Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, June 30, 2004

Hubungan majikan, amah ibarat perkongsian pintar

30/6/04

Oleh Dr Harlina Halizah Siraj
PEMBABITAN wanita dalam sektor guna tenaga di luar rumah, menimbulkan satu keperluan bagi mengupah tenaga luar sebagai pembantu rumah. Mereka diperlukan untuk melakukan kerja harian dan asas yang sebelum ini diuruskan sendiri oleh isteri dan ibu.
Pembantu rumah ini biasanya warga asing kerana tidak ramai rakyat tempatan berminat dengan kerja ini. Mereka menganggap kerja ini tidak memberikan kebebasan dan kurang `glamour’ berbanding kerja kilang atau perkhidmatan lain.
Dalam pada itu, kita juga sering membaca dan mendengar laporan mengenai penderaan fizikal majikan terhadap pembantu rumah mereka.
Melihat keadaan ini, timbul persoalan adakah kita kembali hidup ke zaman kuno di mana perhambaan sesama manusia menjadi norma kehidupan? Di manakah hilangnya rasa belas ihsan dan kasihan serta rasa hormat kepada insan lain?
Islam mengambil berat hubungan antara majikan dengan pembantu rumah yang berkhidmat untuk keluarga dan rumah tangga mereka. Imam Al-Ghazali menggariskan dalam hasil karyanya agungnya ‘ Al-Adab Fi Ad-Deen’ – Tata Susila Dalam Agama Islam, mengenai adab yang mesti dilaksanakan oleh kedua-dua pihak iaitu majikan dan pembantu rumah.
Dalam susun atur yang ditunjukkan, majikan mestilah terlebih dulu menjaga adab dan peraturan terhadap pembantu rumahnya. Kemudian barulah dijelaskan mengenai adab yang mesti dilaksanakan oleh pembantu rumah kepada majikannya.
Dalam membincangkan adab majikan terhadap pembantu rumahnya, Imam Al-Ghazali menggariskan tujuh perkara yang mesti diperhatikan:
· Janganlah seorang majikan itu memaksa pembantu rumahnya melakukan sesuatu yang di luar keupayaan dan kesanggupannya.
· Majikan hendaklah sentiasa bertimbang rasa dan mempunyai perasaan kasihan belas terhadap pembantunya, terutama pada waktu mereka menghadapi kesukaran atau keletihan.
· Majikan tidak boleh sesekali memukul atau mencederakan tubuh badan pembantunya.
· Majikan hendaklah menjaga tutur kata dan tidak memaki hamun serta mencaci pembantu rumahnya kerana dikhuatiri pembantu akan bertindak balas.
· Sentiasa menegur dan memaafkan kesalahan pembantu rumah.
· Berikan pertimbangan sewajarnya kepada permintaan mereka seperti permohonan bercuti atau perlepasan.
· Pastikan makanan pembantu rumah sama dengan apa yang dimakan oleh majikan, bukannya diberikan makanan sisa atau tidak berkhasiat.
Ada dua hadis sahih yang disertakan dalam penerangan lanjut mengenai adab majikan terhadap pembantu atau pekerjanya. Satu mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Muslim ialah ‘Rasulullah tidak pernah memukul seseorang dengan tangannya, tidak memukul wanita dan tidak pula memukul pelayannya kecuali ketika baginda berperang di jalan Allah.’
Sebuah lagi mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah adalah mengenai upah yang harus disempurnakan: ‘Berikanlah upah kepada pekerjamu, sebelum kering peluhnya.’
Dalam konteks semasa, hendaklah majikan tidak melambat-lambatkan bayaran gaji dan upah bulanan kepada pembantu rumah mereka apabila tamat tempoh sebulan.
Menyentuh adab yang mesti ditunjukkan oleh pembantu rumah terhadap majikannya, Imam Al-Ghazali menyenaraikan enam perkara seperti berikut:
· Seseorang pembantu itu mestilah mengikuti arahan majikannya.
· Hendaklah melaksanakan pekerjaan dengan baik ketika ketiadaan majikannya.
· Hendaklah bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan tugas dan pekerjaannya.
· Memelihara maruah majikannya.
· Bersikap lemah lembut dan kasih sayang kepada anak majikannya.
· Janganlah dia mengkhianati amanah serta harta benda majikannya.
Sebuah mafhum hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim: ‘Dibentangkan kepadaku tiga golongan yang awal memasuki syurga, pertama – orang yang mati syahid (kerana berperang di jalan Allah), kedua – hamba (pembantu) di mana mereka melakukan sebaik-baik ibadat kepada Tuhannya dan mereka pula menjadi sebaik-baik pelayan kepada tuannya dan ketiga – orang yang baik hati dengan memberikan kemaafan dan boleh hidup dalam kemiskinan.’
Sekiranya majikan dan pembantu saling memelihara adab serta tata susila perhubungan mereka, tentulah akan terhasil satu hubungan persaudaraan yang kukuh dan dapat menjamin keharmonian dalam rumah tangga.
Sebenarnya hubungan antara majikan dan pembantu rumah boleh dianggap satu perkongsian pintar serta berkeadaan ‘menang-menang’ yang dapat membawa manfaat dan keuntungan yang besar kepada kedua belah pihak.
PENULIS adalah Ketua Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi pada e-mel wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, June 23, 2004

Pendidikan agama akar tunjang kekuatan remaja

23/6/04
Oleh Rosmawati Ahmad
PERSOALAN mengenai remaja banyak dibincangkan. Malangnya, hampir setiap perbicaraan isu remaja hanya berkisar masalah keruntuhan akhlak dan moral. Isu lain yang lebih penting kurang diberi perhatian. Remaja lepak, bohsia, bohjan, vandalisme, dadah, jenayah dan pelbagai isu negatif lain kerap mendapat tempat dalam masyarakat. Semua isu ini mendominasi remaja hingga kita tidak nampak lagi kebaikan golongan itu. Umum mengetahui bahawa masyarakat Malaysia amat prihatin dengan golongan istimewa, berpenyakit atau ditimpa bencana alam. Simpati dan sumbangan mencurah-curah kepada golongan malang ini. Sebaliknya, masyarakat seakan-akan lupa untuk menyalurkan simpati dan keprihatinan dalam menangani masalah remaja. Kita lebih senang membiarkan masalah remaja ditangani oleh ibu bapa mereka sendiri. Keadaan ini berlaku kerana menganggap itu masalah peribadi sesebuah keluarga dan sepatutnya diselesaikan oleh keluarga terbabit. Sebenarnya, pembangunan remaja hari ini ialah agenda penting yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Wawasan negara akan terencat dan pincang jika tiada pihak yang bertanggungjawab terhadap hala tuju perjuangan mereka yang terdedah kepada pelbagai cabaran. Hampir semua isu keruntuhan moral bertitik-tolak kepada kepincangan didikan agama. Setiap saat kita terpaksa mengakui bahawa anasir yang melalaikan begitu banyak di sekeliling remaja. Kecanggihan perkembangan teknologi maklumat yang melampaui batasan, muzik yang melalaikan serta sosio seksual di luar kawalan adalah antara anasir yang dimaksudkan. Lebih malang, apabila remaja terpaksa berhadapan dengan kongkongan konservatif yang menghalang serta menegah mereka secara mutlak untuk terbabit dalam anasir tadi tanpa memahamkannya. Sebenarnya, kemelut yang melanda remaja berpunca daripada kepincangan didikan agama dan keruntuhan didikan moral. Masalah ini bukan saja melanda remaja, malah berlegar dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat. Kegagalan institusi keluarga memainkan peranan sebagai ‘role model’ dan qudwah hasanah (teladan) semakin menyeret remaja jauh daripada kebenaran dan kesedaran. Kegagalan masyarakat dalam menangani isu remaja juga menyumbang ke arah kecelaruan remaja. Jika remaja diminta menutup aurat, tetapi sebahagian besar masyarakat, terutama dewasa tidak berbuat demikian dan memandang ringan perkara ini, maka budaya menutup aurat di kalangan remaja tidak mungkin dapat dilaksanakan secara keseluruhan. Jika remaja dilarang merokok, tetapi pada masa sama keluarga dan masyarakat sekitar masih mengamalkan perbuatan itu, tidak mungkin wujud masyarakat remaja yang bebas rokok. Kepemimpinan melalui teladan iaitu teladan daripada keluarga dan masyarakat adalah antara cara untuk menyelamatkan anak daripada terjebak ke dalam masalah sosial. Firman Allah bermaksud : “Mengapakah kamu menyuruh orang lain membuat kebajikan, sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri dalam mengerjakan kebajikan itu, pada hal kamu membaca kitab. Maka apakah kamu tidak berfikir?” (Surah al-Baqarah, ayat 44) Penyelesaian perlu ditumpukan pada peringkat awal iaitu bermula dengan pengukuhan sistem kekeluargaan yang menitikberatkan pengukuhan nilai murni ke arah melahirkan keluarga stabil. Pendidikan tidak formal oleh ibu bapa yang bermula dari rumah iaitu meliputi bimbingan, muhasabah dua hala dan pemantauan berterusan untuk meningkatkan etika dan peranan remaja perlu dilaksanakan oleh setiap keluarga. Pembangunan nilai berasaskan agama, persediaan memasuki alam remaja dan ketahanan diri menghadapi pergolakan sosial perlu ditanam dalam institusi keluarga. Perkara ini dilakukan melalui hubungan mesra dan semangat bertanggungjawab bagi membantu remaja melawan anasir sosial yang tidak sihat. Kehidupan dan pendidikan berasaskan agama mestilah diterapkan kepada remaja bagi menjamin kemantapan dan pemeliharaan akidah serta jati diri sempurna. Nilai baik dan etika hidup sihat perlu menjadi budaya kehidupan sesebuah institusi kekeluargaan. Andainya penjagaan dan pendidikan remaja dapat dilihat sebagai sebatang pokok, maka pendidikan agama adalah akar tunjang kepada kekuatan remaja. Sementara institusi kekeluargaan mantap dan mampu memainkan peranan yang disebutkan tadi akan menjadi batang kukuh dalam membangunkan jati diri remaja. Sekolah dan rakan sebaya juga berperanan dalam membina jati diri remaja. Kedua-dua unsur ini berfungsi sebagai dahan yang akan menjadi pelindung kepada pembentukan jati diri remaja. Sekolah patut memainkan peranan sebagai pusat sumber ilmu, tempat memupuk kemahiran dan institusi yang mengamalkan interaksi sosial terkawal. Rakan sebaya sempurna perlu dirapati dengan membentuk identiti kumpulan rakan sebaya yang ceria, berfikiran matang dan bertindak mengikut norma dibenarkan. Rasulullah pernah berpesan terhadap keperluan mencari teman yang baik umpama berkawan dengan penjual minyak wangi. Jika kita tidak dapat membeli minyak wanginya, pasti akan dapat mencium bau wangian jualannya. Tetapi, jika berkawan dengan si tukang besi, pasti akan terkena percikan kepanasan api yang digunakan ketika bertukang besi. Masyarakat dan media massa berperanan menjadi daun rimbun yang melindungi dan memayungi pohon jati diri remaja. Media perlu memaparkan nilai sejagat sebagai ilmu dan contoh untuk remaja. Kepentingan komersil perlu diketepikan kerana agenda pembinaan jati diri remaja yang sejati lebih utama untuk ditonjolkan. Iklan mencolok mata dan merangsang kepada keruntuhan akhlak perlu diketepikan. Begitu juga masyarakat, terutama yang lebih dewasa perlu lebih bertanggungjawab untuk melihat kecemerlangan remaja pada masa depan. Siapakah yang melanggan ‘bohsia’ dan yang menjadi ‘ibu dan bapa ayam’? Siapakah yang menjerat remaja dalam masalah dadah dan kongsi gelap ? Andainya masyarakat melihat remaja sebagai aset negara pada masa depan pasti mereka tidak akan mengheret mereka ke kancah kebinasaan. Mereka sepatutnya berusaha menghapuskan gejala sosial yang melanda masyarakat dan negara. · PENULIS adalah seorang guru dan boleh dihubungi melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com.

Wednesday, June 16, 2004

Bapa wajar dirai sama seperti ibu

16/6/04
Oleh Roha Hassan
TARIKH 20 Jun adalah tarikh untuk sambutan Hari Bapa, namun berbanding Hari Ibu, ia kurang meriah dirai dan diingati. Ramai remaja lebih berasa terhutang budi kepada ibu berbanding ayah. Firman Allah dalam surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua ibu bapanya, ibu mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kedua ibu bapa kamu, hanya kepada-Ku kembalinya kamu.” Makna menyapih ialah memberhentikan anak daripada menyusu. Kebanyakan daripada kita lebih mudah berbincang mengenai faktor yang menyebabkan seorang anak patut mengasihi ibunya. Terlalu banyak karya seni yang diilhamkan untuk menggambarkan kualiti seorang ibu. Contohnya, lagu bertemakan ibu sudah mewarnai industri muzik sejak dulu hingga kini, seperti oleh Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Sharifah Aini, Salamiah Hassan dengan lagu Ibu Engkaulah Ratu Hatiku, M Nasir (Bonda) dan paling terbaru Siti Nurhaliza (Air Mata Ibu). Bersempena Hari Bapa yang bakal menjelang 20 Jun ini, sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita menilik kembali kewajaran status dan tanggungjawab seorang ayah. Memang benar bahawa ‘syurga itu di bawah tapak kaki ibu’ tetapi di manakah letaknya syurga seorang ibu? Bukankah di bawah tapak kaki seorang suami (yang sudah tentu bergelar ayah). Haruskah Hari Ibu diasingkan daripada Hari Bapa. Hari Ibu atau Bapa sebenarnya tidak dapat dipisahkan kerana mustahil seorang wanita boleh menjadi ibu tanpa kehadiran bapa dan begitulah sebaliknya. Bapa atau ayah memainkan fungsi yang penting dalam kehidupan kita. Antara bapa contoh yang sentiasa menjadi sebutan umat Islam sejak dulu ialah Rasulullah sendiri. Kasih sayang Baginda terhadap puterinya terutama Fatimah adalah kisah contoh seorang anak perempuan yang begitu menyayangi dan menghormati ayahnya. Selain itu, kisah dan nasihat Baginda terhadap anaknya adalah contoh ayah yang memainkan peranan penting dalam pendidikan anaknya. Bagi meningkatkan kasih sayang remaja terhadap seorang lelaki yang penting dalam hidup kita iaitu ayah, disenaraikan beberapa sebab kenapa kita terutama remaja mesti menyayangi ayah masing-masing. Pertama, ayah adalah orang yang bertanggungjawab membawa kelahiran kita ke dunia ini di samping ibu yang melahirkan kita. Sudah menjadi hukum alam, setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini membabitkan proses biologi dua makhluk, lelaki dan wanita. Wanita yang kita panggil ibu dan lelaki adalah ayah. Kedua, ayah adalah insan pertama yang mengajar kita kewujudan Allah dan Rasulullah ketika dilahirkan dengan melaungkan azan di telinga kita. Dari situ, bermulanya kita ‘diperkenalkan’ dengan beberapa sifat Allah, antaranya “Allah Maha Besar”. Ketiga, ayah bertanggungjawab mencari rezeki untuk menanggung kehidupan kita sekeluarga. Selaku ketua keluarga, ayah sanggup berlapar dan dahaga serta berpanas hujan mencari sesuap rezeki untuk dirinya, isteri dan anak-anaknya. Sama ada ayah kita seorang buruh binaan, penoreh getah, guru atau hartawan, usaha mereka mencari rezeki untuk kita sekeluarga haruslah diiktiraf dan dikenang sehingga akhir hayat. Keempat, kasih ayah adalah pelengkap kepada kasih sayang yang diberikan ibu. Menurut satu kajian yang dijalankan mengenai latar belakang dua remaja di salah sebuah Sekolah Tunas Bakti menunjukkan betapa ketiadaan bimbingan bapa (terutamanya) menjadi penyebab remaja bertingkah laku devian (Hairunnaja Najmuddin, 2003). Kelima, ayah sanggup berkorban nya-wa demi membahagiakan anak-anak. Sebagai ketua keluarga, dia berfungsi untuk melindungi setiap ahli keluarganya. Tidak kira harta atau nyawa, ayah sanggup melakukan yang terbaik bagi memastikan anak menikmati kebahagiaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail adalah salah satu contoh pengorbanan yang amat tinggi di antara ayah dan anak demi mencapai kebahagiaan dan kasih Ilahi. Keenam, sentuhan dan belaian ayah menstabilkan emosi anak terutama remaja. Anak yang menerima kasih sayang sewajarnya daripada ayah akan lebih berani bercakap di khalayak ramai. Mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam menghadapi kehidupan, mesra dalam pergaulan di samping keseimbangan dari sudut tingkah laku dan pemikiran. Ketujuh, ayah adalah contoh terdekat untuk anak remaja lelaki. Apabila manusia melangkah ke alam remaja, mereka akan mengalami beberapa perubahan dari sudut biologi. Zaman remaja adalah tempoh masa di mana anak menjadi lelaki muda. Perubahan bukan saja berlaku dari sudut fizikal tetapi sudut perubahan seks dan psikologi. Bimbingan insan yang dipanggil ayah amat penting untuk membantu mereka menguruskan setiap perubahan yang berlaku itu sebaik mungkin. Kelapan, ayah yang bijaksana adalah kamus dunia lelaki. Daripada ayah, anak perempuan dapat mempelajari dunia lelaki. Ayah yang bersikap terbuka dan mementingkan masa depan anak remaja mereka adalah tempat rujukan anak perempuan belajar mengenai dunia lelaki. Dengan ilmu yang berfaedah, anak perempuan dapat dibantu oleh ayah supaya tidak mudah diperdayakan oleh pihak lelaki yang suka mengambil kesempatan. Kesembilan, ayah yang penyayang dapat memantapkan akidah anak remaja. Pelbagai nasihat yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya dalam surah Luqman mengandungi pengajaran bagaimana seorang ayah yang penyayang dapat memainkan fungsinya dalam memantap aqidah dan akhlak anak. Antara nasihat Luqman yang baik untuk direnungkan oleh ayah dan anak-anak remaja ialah yang bermaksud: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah sebenar-benar kezaliman yang besar.” – (Surah Luqman, ayat 13). Nasihat lain ialah yang bermaksud: “Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal yang diwajibkan (oleh Allah). Dan janganlah kamu memalingkan muka kamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” – (surah Luqman, ayat 17 dan 18). Marilah kita mengucapkan salam sayang, rindu dan rasa terima kasih di atas segala budi yang dicurahkan oleh bapa di seluruh negara. · Penulis seorang pegawai latihan sumber manusia dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, June 09, 2004

12 ciri insan jadi sahabat

9/6/04

Oleh Suriza Ahmad Zabidi

KEPUTUSAN menggalakkan dalam peperiksaan baru-baru ini menyebabkan ramai anak kita mendapat tawaran memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ibu bapa adalah orang yang paling bahagia dengan kejayaan anak melanjutkan pelajaran ke menara gading selepas bertungkus lumus di sekolah menengah dan rendah selama bertahun-tahun. Tidak kurang juga yang berasa bimbang kehidupan baru yang bakal ditempuhi anak mereka di IPTA kerana selama ini mereka berada dalam pengawasan. Kini anak seorang diri menimba ilmu dengan kehidupan dengan kawan baru. Mereka bimbang anak tidak dapat menyesuaikan diri dan mungkin tersalah pilih kawan. Tidak kurang juga ibu bapa yang mencari formula untuk menasihati anak dalam memilih kawan yang baik bagi meneruskan kehidupan di universiti. Rasulullah saw pernah berpesan: "Agama seseorang itu terletak di atas agama atau jalan yang dipilih oleh rakannya". Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam memilih siapa yang harus dijadikan sahabat. Kehidupan setiap manusia memerlukan seseorang untuk dijadikan sahabat. Tidak ada sesiapa pun yang mampu hidup tanpa mempunyai kawan, seperti kata seorang ustaz, "Tarzan (kalaupun ceritanya benar) juga memerlukan sahabat!" Betullah apa yang dikatakan oleh Rasulullah, siapa sahabat kita begitulah juga corak kehidupan kita. Sahabat rapat Tarzan adalah orang utan, jadi begitulah cara kehidupannya, daripada cara berjalan, tidur hinggalah makan seperti seekor orang utan! Jadi dalam bersahabat, kita mesti pandai membuat pilihan supaya tidak tersalah pilih. Pilihan yang bijak bukan sekadar ketika ingin mendirikan rumah tangga, tetapi juga dalam memilih sahabat. Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: "Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut: # Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu; # Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu; # Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu; # Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik; # Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu; # Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya; # Jka engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya; # Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu; # Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu; # Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu; # Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu; dan # Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan. Sahabat Rasulullah, Saidina Ali ada berkata: "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di samping kamu. Dia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatan kamu. Orang yang setiap masa bekerja untuk keperluan kamu. Sanggup mengorbankan segala-galanya untuk kepentingan kamu." Ada juga yang berpesan: "Sesiapa yang suka berkawan, tetapi tidak suka melebihkan kawan daripada diri sendiri, maka lebih baik dia berkawan dengan ahli kubur!". Begitu sekali pesanan dalam memilih kawan. Marilah bersama-sama kita periksa diri masing-masing sama ada layak menjadi sahabat sejati atau hanya layak menjadi kawan kepada ahli kubur. Siapakah sahabat paling rapat yang pernah kita miliki? Bagi seorang anak, sahabat yang paling rapat ialah ibu dan bapanya, manakala bagi ibu atau bapa, anak adalah sahabat yang paling akrab dengan mereka. Bagi seorang isteri, suami adalah sahabatnya dan begitu juga bagi suami, isteri adalah yang sepatutnya menjadi sahabat karib mereka. Cuma persoalannya di sini, selepas kita mengetahui akan ciri-ciri seorang sahabat dan siapakah sahabat akrab yang kita ada, apakah sudah terlaksana persahabatan itu? Sudahkah kita menjadi sahabat kepada anak dan kedua ibu bapa kita atau kepada pasangan kita? Seorang remaja memilih remaja lain sebagai sahabatnya dan seorang bapa pula memilih bapa lain sebagai sahabatnya. Sebenarnya, bukan kita tidak boleh memilih orang lain untuk menjadi sahabat, tetapi perlulah bijak memilihnya. Jangan tersalah pilih, nanti seperti Tarzan jadinya! Jika kita adalah remaja, lihatlah dulu dengan siapa kita bersahabat. Sahabat yang baik umpama penjual kasturi yang mana wanginya akan tetap terpercik kepada kita, namun sahabat yang jahat akan memalit kejahatan itu kepada kita. Jadilah insan yang bijak dalam memilih orang yang boleh dijadikan sahabat. # Penulis adalah seorang jurutera dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@y..

Wednesday, June 02, 2004

Selami kisah Khadijah, Aishah urus keluarga

2/6/04

Oleh Norashidah Hashim

SHAHIDAH membuat keputusan berpindah ke selatan tanah air untuk mengikut suaminya yang sedang bertugas di sana. Perpindahan itu menyebabkan beliau terpaksa bertukar kerjaya ke tempat baru. Selepas tiga tahun berada di sana, sekali lagi suaminya ditugaskan ke tempat yang lebih jauh lagi. Dengan cahaya mata seramai empat orang yang memerlukan perhatian beliau sebagai ibu menyebabkannya terpaksa berfikir, bukan dua kali tetapi berkali-kali sama ada perlu bertukar kerja atau terus berhenti supaya dapat mengikut suaminya ke tempat baru. Jika beliau berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, mampukah suaminya menanggung semua perbelanjaan yang kian meningkat. Bagaimana dengan sewa rumah, ansuran sewa beli kereta, pendidikan anak dan perbelanjaan lain yang semakin bertambah? Kalau berpindah, beliau terpaksa mencari pekerjaan lain. Ada atau tidak peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya sedangkan ramai graduan menganggur hari ini. Lain pula kisahnya dengan Nafisah. Selepas tamat pengajian di luar negara, beliau ditemukan jodoh dengan seorang pemuda berketurunan Cina yang kelulusan hanya setakat sijil kemahiran. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada keluarga dan tohmahan daripada orang kampung, beliau meneruskan juga hasratnya. Nafisah ditawarkan jawatan sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di selatan tanah air, suaminya pula terpaksa bertugas di pantai timur. Anak sulung mereka yang baru berusia dua tahun ditinggalkan bersama neneknya di Lembah Klang. Mereka hanya bertemu sebulan sekali atau pada cuti hujung minggu yang panjang. Peluang untuk beliau bertukar kerja masih belum ada. Persoalan untuk berhenti kerja semata-mata untuk mengikut suami ditentang hebat oleh keluarga. Apatah lagi selepas bersusah payah menamatkan pengajian di luar negara dengan pinjaman daripada Mara. Musalmah pula sudah tak kisah lagi mengenai keadaan kerja suaminya yang sentiasa bertugas di luar kawasan. Dalam setahun suaminya bertugas di dua atau tiga tempat manakala, beliau dan anak pula menetap di Lembah Klang. Anak mereka sudah biasa dengan keadaan itu sejak mereka mengenal kehidupan di dunia ini. Anak lelaki sulungnya sudah memasuki alam remaja, begitu juga dengan yang kedua. Pernah dia hampir dilamar oleh seorang lelaki yang menyangka beliau seorang ibu tunggal. Mungkin kerana Musalmah menjalankan peranan sebagai ibu dan bapa, suaminya pula tidak pernah dilihat bersama mereka. Situasi dalam ketiga-tiga kisah di atas mempunyai persamaan iaitu kisah wanita Islam yang mempunyai kerjaya di luar rumah dan mempunyai keluarga yang terpaksa ditinggalkan oleh suami dan bapa kerana tuntutan kerjaya masing-masing. Mungkin jika dibuat tinjauan rambang, kisah begini jarang berlaku tetapi fenomena itu bukanlah sesuatu yang pelik dalam dunia hari ini. Golongan wanita yang mempunyai kelulusan lebih tinggi daripada lelaki menuntut untuk mencari pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan yang dimilikinya. Dalam pada itu, tuntutan fitrah untuk berkeluarga menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak pilihan dalam mencari pekerjaan di lokasi yang hampir dengan tempat bekerja. Kalau dulu mungkin persoalan yang timbul ialah, wajarkah wanita Islam bekerja di luar rumah? Di Malaysia hari ini wanita berkerjaya di luar rumah sudah menjadi satu kebiasaan. Persoalan itu boleh dipanjangkan lagi dengan bertanya, wajarkah wanita yang berkeluarga untuk tinggal berjauhan kerana tuntutan kerjaya suami dan isteri. Persoalan ini boleh dikupas untuk melihat kebaikan dan keburukannya. Kembali kepada persoalan asas iaitu mengenai pembabitan wanita di alam pekerjaan di luar rumah. Pada hari ini wanita adalah sebahagian besar daripada tenaga kerja yang sangat diperlukan dalam pembangunan negara, bukan saja di sektor perkilangan, terutama sebagai pekerja kilang elektronik tetapi dalam bidang profesional. Peningkatan itu disebabkan oleh bertambahnya graduan wanita berbanding lelaki daripada IPT memasuki sektor tenaga kerja di negara ini. Fokus perbincangan ini adalah berkisar kepada kedudukan wanita Melayu Muslim di negara ini dan pembabitan mereka dalam kerjaya dan keluarga. Jika diimbas sekali lalu, kedudukan wanita Melayu pra kemerdekaan dan pasca kemerdekaan hingga hari ini memang menjadi sebahagian daripada tenaga kerja yang sama dengan lelaki. Ekonomi negara dulu yang berasaskan pertanian turut membabitkan wanita membanting tulang membantu lelaki. Kaum ibu membantu bapa di sawah dan di ladang mengikut kesesuaian tenaga yang boleh dicurahkan. Hakikatnya ialah bidang pekerjaan kaum wanita bukan saja terletak di dalam rumah tangga tetapi juga membantu menyara kehidupan sekeluarga seperti ke sawah untuk menanam padi dan berkebun serta menoreh getah di samping menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah. Peranan ini terus dimainkan hingga hari ini dengan keadaan berbeza. Persamaan peluang untuk mendapatkan pendidikan sama seperti lelaki memberi peluang kepada wanita memperoleh pendidikan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka dulu. Ekonomi negara mengalami perubahan ke arah negara berasaskan perindustrian menyebabkan keperluan terhadap sumber tenaga kerja dalam sektor itu membuka peluang pekerjaan bagi wanita untuk menyumbang tenaga. Peluang pekerjaan untuk wanita masih di bidang yang bersesuaian dengan fitrah mereka. Sektor perkhidmatan hari ini terutama bidang pendidikan menunjukkan trend perubahan yang mana wanita mendominasi profesion perguruan. Apa yang ingin dipaparkan ialah pertama, wanita sudah lama mempunyai kerjaya di luar rumah. Kedua, peranan menambahkan pendapatan keluarga bukan saja diletakkan di atas bahu suami, malahan isteri memainkan peranan sebagai penyumbang. Ketiga, peningkatan taraf hidup terutama di bandar menyebabkan perlu untuk isteri sama-sama keluar bekerja bagi menampung peningkatan taraf hidup kehidupan sekeluarga dan keempat, pendidikan tinggi yang dimiliki wanita membolehkan mereka memegang jawatan tinggi setaraf kelulusan. Keadaan itu menimbulkan dilema atau konflik antara keluarga dan kerjaya. Seperti dalam tiga kes di atas, wanita berkenaan menghadapi situasi di mana mereka terpaksa hidup terpisah antara suami dan keluarga kerana memenuhi tuntutan kerjaya. Dalam hal ini, wanita perlu memikirkan kembali dan meletakkan keutamaan selaras tuntutan fitrah dan kedudukan mereka dalam Islam tanpa mengorbankan peranan sebagai wanita, isteri dan ibu. Apa yang berlaku sekarang menunjukkan bahawa beban kerja dan tanggungjawab wanita meningkat dengan bertambahnya tanggungjawab wanita, isteri, ibu, pekerja, atau mungkin sebagai ketua di pejabat. Mampukah wanita menanggung semua ini? Oleh itu, sebagai wanita Islam hari ini, adalah perlu untuk sama-sama menilai kembali peranan yang perlu dimainkan oleh wanita dalam era globalisasi ini. Islam menetapkan peranan wanita dan menaikkan martabat mereka yang begitu rendah tarafnya sebelum kedatangan Islam di mana mereka ditanam hidup-hidup ketika kecil, diperdagangkan seperti barangan dan sering menjadi sasaran penghinaan. Islam membawa cahaya dan petunjuk bagi menyelamatkan wanita daripada kekejaman jahiliah dan menetapkan hak serta kebebasannya yang hilang dan dirampas. Islam mengangkat darjat wanita ke tempat yang tinggi dengan menerangkan persamaan wanita dengan lelaki daripada sudut kemanusiaan, menjalankan suruhan dan perintah Allah, ganjaran dan balasan yang diterima apabila berbuat kebajikan seperti firman Allah dalam Surah Al Ahzab, ayat 35 yang bermaksud: “Sesungguhnya lelaki Islam dan perempuan Islam, lelaki beriman dan perempuan beriman, lelaki taat dan perempuan taat, lelaki benar dan perempuan benar, lelaki sabar dan perempuan sabar, lelaki merendah diri (kepada Allah) dan perempuan yang merendah diri, lelaki bersedekah dan perempuan bersedekah, lelaki berpuasa dan perempuan berpuasa, lelaki memelihara kehormatannya dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki banyak berzikir menyebut nama Allah dan perempuan yang banyak berzikir menyebut nama Allah, Allah menyediakan bagi mereka seluruhnya keampunan dan pahala yang besar.” Jelas dalam ayat ini Allah menyebut mengenai persamaan tuntutan beribadat dan berakhlak akan mendapat ganjaran sama yang dikurniakan Allah kepada lelaki dan wanita. Jadi persoalan menuntut hak persamaan tidak perlu diungkit lagi. Antara lelaki dan wanita bukanlah pesaing tetapi rakan kongsi yang saling memerlukan antara satu sama lain. Peranan wanita sebagai isteri berkerjaya memerlukan keseimbangan dalam melaksanakan tanggung jawab. Semua inginkan kecemerlangan dalam melaksanakan peranan yang dimainkan wanita tetapi keadaan sebenarnya adalah terlalu sukar untuk mereka cemerlang dalam semua bidang. Pengurusan rumah tangga yang bijak, berkesan dan cekap memerlukan wanita untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menangani semua masalah dan cabaran. Sifat wanita yang dijadikan Allah penuh dengan kekuatan dalaman yang boleh dicernakan dengan mendekatkan diri kepada-Nya, dengan penuh ketakwaan dan memohon kekuatan dari-Nya dalam menghadapi segala cabaran dan halangan terutama dalam era globalisasi ini. Walaupun zaman berlalu, peranan wanita seperti Saidatina Khadijah, Saidatina Aishah dan ramai lagi ummul mukminin dan sahabiah perlu diteliti kisah hidupnya untuk mencungkil kekuatan yang boleh dicontohi sebagai bekalan dalam menghadapi dunia yang terlalu mencabar peranan muslimah hari ini. (Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Sintok. Emel wanitajim0@yahoo.com)