
seperti yang dinyatakan di atas tadi dapat dilaksanakan, pasti seruan
dan dakwah Islam semakin tersebar luas. Apabila Islam dipersembahkan
dengan penuh kasih sayang pasti ramai manusia yang tertarik
kepadanya. Mungkin antara sebab yang menggendalakan tersebarnya Islam
dalam masyarakat adalah kerana kurangnya pendekatan unsur kasih
sayang ini dalam seruan dakwah. Sehingga Islam sering ditonjolkan
sebagai agama yang sukar, susah dan `garang'. Sesungguhnya yang silap
bukan Islam tetapi golongan penyeru Islam yang mengabaikan aspek
kasih sayang dalam pelaksanaan kehidupan seharian.


l Penulis adalah seorang pensyarah IPTA, boleh dihubungi di emel:
wjim@pd.jaring.my


Wednesday, September 18, 2002

Usaha cintai alam sekitar bermula dari rumah

18/9/2002
Usaha cintai alam sekitar bermula dari rumah
Oleh Marihah Suhaimi


"SUCIKANLAH nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi, yang menciptakan (semua
alam) lalu menyempurnakan kejadiannya." (Al-A'laa: 1-2). Begitulah
bunyi ayat al-Quran yang menceritakan mengenai kebesaran Allah
mencipta alam ini. Dan alangkah indahnya alam ini, sempurna dan
selesa didiami, lengkap dengan sumber yang boleh menampung kehidupan
semua makhluk di dalamnya.

"Dan (memerhatikan) langit bagaimana ia ditinggikan, dan (perhatikan)
gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan, dan (perhatikan) bumi,
bagaimana ia didatarkan." (Al-Ghaasiyah: 18-20). Segala apa yang ada
di langit dan bumi membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah. Alam
ini tidak dijadikan sia-sia kerana ia menjadi tanda kebesaran Allah.
Dengan merenung kepada alam semula jadi, manusia boleh berasa betapa
besarnya kuasa Allah dan betapa kecil serta lemahnya semua makhluk-
Nya.

"Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar ada tanda-tanda
(kekuasaan Allah) untuk orang yang beriman." (Al-Jaatsiyah: 3).
Manusia sungguh istimewa kerana diberi kelebihan oleh Allah swt
sebagai satu-satunya makhluk yang berakal dan berilmu serta berupaya
untuk memanfaatkan segala yang ada di muka bumi ini untuk
kegunaannya. Bagaimana manusia menggunakan pemberian Allah ini
bergantung kepada iman dan ilmu seseorang itu kerana tanpa kedua-
duanya, manusia tidak akan bersyukur ke atas segala nikmat yang
dikurniakan Allah.

"Allahlah yang menundukkan lautan untukmu supaya kapal-kapal dapat
belayar padanya dengan seizin-Nya, dan supaya kamu dapat mencari
kurnia-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur. Dan Dia menundukkan
untukmu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi semuanya,
(sebagai rahmat) daripadanya. Sesungguhnya ..." (Al-Jaatsiyah: 12-13)

Ayat terakhir ini menunjukkan betapa kasihnya Allah kepada manusia
sehingga menundukkan alam ini untuk kegunaannya. Apa yang perlu
diingat sekarang adalah alam semesta yang terbentang luas ini
sebenarnya adalah amanah yang perlu dijaga dengan baik oleh semua
manusia supaya kita tidak tergolong di kalangan mereka yang tidak
mensyukuri nikmat Allah. Tanggungjawab kita adalah memastikan bahawa
alam semula jadi ini tidak rosak dan tercemar serta mendatangkan
kemudaratan kepada penghuninya pada masa depan.

Mencintai alam sekitar perlu dipupuk di rumah sendiri dan bermula
dengan setiap individu. Anak perlu dibabitkan dan mendidik mereka
untuk mencintai alam sekitar bukan terhad kepada kelas sains di
sekolah semata-mata kerana tanggungjawab ini sangat besar dan perlu
diamalkan bersama sehingga amalan ini menjadi amalan kebiasaan
individu, keluarga dan masyarakat Islam di negara ini.

Antara penyebab utama pencemaran alam sekitar ialah jumlah sampah
yang terlalu banyak dan tidak dibuang di tempat yang sepatutnya.
Sungai menjadi pusat pembuangan sampah, ikan dan tumbuhan air tidak
dapat hidup dengan subur dan manusia tidak dapat mengulangi kenangan
manis masa lampau seperti memancing dan bermandi-manda dalam sungai
kerana pencemaran yang terlalu ketara.

Apatah lagi jika sampah itu adalah sisa toksik, maka pencemaran akan
mencapai tahap yang membahayakan. Dalam masa 35 tahun lalu, kuantiti
sampah yang dibuang oleh seseorang bertambah dua kali ganda, daripada
1.2 kepada 2.1 kilogram sehari.

Pengalaman mengajar bahawa kita perlu ada cara yang berkesan dan
sistematik untuk mengatasi pencemaran yang sangat pesat ini demi
menyelamatkan alam sekitar. Sebagai langkah pertama, keharmonian alam
sekitar boleh dibantu dengan mengamalkan aktiviti 3M dalam kehidupan
harian kita. Jika amalan ini dilakukan setiap hari oleh semua orang,
maka masalah pencemaran dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Apakah amalan 3M ini? Amalannya ialah pertama, mengurangkan kuantiti
dan kandungan sampah, terutama yang bersifat toksik, kedua
menggunakan semula bekas lama, membaiki peralatan atau memberi kepada
orang lain yang boleh menggunakannya, dan ketiga pula ialah mengitar
semula termasuk membeli barang-barang yang kandungannya boleh dikitar
semula.

Amalan pertama, iaitu mengurangkan kuantiti sampah, bermakna
mengurangkan sumber. Pengurangan sumber atau pencegahan bahan buangan
bermaksud mengurangkan penggunaan dan pembuangan.

Ini termasuk membeli barang lasak dan tahan lebih lama serta bebas
daripada bahan toksik. Proses penyediaan bahan yang lebih lasak dan
tahan lama mungkin lebih rumit tetapi kesan jangka panjangnya adalah
lebih baik kerana ia tidak banyak menggunakan bahan sumber, boleh
digunakan semula dan tidak perlu dibuang.

Amalan kedua, iaitu menggunakan semula bermaksud menggunakan balik
barang yang sedia ada sebagai salah satu cara untuk memberhentikan
bahan buangan pada peringkat sumber kerana kita melambatkan atau
menahan kemasukan bahan itu ke dalam sistem pengutipan dan pembuangan
sampah.

Satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa
antara dua hingga lima peratus daripada sampah yang dibuang
sebenarnya boleh diguna semula. Alangkah baiknya dan jimat jika kita
berhenti sejenak dan berfikir sebelum membeli dan membuang kerana ini
boleh mengurangkan sampah yang bergunung di pusat pembuangan sampah.

Ada beberapa cara untuk mengguna semula. Usaha ini hendaklah
diamalkan supaya dapat mengurangkan sampah yang terpaksa dibuang,
antaranya ialah menggunakan pinggan mangkuk dan perkakas yang boleh
dibasuh dan diguna semula dan bukan jenis `disposable'.

Cara kedua ialah dengan menggunakan mesin pengira dan peralatan lain
yang menggunakan kuasa matahari dan membeli bateri yang boleh dicas
semula dan ketiga ialah menggunakan kain lap atau sapu tangan untuk
mengelap dan bukan kertas tisu serta membasuh botol terpakai dan
mengisi semula.

Cara lain untuk mengguna semula ialah dengan mendermakan bahan bacaan
dan peralatan lama supaya ia dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan
mengguna semula kotak sebagai tempat menyimpan barang-barang.

Sebenarnya terlalu banyak kebaikan yang ada dalam usaha mengguna
semula dan ia patut digalakkan secara besar-besaran. Antaranya ialah
dengan menjimatkan sumber asli, mengurangkan kandungan toksik sampah
dan dengan mengurangkan kos.

Sementara amalan ketiga daripada konsep 3M ialah mengitar semula.
Amalan kitar semula adalah antara aktiviti paling berjaya dalam abad
ke-20. Pada tahun 2000, di Amerika Syarikat saja program mengitar
semula berjaya menyelamatkan 70 juta tan bahan daripada pusat
pembuangan dan pembakaran sampah. Ini adalah penjimatan yang sangat
tinggi dan jika diteruskan dapat mengurangkan pembaziran dan
menyelamatkan alam sekitar.

Menurut kajian, ada banyak kebaikan jika kita mengamalkan aktiviti
kitar semula, antaranya ialah dapat menjimatkan sumber alam untuk
masa depan anak-anak kita; mengurangkan pengeluaran gas hijau dan
pencemaran air; menjimatkan tenaga; membekal sumber tenaga asli
kepada industri; membuka peluang pekerjaan; merangsang pertumbuhan
teknologi hijau; dan mengurangkan keperluan kepada pusat pembuangan
dan pembakaran sampah.

Sebagai rumusan, sebenarnya banyak yang boleh dilakukan untuk menjaga
amanah Allah di dunia ini dan membuktikan kesyukuran kita terhadap
segala nikmat-Nya.

Mengurangkan pencemaran alam adalah salah satu usaha yang kecil di
samping usaha lain yang kita lakukan demi mencari keredaan Allah.

Elakkan pembaziran dan pembuangan kerana sumber asli bumi ini akan
pupus dengan cepat jika kita tidak mula berjimat dan menyelamatkannya
mulai sekarang. Kekalkan keindahan alam ini demi masa depan anak-anak
kita.
Penulis Seorang pencinta alam sekitar sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.

Wednesday, September 11, 2002

Emosi wanita bujang perlu dibajai dengan iman

11.9.2002
Emosi wanita bujang perlu dibajai dengan iman
Oleh: Salmiah bt Abdul Majid


"Apabila umur mula meningkat dan meninggalkan alam remaja, saya menjadi lebih pendiam, menyisihkan dari dari kawan, lebih suka mengurung diri dirumah. Saya tak tahan dengan cemuhan dan sendaan orang terhadap status saya yang digelar dengan bermacam macam gelaran, andartu, andalusia, anak dara matang, nak merampas suami orang dan sebagainya. Akibatnya saya menjadi muram dan murung, kelihatan lebih tua dari usia saya dan prestasi kerjaya saya semakin menurun". Sakinah seorang gadis berumur 36 tahun mencurahkan perasaan kecewa dengan nasib yang menimpanya.
"Naluri wanita ingin berpasangan, tetapi jika belum berjumpa dengan orang yang sesuai, boleh ditangguh dulu. Saya pasrah dengan takdir dan ada hikmat di sebalik status ini. Saya merasa saya lebih banyak masa untuk diri saya,membaiki diri, menambah ilmu dengan menghadiri kelas kelas fardhu ain dan kursus kursus pengurusan dan kaunselling jangkapendek. Baru bari ini saya telah dinaikkan pangkat kerana kecemerlangan saya dalam kerjaya saya. Kawan kawan sepejabat menjadikan saya sebagai ‘pakar rujuk dalam masalah peribadi ‘‘wanita bujang’. Anak anak saudara saya yang sedang meniti alam remaja sangat sayang kepada saya kerana saya lebih mendengar rengekan dan kerenah mereka". Syahidah, seorang wanita bujang berumur 40 dan memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat multinasional pula dengan cerianya meluahkan rasa hatinya yang merasa puas dengan kehidupan masa bujangnya.
Dalam kisah di atas, kedua wanita bujang sedang dihadapkan kepada situasi yang menegangkan dan menimbulkan kekecewaan serta kekhawatiran yang mencekam. Kedua nya telah menunjukkan dua reaksi emosi yang berbeda dalam menghadapinya. Wanita pertama tak mampu mengatasi stress yang dialaminya, sehingga ia tak boleh mengawal rasionalnya. Sebaliknya wanita kedua kedua mampu mempertahankan kestabilan perasaan dan emosinya dalam menghadapi ketegangan tersebut, sehingga ia berjaya rasionalnya. Ia telah memiliki emosi yang cerdas, yang akhirnya menyelamatkan nasibnya dalam ujian tersebut.
Kehidupan wanita bujang memang menekan, jika tidak diurus perasana dengan baik dan jika tidak dibajai dengan iman yang mendalam kan menempah derita sepanjang hayat..
Dalam diri manusia, terdapat dua dimensi yang berbeda, sisi rasional dan sisi emosional. Sisi rasional mengaitkan kemampuan manusia dalam mengira,, meneliti, memikirkan sebab dan akibat, menjalankan mesin dan menghasilkan . Sementara sisi emosional membawa nuansa perasaan, menyangkut suasana hati, gembira, sedih, kecewa, tegang, takut, hingga pasrah.
Seberapa mampu seseorang mengatasi kesedihan, ketakutan dan mengelola berbagai sisi emosi dalam dirinya itulah yang disebut ‘kecerdasan emosi’(emotional quotient-EQ). Mereka yang emosinya cerdas, ia akan tahu dan mampu mengurus perasaannya, dia tahu bila ia harus marah, sedih atau kecewa, dan bilakah pula ia boleh gembira.
Selain mampu mengelola emosi diri sendiri, wanita yang emosinya cerdas pun pandai memahami keadaan orang lain. Mereka mudah merasakan kesedihan dan kekhuatiran yang dirasakan oleh temannya, sehingga timbul empati mereka untuk menghibur teman tersebut. Jika ada kawan kawan yang sedang marah dan mengejek dirinya pun ia mudah memaafkan.
Kepandaian dalam bergaul, termasuk salah satu aspek kecerdasan emosi. Wanita yang pandai bergaul tidak pemalu yang tidak bertempat, dan cenderung mengutamakan orang lain. Malah mereka yang sangat cerdas emosinya memiliki kemampuan untuk memimpin teman-temannya, dijadikan contoh, teladan dan disukai oleh ramai orang.
Contoh perbezaan reaksi kedua dua wanita tadi dalam menghadapi ujian di atas, cukup memberikan gambaran bagaimana kecerdasan emosi memberikan peranan yang amat besar untuk menentukan berfungsi tidaknya otak rasional. Wanita pertama yang tidak memiliki kecerdasan emosi yang memadai, akhirnya tidak mampu mengendalikan stressnya hingga otak rasionalnya tidak berfungsi dengan sempurna. Intelektual nya telah dikuasai dan dikalahkan oleh emosinya yang buruk.
Contoh kemampuan anak kedua dalam mengendalikan stress, cukup memberikan gambaran betapa besar peranan sisi emosi ini dalam mengendalikan intelektualiti seseorang. Daniel Goleman, sorang pakar ‘kecerdasan emosi’ mengungkapkan dalam bukunya, Emotional Intelligence, bahawa perbandingan peranan antara kecerdasan emosi jika dibandingkan dengan ‘kecerdasan intelegen-IQ(Intelligent Quotient) dalam menentukan kejayaan dan kebahagian hidup seseorang adalah dalam kadar : 80 : 20.
Wanita bujang perlu keluar dari kepompong ‘rasa malu dan rendah dirinya untuk bermasyarakat dan menyumbang untuk masayarakat dengan menyiapkn diri dengan kecerdasan emosi..
Bermasyarakat menurut secara ajaran Islam sepatutnya menjadi satu ikutan dan diibaratkan sebagai satu industri kekeluargaan.Penglibatan awal diperingkat kanak-kanak patut digalakan agar mereka tidak janggal bermasyarakat serta manyumbang bila dialam pekerjaan
Tetapi adakah ditetapkan spesifikasi bagi seorang wanita bujang untuk menyumbang kepada masyarakat. Adakah pra syarat kecermerlangan seseorang itu didalam bermasyarakat tertakluk kepada status berkahwin atau belum. Jawapan dari segi kecermerlangan adalah YA dan TIDAK, mengikut kesungguhan dan bagaimana dia meguruskan kecerdasan emosinya dan penghayatan agamanya.
Islam, agama yang universal lagi adil tidak pernah membeza atau mengaitkan status seseorang dengan sumbangan baik yang dibuat. Tetapi ia mengariskan panduan bagaimana matlamat kecermerlangan itu boleh dicapai melalui rukunnya, "matlamat tidak menghalalkan cara". Definasi ‘Cara’ disini amat luas meliputi skop strategi, metodologi, sumber bahan, aplikasi hingga pergaulan dan percakapan. Maksudnya setiap perlakuan didalam proses mencapai matlamat tadi perlu halal mengikut ajaran Islam.
Arah Tuju kehidupan:
Didalam kehidupan kita seharian, setiap pekara baik yang dilakukan adalah ibadah, selagi ia tidak keluar dari ajaran Islam. Ini termasuklah ibadah khusus, bekerja di pejabat, pergaulan dan aktiviti yang mengcakupi keseluruhan cara hidup kita. Untuk memastikan kita dapat mencapai tuntutan ini, setiap pekerjaan itu perlu dilakukan dengan ikhlas.
Seorang wanita yang belum berkahwin, yang berwawasan, berpemikiran positif, akan sentiasa mencari peluang melakukan kebaikan untuk masyarakat dan bermasyarakat. Shahidah mewakili kumpulan wanita yang berfikiran terbuka dan mahir didalam mengendalikan keadaan diri sendiri serta persekitaran kerana mempunyai kecerdasan emosi yang baik.
Kumpulan pertama ini memenuhi masa lapangnya dengan menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti samada untuk kebaikan sendiri, sanak saudara atau jiran disekeliling. Antara aktiviti mereka yang popular adalah menimba ilmu, samada ilmu kemahiran kehidupan ataupun berbentuk keagamaan. Satu perkara yang agak menonjol apabila terlibat didalam aktiviti masyarakat, sebahagian mereka akan mengambil kursus-kursus kaunseling didalam membantu masyarakat yang memerlukan. Ini didorong oleh statistik bentuk bantuan yang diperlukan oleh masyarakat kita seperti remaja, wanita bujang/ibu tunggal dan keluarga bermasaalah. Satu lagi aktiviti yang diminati oleh kumpulan ini adalah terlibat dengan aktiviti membantu/melawat/meraikan pesakit di hospital-hospital dan rumah orang tua. Mereka juga sering dilihat aktif didalam ‘NGOs’ dan selalu melakukan aktiviti berkumpulan.
Sebahagian wanita yang berkahwin, mempunyai tanggapan kumpulan pertama ini mempunyai kelapangan waktu yang dicemburui. Kadang-kadang digunakan sebagai alasan didalam melakukan sesuatu. Ini adalah fitrah manusia yang selalu meletakkan nilai yang tinggi pada pekara/benda yang tidak mereka dimiliki serta menjadikan alasan, yang belum tentu dimanfaatkan bila dimiliki. Mereka ini selalu terlepas pandang bagaimana memaksimakan pemilikan serta pontensi mereka sendiri.
Konsep yang sama perlu diadaptasikan oleh wanita yang belum berkahwin supaya tidak menjadikan alasan ‘wanita bujang’ untuk tidak bermasyarakat. Yang utama adalah pengurusan yang cekap samada masa, kewangan, kesihatan dan seumpamanya beserta ketahanan mental yang tinggi. ‘IQ’ yang tinggi semata-mata tanpa ‘EI’ juga tidak akan membantu kepada memenuhi keperluan dalam menangani permaslahan hidup pada hari ini.

Kelebihan kumpulan pertama ini adalah mereka mempunyai hati yang cekal, tabah dan progresif serta amat percaya dengan janji Allah di hari kiamat kelak seperti yang tersurat dalam Al qur’an surah Al Anbiya:
" Dan ingatlah kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil, untuk menimbang amal-amal makhluk nya pada hari kiamat, maka tidak ada sesiapa pun akan teraniaya sedikitpun, dan jika malnya itu sebesar biji swai sekalipun nescaya kami akan mendatanmgkan nya dan cukuplah kami sebagai poenghitung"
Kehadiran rakan, sanak saudara akan menceriakan hidup mereka dan merupakan elemen yang membantu didalam kehidupan untuk bermasyarakat. Kebanyakan mereka adalah professional, dibidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perakuanan serta kedoktoran.

Sakinah mewakili kumpulan wanita bujang yang pesimis, merasa terasing dan rendah diri. Meraka ini mungkin juga professional dan tidak. Kumpulan ini lebih suka menyendiri, melakukan aktiviti sendirian dan rasa selesa tidak terlibat dengan aktiviti masyarakat. Bila ini berlaku, mereka akan tersekat dari menikmati keseronokan bermasyarakat. Lebih merugikan potensi baik dalam diri mereka tidak dapat dicungkil untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Walaupun ada sebahagiannya menyedari iaitu dari ajaran Islam, ibadat untuk orangramai yang memerlukan adalah lebih baik dari untuk diri sendiri. Namun kerana kelemahan kecerdasan emosinya menghalanngnya untuk menyumbang amalnya disini.
Dari sudut saikologi, perasaan rendah diri adalah boleh dikawal. Individu tidak boleh menyalahkan orang lain atau keadaan persekitaran dalam kes ini sebab kuasa untuk berubah adalah milik individu. Ajaran Islam sekali-kali menolak sifat menyalahkan sesuatu atau keadaan apabila manusia itu ditimpa musibah. Didalam surah Al- Baqarah ayat terakhir, 286, awalannya; "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakan dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakan….."
Wanita perlulah membuat amal kebajikan dan bergaul dengan samada berstatus berkahwin atau bujang. Setiap wanita perlu mengambil peluang serta kesempatan untuk membuat amal kebaikan untuk masyarakat samada secara individu atau berkumpulan melalui berbagai-bagai saluran organisasi yang boleh disertai dinegara kita.

[Penulis adalah seorang Jurutera Telekom dan boleh dihubungi wjim@pd.jaring.my]

Wednesday, September 04, 2002

Memahami erti kemerdekaan sebenar


4/9/2002
Memahami erti kemerdekaan sebenar
Dr Suriya Osman

MELIHAT anak muda mengayuh basikal yang diikat dengan Jalur Gemilang,
membuat seorang tua tersenyum. Pak cik yang minum di kedai kopi
berkata, "Dulu kami tidak macam ini. Mana ada masa hendak beraksi
begini? Sekarang hidup senang!, Saya juga melihat aksi anak muda ini,
hari ini basikal, esok akan bermotosikal pula.

Terkenang kepada ipar saya yang keretanya remuk dilanggar seorang
anak muda yang sedang menguji motor tanpa lesen. Motosikal itu diubah
suai supaya berbunyi kuat dan mempunyai lebih kuasa! Anak muda yang
masih berpakaian sekolah hanya cedera sedikit pada kaki. Untung
sekali nyawanya tidak melayang sebab pemandu sempat membrek keretanya!

Apabila dibawa ke balai polis, saya memberikan `kuliah pendek' sambil
merenung anak muda berumur 16 tahun yang menggigil ketakutan dengan
ucapan saya tadi.

Ini rupanya konsep merdeka anak muda ini. Membawa motornya dengan
laju tanpa lesen. Mungkin dia sedang berlatih untuk membuat konvoi
motor pada 31 Ogos.

Ya! 31 Ogos tarikhnya bekas pekerja saya kehilangan anak remajanya
yang menemui ajal dalam satu kemalangan ketika menyertai konvoi motor
remaja yang terlalu riang menyambut kemerdekaan dengan cara mereka
sendiri.

Kebebasan tanpa batas menjejaskan kebebasan individu lain dan boleh
merosakkan diri sendiri. Namun demikian kita perlu lihat merdeka ini
dalam konteks hak dan tanggungjawab

Renungan ini menembusi jiwa saya dan membawa saya berfikir kembali
apakah sebenarnya erti `Merdeka'.

Semua orang tahu ia bermakna kebebasan. Tetapi apakah dia kebebasan.
Bolehkah kita menuntut kebebasan tanpa batasan atau kebebasan juga
mempunyai batasan? Adakah kebebasan segala-galanya atau lebih
berharga daripada kebebasan?.

Kebebasan mutlak adalah kebebasan manusia daripada diperhambakan oleh
manusia/makhluk lain. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah
Al Zaariyaat, ayat 56-58: "Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan supaya mereka menyembahku. Aku tidak sekali kali
menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan aku tidak menghendaki
supaya mereka memberi aku makan, sesunguhnya Allahlah yang maha
pemberi rezki yang mempunyai kekuatan dan sangat kukuh".

Rousseou, pernah mengatakan "Man is born free but everywhere he found
is chains" yang membawa maksud manusia itu dilahirkan merdeka, tetapi
merata rata manusia dijumpai terbelenggu!. Kenyataannya manusia hari
ini terbelenggu oleh nafsu mereka dan pengaruh kebendaan melampau.

Manusia tunduk kepada kekuasaan manusia lain, manusia terbelenggu
dengan adat resam yang merosakkan, manusia terbelenggu dengan
pemikiran yang mengongkong dan menzalimi diri mereka sendiri. Manusia
ini masih boleh memilih untuk terbelenggu atau merdeka. Pemilihan ini
melibatkan `pemerkasaan' diri, jati diri dan maruah, memerlukan
pengorbanan dan kekuatan jasad, mental dan rohani.

Kekuatan ini hanya akan dapat digarap jika manusia dapat membebaskan
diri daripada sikap `mengharapkan orang lain' selain Allah. Sebaik
saja dia bertekad untuk mengharapkan Allah semata-mata, satu kekuatan
tersendiri akan tercerna dalam diri mereka. Keputusan `untuk memilih'
yang dibuat adalah daripada suara hati nuraninya yang bersih dan
tidak tercemar oleh tarikan duniawi.

Terkenang juga kepada seorang pesakit saya (seorang Pengurus
Syarikat) yang menyinga marah apabila saya menolak permintaannya
untuk memasukkan bil rawatan anak saudaranya sebagai pesakit dalam
bil panel syarikatnyanya. "Maaf, encik, ini amanah, saya hanya boleh
merawat encik dan anak isteri encik." Sambil mendengus dengan suara
bengis dia membentak. "Saya Pengurus Syarikat dan ini akaun saya,
doktor patut ikut saja arahan saya".

Saya menjawab lembut: "Tidak mengapalah encik, bil rawatan anak
saudara encik ini dikira percuma sebagai ehsan klinik saya". Pengurus
itu terdiam, termalu seketika. Sebulan kemudian klinik saya menerima
surat penamatan kontrak klinik panel dengan syarikatnya yang
mempunyai cawangan di seluruh Malaysia. Walhal beliau hanyalah
pengurus di bandar kecil di mana terletaknya klinik saya.

Jelas dia menuntut kebebasannya untuk berbuat sesuka hati dengan
kemudahan yang sudah disediakan, namun saya terikat dengan amanah dan
kejujuran, demi setiap lafaz ketika sembahyang, "Inna solati wanusuki
wamahyaya wamati." Sesungguhnya sembahyang ku, hidupku dan matiku
adalah untuk Allah.

Saya boleh memilih dan mengambil jalan mudah lagi dan menguntungkan,
Ikut saja arahannya, klinik saya akan mendapat wang untung yang
lebih. Saya ingin merdeka untuk memilih jalan yang lurus dan mengelak
daripada jalan bengkok.

Saya mengunjungi pejabat bangunan Tabung Haji untuk membuat sedikit
pengeluaran. Gilang gemilang pejabat yang dihias untuk menyambut Hari
Kemerdekaan.

Tabung Haji suatu kejayaan kita! Sayang, pegawai yang melayani saya
nampak muram dan bengkeng. Belum makan barang kali. Itulah nasib saya
yang hanya ada masa waktu makan tengah hari!.

Saya mempersoalkan mengenai keuntungan dividennya yang agak rendah
dari tahun sebelumnya. Terlompat perkataan dari mulutnya. "Itu bukan
urusan saya, saya tak tahu menahu mengenainya". Mengapa begitu
sedikit sekali! Apa sebabnya? Boleh jadi, ada juga pelaburan yang
tidak bijak.

"Kasihan kamu banyak dimarahi pelanggan mengenai perkara ini," kata
saya. "Ya," jawabnya. Saya tersenyum. "Tetapi itu bukan salah kamu,"
kata saya lagi.

"Itu kata Puan, tetapi kami yang menjaga kaunter ini yang terpaksa
menghadapi kemarahan penyimpan," balasnya.

Saya berkata, "Punyalah banyak tahun mendapat pulangan lumayan, ini
baru sekali dapat pulangan sedikit, patut bersyukur."

Terukir sebuah senyuman pada bibir pegawai itu. "Kalaulah mereka
fikir macam Puan. Itu tengok rakan sekerja saya, sering pergi bilik
belakang dan menangis sebab dimarahi pelanggan". Saya cuma dapat
geleng kepala... "Merdeka dan bebas..."

Inilah yang diperkatakan oleh Ibni Arabi... "setiap harta kamu adalah
tuan kamu dan kamu adalah hamba kepada harta kamu." Aduh, rupa-
rupanya saya masih hamba! Belum lagi saya merdeka...


l PENULIS adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi di
wjim@pd.jaring.my