Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, August 28, 2002

Penguasaan ICT suburkan budaya ilmu

28/8/2002
Penguasaan ICT suburkan budaya ilmu
(Hjh. Norhayati Sidikah Abu Bakar)


Saya bertuah berkesempatan menghadiri Majlis Perasmian Bulan Membaca yang berlangsung di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM baru-baru ini Majlis ini disempurnakan oleh Yb Dato’ Hj Mohd Khalid Mohd Yunus, Tim. Menteri Penerangan Malaysia dan seterusnya beliau melancarkan Kempen Mesra Pelanggan Perpustakaan dan meyampaikan Anugerah Pencinta Ilmu. Seterusnya Naib Canselor UKM Y. Bhg Prof. Datuk Anuwar Ali bagi pihak UKM telah menerima penyerahan koleksi sumbangan dari 4 orang penyumbang iaitu Datuk (Dr) Zainal Abidin Abdul Wahid, Dato’ Dr Mohd Noordin Hj Keling, Prof Madya Dr Abd Halim Muhammad dan allahyarham bapa saya, Ustaz Abu Zaky Fadzil.

Saya amat tertarik membaca profail pribadi para penyumbang koleksi dimana masing-masing begitu aktif menabur bakti dalam bidang masing-masing dan seterusnya bermurah hati untuk menyumbang koleksi buku-buku yang ditulis sendiri mahupun yang telah dikumpul bertahun-tahun. Dari perbualan ringkas bersama tokoh-tokoh ini mereka rata-rata membaca tidak kurang dari 20 buah buku sebulan. Ini belum lagi dikira dengan bahan-bahan yang perlu dirujuk untuk menghasilkan sesuatu kertaskerja , penyelidikan , jurnal dsbnya.

Dari contoh di atas sudah pasti tidak dinafikan bahawa kejayaan individu, masyarakat, umat dan negara bergantung kepada kekuatan ilmu. Islam melalui al qur’an dan hadis menganjurkan supaya umatnya membudayakan diri dengan ilmu.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Darda:

:”Jadikanlah dirimu orang yang berilmu (guru) atau penunjuk atau pendengar, janganlah jadi orang yang keempat,engkau akan binasa. Yakni tidak tahu, tidak belajar dan tidak mahu mendengar.”






Apakah yang kita fahami dengan budaya ilmu? Budaya ilmu membawa erti perlu ada satu suasana di mana setiap orang dalam satu-satu masyarakat melibatkan diri dengan kegiatan ilmu seperti mencintai ilmu, gigih menimba ilmu,menyebar dan mengamalkannya.Dimasa yang sama meletakkan ilmu sebagai ukuran pada setiap tindakan bukannya hawa nafsu..

Firman Allah SWT:

“ Bacalah dengan nama tuhanmu yang telah menciptakan, telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu amat pemurah yang mengajar menulis dengan pena”

al Alaq:1-4

“Iqra, adalah ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Junjungan Terpuji, Muhammad SAW yang bermaksud “bacalah” atau “bacalah dengan nyaring”.Membaca membawa erti sangat mendalam iaitu memerhati isi yang ditulis atau dicetak dengan teliti serta berfikir bagi memahami kandungannya.Sejarah telah membuktikan bahwa perkembangan dan kecemerlangan Islam dalam abad pertengahan dicirikan oleh ilmu. Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap lelaki dan perempuan sehingga melahirkan generasi gemilang iaitu generasi para sahabah yang telah membaca dan mengamalkan setiap ayat-ayat yang terdapat dalam al Qur’an

Firman Allah:
“Apakah tidak mereka melihat unta bagaimana ia dijadikan?”
Dan kepada langit bagaimana ia ditinggikan?
Dan kepada bukit bagaimana ia ditegakkan?
Dan kepada bumi bagaimana ia dihamparkan?

Al Jaathiyah:17-20





Allah mengesa manusia agar mencari jawapan kepada soalan-soalan yang dilontarkan . Dan manusia pula mencari jawapan dengan mengkaji, menyelidek, mencatat dan merumuskan pemerhatian mereka dan akhirnya dicetak untuk menjadi sumber rujukan yang amat bernilai bagi generasi terkemudian.


Inilah sebenarnya yang telah dilakukan oleh para cendiakawan Islam dahulu dimana pada awalnya mereka hanya menyalin dan menterjemahkan buku-buku dari bahasa Greek, Parsi, Mesir dan India berupa tulisan pujangga seperti Aristotle, Socrates, Plato, dll. Diantara penterjemah yang ulung ialah Hunain ibn Ishak(809-873M)seorang pendita dari Hiraq(Iraq).

Islam telah mencapai tahap keilmuan yang tinggi dalam berbagai bidang seperti falsafah, perubatan, kajituhan, ilmu hisab, kimia, botani, kajihaiwan, ilmu alam, hadis, sejarah, tafsir, akhlaq sosiologi, bahasa dan banyak lagi malangnya kini semua keagungan ini hanya tinggal kenangan sahaja. Hari ini orang-orang barat dan bukan Islam pula yang sedang menikmati ilmu-ilmu ini dengan menambahkan lagi kajian dan penyelidikan serta mendokumentasinya. , sedangkan umat Islam leka menghabiskan sisa hidup yang berharga ini dengan berhibur dan melakukan aktiviti yang tidak menyumbang kepada budaya ilmu Mengapakah ini terjadi? Sedangkan Rasulullah saw telah menunjukan contoh bagaimana baginda menghormati ilmu. Baginda mengenakan syarat kepada tawanan perang yang mereka akan dibebaskan, kalau mereka sanggup mengajar 10 orang anak orang Islam.Tradisi mencintai ilmu ini diteruskan oleh Saidina Abu Bakar, dengan usaha pengumpulan al qur’an diikuti oleh Saidina Omar dan dilengkapi oleh Saidina Otmana. Manakala Khalifah Omar Abdul Aziz pula memainkan peranan mengumpul hadis-hadis Rasulullah









Dalam era teknologi maklumat, penguasaan kemahiran teknologi maklumat dan ICT adalah amat penting untuk memanfaatkan sepenuhnya kekayaan sumber maklumat yang boleh diakses secara global. Keupayaan umat Islam untuk menguasai kaedah mengesan dan mendapatkan maklumat adalah penting. Dalam era digital ini penguasaan ilmu dan maklumat adalah wadah penting untuk membina kekuatan ummah. Jika kita tidak mampu menguasai kemahiran ini maka kita seolah-olah tidak mensyukuri satu lagi nikmat Allah.
.
Sebagai seorang muslim kita bertanggungjawab mengembalikan kegemilangan Islam dan tidak ada jalan pintas melainkan dengan menjadikan diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita sebuah masyarakat yang membudayakan ilmu. Melalui pembacaan lah kita dapat menimba berbagai ilmu dan insyaallah ilmu yang pelajari dapat kita amalkan dan sebarkan pula kepada masyarakat.

Sabda Nabi SAW dari Anas r.a berkata:

Tujuh perkara yang dapat diterima pahala sesudah matinya seseorang anak Adam ialah:
1. Siapa yang membina masjid selagi ada orang solat di dalamnya.
2. Siapa yang membina saliran dan selagi ada yang meminumnya.
3. Siapa yang menulis mahsyaf selagi ada yang membacanya
4. Siapa yang membina perigi selagi ada yang menggunakan airnya
5. Siapa yang mengajar ilmu yang berguna selagi ada yang mengamalkannya.
6. Siapa yang menanam tanaman selagi ada manusia dan haiwan memakannya.
7. Siapa yang meninggalkan anak yang soleh yang mendoa dan beristighfar untuknya dan jika diajarnya pula ilmu dan Qur’an, maka siibu/bapa akan mendapat pahala tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.
Penulis ialah seorang sukarewalan dakwah


Wednesday, August 21, 2002

Kewajipan menyediakan makanan bersih

21/8/2002
Kewajipan menyediakan makanan bersih
Shazamawati Zam Hashari


Para ibubapa mempunyai kewajipan memenuhi keperluan anak-anak, baik material mahupun rohani. Keperluan material berupa makanan, pakaian serta tempat tinggal manakala keperluan rohani adalah pendidikan yang menjadikan anak-anak mengerti kewajipan kepada Allah, kepada Rasul-Nya, ibu bapa dan sesama saudara mereka.

Kewajipan menyediakan makan dan minum ini telah disebutkan di dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud

“Seseorang telah cukup dikatakan berbuat dosa apabila ia menyia-nyiakan orang-orang yang menjadi tanggungan makan dan minumnya” (HR Abu Daud)

Jelaslah hak anak-anak adalah mendapat sumber makanan yang bersih dan berkhasiat bagi melancarkan tumbesaran mereka. Oleh itu sebagai seorang ibu atau bapa yang menentukan hidangan untuk keluarga pada setiap hari, seharusnya bijak memilih makanan yang segar, bersih dan berkhasiat untuk ahli keluarganya.

Pemberian dan pemilihan makanan yang segar dan bersih dapat mengelakkan berlakunya keracunan makanan kepada ahli keluarga. Banyaknya kes keracunan makanan berlaku di kalangan masyarakat di Malaysia hari ini disebabkan kurangnya kepekaan dan keperihatinan para pengendali makanan termasuk ibu bapa dalam menjaga kebersihan penyediaan makanan. Malah ada dikalangan ibubapa yang tidak percaya bahawa anaknya mengalami keracunan makanan apabila disahkan oleh pegawai perubatan.

Keracunan makanan adalah satu ‘penyakit’ yang dialami selepas memakan makanan yang tercemar samada dengan bahan kimia, logam, mikroorganisma dan tumbuhan yang beracun.

Keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48 jam setelah memakan makanan yang tercemar. Kesan bahaya keracunan makanan yang ketara ialah ‘kehilangan air’ dalam badan. Jika mencapai tahap serius ia boleh membawa maut terutamanya bagi mereka yang berisiko tinggi seperti ibu-ibu yang mengandung, kanak-kanak dan orang-orang tua.

Pencemaran makanan yang menyebabkan ‘keracunan’ boleh terjadi di mana-mana di persekitaran kita. Mikroorganisma seperti bakteria dan virus akan membiak berkali-kali ganda dalam satu masa apabila berada pada medium dan persekitaran yang sesuai.

Keracunan makanan juga boleh disebabkan oleh ‘cara' penyediaan yang kurang betul. Umpamanya menyediaan makanan terlalu awal sehingga makanan tadi menjadi sejuk dan terdedah terlalu lama pada suhu bilik, terlalu lambat disimpan di dalam peti sejuk kerana terlalu lama masa penyejukkan makanan yang panas. Demikian juga cara pemanasan makanan mesti lah sempurna, iaitu suhu pemanasan nya seharusnya cukup tinggi untuk mematikan kuman, pencemaran silang (mencampurkan) antara makanan mentah dan makanan yang telah dimasak ataupun antara makanan yang telah lama dimasak dan baru boleh menyebabkan kontaminasi. Orang yang berpenyakit seharusnya dilarang mengendali makanan.

Langkah-langkah pencegahan perlu untuk mengelakkan berlakunya keracunan makanan, antaranya mengutamakan asas kebersihan makanan. Pencegahan keracunan makanan seharusnya bermula daripada pembelian bahan mentah di pasar-pasar dan makanan di restoran-restoran. Keselamatan makanan sentiasa difikirkan ketika penyimpanan, pengendalian, memasak dan menghidangkannya.

Kontaminasi makanan boleh dielakkan dengan menutup makanan daripada dicemari oleh lalat, meminimumkan persentuhan dengan makanan, memastikan makanan mentah dan makanan yang telah dimasak diasingkan. Pembuangan sampah yang tidak sempurna juga boleh menyebakan kontaminasi. Kehadiran haiwan peliharaan dan perosak juga perlu dielakkan bagi memastikan persekitaran tempat memasak dalam keadaan bersih.

Bakteria merupakan sebahagian daripada persekitaran. Adalah penting memastikan semua peralatan yang digunakan bersih terutamanya diri pengendali makanan itu sendiri. Pengendali makanan perlu memastikan tangan, rambut, kuku dan pakaiannya bersih sebelum menyentuh bahan-bahan makanan. Tangan perlu dibasuh dengan sabun dan air selepas menggunakan tandas, mengganti lampin bayi, merokok dan sebagainya yg boleh menyebabkan tangan menjadi kotor. Tangan juga perlu dibasuh terlebih dahulu apabila telah memegang daging bahan mentah seperti ayam dan sebagainya sebelum memegang makanan. Pengendali atau penjual makanan mestilah sihat dan perlu mendapat suntikan bagi menghindari daripada menghidapi penyakit berjangkit.

Pertumbuhan bakteria juga boleh dielakkan dengan menggunakan sekali sahaja peralatan memasak dan kemudian dibasuh dengan sempurna. Permukaan yang digunakan ketika memasak juga perlu dibasuh dan dikeringkan menggunakan kain pengelap pakai-buang. Adalah perlu menggunakan peralatan yang berbeza untuk makanan mentah dan juga makanan yang telah dimasak.

Daging dan ikan adalah makanan yang paling berisiko tinggi yang mempunyai banyak mikroorganisma penyebab keracunan makan semulajadi padanya. Memasak dengan sempurna makanan yang bersumberkan haiwan boleh memusnahkan bakteria ini. Daging dan ikan yang beku daripada peti sejuk yang dicairkan pada suhu persekitaran mestilah tidak melebihi 2 jam. Sebaiknya dicairkan dalam ketuhar gelombng mikro dan terus dimasak. Jangan menyimpan semula daging yang telah dicairkan. Pengendali makanan juga perlu bijak merancang penyimpanan bahan mentah mengikut keperluan.

Untuk sayur-sayuran dan buah-buahan pembasuhan yang sempurna penting sebelum dimasak dan dihidangkan bagi menyingkir segala kotoran yang di sebabkan oleh tanah, bahan kimia dan sebagainya.

Bakteria lambat membiak suhu yang rendah, manakala suhu yang panas melebihi 63ºC sudah cukup untuk mematikan mikroorganisma yang menjadi penyebab keracunan makanan. Suhu yang sederhana, pada suhu bilik adalah membahayakan kerana ia mempercepatkan pertumbuhan bakteria. Oleh itu perlu dielakkan makanan terdedah pada suhu bilik dalam jangkamasa yang lama. Sebaiknya makanan disimpan dalam keadaan sejuk atau panas. Makanan yang dijual dalam keadaan panas, mestilah diletakkan pada suhu sekitar 63-70ºC. Makanan yang perlu dihidangkan dalam keadaan sejuk mesti disimpan didalam keadaan sejuk juga. Makanan yang kering perlu disimpan dalam almari yang kering dan mempunyai pengudaraan yang baik. Sayur dan buah-buahan perlu digunakan secepat mungkin. Buah-buahan dan sayus-sayuran yang reput perlu dibuang segera.

Semasa memasak makanan, para pengendali perlu memastikan makanan dimasak sehingga sempurna. Penggunaan jangkasuhu adalah penting untuk memastikan suhu pemanasan melebihi daripada 63ºC. Elakkan menggunakan jari semasa ‘merasa/mencuba’ atau mencicah makanan. Sebaiknya gunalah sudu yang bersih dan sudu tersebut tidak digunakan semula.

Secara umumya ada tiga tips penting untuk mencegah keracunan makanan iaitu pastikan asas kebersihan makanan, makanan dimasak dengan sempurna dan makanan yang disajikan panas perlu disimpan dalam keadaan panas dan makanan yang disajikan sejuk perlu disimpan dalam keadaan sejuk.

Apabila membeli makanan diluar, memang sukar bagi kita untuk membezakan antara makanan bersih dan yang telah dicemari. Hanya pengendalian dan cara penyediaan yang bersih dan teliti sahaja dapat mengatasi dan mengelakkan keracunan makanan. Oleh itu adalah lebih baik makanan seharian adalah makanan yang dimasak sendiri kerana dengan memasak sendiri kita boleh menentukan mutu dan kebersihannya.

Eksekutif Penyelidikan Makmal
Unit Penyelidikan Kualiti Makanan (UnipeQ)
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wednesday, August 14, 2002

Pendidikan seks tidak menyalahi agama

14/8/2002
Pendidikan seks tidak menyalahi agama
Oleh: Endok Sempo bt Hj Mohd Tahir.

Sarah (bukan nama sebenar), 30 tahun mengandung semasa dia berumur 17 tahun. Nasib nya masih baik kerana setelah kedua-duanya bertaubat dan membetulkan sikap mereka berkahwin sebelum anak mereka lahir. Mereka kini merupakan pasangan yang bahagia dan aktif dalam kerja kerja kaunseling remaja.

“Sebenarnya saya datang dari keluarga yang baik dan berlatarbelakangkan agama. Kejahilan dan pengaruh cakap kawan serta nafsu yang tidak terkawal membuatkan saya melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Kini saya telah bertaubat dan amat bersyukur kepada ALlah kerana tidak dijangkiti penyakit AIDS. “ Sekiranya saya didedahkan dengan pengetahuan dan pendidikan seks semasa meningkat remaja dulu, kami mungkin tidak jadi begini. Dulu tiada siapa pernah bercakap mengenai sex kepada secara terbuka, tentang baik buruknya, salah betulnya, samada disekolah atau dirumah atau disurau. Yang selalu membincangkan mengenai sex adalah remaja se usia yang masih mentah. Mesej yang sampai kepada kami sesama remaja adalah sex itu menyeronokkan, puncak rasa kecintaaan dan kebahagiaan, tidak perlu takut, tiada kedukaan dan tidak menyakitkan. Malangnya saya memahami makna sex melalui pengalaman psikologi yang sungguh tertekan dan emosi yang sungguh perit, pahit dan menyakitkan dan membayarnya dengan harga diri yang amat mahal. Maruah diri saya tercemar.”

Demikian keluhan seorang wanita yang menjadi mangsa ‘kejahilan’ pengetahuan dan pendidikan sex semasa remaja.

Secara umumnya perbincangan mengenai sex adalah merupakan satu topik pembicaraan yang amat payah (terutama dengan anak anak). Samada kita di pihak yang bertanya atau yang menjawab pertanyaan. Kebanyakan kita yang telah dewasa ini memandang bahawa perbincangan mengenai sex ini adalah taboo, memalukan (boleh bincang dikalangan dewasa sahaja) atau hanyalah merupakan bahan jenaka. Sex jarang dibincangkan secara ilmiah, serious dan berterus terang.

Anak anak perlu diberi kefahaman yang betul mengenai sex. Janganlah biarkan anak anak dalam kejahilan sex. Sex adalah sebahagian dari kehidupan yang penuh misteri dalam kehidupan manusia yang diselimuti oleh perasaan ingin tahu, kerahsiaan, aspek aspek yang tersembunyi, ghairah dan penyesalan. Remaja cintakan kisah misteri. Kewajipan ibu bapa memberitahu anak anak bahwa perasaan seks adalah ‘normal’ tetapi sex bukan setakat ‘keperluan biologi tetapi adalah isu kompleks ghairah (dan juga maruah) dari dalam diri ( personal passion) dan juga ‘hubungan kasih perihatin’ dengan orang lain (interpersonal caring). Ia ibarat api atau pistol, ia tidak boleh digunakan oleh orang yang belum bersedia. Tersalah laku dalam kefahaman dan tindakan tentang sex memberikan padah yang membawa penyesalan dan kekejian.

Dalam pada itu kebanyakan ibubapa tidak memberikan didikan sex kepada anak anak kerana takut tersalah ajar atau tersalah cakap, atau memberikan penerangan yang tidak tepat, atau lebih teruk dikatakan tidak relevan. Sebab utamanya kerana mereka pun juga dulunya begitu, ibu bapa mereka tidak ‘selesa’ membicarakan mengenai sex ketika anak anak meningkat remaja. Tetapi awas, dan ingatlah jika ibubapa tidak memberikan perspektif sex yang betul kepada anak anak, rakan rakan sebaya mereka yang jahil dan mentah akan mengajar mereka tentang sex songsang. Oleh itu Ibu bapa perlu mendapat pendedahan atau pun nasihat dari orang orang lain yang berilmu.

Islam dalam banyak dalilnya mengharuskan para ibubapa berterus terang mengajar anak anaknya mengenai perkara perkara yang berkaitan dengan sex dan ‘keinginan batiniah ’. Malah kadang kadang sesuatu topik itu menjadi WAJIB ibu bapa menerangkannya kepada anak anak terutama bila menyentuh perkara perkara syara’ contohnya bab thaharah dan bersuci.

Al Quran adalah ‘medium ‘ pendidikan seks yang terbaik untuk ibu bapa kerana ketebukaan nya yang terserlah. Hadith hadith Rasulullah pula menjadi ‘penyuluh’ terhadap segala kekaburan atau kesangsian ibu bapa dalam perbincangan mengenai sex dikalangan anak anak.

“Dan mereka yang menjaga kehormatan (faraj) – tidak melepaskan syahwatnya……….” (Surah Al Mukminun, 5-7)

“Dibolehkan kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu dimalam hari puasa…” (Surah Al Baqarah; 187).

“Dan mereka bertanya kepada engkau tentang haidh….”. (Surah Al Baqarah: 222).

“ Dan jika kamu menceraikan isteri isteri kamu sebelum kamu menyentuhnya…”( surah Al baqarah 237)

“Sesungguhnya kami jadikan manusia itu dari setitis air mani (sperm) yang bercampur (dgn Ovum) untuk kami mengujinya…” (Surah Al Mukminun:12-13)

“Ibunya telah mengandungkannya dengan susah dan melahirkan dengan susah jua….” (Surah Al Ahqaf:15)

“Dan jangan lah kamu dekati zina, sesunguhnya dia itu adalah dosa dan tindakan yang terkutuk. (Surah Al Isra’: 32)

“Dan Luth ketika dia berkata kepada kaumnya, adakah kamu melakukan kekejian yang belum pernah dibuat oleh seseorang dari bangsa bangsa di alam : (Al Araf: 80-81)

Perkataan baligh, air mani, faraj, zakar, haidh, nifas, nikah kahwin, mas kahwin, persetubuhan, cerai, zina, mengandung, kaum luth (homosexual) dan lain lain dalam ayat ayat quran ini membicarakan secara terus terang mengenai maksud maksud yang sama dan rapat perhubungannya dengan sex dan tuntutan naluri manusia.

Bagaimanakah anak anak yang meningkat remaja akan memahami tafsiran tafsiran ayat ayat ini jika tidak diajarkan secara terus terang dan telus oleh ibubapanya atau gurunya atau orang dewasa yang memahami?

Amatlah malang, jika ibu bapa atau orang dewasa menutup makna makna ayat ayat ini dengan ‘memberikan tafsiran yang lain dan tiada kaitan sama sekali dengan maksudnya yang asal. Ataupun apabila sampai sahaja kepada ayat ayat serupa ini, dia melepasinya sahaja secara terhormat tanpa memberikan apa apa penerangan atau penafsiran tentang maksud maskudnya. Ini adalah cara yang tidak sihat dan tidak membantu mereka dalam memahami sex yang sihat.

Pendidikan sex kepada anak anak dalam perspektif Islam mestilah melalui 3 tahap sesuai dengan tahap pembesaran anak anak . Pendekatan yang dibuat mestilah bersahaja dan tidak reaksionari. Suasana perbincangan tidak rigid dan dogmatik. Kasih sayang dan nada suara yang perihatin ditujukkan oleh ibu bapa semasa perbincangan amat perlu untuk mendapat kepercayaan anak anak dan rasa hormat mereka. Jadikanlah diri kita rujukan mereka.

1. Tahap Tamyiz (mumayiz), pada usia 7-10 tahun. Pada tahaf ini anak anak diajar mengenali identiti dan nilai diri berkait rapat dengan organ biologinya dan perbezaan jantina lelaki dan perempuan. Konsep thaharah selepas buang air kecil dan besar. Mengenai fungsi biologi wanita, Contohnya apabila ibu ada haidh, anak bertanya mengapa tidak solat..ibu bertangungjawab memberikan jawapan yang tepat bahwa Allah telah memberikan kelonggran kepada perempuan ( dalam sebulan beberapa hari) haidh (kerana biologinya perempuan)untuk tidak bersolat. Pemisahan tempat tidur lelaki dan perempuan (untuk mengelakkan sumbang mahram) dan juga pemisahan dari tempat tidur ibu bapa (untuk mengelakkan kan anak dari melihat adegan yang tidak sepatutnya dilihat), mengajarnya adab meminta izin untuk masuk bilik ibubapanya dalam tiga waktu, adab memelihara pandangan mata dari melihat perkara yang baik dan tidak baik, yang dibolehkan dan tidak dibolehkan.

2. Tahap Murahaqah , pada usia 10-14 tahun. Pada tahad ini umur , anak diberikan pendedahan mengenai fungsi biologi organnya secara ilmiah. tentang aurah, kesopanan, akhlak pergaulan lelaki dan perempuan, menjaga kesopanan dan maruah diri. Bagi kanak-kanak perempuan seharusnya didedahkan topic haidh dan berkaitan dengannya. Mengenai kaifiat mandi wajib selepas haidh dan persetubuhan . Jauhikan dari perbincangan yang membawa kepada perasaan yang boleh menimbulkan nafsu berahi sex.
3. Tahap Baligh, pada usia 14-16 tahun. Anak anak diajar mengenai maksud baligh, perasaan dan naluri sex anak anak perlu ditangani dan dibincang secara rasional dan objektif, perhubungan sex mengakibatkan mengandung dan tidak seharusnya dilakukan oleh orang yang belum bersedia. Tegaskan bahawa kita tidak ‘terima’ sex sebelum kahwin (zina) dan mesti diterangkan keburukannya dari segi agama, segi kesihatan, segi psikologi dan tekanan emosi. Menjelang dewasa ajarkanlah adab adab memelihara kebersihan diri, kesihatan reproduksi, adab adab perhubungan sex, adab adab memelihara diri dari sex bebas jika dia belum berupaya menempuh alam perkahwinan.

Berikan lah anak anak kita didikan sex yang positif dan betul sebelum rakan sebayanya dan keadaan kelilingnya merosakkannya.

[Wanita JIM & Raudatus Sakinah akan mengadakan Hi-Tea & Pertunjukan Multimedia untuk melancarkan kempen “Bukan Saya Tidak Sekarang (NOT ME NOT NOW) pada 24 Ogos 2002 di Legend Ballroom The legend Hotel, Kuala Lumpur, 2.00-5.00 petang. Tiket berharga RM60.00-RM100 boleh didapati dari WJIM, 03-41089669, Puan Yusnani 012-3056359, Puan Rosmawati 019-2386333]. Pertunjukan multimedia ini memberikan tips kepada ibubapa bagaimana berbicara secara bersahaja dan selesa mengenai sex dengan remaja dan juga memberikan tips mengenai cinta remaja & sex yang selamat dalam perspektif Islam].

Wednesday, August 07, 2002

Keluarga bahagia asas masyarakat sejahtera

7/8/2002
Keluarga bahagia asas masyarakat sejahtera
By Noormala Mohd Daud


KESERONOKAN dan suka duka membesarkan anak adalah pengalaman berharga bagi
ibu bapa.
Anak juga mendapat pengalaman awal mereka di rumah. Rumah adalah tempat
perlindungan kita daripada hiruk-pikuk dunia luar. Ia adalah tempat ahli
keluarga berehat dan menyegarkan semula fikiran dalam suasana selesa.
Manusia akan lebih berkeyakinan untuk menghadapi dunia luar apabila
mereka mempunyai asas keluarga mantap.
Begitu juga bagi kanak-kanak, suasana keluarga memainkan fungsi penting
terutama ketika mereka kecil dan pada zaman persekolahan.
Kanak-kanak berasa yakin untuk bergaul dengan kawan dan guru,
bersemangat untuk belajar, bersukan dan sebagainya jika suasana di
rumahnya stabil dan menyeronokkan.
Setiap anak berhak untuk membesar dalam keluarga selesa serta mempunyai
peraturan dan sistem. Jika rumah mempunyai peraturannya tersendiri setiap
ahli keluarga tahu fungsi masing-masing dan mudah bekerjasama.
Pembabitan bapa sangat diperlukan untuk bersama-sama mendidik anak.
Sebuah keluarga yang mendapat komitmen sepadu suami dan isteri adalah
keluarga yang dapat membentuk perkembangan minda anak-anak.
Persekitaran positif menghasilkan tindak balas positif, keluarga yang
mementingkan semangat hormat-menghormati akan menghasilkan anak yang tahu
menghormati guru, undang-undang sekolah dan kawan.
Dari kecil lagi anak perlu diajar menghargai harta-benda awam atau
bersama. Ada kanak-kanak tidak menghargai harta sekolah, mereka memecah
tingkap sekolah, merosakkan kerusi meja, menconteng meja, dinding dan
membuat pelbagai vandalisme.
Buku perpustakaan juga dirosakkan dan hilang. Adakah suasana didikan di
rumah selama ini tidak menanam sikap menghargai harta benda awam?
Di sekolah kanak-kanak diberi pelbagai tanggungjawab sebagai seorang
murid. Murid yang bersungguh-sungguh menyiapkan kerja rumah adalah mereka
yang mempunyai sifat tanggungjawab. Ramai ibu bapa mengeluh betapa anak
kurang sifat tanggungjawab.
Anak yang bertanggungjawab adalah hasil daripada keluarga yang
mengamalkan keseimbangan di antara disiplin dan kasih sayang.
Mengajar tanggungjawab mesti bermula dari kecil, diajar secara semula
jadi dengan memberi tugas yang sesuai dengan kebolehan mereka.
Ada anak yang dianggap tidak bertanggungjawab oleh orang dewasa. Di
sekolah mereka pula tergolong dalam murid yang tidak berjaya, padahal
hakikatnya mereka tidak dididik dengan betul di rumah sebelum memasuki
sekolah. Misalnya seorang anak yang biasa hidup dalam suasana rumah yang
berselerak akan terdidik dengan nilai bahawa kebersihan dan kekemasan
tidak penting. Bagaimanapun, apabila ke sekolah mereka mendapati
kebersihan sangat dipentingkan, mereka perlu membuat keputusan untuk terus
dengan nilai yang didapati di rumah atau berubah supaya sesuai dengan
sekolah.
Apa yang tidak mengubah nilainya akan tergolong dalam murid yang
dianggap tidak bertanggungjawab.
Suasana persekolahan hari ini penuh dengan persaingan, murid bersaing
untuk dapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah, 9A atau 10A untuk
Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan seterusnya.
Ibu bapa mungkin secara tidak sedar menggalakkan budaya bersaing ini.
Adakah kejayaan itu betul-betul untuk kepentingan anak atau kebanggaan ibu
bapa? Tekanan daripada ibu bapa boleh membebankan anak. Tanamkan suasana
selesa untuk anak mencapai kejayaan mengikut kemampuan masing-masing.
Setiap anak adalah individu berbeza yang memiliki kelemahan dan
keistimewaan tersendiri, hakikat inilah yang membuatkan setiap anak itu
unik dan menarik.
Salah satu tanggungjawab ibu bapa ialah mendidik anak mempunyai sikap
yang betul terhadap disiplin dan orang yang menjaga disiplin.
Anak yang dari kecil diajar menghormati disiplin dan memahami kesan
positif disiplin akan menjadi seorang yang boleh menyesuaikan diri di
sekolah. Sebaliknya anak yang lepas bebas dan tidak pernah berdisiplin di
rumah akan berasa tidak selesa dan terkongkong. Dia juga akan menjadi
marah.
Perasaan ini memang wajar timbul. Mendidik menghormati disiplin ini
tidak boleh ditangguh hingga anak masuk ke sekolah, ia terlalu lewat.
Untuk mengelakkan anak menghadapi masalah, ibu bapa perlu menggariskan
beberapa disiplin yang wajar dan mendidik menghormati orang yang berkuasa
(dalam apa juga bentuk).
Anak boleh dilatih sikap ini dengan cara positif, seterusnya mereka akan
lebih bersedia untuk mematuhi rutin persekolahan dan tidak takut untuk ke
sekolah.
Fungsi ibu bapa walaupun nampak berat dan memerlukan kesungguhan serta
kesabaran, ia adalah suatu nikmat yang dapat memberi kepuasan.
Kasih sayang di antara ibu bapa dan anak tidak ternilai harganya. Dalam
membina suasana rumah yang disebutkan di atas janganlah lupa untuk
bermesra dengan anak, tunjukkanlah kasih sayang kepada mereka sama ada
melalui pelukan, kata-kata, senyuman, ciuman, geletek, bahkan apa-apa saja
yang menunjukkan kasih sayang dan kemesraan.
Ada ibu bapa yang menyesal mereka tidak menunjukkan mereka menyayangi
anak hinggalah anak terjebak dengan pelbagai masalah dan lari dari rumah.
Anak yang tidak cemerlang juga menyangka mereka tidak disayangi. Mereka
perlu tahu bahawa ibu bapa tetap sayangkan mereka. Apabila yakin terhadap
kasih sayang ibu bapa mereka akan tingkatkan usaha.
Komitmen ibu bapa besar nilainya di sisi Allah, salah satu harta
peninggalan yang berterusan pahalanya ialah anak salih.
* Penulis adalah Pengurus Prasekolah.