Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Thursday, September 25, 2003

Lapan pertimbangan atasi disiplin remaja

LAPAN PERTIMBANGAN ATASI DISIPLIN REMAJA

Sambungan dari salah pilih rakan , jurang generasi punca remaja liar, 24.9.2003

Pendidikan disiplin, khususnya dalam memberi hukuman secara fizikal, menimbulkan pelbagai pengaruh negatif kepada remaja. Pendidikan disiplin seperti itu menyebabkan remaja menjadi penakut, tidak ramah serta membenci orang yang memberi hukuman. Mereka juga kehilangan inisiatif dan akhirnya mencari alasan untuk melepaskan diri. Salah laku remaja boleh ditangani, tetapi perlu mengambil kira lapan aspek berikut:
· Keluarga
Keluarga adalah tempat pertama dan paling utama bagi anak dalam mendapatkan pendidikan. Kepuasan hubungan kekeluargaan anak dalam keluarga akan menentukan bagaimana dia akan bertindak balas terhadap lingkungan. Anak yang dibesarkan dalam keluarga tidak harmonis, sukar mengembangkan ketrampilan sosialnya. Ini dapat dilihat daripada kurang saling pengertian serta kurang mampu menyesuaikan diri dengan kehendak ibu bapa dan adik-beradik, kurang berkomunikasi secara sihat, kurang mengurus diri, kurang memberi dan menerima sesama adik-beradik serta dalam mengadakan kerjasama dan hubungan baik.
Sangat penting bagi ibu bapa menjaga hubungan sesama ahli keluarga agar selalu harmonis. Keharmonian tidak semestinya dikaitkan dengan keutuhan hubungan ibu bapa kerana dalam banyak kes, ibu bapa tunggal terbukti dapat berfungsi lebih baik dalam membantu perkembangan psikososial anak.
· Lingkungan atau kelompok
Anak harus diperkenalkan dengan lingkungan mereka sejak kecil. Ia merangkumi lingkungan fizikal (rumah dan perkarangan), sosial (tetangga), keluarga (keluarga primer dan sekunder), sekolah dan akhirnya masyarakat. Dengan pengenalan itu, anak mengetahui bahawa dia memiliki lingkungan sosial yang luas, tidak hanya ibu bapa tua, adik-beradik atau datuk dan nenek.
· Keperibadian
Penampilan lazimnya sering dikaitkan dengan manifestasi daripada keperibadian seseorang. Namun, dalam keadaan tertentu, apa yang lahiriah tidak selalu menggambarkan keperibadian sebenarnya.
Dalam hal ini, penting bagi remaja untuk tidak menilai seseorang berdasarkan penampilan semata-mata, sehingga orang yang memiliki penampilan tidak menarik, sering disisihkan. Di sini, penting bagi ibu bapa menanam dalam diri anak-anak mereka keutamaan menghargai bakat dan keunikan orang lain, tanpa menilai rupa diri, penampilan lahiriah dan keturunan.
· Rekreasi
Rekreasi adalah satu keperluan. Dengan rekreasi seseorang akan mendapat kesegaran fizikal atau spiritual, sehingga terlepas daripada rasa bosan untuk mendapat semangat baru.
· Pergaulan dengan rakan bukan sejenis
Bagi membolehkan anak berjaya menjalankan peranan sebagai ibu bapa selepas mereka dewasa, adalah penting sejak kecil mereka tidak dibatasi pergaulannya hanya dengan teman sejenis. Pergaulan dengan rakan bukan sejenis memudahkan mereka mengenalpasti tingkah laku serta peranan seks dalam persiapan berkeluarga. Namun, dalam bergaul dengan rakan bukan sejenis, mereka perlu diberi garis panduan agama dan sentiasa dipantau.
· Pendidikan
Pada dasarnya sekolah adalah institusi mengajar pelbagai ketrampilan kepada anak. Antaranya ketrampilan sosial yang dikaitkan dengan cara belajar cekap dan pelbagai teknik belajar yang sesuai dengan jenis pelajarannya. Dalam hal ini, peranan ibu bapa dalam menjaga agar ketrampilan itu tetap dimiliki anak dan dikembangkan terus-menerus sesuai tahap perkembangannya.
· Rakan sebaya
Ketika remaja, peranan dan pengaruh kelompok rakan sebaya bagi seseorang individu begitu besar. Lazimnya, remaja lebih kerap mementingkan urusan kelompok rakan sebaya berbanding urusan keluarganya.Ini adalah sesuatu yang normal selagi kegiatan itu bertujuan positif dan tidak merugikan orang lain.
Dalam hal ini orang tua perlu memberikan sokongan tetapi pada masa yang sama mereka perlu mengadakan pengawasan agar remaja dapat memiliki pergaulan yang luas dan bermanfaat bagi perkembangan psikososial.
· Kerjaya
Cepat atau lambat, setiap orang pasti akan menghadapi dunia kerjaya. Ketrampilan sosial untuk memilih lapangan kerja sebenarnya mesti disiapkan sejak anak masuk sekolah rendah. Melalui pelbagai pelajaran, mereka perlu mengenal pelbagai lapangan pekerjaan. Selepas masuk sekolah menengah, mereka perlu mendaapt bimbingan kerjaya untuk menentukan kerjaya masa depan.
Untuk membantu pertumbuhan kemampuan penyesuaian diri, anak sejak awak lagi perlu dibimbing untuk memahami dirinya sendiri. Begitu juga kesedaran kendiri (kelebihan dan kekurangannya) agar dia mampu mengendalikan dirinya hingga dapat
beraksi secara wajar dan normal.
Untuk memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan kelompok, tugas ibu bapa dan pendidik adalah membiasakan diri untuk menerima dirinya, menerima orang lain, tahu dan mahu mengakui kesalahannya.
Dengan cara ini, remaja tidak akan terkejut menerima kritikan atau maklum balas, mudah bercampur dalam kelompok dan memiliki kesedaran kendiri yang tinggi sehingga mudah diterima oleh orang lain.
Selain itu, anak harus dibimbing sejak kecil supaya dapat membantu menentukan keutamaan tugas yang harus segera diatasi, bukan menunda atau megalihkan perhatian pada tugas lain. Ini penting agar mereka dapat memilih yang mana penting atau kurang penting melalui pendidikan agama secara berdisiplin, tata tertib dan etika.


Oleh Noraini Shamsudin
Berita Harian, Wadah Wanita Islam, 25 September 2003.


Wednesday, September 24, 2003

Salah pilih rakan, jurang generasi punca remaja liar

24.9.2003
Salah pilih rakan, jurang generasi punca remaja liar
Oleh Norani Shamsudin

IBU bapa dan pendidik semakin buntu memikirkan kenakalan remaja yang
menjadi-jadi hari ini. Mengapa saban hari begitu ramai remaja
terbabit dengan dadah dan seks bebas? Tidak mungkinkah mereka
menurut saja budaya datuk nenek yang menjadi warisan adab dan akhlak
Melayu?

Semakin hari semakin semarak budaya Barat yang diikuti; terkinja-
kinja dengan gaya hip-hop (ranggi) dan sebagainya. Semakin hari,
remaja semakin `jauh’ daripada ibu bapa.

Kenakalan ini biasanya dilakukan oleh remaja yang gagal dalam
menjalani proses perkembangan jiwanya, baik pada saat remaja atau
zaman kanak-kanak.

Julat masa kanak-kanak dan remaja berlangsung begitu singkat
berbanding perkembangan fizikal, psikologi dan emosi yang begitu
cepat.

Secara psikologi, kenakalan remaja wujud daripada konflik yang tidak
diselesaikan dengan baik pada zaman kanak-kanak atau remaja.

Sering kali berlaku pengalaman traumatik pada masa lampaunya seperti
dikasari. Begitu juga, mereka terdedah dengan lingkungan atau trauma
yang tidak menyenangkan seperti kedudukan ekonomi yang membuatnya
berasa rendah diri.

Mengatasi kenakalan remaja bererti menatang kembali emosi remaja
yang terkoyak itu.

Trauma dalam hidupnya harus diselesaikan, konflik psikologi yang
tergantung harus dileraikan. Mereka harus diberi lingkungan yang
berbeza daripada sebelumnya.

Memahami perkembangan anak banyak membantu mengurangkan kenakalan
remaja.

Masa remaja adalah usia seseorang mula berintegrasi dengan orang
dewasa atau usia di mana anak tidak lagi berasa dirinya berada pada
tingkat lebih rendah daripada orang lebih tua, kecuali berada pada
tingkatan sama, yang sekurang-kurangnya dalam masalah hak.

Integrasi dalam masyarakat (dewasa) mempunyai banyak aspek
berhubungan dengan masa baligh. Ini termasuk juga perubahan
intelektual yang menonjol.

Remaja harus mengikuti kemahuan budaya muda apabila mahu diterima
kelompok sebayanya. Mereka juga harus mempelajari perilaku dan nilai
yang harus diubah sebelum diterima oleh budaya dewasa.

Setiap tahap usia remaja mempunyai tugas perkembangan yang harus
dilalui. Apabila seseorang gagal melaksanakan tugas perkembangan
pada usia sebenarnya, perkembangan pada tahap berikutnya akan
terbantut, lalu mencetuskan masalah pada diri remaja.

Pada usia ini, remaja cuba mencari penyesuaian diri dengan kelompok
sebayanya. Dia mula memerhati pendapat orang lain, selain
menginginkan kebebasan dan keyakinan diri.

Keperluan mencari identiti diri inilah membuatkan remaja bercelaru
lalu mereka mencuba perkara baru supaya diterima dan dihargai
kelompok sebayanya. Keadaan ini berlaku walaupun kadangkala ia
memberikan kesan negatif terhadap dirinya.

Dengan timbulnya pelbagai gaya hidup masa kini seperti hip hop,
rappers dan punk, ada remaja salah memilih gaya hidup yang mereka
inginkan. Mereka akan mengikuti aliran yang berlaku pada saat itu,
walaupun ia tidak sesuai dengan kata hati. Mereka mengikuti
kecenderungan itu semata-mata dapat diterima rakan sebayanya.

Akibat gaya hidup salah itu, berlaku banyak salah laku negatif
seperti penagihan dadah, pergaulan bebas, seks rambang dan
sebagainya yang banyak menyebabkan kehamilan luar nikah serta
jangkitan HIV/Aids.

Kenakalan remaja juga membabitkan aksi kekerasan. Aksi kekerasan ini
berlaku di mana saja seperti di rumah, jalan, sekolah, bahkan di
kompleks beli-belah. Aksi agresif membabitkan perlakuan secara lisan
seperti memaki hamun ataupun kekerasan fizikal seperti memukul dan
mencederakan. Oleh kerana aksi keganasan itu sering disaksikan
remaja, kebanyakannya menganggap ia perkara biasa.

Remaja yang terpengaruh dengan aksi kekerasan akan mengalami fikiran
kejam seperti perasaan mahu menyerang ketika marah, menumbuk,
menghancurkan atau melempar sesuatu dan ia menjadi tidak terkawal
serta agresif sebagai tindak balas terhadap marah.

Kekecewaan, kesakitan fizikal, ejekan, penghinaan atau ancaman
sering memancing marah dan akhirnya mengarah tindakan agresif.

Anak sering kali mengejek ketika bermain, begitu juga dengan remaja.
Biasanya mereka mula saling mengejek dengan ringan sebagai bahan
bahan tawa. Kemudian yang diejek ikut membalas ejekan. Lama kelamaan
ejekan semakin panjang dan terus-menerus dengan ketegangan yang kian
tinggi, bahkan sering disertai kata-kata kotor dan cabul.

Ejekan ini semakin hangat apabila rakan yang menjadi penonton, turut
memanaskan situasi. Akhirnya, apabila salah seorang tidak dapat
menahan marahnya, dia mula menyerang lawannya.

Ada beberapa faktor biologi yang mempengaruhi peri laku agresif.

l Faktor genetik berpengaruh dalam pembentukan sistem neural otak
yang mengatur perilaku agresif. Daripada penelitian terhadap haiwan,
faktor keturunan menyebabkan haiwan jantan lebih mudah marah
berbanding betina.

l Sistem otak yang tidak terdedah dalam perlakuan agresif, ternyata
dapat menguat atau menghambat sirkit neural yang boleh mengendalikan
serta mengawal perlakuan agresif sehingga muncul hubungan timbal
balik antara kenikmatan dan kekejaman.

Prescott (Davidoff, 1991) menyatakan orang yang berorientasikan
kenikmatan kurang melakukan agresif sedangkan orang yang tidak
pernah mengalami kesenangan, kegembiraan atau santai, cenderung
untuk melakukan kekejaman.

Keinginan kuat untuk `menghancurkan’ kerana mereka dinafikan untuk
menikmati sesuatu rangsangan `kenikmatan’ ketika bayi, menyebabkan
berlaku `kecederaan otak’.

l Kimia darah

Kimia dalam badan yang ditentukan oleh faktor keturunan juga dapat
mempengaruhi perilaku agresif. Dalam eksperimen suntikan hormon
testosteron terhadap tikus dan beberapa haiwan lain (testosteron
ialah hormon androgen utama yang memberikan ciri kelamin jantan),
didapati tikus itu lebih kuat dan sering berkelahi. Ketika
testosteron dikurangkan, haiwan itu menjadi lebih lembut.

Selain itu, faktor luaran turut mempengaruhi perilaku seseorang.

l Jurang generasi

Adanya perbezaan atau jurang pemisah antara anak dengan ibu bapa
dapat dilihat dalam bentuk hubungan komunikasi yang semakin minimum
dan sering kali tidak berhubungan. Kegagalan komunikasi keibubapaan
terbukti menjadi salah satu penyebab anak mempunyai perilaku agresif.

l Kemiskinan

Kemiskinan yang menghimpit menyebabkan ada kalanya anak meniru `cara
agresif’ ayah seperti memukul isteri, anak dan sebagainya.

l Anonimiti

Kehidupan di kota mencetuskan sikap atau budaya jaga tepi kain
sendiri. Keadaan ini menyebabkan individu lebih berani melakukan
sikap agresif kerana tiada sesiapa berhak menegurnya.

l Model kekerasan

Perilaku anak juga banyak dipengaruhi aksi ganas di televisyen dan
permainan video. Model pahlawan yang dipaparkan dalam filem sering
ditiru atau menjadi imbalan anak selepas watak itu bertindak keras.
Bahan mainan di pusat membeli-belah juga menjadi ikutan anak
bersikap agresif. Ibu bapa lazimnya tidak begitu peduli jenis mainan
yang diminta anak. Kepada ibu bapa, apa yang lebih penting anak
gembira dan tidak menangis lagi. Mereka tidak menyedari permainan
sangat berkesan dalam memperkuat peri laku agresif anak pada masa
akan datang.
Bersambung

PENULIS adalah perunding pendidikan dan motivasi serta boleh
dihubungi melalui wanitajim0-@y...


Wednesday, September 17, 2003

Berprasangka baik terhadap wanita lambat berkahwin

17/9/03
Berprasangka baik terhadap wanita lambat berkahwin
Oleh Roha Hassan

BERKAHWIN lambat atau tidak berkahwin langsung bukan lagi perkara baru dalam masyarakat kita. Perkara itu kerap dibincangkan dari semasa ke semasa kerana timbul keresahan di kalangan sesetengah pihak mengapa keadaan sebegini berlaku.

Perangkaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000 menunjukkan pa-da 1981 sehingga 1990, 43.2 peratus golongan muda iaitu 20 hingga 34 tahun belum berkahwin.

Pada 1991 sehingga 2000 pula, 48.1 peratus golongan muda belum berkahwin dengan 68.5 peratus daripadanya adalah wanita.

Perangkaan itu turut menunjukkan umur minimum perkahwinan pada 1980 ialah 26.2 tahun bagi lelaki dan 23.5 tahun bagi wanita.

Pada 1991, lelaki (28.2 tahun) dan wanita (24.7 tahun). Pada tahun 2000 pula, lelaki (28.6 tahun) dan wanita (25 tahun).

Fenomena berkahwin lambat ini memberi tekanan yang lebih besar terhadap wanita berbanding lelaki. Ini disebabkan sikap sesetengah pihak yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan insan lain.

Ada pelbagai kes dan peristiwa yang membabitkan wanita bujang ini, termasuk dengan janji manis untuk mencarikan pasangan atau berjanji untuk berkahwin yang akhirnya berakhir dengan tragedi penipuan, penderaan, perkosaan dan sebagainya.

Sikap sesetengah orang dan masyarakat yang melabelkan wanita yang lanjut usia, tetapi masih bujang dengan ungkapan andartu (anak dara tua) dan andalusia (anak dara lanjut usia), di samping cemuhan lain, turut membebankan minda dan jiwa mereka.

Mengaitkan golongan ini dengan maksiat secara membuta tuli juga adalah tindakan yang tidak rasional.

Namun, masih ramai yang prihatin dengan nasib golongan ini.

Mereka termasuk kepemimpinan negara, badan bukan kerajaan (NGO), tokoh agama dan masyarakat turut menyuarakan kebimbangan terhadap kadar wanita membujang yang semakin meningkat. Pelbagai cadangan diberikan termasuk menubuhkan agensi mencari jodoh dan poligami.

Yang pasti antara kebimbangan yang diutarakan ialah golongan ini terjebak dengan pelbagai gejala maksiat, ditipu atau diperdaya dan menghadapi tekanan jiwa.

Di antara faktor yang disebut oleh sesetengah pihak terhadap fenomena wanita hari ini yang lambat berumah tangga ialah revolusi pendidikan, peluang pekerjaan kepada wanita yang terbuka luas, memikul tanggungjawab keluarga untuk menyara ahli keluarga dan kriteria yang terlalu ideal terhadap calon sua-mi.

Faktor lain ialah tiada desakan berkahwin oleh keluarga, kepuasan dalam kerjaya yang menganggap perkahwinan satu kongkongan dan terpengaruh dengan kisah keruntuhan dan penderaan dalam rumah tangga.

Sikap ramai lelaki yang curang dan suka berfoya-foya, kegagalan bercinta, kurang yakin dengan lelaki yang dikatakan kurang berkualiti dan tidak dilamar turut menyebabkan wanita ini lambat atau tidak berkahwin.

Dalam hal ini renungi firman Allah maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isterimu daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang...” – (Surah ar-Rum, ayat 21).

Sabda Rasulullah, maksudnya: “Wahai sekalian pemuda (pemudi)! Sesiapa di kalangan kamu hari ini sudah mampu untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin, kerana yang demikian itu mampu menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan...” – (Hadis riwayat Mottafaq’ Alaih).

Ayat al-Quran dan hadis di atas dalil yang menunjukkan kepentingan dan hikmah di sebalik perkahwinan. Bagaimanapun, sebagai insan kita juga tidak dapat menafikan ketentuan Allah terhadap kehidupan setiap manusia.

Manusia sama sekali tidak dapat menentukan apa yang akan berlaku dalam hidupnya walaupun sesaat. Semuanya dalam pengetahuan dan urusan Allah. Manusia disuruh berusaha dan ketentuan adalah di atas kehendak Allah. Kita diperintahkan Allah untuk berusaha sedaya upaya dan barulah bertawakal kepada-Nya.

Daripada kita menuduh atau membuat andaian sendiri terhadap fenomena lambat berkahwin ini atau memandang serong terhadap golongan wanita itu adalah lebih baik sekiranya:

- Ada satu badan, unit atau individu yang bersesuaian, sama ada dari jabatan kerajaan atau NGO mengkaji dan membuat analisis yang lebih tepat dan bersepadu terhadap faktor yang memungkinkan berlakunya fenomena ini. Seterusnya, mencadangkan langkah berkesan untuk mengurangkan fenomena ini.

- Masyarakat dapat memainkan peranan positif dengan menjauhkan pandangan serong dan bersangka baik terhadap golongan wanita yang lambat berkahwin. Mungkin mereka tidak mempunyai pilihan, selain membujang.

Sebagai manusia kita tidak boleh menafikan ada insan yang ditakdirkan berkahwin pada usia muda, lewat atau langsung tidak sempat berkahwin kerana dipanggil pulang awal menghadap Allah.

- Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberikan pendidikan secara langsung dan tidak langsung akan hikmah dan kebaikan dalam perkahwinan. Seterusnya pada usia yang sesuai, contohnya, apabila anak gadis memasuki usia awal 20-an, ibu bapa harus berusaha menjodohkan anak perempuan masing-masing.

Sabda Nabi maksudnya: “Kanak-kanak itu disembelihkan akikahnya pada hari ketujuh daripada kelahirannya dan diberi dengan nama yang baik-baik, dan dihindarkan dia daripada perkara yang memudaratkan. Apabila berusia enam tahun hendaklah diberi pendidikan akhlak, apabila sampai umurnya sembilan tahun hendaklah diasingkan tempat tidurnya. Apabila dia meningkat ke umur 13 tahun hendaklah dipukul bilamana dia meninggalkan solat dan puasa, dan apabila sampai umurnya 16 tahun, eloklah bapanya mengahwinkannya.” – (Hadis riwayat ibnu Hibban; lihat buku karangan Abdullah Nasih ‘Ulwan bertajuk Tarbiyyatul Aulad jilid 1).

- Wanita sendiri harus mempelajari dan memahami hikmah atau kemuliaan di sebalik perkahwinan. Antara kelebihan itu ialah:

Menjauhkan diri daripada zina, maksiat dan fitnah. Sabda Rasulullah, maksudnya: “Apabila datang (melamar) kepadamu orang yang kamu sukai akhlak dan agamanya, maka kahwinilah dia. Kalau tidak engkau perbuat (demikian) akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang luas.” – (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).

Ada banyak kelebihan dan pahala menjadi seorang isteri. Sabda Nabi maksudnya : “Apabila seorang isteri menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menjaga kehormatannya dan menghormati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang kamu sukai.” – (Hadis riwayat Ahmad).

Zuriat penyambung perjuangan – perkahwinan adalah satu ibadat yang darinya akan menghasilkan zuriat penyambung perjuangan dan warisan.

Dapat meningkatkan kematangan, di samping meringankan bebanan. Ia juga membantu dari sudut fizikal, minda dan jiwa pasangan suami dan isteri.

Bagi wanita bujang yang berusaha tetapi masih belum ditemukan jodoh disarankan supaya:

- Bersangka baik terhadap Allah dan melihat masa bujang sebagai masa lapang yang dianugerahkan oleh Ilahi.

- Bersabar dengan ketetapan Ilahi dengan mengkaji segala kebaikan di sebaliknya.

- Membanyakkan zikir dan menambahkan ibadat. Zikir dan ibadat dapat mengukuhkan iman.

- Memelihara diri daripada maksiat dengan mengisi masa lapang dengan kegiatan bermanfaat. Contohnya, menghadiri kuliah agama, menjadi ahli mana-mana persatuan yang berdaftar dan menawarkan kegiatan kemasyarakatan atau nahi mungkar.

- Memahami ciri jodoh seperti yang digariskan agama. Tidak terlalu memilih dan meletakkan kriteria yang terlalu ideal untuk calon suami.

- PENULIS adalah pegawai latihan dan sumber manusia dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, September 10, 2003

Perubahan sikap cara tangani tekanan emosi

10/9/03
Perubahan sikap cara tangani tekanan emosi

Oleh Dr Suriya Osman

APABILA rasa takut, marah, tertekan dan berlaku perubahan emosi secara
tiba-tiba, badan kita mengeluarkan adrenalin. Secara fisiologi kita akan
menunjukkan reaksi dan bersedia untuk melawan atau cabut lari (fight or
flight).

Jantung berdebar kerana kadar kelajuan jantung bertambah, pengaliran
darah ke perut dan otak berkurangan. Pengaliran darah ke otot bertambah!


Jika ada perasaan takut, aliran darah ke kulit berkurangan, muka menjadi
pucat. Jika marah, tekanan darah bertambah, badan menjadi panas dan
pembakaran makanan yang menjana tenaga meningkat (insulin banyak
dikeluarkan untuk memproses gula dalam darah).

Reaksi badan sebegini berpunca daripada tindakan refleks yang wujud
dalam badan manusia sejak azali (ciptaan Allah). Ini adalah satu
mekanisme survival.

Cara manusia menghadapi musuh berbeza menurut zaman dan perkembangan
teknologi. Pada zaman silam manusia menghadapi musuh atau binatang buas
yang menyerang dengan tenaga fizikal.

Kita memerlukan tenaga yang banyak. Demikian juga aliran darah ke otot,
untuk bersedia kalau dilukai atau digigit binatang atau musuh lain.
Darah pada kulit perlu kurang supaya pendarahan tidak kencang dan mudah
berhenti.

Pada masa ini, musuh kita datang dalam pelbagai bentuk. Di antaranya
pengaruh dan kesan buruk komputer dalam kehidupan. Kerja pejabat yang
menimbun, tarikh tamat kerja yang tidak ada hentinya, berkejar-kejar
dengan mesyuarat dan berperang dengan kesesakan lalu lintas. Maka,
reaksi 'fight fright or flight' menjadi suatu liabiliti.

Ini lebih-lebih lagi, apabila keadaan tekanan (stress) berpanjangan dan
adrenalin serta insulin sentiasa dirembeskan. Akibat tindak balas ini
adalah 'penyakit'.

Organ yang sentiasa kekurangan darah akan menjadi lemah dan tidak
keruan. Organ yang mendapat lebih darah pun akan mengalami 'kesesakan'.
Contohnya, perut yang kurang mendapat aliran darah menjejaskan
penghadaman, penyerapan dan perkumuhan (pembuangan toksin).

Apabila keadaan gangguan emosi berterusan, sistem pengeluaran hormon
mula menunjukkan kesan bebanan emosi dan ini menjejaskan fungsi badan.
Tanda bebanan ini menimbulkan gejala seperti keadaan sentiasa letih dan
penat serta cepat marah, gangguan penghadaman, sembelit, terlalu kurus
atau gemuk dan gangguan tidur.

Keadaan ini apabila berlarutan bertahun-tahun lamanya tanpa reda akan
menimbulkan penyakit kronik.

Evolusi penyakit yang disebabkan perubahan emosi boleh difahami dengan
melihat kepada satu contoh penyakit seperti kencing manis.

Tekanan perasaan akan menyebabkan kadar hormon insulin sering meningkat,
sementara gula dalam darah sering rendah. Individu ini akan ketagihan
gula. Ini kerana kadar gula dalam darah kurang disebabkan pengeluaran
insulin berlebihan yang dicetuskan oleh tekanan emosi. Lama kelamaan
organ pengeluaran insulin akan 'kelelahan' (exhaustion) dan pengeluaran
insulin akan berkurangan sehingga tidak dapat menunaikan keperluan
badan. Dengan ini penyakit diabetes bermula.

Perlu dielak pengambilan gula yang mudah serap seperti glukosa dan
sukrosa. Kebanyakan penyakit kronik mempunyai rentetan yang bermula
dengan tekanan yang akhirnya menyebabkan degenerasi organ tertentu dan
seterusnya menghasilkan penyakit.

Soalan sekarang, jika demikian, apa yang boleh dilakukan untuk meredakan
tekanan emosi apabila sentiasa menghadapi keadaan dan keadaan yang
menimbulkan tekanan dalam kehidupan seharian?

Banyak kajian menunjukkan bahawa faktor yang menyebabkan tekanan bagi
seorang mungkin tidak menyebabkan tekanan kepada orang lain.

Jadi faktor yang menyebabkan tekanan, bukan semata-mata kerana keadaan
yang tegang atau sukar, tetapi sikap seseorang itu melihat atau
menanggapi sesuatu keadaan.

Contohnya, Suzana tidak cekap memandu dan tidak suka memandu. Jadi,
apabila tahu perlu bekerja luar, dia mula berasa tertekan. Malam sebelum
perjalanan, dia susah tidur, selera makannya kurang dan kaki tangannya
sejuk.

Lain pula dengan Jo. Jo minat memandu dan menganggap memandu kereta
jarak jauh sebagai sesuatu yang menggembirakan. Maka, apabila diberi
tugas luar, dia tidak mengalami sebarang tekanan. Kerja berat dan susah
bagi Suzana adalah kerja yang menggembirakan dan ringan pula bagi Jo.

Tekanan bukan disebabkan semata-mata keadaan luaran tetapi tindak balas
dari badan sendiri terhadap sesuatu rangsangan. Jadi kita harus meneliti
semula reaksi badan kita ini.

Sebenarnya ada jalan untuk mengubah tindak balas badan iaitu dengan
perubahan sikap yang hanya boleh timbul selepas mengenali diri, reaksi
badan dan mengenal pasti apa yang menyebabkan reaksi tekanan.

Reaksi badan terhadap rangsangan berlaku sejak dari bayi dan berbeza di
antara seorang individu dengan yang lain. Ia bergantung kepada
pengalaman yang dilalui dan tentunya berbeza walaupun dari keluarga yang
sama.

Faktor dalaman yang menjadi reaksi terhadap rangsangan bukan perkara
kecil dan kita boleh faham mengapa ada ayat al-Quran yang berbunyi
"Allah tidak akan mengubah nasib sebuah kaum kecuali mereka mengubah apa
yang ada dalam diri mereka."

Apabila reaksi terhadap rangsangan luaran tidak sesuai (seperti yang
berlaku pada Suzana), maka kita akan kurang berkesan dalam menangani
masalah dan asam garam hidup. Kita mula menyalahkan nasib malang dan
tidak melihat ini sebagai masalah diri yang perlu ditingkatkan. Maka,
rangsangan dan tindak balas yang dilakukan menjadi tidak sesuai.

Apakah strategi yang mudah kita lakukan untuk menangani tekanan.

- Memahami bahawa perubahan sikap adalah perlu.

- Bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan dan reda atas segala
dugaan serta sentiasa melihat kepada kelebihan, jangan memikirkan
kekurangan.

- Mengenali reaksi badan dan memahami ada masanya reaksi badan tidak
sesuai serta berusaha mengubah reaksi badan dengan melakukan teknik
pernafasan melalui latihan jasmani (breathing exercise) dan rohani
melalui tafakur.

- Ada masanya kita tertekan oleh perangai orang lain, dia tidak seperti
yang kita sangka, sebab perangai dan perbuatannya lain daripada hakikat.
Terimalah hakikat dan buangkan pengharapan kita. Terimalah semua manusia
seadanya. Terimalah perbezaan pendapat dengan cara yang baik dan bertata
susila.

- Faham bahawa kita boleh mengubah diri sendiri dan hanya dengan
perubahan diri yang kita dapat menangani emosi dan keadaan apa juga pun.
Kita tidak boleh mengubah diri orang lain.

- Dapatkan kekuatan dan ilham diri dari tafakur, solat dan doa. Belajar
cara yang paling berkesan untuk melakukan segala ibadat ini.

- Belajar untuk bersabar dengan kerenah manusia sebagaimana Rasulullah
bersabar dengan penduduk Taif yang melemparnya dengan batu. Namun,
Baginda berdoa :"Ya Allah, ampunkanlah mereka kerana mereka tidak
ketahui apa yang mereka lakukan."

Selepas mengetahui faktor emosi dalam evolusi penyakit, jelas bahawa
kesihatan kita bergantung kepada suatu perubahan dalam diri untuk
menjadi seorang beriman dan bertakwa serta penuh pergantungan kepada
Allah.

- PENULIS ialah doktor perubatan persendirian dan boleh dihubungi
melalui wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, September 03, 2003

Melayani pembantu rumah berlandaskan sunnah

3/9/03
Melayani pembantu rumah berlandaskan sunnah
Oleh
Endok Sempo bt Mohd Tahir
“ Kak Yati, saya tak datang ke pejabat hari ni”.
“ Kenapa?”
“Sebab pembantu rumah saya lari, tidak ada siapa yang nak jaga anak saya dirumah ni”
Perbualan di atas adalah perkara biasa didengari apabila seseorang pembantu rumah tiada. Kita menjadi patah kaki untuk ke pejabat. Terasa penting betul pembantu rumah kita, Tanpanya kita tidak mampu meneruskan tugas ke pejabat.
Sering juga kedengaran kepada kita tentang pembantu-pembantu rumah yang mengalami penderaan samada disakiti, dipukul, dikurung tanpa makanan untuk beberapa hari dan berbagai masalah sosial yang berlaku ke atas mereka. Tambahan pula ada di antara mereka yang datang dari jauh untuk mencari sesuap nasi bagi menyambung hayat di samping belanja untuk anak-anak dan orang yang ditinggalkan semasa mereka berkelana di negara orang. Kenapakah terjadi demikian? Sedangkan kita adalah umat Islam dan mengaku pula sebagai di antara negara Islam yang terbaik dan termoden bahkan negara contoh bagi umat-umat Islam dari negara lain? Ini juga merupakan satu masalah sosial yang perlu dilihat dan ditangani secara bijak. Tidak kurang pula kita baca dalam akhbar-akhbar harian dan media elektronik mengenai aduan polis telah dibuat oleh pembantu-pembantu rumah dan tindakan-tindakan ke atas majikan yang tidak setimpal dengan apa yang mereka lakukan.
Sebagian besar kita (termasuk saya) memandang sebelah mata pada pembantu rumah kita. Mereka, yang biasanya berpendidikan rendah, seringkali dilupai jasa-jasanya. Anak anak kecil kita dijaga dengan kasih sayang, baju yang licin diseterika, lantai rumah yang bersih, hasil cucian yang harum adalah sebahagian dari hasil kerja mereka. Tapi, kerapkali kita lupa berterima kasih kepada mereka. Kita hanya menyuruh-nyuruh dan memerintah mereka umpama seorang raja kepada rakyatnya.
Belum selesai satu pekerjaan, kita sudah menyuruhnya dengan deretan pekerjaan yang lain,sehinggakan kadang kadang kita lupa bahwa tangan mereka hanya dua. Ada pula kadangkala kita menambahkannya dengan bentakan-bentakan yang mungkin tidak pernah dikeluarkan oleh orang-orang yang mencintainya, hanya kerana satu kesalahan kecil, misalnya pakaian terkoyak kerana salah menggosok.
Namun kadang kadang saya terfikir juga, siapalah tahu ibadah mereka lebih ikhlas dari kita, yang memiliki ilmu yang sedikit tetapi mengamalkannya, berbeza dengan kita yang diberi ilmu yang lebih banyak dari mereka tapi jarang mengamalkannya. Kita lebih bangga diri dan kurang mensyukuri nikmat yang telah diberikan kepada kita.
Disisi Allah, taraf kita sesama insan sama sahaja nilainya kecuali mereka yang beriman dan bertakwa serta beramal solih. Kita tidaklah harus mendera pembantu-pembantu rumah itu kerana mereka juga adalah manusia yang mempunyai perasaan dan jiwa raga yang perlu dijaga dan dibelai seperti manusia lainnya. Mereka juga adalah makhluk Allah yang hidup dan matinya adalah di tangan Allah. Mereka bukan dijadikan untuk diperhambakan, tetapi untuk membantu kita menyelesaikan kerja yang tidak dapat kita laksanakan dengan sempurna. Tanpa mereka perjalanan hidup kita mungkin pincang, kerana tiada siapa lagi yang dapat membantu kita.
Dengan sedikit gaji yang kita berikan sekitar RM400 , kita sudah bertindak seperti seorang yang seolah-olah memiliki dunia mereka. Tetapi siapa tahu mereka malah mendo’akan kita agar dosa-dosa kita diampuni oleh ALlah, agar kita diberi rezeki yang melimpah ruah.
Kenapa kita begitu memandang rendah mereka, sedangkan para pembantu itu menjadi tumpuan harapan anak-anak kita dan keluarga kita, meringankan kerja kerja kita, dan mungkin lebih mulia dari kita di mata Allah. Ya Allah, ampunilah hamba-Mu ini yang sering menghinakan makhluk-Mu yang lain.
Ini menginggatkan saya terhadap tuntunan Rasulullah SAW yang begitu menghormati para pembantunya. Rasulullah SAW, semulia-mulia manusia, tidak pernah berkata kasar apalagi mendera pembantunya. Jika baginda boleh melakukan sendiri suatu pekerjaan itu, maka baginda akan mengerjakan sendiri pekerjaan tersebut. Jika baginda memerintahkan suatu pekerjaan tetapi yang disuruh tidak mahu melakukannya , maka baginda tidak mudah marah, sebaliknya baginda akan melakukannya sendiri. Malah Rasulullah makan bersama-sama dengan pembantunya. Ini adalah sebahagian yang Rasulullah tunjukkan dalam kehidupannya sehari-hari.
Dengan bersikap demikian tentunya mereka akan lebih menghormati tuannya dan terjalinlah perasaan saling menghormati dan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab serta kejujuran.
Jadi tidaklah timbul masalah seperti pembantu rumah curi tulang, mencuri harta tuannya hatta melarikan barang-barang kemas atau anak tuannya yang masih kecil. Inilah cara Islam dalam menangani masalah sosial dikalangan pembantu rumah. Jika kita mempraktikkannya, kita tidak perlu mencari penawar yang lain bagi menangani masalah ini. Cukuplah dengan sebuah hadis dari Rasulallah saw yang bermaksud, “ Sesungguhnya khadam (pembantu) kamu adalah saudara-saudara kamu . Mereka Allah jadikan di bawah kekuasaanmu. Maka barangsiapa yang ada khadam di bawah kuasanya, maka hendaklah dia memberi makan apa yang dimakannya, dan hendaklah memberikan pakaian apa yng dipakainya. Dan janganlah kamu bebankan mereka dengan perkara yang memberatkan mereka. Jika kamu membebankan mereka dengan suatu perkara yang berat, hendaklah kamu menolong mereka itu (Hadis riwayat AlBukhari).”
Tentunya ada yang tidak mampu meniru tuntunan Rasulullah seratus peratus dalam menggauli pembantunya, tapi setidak-tidaknya nya kita berlaku lembut dan tidak mengkasarinya apabila kita menyuruh mereka. Namun jika mereka melakukan kesalahan , mungkin kerana mereka belum tahu dan mahir melakukan sesuatu kerja, hendaklah kita tegur mereka dengan cara yang baik. Tunjukkkan cara cara yang betul dan berikan contoh dalam melakukan suatu pekerjaan, jangan lah lemparkan dengan ucapan atau perbuatan yang menyakiti mereka, agar kita tidak ditanya di hadapan Allah di hari akhirat kelak. Jangan ragu atau merasa sombong untuk meminta maaf pada mereka jika kita bersikap salah terhadap mereka karena itu bukanlah perbuatan yang hina. Malah kita kan menjadi hina di sisi Allah kerana menyakiti mereka dan tidak meminta maaf.
Seorang hukama berkata: “Hitunglah rahmat Allah jangan lah menghitung kesusahan yang menimpa”. Jadi pada saya sebenarnya pembantu rumah kita adalah pahlawan tanpa pujian – The unsung Heroes.
[Penulis boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com]