Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, February 25, 2004

Kemahiran keibubapaan elak anak terabai

25/2/04

Oleh Faridah Maludin
SEORANG ibu berkata: “Makcik dulu orang susah, nak menyara lima anak bersekolah, ditambah lagi dua anak saudara yang tinggal dengan makcik. Suami makcik hanya tentera dan selalu pula masuk hutan. “Bila suami pencen, kami dapat peluang sertai rancangan Felda. Masa itu anak semua masih bersekolah, yang sulung baru tingkatan empat. Makcik terus berdoa dan menanam azam sekolahkan anak hingga ke peringkat paling tinggi dan simpan duit untuk tunaikan haji.” Selepas 20 tahun, impian ibu itu tercapai di mana anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan kehidupan manakala beliau dan suaminya dapat menunaikan ibadat haji pada tahun 80-an.
Kisah hidup tadi mempamerkan kepada kita bagaimana tekad seorang ibu mendidik dan membesarkan anak sehingga berjaya walaupun terpaksa melalui pelbagai kepayahan. Ramai ibu bapa mempunyai hasrat menggunung terhadap anak mereka. Bagaimanapun, apabila anak tidak memenuhi impian, terdengarlah keluhan: “Kenapa anakku tidak seperti yang diimpikan?” Selain menghukum diri sendiri atas kegagalan itu, ada juga ibu bapa menyalahkan anak kerana degil dan susah untuk dibentuk.
Dalam menempuh cabaran globalisasi, pengalaman saja tidak mencukupi. Sebaliknya, ibu bapa perlu memiliki ilmu keibubapaan dalam mendidik anak cemerlang dalam semua aspek, sama ada rohani, mental dan fizikal. Ibu bapa yang berjaya dalam tugas mendidik anak sentiasa tenang dan yakin dalam tindakan mereka, lebih banyak memulakan langkah proaktif berbanding tindak balas reaktif.
Antara cara menjadi ibu bapa efektif ialah: · Ibu bapa perlu mempunyai matlamat keibubapaan yang jelas. Jangan hanya mahu anak-anak cemerlang, sebaliknya gariskan nilai kendiri yang ingin dibina secara khusus seperti taat, bertakwa, sabar, pintar, kuat bekerja, jujur, positif, bermotivasi, berilmu dan istiqamah. Ibu bapa perlu menyedari bahawa tugas mendidik adalah amanah yang mesti dilaksanakan. Ini kerana manusia dijadikan oleh Allah dengan tujuan tertentu, maka sudah pasti matlamat keibubapaan itu tidak boleh lari dari apa yang telah ditetapkan dan mesti selari ke arah keredaan Allah. Allah berfirman yang bermaksud:
“Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)·
Sikap ibu bapa menjadi paksi yang akan menentukan kualiti anak. Keikhlasan, sikap positif, terbuka, sabar, prihatin, suka mendengar, tidak mudah menyanggah akan menyediakan iklim yang sihat untuk mendidik anak-nak. Sikap prihatin terhadap perkembangan anak, penampilan dirinya, sentiasa mengambil berat, selalu berbincang melahirkan hubungan yang mesra dan secara tidak langsung meningkatkan kepercayaan anak kepada ibu bapa.
Kelainan peribadi anak-anak, faktor usia, pengaruh luar akan menyulitkan tugas untuk menjadi ibu bapa berkesan kerana berdepan dengan anak kecil tentulah tidak sama apabila ibu bapa berhadapan kerenah anak remaja.
Apakah kemahiran diperlukan? ·
Ibu bapa perlu memahami sikap dan kemahuan anak yang inginkan perhatian dan saling berhubung (berkomunikasi). Ada kalanya anak menunjukkan sikap memberontak dan ibu bapa perlu mahir dalam tidak balas mereka. Masalah anak menjadi kronik disebabkan ibu bapa tidak memahami sikap anak dan suka melabel anak dengan nilai negatif.
Kemahiran berkomunikasi iaitu boleh menyampaikan dan mendengar dengan berkesan. Dalam proses interaksi, ibu bapa adalah pemimpin yang patut mengemudi supaya suasana menjadi gembira, aman dan tiada tekanan. Tingkatkan empati dan kesabaran dalam berkomunikasi, lebih-lebih lagi apabila berlaku konflik antara ibu bapa dan anak. · Anak-anak mempunyai ragam dan perangai berbeza. Apabila timbul konflik, cara penyelesaian terbaik ialah duduk berbincang kerana kedua pihak tidak boleh mengharap pihak satu lagi memahami kehendak mereka. Beri peluang anak meluahkan perasaan dan jadilah pendengar yang baik.
Ibu bapa perlu selalu mengukur diri bagi membentuk imej yang boleh menjadi teladan kepada anak kerana imej itu akan mempengaruhi perkembangan mereka. Contohnya, bila kita bertanggapan bahawa kita seorang ibu atau bapa yang tenang, sabar dan sentiasa cuba mengawal diri, sudah pastilah perkara ini akan mencorakkan tindakan kita. Oleh itu ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik untuk anak membuat penilaian terhadap imej ibu bapa mereka. Jika imej terpancar itu positif, anak-anak akan mudah mendekati ibu bapa dan hubungan ibu bapa dengan anak akan terpelihara.
Sentiasa memberikan anak motivasi. Ini bermakna ibu bapa perlu mempunyai motif, matlamat, niat dan niat untuk bertindak. Ibu bapa perlu memiliki hasrat dan matlamat yang tinggi untuk menjadi ibu bapa yang berkesan. Perkara inilah yang akan mendorong ibu bapa berusaha untuk mencapai cita-cita. Terdapat banyak cara untuk meningkatkan motivasi ibu bapa seperti menjadikan kejayaan anak sebagai matlamat, iktiraf kejayaan yang dicapai, walaupun tidak sebesar mana, dan bersedia berkongsi masalah.
Kesan globalisasi dan arus kemajuan masa kini boleh membawa padah kepada anak jika tiada kawalan. Ibu bapa perlu peka dengan cabaran semasa. Keruntuhan akhlak generasi masa kini amaran yang akan terus menjadi buruk jika ibu bapa, sebagai sekolah pertama anak-anak, tidak mampu mendidik mereka melawan ancaman yang boleh merosakkan anak.
Kesimpulannya, ibu bapa kini harus bersedia dan menyiapkan diri untuk menjadi ibu bapa yang berkesan. Sentuhan mahir ibu bapa mampu mengubah dunia. Mereka perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan apa juga masalah dan kemungkinan. Ibu bapa perlu merenung ungkapan hikmat ini:
“Bukanlah anak-anak yatim itu anak yang telah kematian ayah bondanya dan yang melarat dalam kemiskinan. “Tetapi yang dipanggil anak yatim itu adalah anak yang ibunya tidak mempedulikannya dan ayahnya sibuk dengan urusan.”
Penulis ialah Perunding Latihan dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com.

Wednesday, February 18, 2004

Nabi haramkan cabut bulu di muka untuk cantik

18/2/04

Oleh Prof Madya Dr Anisah Ab Ghani
KAUM wanita amat mengambil berat mengenai kecantikan, terutamanya kecantikan wajah kerana wajah yang pertama dipandang orang apabila berjumpa. Oleh itu, ramai di kalangan wanita sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mencantikkan wajah. Antara cara dianggap boleh mencantikkan wajah dan rupa paras ialah dengan membentuk bulu kening atau alis mata dengan mencabut dan mencukur sebahagian atau kesemuanya sekali. Kemudian bulu kening akan dibentuk semula dengan alat solekan seperti celak dan pensil alis sehingga kelihatan lebih cantik dan menarik.
Amalan itu bukanlah perkara baru dalam dunia persolekan wanita tetapi sudah diamalkan wanita di zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam dan berterusan hingga hari ini. Malah dengan kebanjiran pelbagai jenis alat solek di pasaran serta kepakaran yang ada, bulu kening atau alis yang sesuai dengan raut wajah seseorang boleh dibentuk dengan mudah.
Walau bagaimanapun, wanita hari ini perlu memastikan apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, termasuk bidang persolekan. Merujuk kepada teks syarak berkaitan persoalan ini, terdapat dua hadis yang menegur secara langsung perbuatan mencukur bulu kening. Perkara ini membabitkan satu riwayat tabf berkaitan dengan riwayat Imam Al-Tabari, bahawa isteri Abu Ishaq pergi ke rumah Aisyah Ummul- Mukminin, puteri Rasulullah saw. Pada waktu itu rupa parasnya sangat jelita. Beliau lalu bertanya kepada Aisyah mengenai hukum seorang wanita yang membuang bulu-bulu yang terdapat di dahinya untuk tujuan menambat hati suaminya. Aisyah menjawab: "Hapuskanlah kejelekan yang ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu."
Hadis kedua diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang menerangkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
"Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah."
Mengenai hadis pertama, Imam Nawawi berpendapat bahawa jawapan Aisyah kepada wanita itu membawa erti bahawa wanita boleh bersolek untuk suami, boleh merawat muka untuk menghilangkan kejelekan seperti jerawat, jeragat dan bintik-bintik. Namun demikian, beliau tidak boleh mencabut atau mencukur bulu-bulu di muka, termasuklah bulu kening untuk membentuk alis mata yang cantik.
Mengenai hadis kedua pula, ulama menjelaskan pengertian al-Namisah. Ibn al-Athir berpendapat ia bermaksud wanita-wanita yang mencabut bulu-bulu yang terdapat pada kawasan muka dengan tidak menggunakan alat pencabut. Ibn Hajar pula berpendapat, ia bermaksud wanita yang mencabut bulu- bulu di muka dengan alat pencabut. Abu Daud pula berpendapat, ia bermaksud wanita yang mencabut bulu- bulu kening atau mencukurnya dengan pisau pencukur sehingga kelihatan halus. Keterangan di atas menunjukkan perkataan al-Namisah merangkumi semua pengertian iaitu mencabut bulu-bulu di muka untuk kelihatan cantik dan berseri. Majoriti fuqaha berpendapat, mencabut atau mencukur bulu kening sehingga kelihatan halus adalah diharamkan sama ada kepada lelaki atau wanita kerana perbuatan itu termasuk dalam istilah mengubah ciptaan Allah sebagaimana dijelaskan dalam hadis kedua.
Namun demikian, bagi wanita yang mempunyai terlalu panjang atau terlalu lebat sehingga kelihatan jelik, bolehlah mencabutnya sekadar membolehkan kelihatan halus kerana ia tidak dianggap mengubah ciptaan Allah.
Kesimpulannya, berhias untuk suami adalah diharuskan tetapi membentuk bulu kening dengan mencabut atau mencukurnya sehingga menjadi alis yang cantik adalah tidak dibenarkan. Menghilangkan sebarang tanda yang menjelekkan pandangan di badan, termasuk muka seperti jerawat, jeragat dan bintik hitam, adalah dibenarkan sama ada wanita bersuami atau tidak.
Dalam keghairahan wanita mencantikkan wajah untuk menambat hati suami atau sebagainya, jangan sampai terkeluar daripada sempadan yang digariskan oleh syarak kerana kecantikan bercanggah dengan syarak akan menggadaikan diri sendiri.
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di alamat emel, wanitajim0@yahoo.com

Wednesday, February 11, 2004

Surah an-Nur perjelas hidup bermasyarakat

11/2/04
Oleh Prof Madya Maznah Daud
SURAH an-Nuur yang bererti cahaya, mengandungi 64 ayat, diturunkan di Madinah beberapa tahun selepas hijrah. Dalam surah ini terkandung ayat dan petunjuk Allah bagi manusia yang berhubung dengan hidup bermasyarakat, mahu pun berumah tangga. Semuanya, adalah cahaya yang menyinari kehidupan manusia dalam menempuh jalan menuju kebahagiaan dunia dan akhirat. Allah memulakan surah ini dengan satu penegasan agak unik dan berbeza dengan surah lain. Firman-Nya bermaksud:
“(Ini adalah) satu surah yang Kami turunkan dan Kami fardukan (menjalankan hukum yang ada dalam)nya, dan Kami turunkan dalamnya ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.” (Surah an-Nur, ayat 1)
Secara jelas dan tegas apa yang terkandung dalam surah ini diturunkan oleh Allah dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang beriman kepadaNya dan ayatNya, supaya menerima dan melaksanakannya tanpa ragu-ragu atau berdolak dalik. Penegasan seperti ini sangat penting. Ia adalah asas kukuh dalam hati setiap Muslim agar bersedia mendengar, menerima dan seterusnya melaksanakan apa saja yang tuntut oleh-Nya. Meragui dan mempersoalkan hukum atau peraturan Allah tidak wujud sama sekali dalam hati orang beriman. Ini sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya bermaksud:
“Sesungguhnya jawapan orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) antara mereka ialah ucapan: “Kami mendengar dan kami patuh. Dan mereka itulah orang yang beruntung.” (Surah an-Nuur, ayat 51).
Masyarakat adalah himpunan manusia daripada lelaki dan wanita. Mereka bukan saja saling memerlukan, malah difitrahkan mempunyai keinginan yang kuat terhadap satu sama lain. Bagi memenuhi keinginan semula jadi ini, Allah mensyariatkan perkahwinan dan menggesa pihak berkuasa dalam sesebuah masyarakat atau keluarga memberikan perhatian sewajarnya terhadap anggota yang belum berkahwin. Firman Allah bermaksud:
“Dan kahwinkanlah orang yang sendirian antara kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32).
Perkahwinan adalah satu-satunya jalan paling selamat dan terhormat bagi memenuhi keinginan semula jadi manusia. Keinginan seksual adalah wasilah atau jalan yang menghubungkan antara satu generasi dengan generasi sebelum dan selepasnya. Lantaran, ia tidak boleh dipadam atau diketepikan. Keinginan itu tidak boleh pula dibiar lepas bebas tanpa batasan. Ini kerana keadaan sedemikian bukan saja akan menjatuhkan martabat insan, malah boleh menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat seluruhnya.
Ayat di atas ditujukan kepada ketua keluarga serta pihak yang berkuasa dalam sesebuah masyarakat. Mereka tidak sepatutnya mengabaikan anggota yang belum mempunyai pasangan hidup yang sah. Kemiskinan bukan suatu alasan untuk melambat-lambatkan urusan perkahwinan. Jalan mesti dicari. Penyelesaian mesti diusahakan. Allah sendiri memberi jaminan akan memudahkan rezeki orang yang ingin berkahwin (Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya). Hubungan antara lelaki dengan perempuan yang lain daripada ikatan perkahwinan dibataskan dengan adab serta panduan tertentu. Ini supaya keutuhan keluarga yang dibina terpelihara, terselamat daripada fitnah dan noda serta terhindar daripada jerangkap syaitan durjana.
“Katakanlah kepada lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (Surah an-Nur, ayat 30)
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka...” (Surah an-Nur, ayat 31).
Lelaki dan wanita tidak dihalang daripada membabitkan diri dalam masyarakat. Ini kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat yang bertanggungjawab membangun, memaju dan memeliharanya daripada perkara yang boleh menjejaskan kesejahteraannya.
Apa yang wajib dilakukan ialah memelihara tiga perkara iaitu menjaga mata, kemaluan dan aurat. Hari ini, kesedaran memakai tudung di kalangan Muslimah laksana gelombang besar yang tidak mampu dibendung oleh sesiapa lagi. Memakai tudung saja tidak memadai. Mata hendaklah sentiasa dijaga kerana ia adalah penggoda yang amat berbisa. Apabila mata bertentang mata, hati mula berkata-kata, nafsu pun ikut bergelora, lantas iman terluntur dan iblis segera menjalankan peranan.
Tidak cukup juga dengan kaum wanita saja yang bertudung litup, menutup aurat dan menjaga maruah. Kaum lelaki juga seharusnya melakukan perkara sama. Kaum lelaki wajib juga mematuhi adab menundukkan pandangan dan kewajipan memelihara tiga perkara tadi. Ayat itu tidak hanya ditujukan kepada wanita, bahkan menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita. Kadang-kadang terdengar suara mengatakan menutup aurat juga tidak selamat. Mungkin ada benarnya luahan itu. Ini kerana menutup aurat mesti dilaksanakan secara bersepadu dengan memelihara pandangan serta aturan lain yang terkandung dalam surah ini. Ia tidak boleh diambil secara terpisah. Perkara lain yang wajib dijauhi ialah memfitnah dan menyebarkan keburukan serta kemungkaran. Firman Allah bermaksdu:
“Dan orang yang menuduh wanita yang baik-baik (melakukan zina) kemudian mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 4).
Tidak dapat dinafikan bahawa fitnah atau tuduhan tanpa bukti meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri seseorang sama ada dari aspek kejiwaan atau kemasyarakatan. Kesan itu bukan saja dirasai oleh orang yang dituduh, malah seluruh anggota keluarganya. Lantaran, Islam melarang perbuatan menuduh tanpa saksi hingga hukuman yang dikenakan ke atasnya hampir sama berat dengan hukuman ke atas orang yang melakukan zina.
Penyebaran perbuatan keji juga laluan yang memudahkan anggota masyarakat terjebak dalam kemaksiatan. Ini kerana sesuatu kemungkaran itu, apabila disebarkan akan cepat merebak dan mendorong anggota lain meniru perbuatan sama. Lantaran, tidak wajar disebarkan secara meluas hanya sekadar untuk dijadikan bahan berita tanpa diiringi usaha bersungguh-sungguh untuk membendungnya. Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang suka agar (berita) perbuatan keji itu tersebar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nuur, ayat 19).
Kesungguhan Islam memerangi kemungkaran, khususnya zina yang menjadi punca runtuhnya institusi keluarga, tercemarnya zuriat dan menimbulkan keresahan masyarakat, dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud :
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang beriman.” (Surah an-Nur, ayat 2).
(PENULIS ialah pensyarah bidang syariah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com.