Laman Rabu - WADAH WANITA ISLAM

Wednesday, May 25, 2005

Persatuan belia perluas persaudaraan sesama Islam

Persatuan belia perluas persaudaraan sesama Islam
Oleh Roha Hassan
REMAJA atau belia adalah kelompok besar dalam masyarakat Malaysia yang berjumlah 24 juta orang. Mengikut perangkaan 9.8 juta rakyat Malaysia berusia 15 hingga 40 tahun. Daripada jumlah ini pula, 46 peratus berusia 15 hingga 24 tahun.
Menurut perangkaan Jabatan Belia dan Sukan, daripada 9.8 juta golongan muda di Malaysia, hanya 2.9 peratus yang membabitkan diri dengan persatuan atau organisasi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Ia bermaksud ada tujuh juta daripada golongan ini yang tidak berpersatuan. Daripada jumlah tujuh juta ini, 5.5 juta berusia antara 15 hingga 25 tahun. Pada masa ini, ada kira-kira 7,000 persatuan atau organisasi belia di seluruh Malaysia. Angka itu mengetuk minda ini untuk mengajak kita semua sama-sama berfikir. Hari ini, meskipun banyak persatuan remaja dan belia, jumlah mereka yang tidak membabitkan diri dengan persatuan masih ramai. Membabitkan diri dengan persatuan atau organisasi belia sama ada badan kerajaan atau NGO adalah sesuatu yang penting. Banyak kebaikan atau faedah yang boleh diperoleh apabila berpersatuan atau berorganisasi. Antaranya:
Mengajak diri sendiri dan masyarakat ke arah amar makruf dan nahi mungkar.Firman Allah bermaksud: “Kamu ialah umat terbaik yang dilahirkan kepada manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 110)
Meningkatkan kemahiran interpersona dan interpersonal remaja dan belia. Menerusi berpersatuan, banyak ilmu yang boleh diperoleh. Antaranya pengetahuan berbentuk soft skill. Contohnya, kemahiran berkomunikasi, pengucapan awam dan membuat keputusan. Begitu juga kemahiran dalam bidang teknikal seperti menggunakan komputer dan membaiki kenderaan.
Membangunkan konsep kendiri yang mantap dalam diri golongan muda.Dengan berpersatuan mereka diberikan amanah yang perlukan komitmen ikhlas dan berterusan. Mereka belajar melakarkan agenda, membuat keputusan, melaksanakan program serta melakukan pemantauan. Gerak kerja ini akan memantapkan sikap kendiri mereka secara langsung dan tidak langsung.
Disiplin pula adalah satu nilai yang diperlukan oleh kepemimpinan atau ahli persatuan dan organisasi. Bermula dengan remaja/belia yang biasa, mereka akan terlatih dengan ciri disiplin mantap apabila mula diberikan tugasan atau amanah. Kita maklum hanya mereka yang berdisiplin mampu menyelesaikan amanah yang diberikan dengan baik.
Mengisi masa lapang dengan perkara ibadah dan berfaedah. Memandangkan cabaran dalaman dan luaran yang sentiasa mengunjungi kita, terutama pada usia muda, semestinya kita penuhkan masa dengan kegiatan bermanfaat. Ia juga membuka ruang untuk mengumpul pahala sebanyak mungkin. Antaranya membantu mereka yang memerlukan pertolongan dan bantuan seperti membantu golongan miskin dan kurang upaya, melakukan kerja gotong-royong di rumah kebajikan orang tua, anak yatim, hospital atau menyiapkan rumah untuk golongan fakir miskin. Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah dan engkau menolong seseorang menaiki tunggangannya atau engkau menolong mengangkat baginya barang ke atas tunggangannya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. Pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah."
Membuka peluang untuk menyumbang idea, tenaga dan harta kepada masyarakat dan negara dengan cara tersusun dan terancang.
Berpersatuan turut membuka peluang untuk remaja dan belia meluaskan jaringan persaudaraan. Ramai rakan dan kenalan baru dapat ditemui menerusi pelbagai kegiatan yang dijalankan dalam persatuan. Contohnya, program keluarga angkat memberikan peluang kepada remaja mendapat keluarga baru. Program pertukaran remaja/belia peringkat Asean akan membuka peluang remaja negara kita mengenali rakan sebaya dari negara lain.
Meningkatkan kesihatan fizikal, mental, kerohanian dan emosi. Contohnya adalah seperti:a. Fizikal. Menerusi sukan seperti badminton, bola sepak dan futsal.Kegiatan luar dan lasak seperti perkhemahan, mendaki gunung dan berkayak.Rasulullah bersabda bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.” b. Mental.Meningkatkan keyakinan diri dengan pelbagai kegiatan keilmuan dan keagamaan seperti seminar kekeluargaan, forum kerjaya dan kuliah agama.c. Kerohanian.Menerusi pelbagai kegiatan seperti bersolat jemaah, pendidikan keagamaan, membaca al-Quran, qiyamulail, kegiatan sambil melihat alam dan memuji Ilahi. Menjaga ibadah dan akhlak dalam setiap program yang dianjurkan mampu menjana rohani bersih dan tunduk kepada Maha Pencipta yang Maha Agung. d. Emosi.Tubuh cergas, mental sihat dan kerohanian tenang mampu mengawal emosi remaja/belia. Emosi mereka menjadi lebih bijak. Tindak tanduk dan keputusan mereka menjadi lebih matang.Memandangkan begitu banyaknya faedah yang boleh diperoleh oleh golongan remaja/belia apabila berpersatuan atau berorganisasi, diharapkan semakin ramai remaja/belia terbabit dengan pelbagai persatuan dan organisasi yang membawa kebaikan dalam hubungan dengan Tuhan, insan dan alam.PENULIS ialah Ketua Kelab Remaja (Puteri) dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan jawapan terhadap permasalahan berkaitan layari www.wanitajimceria.blogspot.com

2 Comments:

  • Assalamualaikum Wr. Wb.
    Atas dasar kepedulian terhadap anak yang sangat membutuhkan media bacaan yang bermutu, saya mencoba untuk membuat blog dgn nama http://bumgembul.blogspot.com
    mohon bantuan untuk memberikan masukan dan pendapat.
    sebelumnya saya ucapkan terimakasih

    wasalam

    By Anonymous Anonymous, at 7:45 AM  

  • salam,iya tidak dinafikan,banyak lagi golongan belia yang tidak ambik tahu atau sengaja buat tak tahu atau betul2 tak tahu..kita sebagai persatuan belia harus promosikan dengan lebih agresif lagi...kerajaan telah memberi pelbagai bentuk bantuan dan juga incebtif..kita patut mainkan peranan,kempen berpesatuan..dan jabatan belia memainkan peranan sebagai perantara.membantu persatuan

    By Blogger PBSKU, at 11:38 PM  

Post a Comment

<< Home