Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, August 27, 2003

Sikap anak faktor utama

27/8/03
Sikap anak faktor utama jamin kecemerlangan
Oleh Rosnah Ahmad


IBU bapa mahukan anak cemerlang. Islam sangat menekankan supaya
umatnya menjadi insan dan masyarakat cemerlang.


Justeru, sunat diperdengarkan azan pada telinga kanan dan iqamah pada
telinga kiri kepada setiap anak yang baru lahir.

Ia bertujuan memperdengarkan kalimah tauhid yang suci dan menjadikan
seruan serta inti pati azan itu suara pertama yang didengari dalam
hidup mereka. Inti pati azan, seruan tauhid dan ucapan `hayya ala
falah', konsep kecemerlangan sering digandingkan agar setiap individu
mentauhidkan Allah dulu, kemudian memburu kecemerlangan serta
kejayaan.

Anak adalah amanah Allah. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Setiap
bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (bertauhid), maka kedua ibu
bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." – (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibu bapa adalah pendidik dan rumah pula adalah madrasah pertama bagi
anak-anak. Pepatah ada menyatakan `jika hendak melentur buluh,
biarlah dari rebungnya'.

Tanggungjawab ibu bapa sangat besar dalam mengasuh dan memberikan
pendidikan berkualiti kepada anak-anak sejak mereka lahir. Oleh itu,
ibu bapa perlu mempunyai ilmu keibubapaan dalam pengasuhan dan
pendidikan awal kanak-kanak. Ia penting bagi memastikan anak-anak
mendapat asuhan dan pendidikan seimbang.

Asuhan dan pendidikan awal adalah khusus kepada kanak-kanak di bawah
umur enam tahun. Pada umur ini ada dua perkara penting yang dilalui
oleh setiap kanak-kanak iaitu pertumbuhan dan perkembangan.

Pertumbuhan adalah perubahan yang boleh diukur daripada satu
peringkat ke satu peringkat dan dari suatu masa ke suatu masa seperti
perubahan tinggi, berat dan bilangan gigi.

Perkembangan pula adalah perubahan yang melihatkan sifat berlainan
daripada sifat terdahulu seperti kebolehan seorang bayi untuk
merangkak, berjalan, dan seterusnya berlari.

Perkembangan kanak-kanak mestilah digalak dan disokong secara
menyeluruh. Ia dinamakan perkembangan menyeluruh dan dibahagikan
kepada aspek perkembangan rohani, fizikal, emosi, akal (kognitif) dan
bahasa.

Perkembangan rohani adalah perkara asas dalam pengasuhan dan
pendidikan awal kanak-kanak. Perkara ini kerap diabaikan dalam banyak
teori pendidikan Barat. Tugas ibu bapa untuk melahirkan anak yang
memiliki sahsiah soleh dan mampu melakukan amal soleh bersesuaian
dengan tahap umur kanak-kanak.

Anak-anak perlu diasuh dan dididik dengan akidah (iman), syariat
(peraturan) dan akhlak mulia .

Keperibadian anak-anak mestilah dibina dengan asas Islam berdasarkan
akidah dan syariat yang ditetapkan Allah. Ini lebih jelas apabila
merujuk kepada al-Quran. Firman-Nya bermaksud: "Dan Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahku." –
(Surah Az Zariat, ayat 56)

Ibu bapa wajib membiasakan anak mereka berakhlak Islam. Contohilah
akhlak Rasulullah dan cara baginda dalam memberikan pelajaran akhlak
secara praktis.

Di antara akhlak penting untuk ibu bapa ajarkan kepada anak mereka
adalah menghormati ibu bapa, berlaku benar, sabar, kasih sayang,
merendah diri dan menghormati jiran.

Untuk melahirkan anak cemerlang ibu bapa mesti mengetahui tahap
perkembangan menyeluruh kanak-kanak yang berubah dengan pesat pada
peringkat awal berbanding kehidupan mereka selepas ini.

Mereka akan melalui tahap perkembangan mengikut umur, kebolehan,
pengalaman, minat dan keperluan masing-masing.

Semua kanak-kanak akan melalui corak perkembangan sama iaitu daripada
satu tahap ke satu tahap yang lain. Misalnya, kanak-kanak berdiri
sebelum berjalan.

Bagaimanapun, kemampuan dan kecekapan mereka berbeza. Ada kalanya
lambat dan cepat. Perkembangan yang berlaku pada satu tahap juga akan
mempengaruhi tahap seterusnya. Misalnya ketegangan emosi pada
peringkat awal akan mengganggu sahsiah kanak-kanak pada kemudian hari.

Mengetahui tahap perkembangan kanak-kanak akan menjadikan ibu bapa
lebih sedar dan fokus dalam menyediakan persekitaran, kegiatan dan
rangsangan yang sesuai dengan kebolehan dan kesediaan anak mereka.

Menurut kajian Harvard Business School, faktor yang paling penting
untuk menentukan kejayaan adalah sikap. Sikap menyumbang 93 peratus
kepada kejayaan seseorang. Ini berbanding ilmu pengetahuan, maklumat
serta kemahiran hanya tujuh peratus.

Bermain adalah cara paling berkesan untuk kita membangun dan
memantapkan perkembangan menyeluruh yang seimbang dalam diri anak-
anak.

Justeru, ibu bapa seharusnya membuat anjakan paradigma dalam diri
mereka supaya suka bermain dengan anak-anak seperti yang dipesan oleh
Saidina Ali: "Bermain-mainlah dengan anakmu sehingga dia mencapai
tujuh tahun. Kemudian disiplinkan mereka selama tujuh tahun, kemudian
berkawan selama tujuh tahun dan selepas itu anggaplah mereka sebagai
seorang dewasa."

Kanak-kanak pada peringkat awal sangat mudah meniru apa saja di
keliling mereka. Mereka lebih banyak belajar dengan melihat apa yang
berlaku di sekeliling mereka.

Ibu bapa adalah 'role model' kepada anak mereka. Pastikan akhlak ibu
bapa dan persekitaran yang disediakan akan menggalak dan menyokong
semua aspek perkembangan yang positif dalam diri anak-anak.

Wednesday, August 20, 2003

Empat asas membentuk remaja berakhlak mulia

20/8/03
Empat asas membentuk remaja berakhlak mulia
Oleh Sumilah Marto

ZAMAN remaja adalah masa peralihan yang menghubungkan antara alam
kanak-kanak yang tidak matang ke alam dewasa yang lebih matang. Corak
peralihan pelbagai akan membawa pelbagai pengaruh kepada individu yang
mengalaminya.
Setiap remaja sewajarnya diasuh untuk mempersiapkan dirinya sebagai
khalifah Allah.

Tujuan hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah
disemai dalam diri seorang remaja sejak awal lagi supaya mereka berjaya
dan maju sebagai generasi cemerlang dan diberkati.

Jika pembentukan remaja tidak berlaku dengan sempurna, maka pembangunan
negara akan terjejas kerana golongan remajalah bakal menjadi pemimpin
pada masa akan datang.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan adalah
putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." - (Riwayat Bukhari).

Ketika ini, masalah sosial di kalangan remaja amat membimbangkan. Boleh
dikatakan keruntuhan akhlak remaja bagaikan seiring dengan pembangunan
negara.

Ini dapat dilihat melalui pembangunan yang hampir ke kemuncaknya, akhlak
remaja juga kian jatuh dan bagaikan tidak dapat dibendung lagi.

Antara masalah sosial yang sering dilakukan remaja pada hari ini ialah
seks bebas, lari dari rumah, pembuangan bayi, penagihan atau pengedaran
dadah, ponteng sekolah, mengugut, menubuhkan kumpulan haram dan
sebagainya.

Sesungguhnya, masalah sosial remaja pada hari ini disebabkan beberapa
faktor.

Antaranya persekitaran berubah secara mendadak terutama pengaruh media
cetak dan elektronik yang saban hari memaparkan mengenai eksploitasi
terhadap wanita serta kebebasan remaja yang keterlaluan dan banyak
mempengaruhi pemikiran anak-anak terutama yang baru meningkat remaja.

Selain itu, faktor kurangnya didikan agama dan kasih sayang daripada ibu
bapa, perasaan mahu mencuba serta desakan atau pengaruh daripada rakan
sebaya.

Sebenarnya, masalah remaja adalah masalah kita bersama. Oleh itu
gandingan yang mantap dan kerjasama erat antara ibu bapa, guru, rakan
sebaya dan anggota masyarakat amat diperlukan dalam menangani masalah
remaja.

1. Peranan Ibu bapa

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri
kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka." - (Surah At-Tahrim
ayat 6).

Anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Didikan awal kepada anak-anak
amat mustahak dalam kita merencanakan masa depan hidup mereka kerana
mengabaikannya bererti akan merosakkan ahli masyarakat seluruhnya.

Antara panduan keibubapaan yang digariskan Islam ialah:

- Ibu bapa menjadi model yang salih dengan menghayati dan mengamalkan
ajaran Islam sebenar.

Ibu bapa salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama
kepada anak-anak.

Didik dan biasakanlah anak-anak dengan tingkah laku dan kegiatan yang
baik sejak anak kecil.

- Mendisiplinkan anak dengan kasih sayang bukan kekerasan kerana ini
akan menjadikan mereka berasa senang hati dan gembira untuk melakukan
sesuatu perkara positif.

Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan dan pada masa yang sama
menerima ganjaran atau pujian.

- Memenuhi masa lapang bersama anak seperti sembahyang berjemaah, makan,
membaca al-Quran dan bersukan.

Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu
bapa kerana sudah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.

- Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau
isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak.
Kemahiran ini perlu dipelajari ibu bapa dari semasa ke semasa.

- Kesabaran juga amat perlu dalam diri ibu bapa kerana tiap-tiap anak
walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan
berbeza antara satu sama lain.

2. Peranan Guru

Dalam proses pendidikan, kita seharusnya mengambil iktibar dengan
mencontohi asas pendidikan dilakukan Rasulullah.

Baginda bersabda yang bermaksud: "Salah satu cara terbaik untuk
membentuk akhlak mulia ini ialah dengan cara pendidikan."

Dalam hal ini, antara fungsi penting guru ialah:

- Menjadi 'Qudwah Hasanah' atau contoh teladan baik. Setiap tingkah laku
guru hendaklah dijaga kerana setiap inci pergerakan guru akan menjadi
ikutan.

- Memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup
berkorban masa dan tenaga.

- Mengamalkan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan
sebagai 'role model' kepada pelajar.

- Penampilan dan penerimaan guru terhadap konsep berilmu, beramal dan
berakhlak yang sebenar-benarnya.

- Bersedia bekerjasama dengan ibu bapa dalam usaha membentuk insan
Rabbani.



3. Peranan Rakan Sebaya

Dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling
berpengaruh dalam kehidupan mereka.

Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling
diterima.

Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan
berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain.

Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi
remaja lain.

Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan
syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur.

Oleh itu adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan
ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah
dan juga ibu bapa.



4. Peranan Anggota Masyarakat

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah
kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu
bercerai berai." - (Surah Ali Imran, ayat 103).

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Hubungan orang mukmin dengan orang
mukmin lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu
sama lain." - (Riwayat at-Tabarani).

Ayat ini menjelaskan bahawa kerjasama anggota masyarakat amat penting
untuk menciptakan lingkungan yang baik bagi perkembangan dan pertumbuhan
remaja yang sihat.

Antara perkara yang boleh dilakukan masyarakat setempat ialah:

- Mewujudkan sebuah organisasi belia remaja yang dapat menentukan
peranan mereka dalam pelbagai bidang sebagai persediaan menentukan corak
pembangunan negara pada masa akan datang.

- Mengaktifkan peranan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk melatih
belia remaja aktif dalam berpersatuan.

Ia adalah jambatan yang menghubungkan mereka secara langsung dengan
masyarakat, sekali gus menghindarkan mereka dari melakukan kerja-kerja
yang tidak berfaedah.

- Wujudkan kerjasama dan persefahaman yang erat antara ahli dalam
sesuatu kariah melalui kegiatan gotong-royong dan seumpamanya supaya
anggota masyarakat setempat dapat saling mengenali antara satu sama lain
serta dapat mewujudkan perasaan mengasihi anak jiran seperti mana dia
mengasihi anaknya sendiri.

- Memartabatkan seluruh institusi keagamaan Islam (mahkamah atau
perundangan, pendidikan masjid, zakat dan badan dakwah dan NGO lain)
supaya peranan dan fungsi institusi berkaitan dapat direalisasikan
dengan berkesan.

- Menggesa sektor pekerjaan sama ada kerajaan, swasta atau korporat
untuk menzahirkan budaya kerja dan budaya hidup sihat di kalangan
pekerja mereka.

Ia boleh dilakukan dengan mengambil kira faktor seperti penjadualan,
kegiatan kekeluargaan, hari kelepasan dan lain-lain.

Walaupun usaha pelbagai pihak diperlukan bagi membendung gejala sosial
di kalangan remaja, sesuatu yang pasti ialah memohon pertolongan dan
petunjuk daripada Allah.

Ini kerana hidayah Allah juga faktor terpenting mempengaruhi pemulihan
dan kemurnian akhlak seseorang.

Nabi Nuh gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga
Rasulullah gagal memujuk bapa saudaranya, Abu Talib kembali ke pangkuan
Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad)
tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasih
(supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jua yang berkuasa memberi
hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang
lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." - (Surah
Al-Qasas, ayat 56).

- Penulis adalah pensyarah maktab perguruan dan boleh dihubungi e-mel
wanitajim0@y....



Wednesday, August 13, 2003

Hubungan baik dengan bukan Islam perkukuh dakwah

13/8/03
Hubungan baik dengan bukan Islam perkukuh dakwah
Oleh Dr Suriya Osman

ALLAH berfirman dalam al-Quran, yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah, adalah yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” – (Al Hujurat, ayat 13).

Sebagai seorang doktor yang saban hari berjumpa dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama, maksud ayat al-Quran di atas benar-benar menginsafkan saya. Saya berasa diri ini insan Allah yang amat bertuah kerana pada lumrahnya, seorang yang terdedah kepada pelbagai budaya dan kaum akan bersikap lebih terbuka, luas pengetahuan dan lebih memahami erti ‘perbezaan budaya dan kelainan amalan antara kaum’, sedangkan di antara kaum yang satu agama pun, ada perbezaannya.

Agama Islam mengajar kita bersikap lemah lembut, kasih sayang dan adil terhadap semua umat manusia, tidak kira bangsa dan agama. Disebabkan hakikat inilah, Allah sengaja menjadikan manusia lelaki dan wanita, berbilang kaum dan bangsa supaya kita dapat kenal mengenali antara satu sama lain, bukan musuh memusuhi kerana manusia yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah, adalah yang paling baik akhlaknya.

Namun, sepanjang pergaulan kita dalam masyarakat majmuk ini, kita kadangkala merasakan ada beberapa larangan dan sekatan agama yang menyebabkan kita tidak boleh sama-sama menjalankan aktiviti yang sama dengan kaum berlainan agama. Ini menimbulkan suatu dilema di kalangan umat Islam yang kadangkala akan melahirkan satu sikap ‘eksklusif’ (satu sikap yang merasakan bahawa kaumnya atau bangsanya saja yang baik dan betul) hingga menyebabkan mereka tidak mahu bergaul serta bermuamalah dengan bangsa lain. Perkara ini sebenarnya amat merugikan dalam konteks dakwah dan penyebaran Islam.

Hubungan dan interaksi yang efektif dengan bukan Islam, dapat melebarkan misi dan mesej dakwah kepada manusia sejagat. Sebagai contoh, klinik saya terletak di pekan kecil sederet dengan kedai orang Tionghua dan masyarakat sekeliling saya serta hampir semua jiran saya terdiri daripada bukan Islam. Apabila jiran datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan, saya akan memberikan layanan terbaik dengan harga yang telah diberikan diskaun. Saya maklumkan kepada mereka mengenai diskaun itu kerana mereka jiran terdekat saya dan berhak menerima layanan lebih dengan harga yang kurang. Saya katakan kepada mereka peruntukan sebegini termaktub dalam Islam. Mereka amat menghargainya dan berkata: “Ooh, Islam begitu ambil berat dengan jirankah?”

Antara masalah yang sering menimbulkan tanda tanya kepada umat Islam yang baru mula sedar identiti Islam dan ingin mengamalkan Islam sepenuhnya, adalah mengenai makanan, aurat dan juga pergaulan di antara jantina. Lebih-lebih lagi, apabila perkara yang disebutkan ini dikaitkan pula dengan masyarakat bukan Islam. Persoalannya, bagaimana hendak bersama berparti, hendak atau tidak ikut jamuan mereka atau perlu atau tidak hadir di rumah mereka untuk menerima jemputan makan atau bagaimana hendak berkongsi bilik dengan kawan yang bukan Islam ketika kursus.

Sebenarnya, perkara yang nampak rumit ada penyelesaiannya, jika kita sanggup mengambil masa untuk menyelesaikannya.

Contohnya, mengenai persoalan makanan. Secara umum dan kini telah diterima ramai, masyarakat bukan Islam di Malaysia amat peka mengenai pantang larang Islam dan akan berbuat sedaya upaya untuk keselesaan seorang Muslim yang dijemput ke majlis mereka. Sering kali apabila kita dijemput, mereka akan mengambil penyedia makanan luar yang terdiri daripada penyedia Islam dan menggunakan pinggan yang disewa khas dan dijamin suci.

Jika kita menerima jemputan dan masih was-was, kita boleh bertanya dengan lembut dan manis kepada mereka mengenai status makanan yang dihidang, sama ada halal atau sebaliknya. Anak remaja saya yang berada dalam kelas berbilang kaum, pernah menghadiri jamuan hari ulang tahun sahabat Tionghuanya. Rakannya telah meminta semua rakan-rakan Islam untuk membawa sendiri makanan yang hendak dimakan bersama secara ‘potluck’! Memang majlisnya berjaya, bukan saja sebagai majlis makan tetapi sebagai majlis muhibah. Inilah contoh situasi ‘sama-sama menang’.

Namun, persoalan tetap ada bagi saudara baru (mualaf) yang mempunyai keluarga bukan Islam. Melihat kepada cara Rasulullah saw melayan saudara baru, Baginda menyuruh saudara baru itu meneruskan hubungan kekeluargaannya, berbaik sangka, malah berlembut dengan keluarganya, tanpa meringankan tanggungjawab taklif Islamnya.

Diriwayatkan, pernah seorang anak muda rela melihat ibunya tidak mahu makan dan minum kerana ibunya berkata, dia tidak mahu makan dan minum sehingga anaknya itu meninggalkan agama Islam. Walaupun anak itu terlalu sayangkan ibunya, dia tetap bertegas untuk mengamalkan Islam.

Di samping itu, ahli keluarga yang masih bukan Islam berhak diberikan bantuan makanan dan wang serta pertolongan yang mereka perlukan. Sikap tegas tetapi lembut akan dapat menjernihkan suasana jika ada ketegangan. Akhirnya, dalam jangka panjang, mereka juga akan bertolak ansur dalam mematuhi syarat-syarat makanan yang diperlukan oleh anak Muslimnya.

Suatu persoalan lagi yang masih menjadi tanda tanya adalah aurat wanita Muslim dengan wanita bukan Muslim. Dalam perkara ini, ada dua pendapat yang masyhur. Pendapat pertama mengatakan aurat wanita Muslim dengan wanita bukan Muslim adalah sama saja dengan aurat wanita sesama Muslim. Pendapat kedua pula menyamakan aurat wanita Muslim dengan wanita bukan Muslim umpama batas aurat wanita dan lelaki, iaitu wajib menutup aurat sepenuhnya. Bagi diri saya sendiri, melihat pada sebab musabab yang ditimbulkan itu, membuka aurat di hadapan wanita bukan Muslim, mendedahkannya kepada fitnah (jika wanita bukan Muslim itu adalah kafir harbi).

Bagi tanggapan ini, memandangkan wanita bukan Muslim di Malaysia berhemah tinggi, patuh kepada undang undang, faham mengenai hak mereka, maka saya lebih cenderung memilih pendapat yang pertama, terutama sekali melihat waqi’ dan situasi semasa.

Dalam suasana pejabat dan juga ketika bekerja, ada kemungkinan masyarakat bukan Muslim tidak tahu mengenai pantang larang dan batasan dalam pergaulan. Perkara ini penting dan kita perlu menyatakan kepada mereka dengan lembut, juga kita perlu memberi sebab musabab yang membawa kepada keadaan itu. Pada pendapat saya, besar kemungkinan, setelah mengetahui pegangan dan tata susila yang kita amalkan, wanita bukan Muslim akan lebih peka daripada rakan sepejabat yang Muslim.

Pengalaman anak remaja saya yang belajar dalam kelas berbilang kaum, menunjukkan, jika kita sanggup bergaul mesra dan memberi keterangan jelas dan bijak, anak-anak kita mudah difahami dan dihormati oleh kawan-kawannya yang bukan Muslim.

Dalam kata lain, muamalah kita dengan masyarakat bukan Islam adalah atas dasar hormat menghormati dan juga atas dasar belas kasih.

Rasulullah pernah menegur sahabat supaya jangan mencerca atau memperlekehkan cara beribadat orang bukan Islam tempat sembahyang mereka bagi mengelakkan mereka mencemuh dan memperlekeh masjid kita.

Begitu baik muamalah Nabi dengan masyarakat bukan Islam, sehingga Baginda pernah menziarahi anak seorang Yahudi yang sakit, mengakibatkan budak itu akhirnya memeluk Islam.

Baginda juga menggunakan kata-kata yang lembut kepada seorang Yahudi yang menuntut hutangnya dengan begitu kasar sekali daripada Baginda. Muamalah Rasulullah yang penuh hemah itu melembutkan Yahudi berkenaan, sehingga akhirnya dia menganut Islam kerana tertarik dengan akhlak mulia yang ditunjukkan Nabi.

Kesimpulannya, janganlah kerana perbuatan atau muamalah kita yang buruk dengan masyarakat bukan Islam akhirnya merosakkan dakwah Islam dan menyebabkan bukan Islam prejudis kepada Islam dan menjauhinya.

Penulis adalah seorang doktor perubatan dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com


Wednesday, August 06, 2003

Pengasuhan bijak mula ketika anak masih kecil

6/8/03
Pengasuhan bijak mula ketika anak masih kecil
Oleh Sabariah Abdul Razak

AFIFAH sering menangis apabila bercerita mengenai kedegilan anak remajanya yang berumur 15 tahun. “Cikgu, saya bingung dengan perangai degil dan tabiat melawan anak saya,” katanya mengadu kepada jiran yang juga seorang guru.

“Fifah, awak jangan berputus asa, apa yang perlu awak lakukan ialah sentiasa mendampingi anak awak dan cuba fahami serta ikuti perkembangan dirinya.

“Jangan biarkan dia terkapai-kapai. Menangisi nasib tidak akan membawa awak ke mana-mana. Cuba buat refleksi diri dan berdoalah kepada Allah kerana benih yang baik jika dibuang ke lautan menjadi pulau,” nasihat jirannya.

Perbualan kedua-dua wanita itu mengingatkan kita bahawa kadangkala kita lupa anak melambangkan diri kita. Kita juga acap kali terlupa dalam mengasuh mereka ada faktor ketiga yang perlu diambil kira, anak kita, kita dan keajaiban Allah serta kekuasaan-Nya.

Fitrah kejadian manusia yang juga makhluk paling mulia dan sempurna di sisi Allah adalah sebaik-baik kejadian di bumi. Manusia dikurniakan akal, perasaan, cita dan anggota yang lengkap.

Kelahiran anak membawa kebahagiaan kepada pasangan terutama yang baru berkahwin. Bagaimanapun ramai ibu bapa yang tidak membuat persediaan rapi, mereka melihat dan menerima kejadian Allah serta keagungan penciptaan ini dengan bersikap zuhud dan tawaduk, tanpa berusaha menilai dan menghayatinya. Mereka menganggap kelahiran sesuatu yang rutin dan biasa dalam alam berumah tangga.

Persediaan utama yang perlu ialah ilmu kemanusiaan kerana setiap perkembangan keperibadian manusia berhubung rapat dengan pengasuhan berterusan sejak lahir hingga dewasa.

Pengasuhan bijak adalah berlandaskan penerapan ajaran agama dan nilai murni, bakal melahirkan generasi yang berfikiran positif.

Justeru, wujud kumpulan umat yang berperibadi mulia dan mengamalkan sikap yang berasaskan ciri keimanan dalam kehidupan.

Pengasuhan bijak adalah ilham dalam usaha ibu bapa memfokus kepada sikap reda, tawakal, sabar dan syukur di samping usaha serta azam yang kuat. Setiap ibu bapa perlu memberi kebebasan kepada anak membangunkan potensi di samping mewujudkan perasaan bahawa anda sentiasa memberi perhatian kepada setiap pengalaman mereka. Kebebasan yang diberi perlu diawasi dan ditangani dengan bijak

Keunikan dan bakat kanak-kanak perlu dihargai dan diwarnai dengan pujian, harapan dan panduan supaya dapat menyemai sikap positif dan merasai nikmat berusaha sendiri.

Mereka berkeyakinan dalam melakukan sesuatu dengan lebih baik tanpa perasaan rendah diri dan kecewa.

Penilaian yang diberi kepada anak perlu secara individu dengan menghormati kefahaman mereka. Berilah peluang kepada mereka meraih kejayaan sendiri dan memperbetulkan kesalahan. Sebagai ibu bapa yang berilmu dan berpengalaman, beri panduan dan batas pada setiap perbuatan dan tingkah laku mereka serta nasihat berasaskan keimanan serta kefahaman Islam dalam membimbing mereka membuat keputusan positif.

Jangan menunjukkan kekecewaan terhadap segala kelakuan dan kegagalan mereka sebaliknya suntiklah semangat membina dan bangkit semula supaya mereka tidak mudah berputus asa.

Ibu bapa perlu bijak dan kreatif dalam mewujudkan rutin harian mengikut kesesuaian keperluan setiap individu, di samping mengutamakan kebersihan dan disiplin yang tinggi bagi menggalak sikap kendiri di jiwa kanak-kanak.

Tanamkan amalan berilmu, beriman dan beramal supaya mereka berasakan dirinya memikul tanggungjawab dan bebas daripada pengaruh keduniaan kerana sentiasa berserah dan bertawakal kepada Allah.

Pada zaman serba mencabar ini, ibu bapa banyak menghabiskan masa untuk memenuhi keperluan lahiriah sehingga lupa keperluan jiwa dan rohani. Pegangan yang rapuh tanpa asas yang kuat dan logik boleh menjerumuskan perhatian anak ke arah yang negatif.

Justeru, bina asas kukuh untuk mereka bertapak, latih mereka bersikap jujur dan amanah, wujudkan hubungan mesra antara anggota keluarga, penuhi jasad dan roh mereka dengan kasih sayang sehingga mereka tidak sangsi dalam memilih jalan yang diredai.

Pendidikan kerohanian menjadi benteng asas yang amat sempurna dan kuat berteras kepercayaan kepada Allah, mengagungkan Allah dan memikirkan ciptaan Allah.

Beruntunglah ibu bapa yang berpeluang mendidik dan mengasuh anak dengan skop pendidikan rohani kerana dapat menjamin ketakwaan setiap insan.

Setiap ibu bapa ingin melahirkan anak soleh dan bertakwa kerana itulah sebaik-baik harta peninggalan. Jiwa dan rohani yang bersih sentiasa diselaputi ketenangan dan keimanan dalam mengharungi kehidupan penuh cabaran.

Bagi keberkesanan pengasuhan yang bijak dan efektif, komunikasi yang berhemah dan beradab harus dilatih sejak kecil. Perkembangan literasi bahasa yang sopan diselaraskan dengan komunikasi yang positif dan bermartabat dapat membantu kanak-kanak membina sikap dan tingkah laku yang berhemah tinggi. Waktu makan dan beriadah adalah waktu yang paling sesuai untuk berinteraksi dengan mesra.

Hargailah dan wujudkan masa yang berkualiti untuk anak anda serta pastikan mereka gembira dan sentiasa selamat kerana anda adalah ibu bapa mereka.

Setiap manusia berpeluang menjadi insan yang baik. Ibu bapa hendaklah menghargai amanah yang diberikan. Jalankan tanggungjawab sebaik mungkin berpandukan al-Quran dan sunnah. Anak akan mewarisi sementara dunia sejagat, dengan itu didik, semaikan, berdoa dan jadikanlah anak anda insan beriman serta bertakwa demi menjamin kesempurnaan dan kekuatan umat Islam pada masa akan datang. Dalam doa itu, terus berzikir, beristighfar, bertafakur dan bermunajat.

Penulis seorang pengusaha Tadika Islam dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com